TEKS VERBATIM YAB PM : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS SOALAN SATU

7 Julai 2026

TEKS VERBATIM

YAB PERDANA MENTERI

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS

 

PERTANYAAN      :     WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA  MENTERI

DARIPADA            :    YB LEE CHUAN  HOW [IPOH TIMUR]

TARIKH                  :     07 JULAI 2026 (SELASA)

 

 

SOALAN:

 

Minta YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI menyatakan sama ada Kerajaan MADANI maklum tentang kegelisahan usahawan PMKS keana kesulitan dana untuk menyokong kelangsungan perniagaan mereka. Terima kasih.

 

JAWAPAN

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Ipoh Timur..

 

Kerajaan ini telah mengambil beberapa ikhtiar, menyokong kelangsungan perniagaan PMKS, meningkatkan akses PMKS kepada pembiayaan, meringankan kos perniagaan dan memperkukuh daya saing.

 

Berapa jumlah pinjaman, kemudahan pinjaman disediakan dengan jaminan pembiayaan? Lebih RM15 bilion, iaitu menyokong keperluan modal kerja yang terkesan akibat dari krisis Asia Barat.

 

Sejak Mei 2026, kemudahan bantuan kestabilan oleh Bank Negara telah meluluskan hampir RM1 bilion yang memanfaatkan lebih 1,500 PMKS.

 

Kemudian, separuh tahun pertama 2026, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) meluluskan pinjaman bagi pembiayaan bernilai RM4.9 bilion, memanfaat lebih 6,000 PMKS.

 

Pinjaman kredit mikro oleh agensi BSN, Agrobank, TEKUN mencecah RM2.1 bilion, memanfaat 195 ribu usahawan mikro.

 

 

Dan sebab itu, dari RM15 bilion itu, ada yang dikhususkan kepada bumiputra sebanyak RM5 bilion.

 

Ini sebab, kalau lihat dari segi indikator ekonomi, DOSM, dari segi GDP, 39.5% SME. Dari segi pekerjaan, 48.7%, maknanya 8.1 juta penduduk Malaysia kerja di bawah PMKS. Eksport RM196.8 bilion, iaitu 14.3%.

 

Ada cadangan-cadangan lain yang dikemukakan oleh PMKS, kurangkan kadar sewa premis perniagaan milik kerajaan. DBKL memulakan dengan mengurangkan 80%, diikuti oleh MARA 20% mulai 1 Jun, dan kita telah menggesa kerajaan-kerajaan negeri, diikuti oleh Selangor dan Pulau Pinang, dan saya harap negeri-negeri lain juga mengurangkan, menurunkan kadar sewa premis perniagaan.

 

Kemudian, tentang pematuhan cukai, dengan lebih 50 ribu pembayar cukai, mengemukakan tambahan cukai berjumlah RM1 bilion melalui pelaksanaan e-invois.

 

Tapi oleh kerana e-invois itu jadi kerunsingan, maka sejak Desember 2025, kita telah menaikkan ceiling ambang, nilai ambang pendapatan pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

 

Pada April 2026, kita melanjutkan tempoh peralihan sehingga 31 Disember 2027 bagi pembayar cukai sehingga RM5 juta kadar pendapatan tahunan.

 

Saya ambil kesempatan ini Tan Sri Yang di-Pertua, untuk mengumumkan ikhtiar tambahan mengurangkan kos pematuhan perniagaan.

 

Pertama, mengenalkan program pengakuan sukarela e-invois sehingga 31 Desember 2027. Maknanya, sebarang kemaskini, sepanjang tempoh ini, semakan, pembetulan yang dimulakan secara sukarela, tidak akan dikenakan penalti oleh LHDN. Ini satu keputusan besar dan selalunya tidak berlaku sedemikian bagi cukai pendapatan.

 

Kedua, sebagai tanda penghargaan dan galakkan pembayar cukai mematuhi sepenuhnya pelaksanaan e-invois, kerajaan bersetuju mempercepat insentif cukai dengan membenarkan tuntutan penuh elaun modal dalam tempoh satu tahun ke atas perbelanjaan yang layak berkaitan e-invois.

 

Jadi, mengenai keperluan tambahan perniagaan kecil, pemilik individu kenderaan, ini terkait dengan subsidi diesel yang juga dikemukakan oleh banyak PMKS, terutama di peringkat yang lebih rendah.

 

Jadi mereka bincang, kemukakan pandangan tentang pembaharuan subsidi diesel. Maka pemilik individu kenderaan pick up dan jeep boleh memohon 100 liter tambahan. Kelayakan BUDI Diesel menjadikan kelayakan keseluruhannya sehingga 300 liter, dan sambutan yang baik, iaitu sehingga 6 Julai, 200 ribu warganegara telah lulus 100 liter tambahan.

 

Kemudian, mengalakkan PMKS mengguna digitalisasi dan penggunaan AI. Kerajaan menyediakan geran pendigitalan PKS sehingga RM5,000 kepada usahawan PMKS terutama peringkat kecil-kecilan.

 

Terima kasih.

 

SOALAN 1 TAMBAHAN 1

Terima kasih Tan Sri, terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas pengumuman yang sangat bermakna. Komuniti perniagaan ataupun PMKS khususnya mereka di seberang sini yang memiliki pick-up truck dan jeep dan sebagainya dengan enjin diesel lah sudah lama menuntut keadilan yang akhirnya sudah dapat sekarang.

 

Namun saya rasa ada perlunya untuk Yang Amat Berhormat memberi sedikit penjelasan dan ulasan apakah faktor utama yang telah mendorong pembaharuan atau pelaksanaan pembaharuan subsidi diesel ini, kerana ia adalah sesuatu yang perlu difahamkan mengapa yang pemilik pick up di sini dengan enjin diesel telah menunggu lama, itu satu.

 

Keduanya, saya juga mohon Yang Amat Berhormat untuk memberi sedikit penjelasan kerana dalam proses pembaharuan ini, juga satu dasar yang amat baik yang telah memanfaatkan ribuan pemilik stesen minyak di seluruh Malaysia, di mana tidak perlu lagi membeli minyak daripada syarikat minyak pada harga unsubsidized dengan izin.

 

Maksudnya sekarang dibeli minyak pada harga subsidi, maksudnya modal atau working capital tidak setinggi sebelum ini. Namun demikian, ada sedikit kesusahan atau resahan yang telah dinyatakan oleh dealers-dealers apabila syarikat minyak tidak membayar balik kerugian yang sedang ditanggung, yang telah ditanggung apabila transisi daripada harga lama dengan harga baru itu kerugian mungkin mencecah RM40,000 ke RM50,000 setiap stesen yang ditanggung oleh stesen minyak yang belum lagi ada satu penyelesaian.

 

Saya mohon sama ada pihak kerajaan dan juga Yang Amat Berhormat ada sedikit intervensi untuk masalah ini. Sekian. Terima kasih.

JAWAPAN :

Terima kasih. Merujuk kepada permasalahan kedua yang dibangkitkan, saya percaya saya akan minta Menteri Kewangan 2 (MK2) bantu untuk mendapatkan keterangan lanjut dan juga berunding dengan syarikat-syarikat minyak kerana setakat ini, mereka beri kerjasama penuh, kalau tidak, tidak mungkin kita laksanakan dengan berkesan baik RON95 dan juga diesel.

 

Oleh kerana kerjasama yang mereka berikan itu baik, dan ada beberapa sedikit ketempangan yang dibangkitkan Insya-Allah boleh kita runding untuk cari penyelesaian yang baik.

 

Tapi faktor penyesuaian atau perubahan ini berlaku setelah melihat keadaan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak memang, sebab itu kita tidak mahu gopoh pelaksanaannya kerana lebih rumit untuk Sabah Sarawak kerana penggunaan diesel terlalu tinggi. Itu yang pertama.

 

Keduanya, soal jarak ke kawasan pedalaman dan ketidakhadiran atau ada wujudnya stesen-stesen minyak yang begitu banyak sepertimana di Semenanjung. Itu menyebabkan kelengahan pelaksanaan. Tapi bila pelaksanaan dibuat, kita runding sepenuhnya dengan jabatan-jabatan dan kerajaan negeri dan setakat ini, umum penerimaannya baik tetapi kita masih beri ruang kepada syarikat sama ada di Semenanjung atau Sabah Sarawak melalui negeri, kerjasama Kerajaan negeri untuk memperbaiki kalau ada apa-apa kelemahan.

Tapi saya terima kasih kerana sambutan dalam masyarakat termasuk syarikat-syarikat yang telah memberi kerjasama yang sepenuhnya.

 

SOALAN 1 TAMBAHAN 2

YB DATUK SERI TAKIYUDDIN BIN HASSAN (KOTA BAHRU)

 

Terima kasih Tan Sri Yang Di-Pertua. Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas jawapan pada soalan ini. Sebagaimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat tadi, kita sedar bahawa baru-baru ini pihak Bank Negara telah mengemukakan beberapa inisiatif baru untuk membantu usahawan PMKS ini, antaranya kemudahan perusahaan mikro Micro Enterprises Facility (MEF) yang memberi bantuan sehingga RM100 ribu ringgit saiz pembiayaannya, ada kemudahan bantuan kestabilan PKS, SME, SRF juga memberi sehingga hampir RM1 juta dengan kadar faedah yang rendah.

 

Saya sejujurnyalah, pihak kami pembangkang pun mengalu-alukan inisiatif ini. Namun demikian ada persoalan. Persoalan saya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan juga, apabila Bank Negara dan juga bank pembiaya memberikan pembiayaan kepada usahawan ini, apakah jaminan kerajaan bahawa usahawan mikro ini, apabila pada masa yang akan datang dalam jangka pendek misalnya, mereka menghadapi masalah dalam perniagaan mereka dari segi modal dan sebagainya, apakah jaminan usahawan mikro ini tidak diambil tindakan yang sewenang-wenangnya oleh pihak bank pembiaya ini, umpamanya termination or recall of loan dalam keadaan yang jangka pendek dan juga mungkin bawa tindakan mahkamah sehingga ke winding up company.

 

Saya bagi contoh ada beberapa laporan, saya tak nak sebutlah nama bank. Bank recall loan facility from one company. Yang keduanya, bank bawa kes ke mahkamah sehingga mahkamah mengingatkan bank supaya janganlah mengambil tindakan yang keterlaluan. Sale of certain high value secured properties belong to the borrowers. Jadi apa jaminannya? Yang keduanya, adakah kerajaan sedar bahawa ada setengah-setengah bank milik kerajaan sendiri yang menetapkan syarat yang terlalu tinggi kepada bakal peminjam, malahan memilih, selektif dari segi bidang perniagaan dan juga negara mereka melabur. Saya tak nak sebutlah negara mana, tetapi negara tertentu itu tidak diberikan ini.

 

 

 

Jadi saya harap Perdana Menteri memberi jawapan yang boleh melegakan usahawan bukan sebagaimana yang Yang Amat Berhormat selalu sebut, dulu-dulu Menteri Kewangan jangan membela bank tetapi membela rakyat dan juga usahawan-usahawan. Terima kasih

 

JAWAPAN:

Terima Kasih Kota Bahru. Sebenarnya saya setuju. Pertama, kelulusan yang diberikan itu tinggi. Tetapi, dalam usaha kita ialah memastikan pemantauan yang teliti. Tentunya bank-bank swasta mengurus sendiri, tetapi peranan Bank Negara ialah mengawal, memastikan yang patuh kepada dasar-dasar utama.

 

Ini umpamanya seperti yang disuarakan tadi, jaminan supaya tindakan tidak diambil. Tentunya tidak mungkin kita halang tindakan kalau kes-kes keterlanjuran yang melanggar peraturan-peraturan biasa. Tetapi dalam pertemuan saya dengan pengurus bank di Bank Negara beberapa bulan yang lalu, hal ini sangat jelas. Tidak ada makna kalau kita berikan peruntukan yang besar, tetapi sukar mendapat pinjaman. Sebab itu ada beberapa kaedah, terutama bank-bank yang berurusan dengan syarikat-syarikat kecil. Tahap kecepatan kelulusan, umpamanya pinjaman TEKUN, penyalurannya boleh dipendekkan sehingga 5 hari. Bank rakyat 14 hari. Bagi pembiayaan PKS, kepada 6 hari bekerja, pembiayaan kalau syarikat itu SME Mikro. Kemudian SME Corp pun juga diturunkan. SME Bank umpamanya pembiayaan pendahuluan kerja antara RM100 ribu ringgit sampai RM1 juta ringgit, dia hanya mesti meluluskan dalam tempoh 15 hari bekerja.

 

Tetapi tindakan kedua yang dibangkitkan tentang selektif negara, saya setuju. Kalau dulu umpamanya, kerana tidak jelas peraturan dan juga kerana tekanan negara luar, khususnya Amerika dari segi sanction, maka perniagaan kita, urusan kita dengan Iran dan Rusia itu sangat sukar, tetapi sekarang ini dah berubah. Kita dah berunding dengan Iran dan Rusia bagaimana kaedah pengurusan pembayaran itu dipermudahkan dan kita ambil keputusan supaya meningkatkan perdagangan dan pelaburan bersama dengan Iran dan Rusia, sebagai contoh, kerana kedua-dua negara ini tertekan kerana sanction yang berat.

 

Bulan lalu dalam perundingan saya dengan Presiden Vladimir Putin kita cuba senaraikan, umpamanya kita dah luluskan dulu terhalang penerbangan dari Rusia ke Malaysia. Presiden Vladimir Putin memaklumkan umpamanya dari Rusia ke Turki, pelancongan 5 juta setahun, ke Thailand 2 juta setahun, pelancong dari Rusia ke Malaysia 100 ribu, dan tidak ada penerbangan kerana banyak sekatan-sekatan dan permasalahan kena sanction dan soal minyak, ini telah diselesaikan. Begitu juga dengan Iran kita telah mengizinkan dan meluluskan dan saya percaya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke sana menekankan hal yang sama, iaitu semua urusan perdagangan, pelaburan dengan Iran dapat diluluskan. Tapi kalau ada maklumat lain yang terkait dengan negara-negara lain daripada Kota Bahru saya sedia mengambil tindakan segera. Terima kasih.

 

SOALAN 1 TAMBAHAN 4

YB SYED SADDIQ SYED BIN ABDUL RAHMAN (MUAR)

 

Terima kasih Tan Sri Speaker.

Malaysia telah berjaya mengeluarkan lebih ratusan ribu golongan wanita daripada kepompong kemiskinan dan mengangkat martabatnya ke kelas pertengahan dengan pengenalan sistem mikrokredit Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Tetapi sampai ke hari INI, AIM hanya tertumpu kepada golongan wanita, dan ini adalah sistem yang wajar diperkasakan.

 

Persoalan saya, wajarkah kerajaan mencipta satu legasi yang baharu dengan mengadakan satu sistem yang sama seperti AIM tetapi bagi golongan anak muda khususnya bawah 35 tahun dengan sistem one-off charge pengurusan sama seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, flexible payment arrangement sama seperti Amanah Ikhtiar Malaysia supaya golongan anak muda mendapat pembelaan yang sewajarnya. Pembiayaan dalam RM10,000 hingga RM30,000 dengan one-off charge pengurusan, kerana sistem yang tersedia contohnya TEKUN ataupun bank-bank konvensional lazimnya dia ada flat-charge 5%, memerlukan perniagaan yang telah berdaftar sekurang-kurangnya enam bulan, dokumentasi yang panjang. Wajarkah kerajaan mencipta melalui kejayaan AIM, dengan model yang baru khusunya untuk anak muda?

Terima kasih, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

 

JAWAPAN

Terima kasih Muar.

 

Pertama, saya hendak jelaskan bahawa AIM tidak khas kepada wanita, kerana sebahagian peminjam adalah lelaki. Cuma sebagai makluman, saya kira sekitar 98 hingga 99 peratus wanita bayar balik pinjaman mereka, lelaki itu kurang 2 hingga 3 peratus.

 

Jadi sambutan lebih mudah diurus di kalangan sahabat-sahabat wanita. Tetapi saya bersetuju kalau nampak ketinggalan dalam kelompok lelaki, kita boleh tingkatkan kerana saya tambah dalam belanjawan yang lalu, dana pinjaman bagi AIM.

 

 

 

AIM walaupun tidak sangat tersohor, masyhur di luar ketimbang Grameen Bank oleh Profesor Muhammad Yunus, satu cadangan yang sangat baik. Tetapi kadar perkhidmatan kita jauh lebih rendah, jumlah peminjam jauh lebih tinggi. Bagi saya, jika dibandingkan dengan saiz penduduk AIM itu pada kedudukan yang sangat tinggi.

 

Jadi saya setuju, pertama, kita tingkatkan pinjaman di kalangan lelaki yang memerlukan. Walaupun kalau wanita itu dia bantu lelaki juga di rumah, tapi saya fikir ada keperluan untuk mempertingkatkan.

 

Keduanya, tentang anak muda. Saya bersetuju. Dalam beberapa pertemuan di Terengganu, Johor dan Kedah, saya tidak nampak begitu ramai anak muda yang menggunakan peluang pinjaman AIM.

 

Saya meminta AIM berikan sedikit tumpuan khas untuk Amanah Ikhtiar Malaysia dalam kalangan anak muda. Kadar pinjaman mungkin lebih kecil atau sederhana, tetapi cara pengurusan atau kaedahnya lebih terjamin dari segi pembayaran semula serta penguruan yang lebih cekap.

 

Share: