TEKS VERBATIM YAB PM: PROGRAM SEMARAK KENEGARAAN
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM SEMARAK KENEGARAAN
24 JULAI 2026 (JUMAAT) | 12.00 TENGAHARI
HANGAR, PUSAT LATIHAN ASAS TENTERA DARAT (PUSASDA)
PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdu lillahil-ladhi anzala ‘ala ‘abdihil-kitaba wa lam yaj’al lahu ‘iwaja,
Wa nusalli ‘ala rasulihil-karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Saudara, Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman,
Panglima Angkatan Tentera;
Yang Berhormat Tuan Haji Adly bin Zahari,
Timbalan Menteri Pertahanan;
Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman,
Panglima Angkatan Tentera Darat;
Panglima-panglima, pegawai, veteran dan saya boleh anggap anak-anak sekalian.
- Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana pada hari Jumaat yang penuh berkat ini kita dapat berhimpun sempena sambutan Semarak Kenegaraan, dari Akademi Kenegaraan dan juga sambutan Hari Pahlawan yang menjelang tiba dalam beberapa hari lagi.
- Tentunya saya merasa turut bangga kerana dapat bersama-sama, dan khususnya kepada PAT, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman kerana dukungan, kerjasama untuk mengangkat martabat pertahanan angkatan tentera kita, yang memerlukan suntikan, bukan sahaja dana tetapi juga semangat dan disiplin.
- Izinkan saya untuk menzahirkan juga penghargaan kerana beberapa bulan yang lalu, negara dikejutkan juga dengan beberapa perkembangan di Laut China Selatan, di mana persiapan pertahanan negara-negara jiran dengan kekuatan kuasa besar itu perlu dipantau walaupun belum ke tahap membimbangkan.
- Saya ucap terima kasih kerana Tan Sri PAT bersama saya di Pulau Banggi. Pulau Banggi itu dekat dengan Selatan Filipina, dan menjadi tumpuan pertahanan pemerintah dan pertahanan Filipina dan Amerika Syarikat. Dan juga menjadi laluan bagi Tentera Laut China. Sebab itulah kami mengambil keputusan untuk memberikan kerjasama, dukungan, semangat kepada anak-anak kita dari ATM yang bertugas dalam panas terik dan suasana yang mencabar di Pulau Banggi.
- Ini menunjukkkan apa? Sementara negara ini aman, di antara negara yang paling aman di rantau yang paling aman di dunia, kita pacu pertumbuhan ekonomi yang melegakan. Kalau lihat di rantau ASEAN, di negara-negara berkembang, tatkala kita tertekan dengan Perang Teluk, harga minyak kita jangka USD70 satu tong, sekarang sampai USD90 satu tong. Bayangkan harga minyak melonjak tinggi.
- Semua negara di dunia naikkan harga minyak, termasuk negara Arab yang pengeluar minyak, pengeksport minyak seperti Arab Saudi, harga minyak jauh lebih tinggi daripada kita. Tidak ada negara yang tidak melakukan itu kerana semuanya tertekan. Tetapi berkat negara ini aman, berkat ekonominya stabil, alhamdulillah inilah satu-satunya negara di dunia yang berjaya menurunkan harga minyak RON95 ke RM1.99.
- Itu di antaranya, kerana dulu…dulu…dulu, termasuk saya ketika Ahli Parlimen Port Dickson, bukan sebagai Perdana Menteri, itu saya janji, “Menang, minyak turun!”. Alhamdulillah, minyak di Malaysia terendah di dunia, saudara. Arab Saudi sekitar RM2.40, itu negara pengeluar minyak terbesar di dunia. Hanya Brunei yang pertahankan RM0.20 lebih rendah daripada kita.
- Jadi, kita bersyukur. Tapi jangan lupa, betul kita terima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Kewangan, saya selalu dalam majlis-majlis ingatkan, sama ada majlis Kementerian Pertahanan bersama Angkatan Tentera, saya tidak pernah melupakan orang yang gembar-gemburkan tentang negara ini aman, ekonominya melonjak, jangan sekali-kali lupa bahawa asasnya adalah kerana sumbangan pasukan pertahanan kita termasuk Angkatan Tentera Malaysia.
- Begitu juga saya katakan pengumuman kita tentang diesel yang turun. Saya tekankan perkara ini, kadang-kadang kita ini biasa dengan kesenangan. Setiap tempat saya pergi, tentunya dia ceritakan masalah dia. Ya betul. Tapi dalam konteks negara, kita harus tahu, bunyinya sedap minyak turun, tapi berapa belanja yang kerajaan terpaksa ambil sebagai subsidi untuk tampung. Kalau harganya USD80 satu tong seperti minggu lalu, kerajaan terpaksa bayar tambahan RM40 bilion satu tahun. Dan kalau naik macam sekarang, dua tiga hari ini kerana keputusan Presiden Trump ambil keputusan serang lagi Iran, bila harga minyak naik USD90 satu tong, kerajaan terpaksa ambil dana tampung bayar supaya tidak menekan rakyat dengan mungkin naik RM80 bilion satu tahun.
- Saudara-saudari dan anak-anak harus tahu ini. Betul, tugas kita pertahanan. Tetapi, konteks ini harus diketahui kalau tidak kita menjadi mangsa kepada propaganda, atau serangan, atau kritikan tanpa fakta. Jadi ini sebab saya sebut mengapa kita ambil keputusan menurunkan harga minyak dan juga diesel yang sekarang ini tercatat antara terendah, diesel yang bersubsidi.
- Semua saudara-saudara dan anak-anak tidak terkecuali dapat STR – Tunai Ramah dan SARA. Satu tahun peruntukannya yang juga dimanfaatkan oleh keluarga Angkatan Tentera dan juga pesara. Berapa jumlahnya? RM15 bilion tambahan, itu subsidi. Saya cerita ini bukan nak bebankan saudara, itu tanggungjawab saya selaku Menteri Kewangan, saya tidak guna majlis ini untuk menyatakan itu masalah saudara, tak. Itu masalah saya, insya-Allah saya dan rakan-rakan di Kementerian Kewangan dan kerajaan akan terus berkhidmat. Cuma saya nak saudara maklum perkara ini, kadang-kadang kerana simpang-siur yang kita dengar di luar itu, diketepikan seolah-olah semua negara buat. Percayalah tidak ada negara di dunia yang menurunkan harga minyak dalam keadaan begini. It does not economic sense.
- Kalau kata rational economic preposition, itu memerlukan semua negara naikkan harga termasuk Amerika Syarikat. Tetapi, kita Negara MADANI, kita mesti ada keprihatinan dan Ihsan, apa yang disebut compassion – Rahmah, maka kita ada pertimbangan yang lain.
- Baik, saya simpulkan beberapa peruntukan yang lain, menyatakan bahawa apa sahaja yang mungkin, yang harus kita lakukan, kita harus lakukan. Kerana apa pun masalah, masalah rakyat itu ridak harus terbeban. Apakah sSaya nafikan bahawa sekarang ini semuanya beres? Tidak. Di antara masalah yang kita hadapi adalah masalah kos sara hidup. Masalah kos sara hidup masih terbelenggu. Walaupun minyak diturunkan, harga baja untuk kelapa sawit, untuk kawasan FELDA, untuk petani dan nelayan, harga barang-barang keperluan mereka, semua naik melambung tinggi, kerana sekatan di Selat Hormuz.
- Nasib baik, Alhamdulillah hubungan kita dengan kerajaan Iran baik. Kita jaga hubungan dengan Amerika Syarikat, dengan negara Teluk, negara Iran, jadi bila disekat kapal PETRONAS pada beberapa bulan yang lalu bila mula perang, hubungan baik kita menyebabkan mudah saya menelefon Presiden
Setelah menyatakan simpati, saya minta dia lepaskan kapal PETRONAS. Di antara kapal pertama yang dilepaskan melalui Selat Hormuz adalah kapal PETRONAS yang sekarang sudah sampai ke Pengerang.
- Semalam, Ketua Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, maklum kepada saya, satu lagi kapal PETRONAS yang lalui satu lautan sebelah negara Oman, juga diberi kelulusan dan akan sampai ke Port Dickson, dia beritahu saya Port Dickson, dalam tempoh 3 hari lagi, Alhamdulillah. Ini menyebabkan dasar luar kita harus bijaksana.
- Ada orang umpamanya tegur, mengapa saya baik dengan China atau baik dengan Amerika? Sebagai negara berkembang kita baik, tapi kalau pembunuhan di Gaza, ataupun sebelumnya perang serangan Amerika Syarikat ke atas negara Islam Iran, Malaysia di antara negara pertama yang ada sidang parlimen khas, mengutuk serangan Israel dan Amerika Syarikat. Dan baru-baru ini, bila saya melarang, saya kata, “dasar kita tidak mengizinkan mana-mana rakyat atau warganegara Israel masuk ke bumi Malaysia”, memang disambut baik di Malaysia, tetapi enam (6) ahli parlimen Amerika Syarikat menulis kepada Presiden Trump, mengutuk Perdana Menteri Malaysia kerana dia kata mengambil tindakan tidak adil kepada Israel.
- Saya jawab dua (2) hari yang lalu, saya kata, “kita ini negeri pahlawan seperti anak-anak. Negara kita merdeka dan berdaulat, kita tidak akan tolak ansur dan tidak akan kita izinkan pembunuh Israel untuk bertapak di Malaysia. Seorang pun tidak boleh datang.” Dan ini dasar luar kita, kerana kita merdeka dan berdaulat. Anak-anak bertarung tengah panas, hujan. Yang angkatan laut ke lautan, angkatan darat ke hutan belantara untuk pertahankan negara ini. Untuk apa? Untuk kami yang lain ini juga hidup aman, merdeka berdaulat, dan tidak menyembah sepertimana nenek moyang kita terpaksa tunduk kepada penjajah.
- Merdeka ertinya, kita bebas untuk memutuskan dasar kita sendiri. Dan oleh yang demikian, walaupun ada kawan-kawan saya mengatakan, “Anwar jaga, ini Amerika Syarikat bukan calang-calang negara”. Saya kata kita tidak memilih. Presiden Trump datang ke sini kita sambut. Dagangan kita nombor satu masih dengan Amerika Syarikat, pelaburannya masih nombor satu dari Amerika Syarikat. Kita bukan bermusuh, tetapi bagaimana boleh kita sebut kita merdeka, berdaulat, bermaruah, tetapi keluarga kita di Gaza, Palestine dibunuh, tanah dirampas, dan kita diam, tak ada kekuatan. Banyak pimpinan negara Islam tak berani bersuara sama sekali. Beza, Alhamdulillah di Malaysia, Kerajaan MADANI bukan sahaja pertahan, kita bawa usul di Parlimen supaya diluluskan oleh semua wakil rakyat, pertahankan maruah negara kita.
- Tapi dalam keadaan aman, Timbalan Menteri pun ada, PAT tahu, kita tidak abaikan Kementerian Pertahanan. Sebab itu, baru-baru ini, ataupun sejak saya ambil alih sebagai Perdana Menteri, saya agak keras. PAT dia baik, jadi dalam ucapan dia, dia tak singgung itu. Saya kata soal perolehan ini mesti teliti dan hentikan amalan curang yang pernah berlaku dulu. Bukan sahaja di Kementerian Pertahanan, semua.
Sekarang tengah ribut tentang Laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Tabung Haji. Apa cerita dia? Belum-belum itu. Belum saya jadi Perdana Menteri dulu. Tapi, apa yang jadi cerita dia? Ceritanya, Tabung Haji ambil dana daripada orang kampung, orang Melayu, orang Islam, kemudian, berlaku penyelewengan, rugi lebih RM10 bilion.
- Tapi, orang kritik saya, mengapa tak terbitkan laporan itu? Saya kata pada masa itu, 3 tahun yang lalu, tak mampu kita terbitkan. Kalau kita terbitkan, rakyat hilang keyakinan kepada Tabung Haji. Dia tarik dana Tabung Haji, Tabung Haji sebagai badan akan lingkup. Tapi sejak tiga (3) tahun yang lalu, pengurusannya bertukar, pengerusinya sekarang Tan Sri Abdul Rashid Hussain, yang punyai rekod pengurusan yang cemerlang, Tabung Haji dah mula bertapak. Tapi rakyat harus tahu.
- Saya jaga FELDA sekarang. Ramai tadi, ada seorang yang mengatakan dia dari keluarga FELDA. FELDA ini, pengurusan orang Melayu dulu, semasa Almarhum Tun Abdul Razak. Baik. Siapa kata orang Melayu tidak pandai mengurus? Raja Alias, Tan Sri Taib Andak, itu semua panglimalah, bukan panglima tentera, panglima dari segi perjuangan ekonomi Melayu dan mereka jalankan tugas yang baik. Catatan untung berbilion ringgit. Kemudian pimpinan bertukar. Datang satu kelompok yang kerjanya keuntungan peribadi, keluarga. Hotel harga 100 juta, dia beli 160. FELDA berhutang berbilion ringgit.
Saudara,
- Ini bukan isu politik, ini isu negara. Saudara berkorban nyawa, keringat, air mata untuk apa? Untuk pertahankan maruah negara ini. Tak boleh kita izinkan kecurangan berlaku. Apapun mereka kata terhadap PMX, ini tekad saya. Baik juga Allah uji saya pelbagai, kena sepak terajang dulu, nasib baik dia bukan tentera, dia polis. Tentera tak kacau saya dulu, polis pun tak kacau, tugas masing-masing. Minta maaf, mana polis tadi? Ada tadi, jangan marah. Selingan ni, selingan sikit.
- Tapi umur dah tua, jadi Perdana Menteri. Jadi, saya nak lakukan yang sebaiknya dan bersihkan. Sekarang tahun ini, tahun ini 2026, saya kena ambil dana RM980 juta satu tahun, tiap tahun bayar hutang FELDA lama. Kalau tidak, peneroka sengsara. Saya tak sanggup, tak sampai hati nak ambil wang FELDA atau peneroka, kerana bukan salah mereka, salah pengurusan di atas. Terpaksa saya ambil wang daripada negara untuk bayar hutang FELDA. Ini kenyataan. Jadi, bila saya sebut sakau tu janganlah marah, rekod je.
- Begitu juga dalam angkatan tentera. Sebab itu, bila kita beli, contohnya, kita beli kapal LCS baru-baru ini. Saya telefon sahabat saya, Erdogan. Presiden Recep Tayyip Erdoğan, saya kata, “Erdogan, kita nak beli kapal, boleh tak kita runding terus di antara dua Kerajaan? Turunkan harga, tak payah komisen kepada ejen-ejen, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk ni, kerana kita tak mampu bayar terlalu banyak kepada ejen? Boleh tak kita runding, minta kepakaran dari Angkatan Tentera, pergi runding apa yang dia perlu, minta wakil Kementerian Kewangan tengok kos.” Presiden Tayyip Erdoğan kata “very good proposition”.
- Jadi, kita lakukan itu. Jadi pembelian kita sedaya upaya sekarang, di antara dua kerajaan. Kos lebih rendah, ejen yang ambil dana terlalu tinggi itu dihentikan, dan dalam soal kapal LCS yang kita beli daripada Turkiye itu harganya 15% potong. Terima kasih Tan Sri, kerana Angkatan Tentera, juga Laut dan Udara memberi sokongan penuh dasar baharu ini, iaitu beli cara telus, hentikan kerja-kerja ejen yang merugikan kita.
- Baik, saya bawa kepada masalah anak-anak sekalian yang di sini. Untuk Kementerian Pertahanan atau seluruh Kementerian Pertahanan. Menterinya, Dato’ Seri Khalid tahu, Timbalan ada, tahu. Sejak saya ambil alih, berbanding atau ketimbang 2022 hingga sekarang 2026, kerana bila saya ambil alih semua, jumpa Ahli Majlis Angkatan Tentera, wang tak cukup, kapal terbang sarat.
- Saya pergi LIMA, saya nak cerita pengalaman saya. Pergi LIMA, oh, ini Perdana Menteri kan? Jadi, disambut baik. Kemudian, dibaris kapal-kapal beratur daripada India, daripada Indonesia, daripada Brunei, daripada Turkiye, daripada banyak negara, China, juga daripada Malaysia. Saya rasa lelah, luluh. Lagu Khai Bahar apa dia? Luluh, luluh. Ada lagu Khai Bahar, Luluh. Luluh, tahu tak? You orang serius, lagu-lagu tak tahu langsung sekarang ya. Hari Jumaat ni. Pasal KAGAT ni kuat, jadi dakwah semua sekali.
- Baik, tapi saya tengok kapal baru tak ada. Ada kapal yang ditunjukkan itu kapal 1974. 1974 ni ramai yang belum lahir, ibu, bapak pun belum berkahwin. Takkan kita teruk macam tu? Saya… tapi saya Perdana Menteri, saya kena tunjuk gagah, confident, tapi hati saya betul-betul remuk-redam. Apa dah jadi dengan negara ku yang tercinta?
- 1974 tu saya di Kamunting. Kena tahan dua (2) tahun sebab kes peristiwa Baling. Kemiskinan di Baling, yang veteran ingat. Jadi, saya kena tangkap. Kemudian yang paling baru saya ingat 1996, yang daripada Yarrow Shipyard, frigates. Dua frigates yang dibeli dari saya semasa saya Menteri kewangan. Itu yang terakhir yang terbaik. Jadi, saya kata apa jadi ini? Saya balik, saya panggil Majlis Tentera, Menteri Pertahanan, KSU dan saya kata, “no, kita mesti berbuat sesuatu.”
- Maka sebab itu, peruntukan 2022 adalah RM16.1 bilion untuk Kementerian Pertahanan. Kenaikan sekarang, Kementerian Pertahanan itu paling tinggi dalam sejarah. Sekarang ini 2026, RM21.7 bilion untuk satu tahun di Kementerian Pertahanan. Ketimbang tahun 2022, ini kenaikan 35%, bayangkan. Yang lain Kementerian-kementerian naik 2%, 3%, 4% kesihatan, pendidikan, tetapi Kementerian Pertahanan, terutama untuk keperluan pertahanan negara kita, naiknya 35% yang tertinggi dalam sejarah.
- Saya sebut hal ini supaya jangan, maknanya kementerian dan anak-anak tidak diremehkan. Kerja dengan semangat, hentikan amalan-amalan curang, beli yang diputuskan. PAT ada sini, Panglima pun ada, tanya (mereka), saya tak pernah campur nak beli apa. Bukan kepakaran saya. Saya Perdana Menteri, Menteri Kewangan, kamu recommend apa yang diperlukan. Kamu lebih tahu tentang pesawat daripada saya. Saya tahu naik. Saya tak tahu apa jenis pesawat yang diperlukan. Ya, ada taklimat, tapi tak mungkin sepandai, sebijak TUDM. Kapal? Tak pandai, tak sebijak TLDM dan angkatan darat pun begitu rupa, nak beli tank. Ini semua kita campur? Tak boleh.
- Jadi, saya beritahu Kementerian Pertahanan, Jemaah Menteri, jangan campur urusan perolehan. Kita runding dari segi harga, tetapi jangan campur. Saya beritahu ini anak-anak supaya saudara tahu, ini dia, running a government menjalankan tugas dalam pemerintahan itu perlu. Sebab itu soal integriti. Kerajaan MADANI ini bicara apa? Soal maju mesti maju.
- Saya selalu sebut kepada anak-anak di sekolah, di universiti, kita ini seolah-olah “menggapai di langit.” New technology, AI. Angkatan Tentera mesti ada AI, cybersecurity. Mana kita pernah dengar cybersecurity 20 tahun yang lalu, mana ada AI 5 tahun yang lalu. Sekarang perlu. Teknologi baharu, digital technology, itu semua diperlukan. “Menggapai yang di langit” tetapi jangan lupa mesti “mengakar ke bumi.” Nilai, akhlak kita, budaya kita, semangat kita, maruah dan kemerdekaan kita. Ini nilai yang dipupuk dalam Islam. Maknanya, MADANI bukan negara maju seperti biasa. Sebab itu peruntukan besar, tapi harus diurus dengan baik.
- Untuk rumah kakitangan Angkatan tentera. Saya pergi ke Lumut, TLDM. Saya dapat laporan dari Bagan TUDM. Rumah-rumah yang tak dibaiki dah ada yang 20 tahun, ada yang 25 tahun. Pintu tak boleh buka, lampu tak jalan pasang, dan pelbagai masalah. Saya dengar, bila sampai belanjawan, kita mula. Saya ucap terima kasih kepada Kor Kejuruteraan. Kerana Kor Kejuruteraan itu di antara, chief ada sini? Tak ada? Siapa yang in charge? Hah? Okey, tapi sampai salam. I am very proud kerana di antara semua jabatan-jabatan, bagi sahaja dana, rumah Angkatan Tentera, janji buat kerja dan siap dengan begitu baik dengan kos yang munasabah, salute.
- Sebab itu untuk 2026 tahun ini, saya luluskan untuk baiki Rumah Angkatan Tentera hampir RM1 bilion, RM844 juta diluluskan untuk perbaiki dan bangunkan Rumah Angkatan Tentera. Ini termasuk umpamanya, satu projek yang besar di Gemas, di RKAT Kem Syed Sirajuddin yang sudah mula diselenggarakan dan siap insya-Allah tahun depan. PAT pastikan kalau siap tahun depan, saya pergi buka, rasmikan. Berapa unit baru di Gemas? 1,300 unit baru di Kem Gemas. Maknanya puluh tahun, saya bukan nak salahkan yang lalu, tak, tak jangan salah faham, tapi bukan keutamaan. Kita nak mereka ni bekerja, berkhidmat, balik rumah isteri complain, tandas tak jalan, bilik mandi tak boleh kunci.
- Jadi ini yang kita dengar dalam laporan-laporan. Sebab itu, saya telah bagi arahan dan kelulusan. Saya hari ini tak boleh buat kelulusan baharu, kebetulan di Negeri Sembilan ini ada pilihan raya. Tapi saya bagi makluman tentang apa yang sudah dilakukan. Tahun ini, 2026. Berapa? Untuk perumahan sahaja RM844 juta.
- Dan untuk ILMI, saya patutnya pergi ke ILMI, macam mana dia hiject mari sini, tapi tak apalah bagus-bagus, cadangan baik, dia kata kerana ini dewan lebih besar. Untuk ILMI, pembaikan untuk ILMI, kita dah luluskan RM300,000 untuk apa-apa keperluan mereka yang mereka tuntut.
- Untuk MKPLDTD, termasuk senggaraan Masjid Kariah Kem Segenting, Masjid Depoh REMD dan 5 surau di bawah kelolaan sini, saya luluskan dan dalam pelaksanaan RM1 juta.
- Ini saya hanya umumkan sebahagian kerana tak ada faedah kita bincang masalah Rumah Angkatan Tentera begini, tapi tak ada program yang besar. Ini kalau veteran tahu, keadaan rumah, dan ini kalau tengok rekod saya tak tahu 20-30 tahun yang lalu, tapi rekod setakat 15 tahun yang lalu, inilah Kerajaan MADANI paling tinggi peruntukan untuk kebajikan angkatan tentera.
- Itu tak termasuk sekolah. Tapi ada sekolah yang digunakan oleh anak-anak di sini. Macam sekolah di Lumut. Sekolah yang digunakan oleh anak-anak tentera TLDM di Lumut. Itu saya dah luluskan dan sekarang dalam pelaksanaan. Tapi untuk penyelenggaraan sekolah ATM di Negeri Sembilan, termasuk Sekolah Kebangsaan Sunggala, Sekolah Kebangsaan Sri Rusa, Port Dickson, dah luluskan RM3 juta.
- Saya nak jelaskan ya, kerana ini sebagai Perdana Menteri saya kena bagi contoh yang baik, bukan pengumuman projek baharu. Projek yang telah diluluskan dan saya umumkan untuk menyegerakan pelaksanaannya.
- Ya, yang lain sudah tahu Bakat MADANI, terima kasih PAT pun ada sebut tadi. Maknanya kita ada syarikat-syarikat kerajaan, PETRONAS, Bank, Maybank sekarang di antara bank yang baru diumumkan tadi. Maybank yang dimiliki oleh Khazanah dan kerajaan itu dianggap di antara bank yang pengurusannya paling cekap di dunia. Ini sangat membanggakan kita, Alhamdulillah.
- Tabung Haji, walaupun kerenah yang dulu berlaku, sekarang, dua hari yang lalu, saya dapat mesej daripada Putera Diraja Mohammed bin Salman. Teks kepada saya “Brother Anwar, congratulations kerana Tabung Haji dapat Anugerah Pengurusan Haji Terbaik tahun ini.”
- Untuk veteran, saya dah tingkatkan peruntukan untuk elaun mereka, mereka tentu kata tak cukup, tapi kita boleh runding. Saya tengok, kalau boleh saya fikir masa belanjawan nanti. Jangan marah awal sangat. Dia veteran ini dia lain, dia latihan tentera, jadi orang garang. Saya ada adik ipar dulu, dia artileri, artileri, Kapten Zaki. Tapi memang, cakap dia nada tinggi. Tak macam PAT ini, kerana sabar luar biasa. Selalunya tinggi, dan dia pernah duduk di Kem Terendak dan saya pernah pergi rumah dia masa saya di… masih ABIM lagi masa itu. Pengurusannya teruk, ada dua (2) tandas, satu tak boleh pakai langsung. Jadi, bagi orang-orang seperti ini, bila jadi veteran, mereka akan mengharapkan sebuah pembelaan yang lebih baik kerana sumbangan mereka puluh tahun dalam mempertahankan negara.
- Saya tak bersedia umum, saya… kerana kita pun nak sambut Hari Perwira, Hari Pahlawan, 31 hari bulan ini, dan selalu kerajaan tiap tahun bagi 1 juta, paling tinggi 1.5 juta untuk Hari Pahlawan. Jadi, untuk tahun ini, oleh kerana rekod pengurusan yang baik, saya telah minta Kementerian Kewangan, sempena Hari Pahlawan, beri bantuan tambahan 2 juta ringgit.
- Ada rakan-rakan KAGAT. Tapi anak-anak jangan lupa, gaji dan upah kadar penjawat awam ini, KSN ada di sini, 12 tahun tak dikaji dan tak naik. Berapa tahun? 12 Tahun. Jadi, saya sebaik jadi Perdana Menteri, tanya KSN, saya kata “no, no, no. Not acceptable.” Saya tekan, kerja mesti kuat, rajin. Salah, kalau rasuah, tangkap, dakwa. Tapi layanan, ganjaran, tak setimpal dengan khidmat mereka. Bayangkan, 12 tahun, dengan kos sara hidup meningkat, anak bertambah, tapi gaji tak naik, sistem
- Jadi sebab itu, sejak 2023, kita buat kajian menyeluruh dan kita telah umumkan kenaikan paling tinggi dalam sejarah. Kenaikan gaji anak-anak bertuah, kerana naik minima 15 peratus. Pangkat tinggi macam KSN naik 7 peratus, pangkat rendah ada yang naik sampai 30 peratus. Itu dia Kerajaan MADANI. Tapi sampai sekarang KSN dan PAT belum belanja makan lagi saya. Setuju tak? Okey.
- Baik, KAGAT. KAGAT ini satu agensi dalam angkatan tentera yang bagi saya sangat penting. Kita dalam cakap Islam ini, bukan sahaja soal slogan. Semua orang bercakap Islam. Semua orang kalau boleh bercakap Islam itu nak hukum orang lain sahaja. Tiga (3) hari yang lalu, kita adakan seminar memperingati jasa dan sumbangan Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi, seorang ulama besar zaman ini. Jadi, tanggungjawab saudara itu besar. “Wa man aḥsanu qaulam mim man da’ā ilallāhi wa ‘amila ṣāliḥaw wa qāla innanī minal-muslimīn” (Surah Fussilat: 33). Kerja yang paling bermakna, indah, ialah menyeru ke arah kebaikan dengan amal soleh dan mudah-mudahan dapat dilaksanakan dengan baik.
- Saya tidak ke ILMI, tapi saya percaya saya akan turut memberikan segala kerjasama yang baik, kerana tanggungjawab saudara itu mendekati terutama anak-anak yang terdedah dengan pelbagai pengaruh dan cabaran. Suntikan semangat kepada mereka yang dikatakan melahirkan apa yang pernah disebut oleh seorang pejuang Islam sebagai “Jeelun Quraniyyun Farid”, generasi Quran yang unik dan istimewa kerana membaca dan mengamalkan.
- Jangan cepat menghentam dan menghukum mudah. Negara kita ini majoritinya Muslim. Islam agama Persekutuan. Kekuatan Melayu, Raja-raja Melayu, hak istimewa Melayu, bahasa Melayu, itu termaktub dalam perlembagaan yang kita tidak boleh rungkai. Mana-mana tokoh mahu jadi pimpinan, mesti terima ini kenyataan.
- Saya dalam Kerajaan Perpaduan, sama ada pimpinan Melayu dari mana-mana parti, atau Cina dari DAP, atau India, prinsip ini tak pernah kita pertikai. Program-program rasmi, mesti bahasa Melayu. Martabat Islam dan peruntukan Islam, kita tambah, paling tinggi dalam sejarah untuk JAKIM dan kegiatan Islam, lebih daripada 1.1 bilion ringgit untuk martabatkan Islam. Program-program MADANI ini, mesti berteraskan begitu.
- Ulama-ulama tersohor dunia kita bawa, kerana mereka bagi kadang-kadang saranan itu lebih sederhana, lebih baik, lebih bijak, lebih “Bil-hikmati wal-mau‘izhatil-hasanati wajādilhum billatī hiya ahsan” dakwah yang boleh menarik orang. Bukan dakwah yang menimbulkan kebencian orang, bukan dakwah untuk menolak orang, sama ada Muslim atau bukan Islam. Dakwah itu bil hikmah, mesti mengajar. Bukan kerana perbedaan warna kulit atau kaum, kerana dalam Islam itu istimewa. Berbeda dengan ideologi asing, ideologi barat. Faham perkauman. Apa keistimewaan Islam? Bedanya diiktiraf oleh Islam. Walaqad Karamna Bani Adam, Quran menyebut, mengangkat martabat dan karamah insaniah kemanusiaan, manusiawi anak cucu Nabi Adam. Bukan untuk memperkotakkan kita.
- Nak tahu Islam, contohnya mesti baik. Akhlaknya mesti baik. Dasarnya mesti baik. Jangan kita jerit Melayu-Islam, rasuah berlonggok-longgok. Bila ada kuasa, tidak menjaga kepentingan rakyat di bawah dan berbicara untuk hanya menarik minat mereka. Tidak “bil aman”, tak ada. Padahal al-Quran mengingatkan kita “Lima taqūlūna mā lā taf‘alūn”. Jangan kita bicara hal yang kita tidak laksanakan.
- Jadi saya harap mudah-mudahan prinsip ini jangan kita pertikai, kita remehkan. Saya masih ingat, terkesan dengan kisah-kisah dalam sirah Nabi Muhammad SAW. Pengajaran kepada kita. Jangan hina orang yang pangkatnya rendah atau pakaian yang lusuh. Itu peringatan termasuk kepada saya, dan saya pernah cerita kepada KSN ini. Kalau baca “‘Abasa wa tawallā” dalam al-Quran, ceritanya cerita Abdullah ibnu Ummi Maktum, orang miskin, buta tetapi nilai iman dan akhlaknya tinggi. Dia berdamping dengan Rasulullah. Rasulullah masa itu sibuk, kerana ketua-ketua kabilah Arab yang besar-besar masih ada. Dia tengah runding. Tapi ini di antara ulung-ulung kali di mana Nabi Muhammad diperingatkan “‘Abasa wa tawallā”, kamu berpaling daripada dia. Siapa dia? Abdullah ibnu Ummi Maktum. Siapa dia? Buta, miskin, dia berdamping. Apa hajat dia? Nilai dia. Walaupun dia miskin, dia pangkatnya rendah, darjatnya rendah, tapi imannya kukuh, akhlaknya baik. Jadi, itu nilai kita.
- Siapa Bilal? Bilal itu hamba abdi, miskin daripada semua yang ada di sini. Lebih hina dan rendah darjat daripada semua yang ada di sini. Masuk Islam dari Habsyah, bibir tebal, hitam legam. Jadi Muslim dibebaskan, kemudian dalam perbincangan dengan sahabat-sahabat, ada yang panggil dia, Bilal ini siapa? Orang kulit hitam. Anak perempuan kulit hitam. Jadi mereka gelar dia di kalangan sahabat, Yabnas Sauda, – hai anak perempuan kulit hitam. Kadang-kadang tak menghina.
- Saya ada anak saudara saya seorang yang gelap. Jadi saya panggil dia Pak Hitam. Tapi sekarang saya tahu, tak boleh dalam Islam, walaupun bukan maksud kita menghina dan dia pun tak terima sebagai penghinaan, tapi pengajaran nilai dan akhlak Islam itu begitu tinggi. Dipanggil Bilal, Yabnas Sauda, Rasulullah menegur tiga kali supaya jangan ulang kenyataan itu. Kerana apa? Kerana Bilal itu ahlul baiti – ahli keluargaku. Demikian keistimewaan Islam, menyeru dengan bijaksana dengan “bil hikmah”, berunding dengan baik “wal-mau‘izhatil-hasanati.” Kalau nak berbeda pendapat pun “wajādilhum billatī hiya ahsan.”
- Jadi, anak-anak yang dihormati sekalian, demikianlah kuliah Jumaat pada hari ini. KSN tahu, PAT pun tahu ya, Timbalan Menteri. Saya bincang ini sebagai untuk anak-anak, sebagai bapa kepada anak-anak. No protocol. Kita bincang conscious saya ini pun sebagai Perdana Menteri. Saya hanya pinjam jawatan ini sementara. Saya pernah terperosok lebih teruk daripada pengalaman anak-anak dan sekarang saya diamanahkan dan saya mohon kerjasama dan sokongan anak-anak supaya kita dapat pertahankan keamanan kita, jalankan kerja kita dan amal kita, dan perlu sokongan saudara-saudara supaya agenda reform dan perubahan yang kita lakukan dapat kita lakukan dengan sebaiknya. Ini dengar daripada saya, bukan di luar kerana pelbagai cerita.
- Pagi tadi pegawai saya hantar dia kata “oh, Anwar, ini dia orang sebar di kalangan tentera. You panggil veteran bangang”. Saya, aneh politik sampai begitu rupa. Dia ambil cebisan cut paste, kemudian sahkan itu sebagai kenyataan. Saya bukan perfect. Saya ada banyak kelemahan. Saya pun juga dalam hidup banyak kesilapan dan kalau terlepas apa-apa ketelanjuran, saya minta maaf. Tetapi jangan fitnah saya. Saya pernah hidup derita bertahun-tahun, kena tergajang, kena terlanjang, kena hina kerana difitnah.
- Jadi, saya haraplah kita belajar dari pengalaman itu. Masing-masing mahu bawa perubahan, kebaikan, tapi janganlah menang kerana fitnah. Janganlah seronok dengan tepukan orang bila memfitnahkan sesiapa. Semoga Allah SWT memperkuatkan kita.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
