TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : MAJLIS PERASMIAN OPERASI TRANSIT ALIRAN RINGAN (LRT) LALUAN SHAH ALAM
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN OPERASI TRANSIT ALIRAN RINGAN (LRT) LALUAN SHAH ALAM
28 JUN 2026 (AHAD) | 11.20 PAGI
KLANG, SELANGOR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Saudara Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor;
Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook,
Menteri Pengangkutan;
Rakan-rakan Menteri merangkap Ahli Parlimen Shah Alam juga ya dan Kota Raja. Ini masuk Kota Raja ke Shah Alam ni?…Sempadan (nada seloroh).
Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Nasir bin Ahmad,
Pengerusi Kumpulan, Prasarana Malaysia Berhad; dan
Seluruh keluarga Prasarana Malaysia Berhad. Yang pentingnya rakan-rakan, tenaga yang bekerja bertungkus lumus menjayakan projek ini, saya ucap terima kasih.
- Ini satu lagi tanda kesungguhan kita bersama dalam Kerajaan dan swasta, dan khususnya melalui Kementerian Pengangkutan dan Prasarana untuk memastikan pengangkutan awam itu diberi tumpuan, memberikan keselesaan dan kelegaan kepada rakyat.
- Selalu saya dalam mesyuarat Jemaah Menteri mengeluh kepada Saudara Loke kerana Kementerian Pengangkutan ini di antara kementerian yang terpaksa dibebankan dengan terlalu banyak peruntukan negara, kerana keperluan yang mendesak. Kita mahu Malaysia ini sementara maju, tetapi pengangkutan itu jadi tumpuan. Dengan sendirinya, lebuh raya, keretapi, LRT, dan pelabuhan semua itu mesti ditingkatkan segera.
- Dan sebab itu, rakan-rakan dalam Prasarana dan Kementerian harus ingat bahawa pertama kita sudah tetapkan keutamaannya, dan keduanya memastikan pengurusan itu cekap, tatakelola itu baik, hentikan amalan-amalan yang merosakkan prestasi dan imej serta pengurusan di tahap yang terbaik. Dan ingat bahawa Kerajaan dan negara tidak mampu meletakkan prasarana terbaik dengan kos yang terlalu tinggi apa lagi kalau ada ketirisan.
- Sebab itu, saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan yang cuba perbaiki pastikan hal-hal ini dikenalpasti. Rakyat inginkan kemudahan pengangkutan yang terbaik, tetapi mereka merasakan kadar bayaran mestilah munasabah. Dan inilah kejanggalan yang berlaku di semua negara. Tadi, bercakap dengan Saudara Menteri Besar, tidak ada negara di mana pengangkutan awam itu boleh memberi pulangan lumayan kepada negara, dia memerlukan suntikan yang berterusan yang terlalu tinggi.
- Tetapi kalau saudara lihat kepentingan negara keseluruhannya. Pesawah di Kedah, nelayan di Perak. Atau banjir yang berlaku di Kelantan, semua itu mesti diberi perhatian. Sebab itu kadang-kadang, saya minta rakan-rakan di semua kementerian dan rakan-rakan pengurusan termasuk Prasarana, mesti faham bahawa bila kita luluskan peruntukan yang besar, RM4.7 bilion ringgit ini, ini maknanya satu yang terpaksa kita lakukan dan bayangkan keperluan yang juga ada di bidang-bidang yang lain. Maknanya, kalau kita beri di sini, kita kena kurangkan atau lewatkan atau rangka semula projek-projek yang lain, yang semuanya penting.
- Saudara-saudara tahu di Shah Alam ini, atau di Selangor. Kadang-kadang orang kritik saya dia kata, “mengapa saya beri tumpuan peruntukan yang besar termasuk di Kelantan atau di Kedah? Padahal itu bukan kawasan yang memilih untuk menyokong Kerajaan MADANI?”. Saya jawab, tanggungjawab kita ini, tentulah kalau boleh menarik perhatian dan mendapat dukungan.
- Tetapi, kalau di negara kita yang mencatat kemajuan seperti yang kita lihat di Lembah Klang, di Johor dan di Pulau Pinang, dan sekarang di Kuching yang telah meningkat. Dalam masa yang sama, kemiskinan ketara di beberapa kawasan di negeri-negeri lain, masalah banjir yang berterusan yang menelan kos yang tinggi, memberikan kesengsaraan kepada rakyat terutama yang miskin, semua itu harus diberi perhatian.
- Sebab itu, saudara-saudara harus faham mengapa Kerajaan MADANI ini memilih untuk meletakkan keutamaannya. Kehidupan rakyat itu diberi keutamaan. Mudah-mudahan mereka punyai kesedaran untuk memberi dukungan kerana ini dasar yang agak baru ketimbang apa yang pernah dilakukan sebelumnya.
- Jadi, berbalik kepada soal pelaksanaan prasarana ini yang dikelolakan oleh Prasarana, saya tentulah mula dengan menyatakan satu usaha yang membanggakan, kerana bila kita siap, saya tanya tadi, percubaannya dulu, saya tanya mekanik yang tadi uruskan, berapa kali dah cuba? Dia kata, “kurang empat kali, everything seems alright”. Jadi, mulai esok ya, kita boleh laksanakan dengan baik.
- Dan Saudara Loke sebagai Menteri, dia mahu supaya kemudahan itu dapat memberi manfaat kepada ramai, dan dia mahu supaya pengumuman ini melegakan ramai. Jadi selalunya ada ketegangan di antara Kementerian Pengangkutan dengan Kewangan. Kementerian Kewangan itu, dia fikir macam mana, apa kos sampingan.
- Tetapi dalam hal ini, menang Kementerian Pengangkutan, kerana Saudara Loke kata, bermula 29 Jun (esok), sehingga 31 Julai, tambang perkhidmatan laluan Shah Alam dan bas-bas perantara sepanjang laluan Shah Alam, akan diberikan secara percuma selama satu bulan. Mulai esok ya.
- Jadi Saudara Amir, Menteri Besar kata tadi, esok dia nak guna. Saya kata nak guna sebab percuma atau tidak? Jadi esok, pukul 6 pagi, Menteri Besar akan gunakan kemudahan ini bagi galakkan kepada rakyat.
- Tapi kita tahu juga laluan ini laluan yang paling sesak, di antara yang paling sesak dalam negara kita. Kemudian bila sesak maknanya pelepasan karbon juga tinggi. Jadi, kita harap dengan kegunaan ini, sesak maknanya, tempoh masa diambil, minyak yang digunakan, karbon yang dikeluarkan itu, semua bebanan kepada ekosistem dan persekitaran negara kita. Ada kajian yang dibuat, umpamanya di kota Bangkok beberapa tahun yang lalu, yang menunjukkan bahawa kerana kesesakan, produktiviti itu tersusut begitu banyak sekali.
- Jadi kita harus lihat mengapa dana suntikan untuk pembangunan prasarana itu sangat penting. Nampaknya kosnya terlalu tinggi. Tetapi kalau kita lihat, umpamanya dari segi dampak kepada persekitaran, alam sekitar, kesesakan, penggunaan minyak dan gas dan juga diesel, semua itu ada kesannya jika sistem pengangkutan kita itu tidak diperbaiki.
- Yang keduanya, tentunya kos kepada rakyat. Kos ini kalau kita lihat di antara kos yang dianggap dalam kos perbelanjaan yang menyebabkan kehidupan rakyat terkesan termasuk pengangkutan. Dan kalau kita dapat beri tumpuan, jalan lebih baik dan kesesakan dapat dikurangkan dan kecekapan, kepantasan pengangkutan awam, ia mudah-mudahan dapat mengurangkan kos.
- Dan keduanya, perumahan. Dan saya oleh itu tertarik dengan cadangan Saudara Menteri Pengangkutan, YB Tuan Loke Siew Fook bahawa kawasan-kawasan yang luas seperti yang kita tengok parkir yang begitu besar patut dimanfaatkan. Di Kuala Lumpur sudah ada rancangan. Kawasan-kawasan di mana stesen MRT yang besar patut dibangunkan in-situ supaya tertakhluk pada syarat-syarat yang ketat yang dikenakan, itu saya tidak persoalkan. Tetapi sekurang-kurangnya kawasan itu dinaikkan, ada parkir yang cukup, perumahan rakyat. Saya tak fikir perumahan lima bintang patut guna di situ. Perumahan rakyat dan tentunya kedai-kedai peringkat sederhana dan rendah untuk dimanfaatkan oleh rakyat.
- Jadi kawasan itu dengan sendirinya mengurangkan kos perjalanan, memudahkan penggunaan pengangkutan termasuk MRT atau LRT, dan tentunya berikan hasil komersial yang lebih baik. Dan utamanya, sepertimana yang disebut oleh saudara YB Tuan Loke Siew Fook sebentar tadi, ialah perumahan rakyat yang diberi keutamaan.
- Jadi saya ingin minta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan dengan Kementerian Kewangan sama Prasarana menyegerakan supaya aspek pembangunan ini ditumpukan oleh sektor yang berasingan agar Prasarana tumpu dalam soal yang diamanahkan, iaitu menjamin kepantasan, kecekapan sistem pengangkutan.
- Jadi walaupun tanah itu sekarang milik Prasarana, saya percaya lembaga Prasarana harus teliti hal ini, kerana tanah yang luas di kawasan yang sesak tidak harus dibazirkan. Jadi syarat dia, parkir mesti cukup, kedai-kedai peringkat rendah bagi pengusaha-pengusaha dan peniaga-peniaga kecil-kecilan, dan perumahan rakyat.
- Jadi, saya percaya Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin dan Majlis Perbandaran akan berikan kerjasama supaya hal ini dilaksanakan dengan cekap. Ini yang saya nak tekankan juga.
- Baru-baru ini kita dapat, minggu lalu IMD Report tentang competitiveness, Malaysia yang jauh lebih baik ketimbang beberapa tahun yang lalu. Jadi tentunya, kita ucap tahniah bukan saja kepada penjawat awam, tetapi juga semua pengurusan di semua peringkat termasuk seperti Prasarana yang dapat meningkatkan mutu kecekapan mereka.
- Kadang-kadang kelulusan yang patut diberi dalam tempoh 2 minggu atau 2 bulan, jadi 8 bulan. Saya masih ingat perumahan rakyat yang kita perkenalkan 3 tahun yang lalu saya cadang. Kalau ikut kaedah-kaedah biasa dia mengambil masa minima 8 bulan sehingga 18 bulan, tetapi bila kita tegaskan dan arah pelaksanaan dengan cekap dan segera, dia boleh selesai dalam tempoh satu setengah bulan.
- Di Pulau Pinang beberapa bulan yang lalu, dalam projek perumahan saya bincang dengan Saudara Chow, Ketua Menteri, dia boleh selesaikan kelulusan dengan syarat syarikat itu kemukakan dalam tempoh kurang satu bulan. Maknanya hal yang boleh kita lakukan. Orang yang menunggu rumah siap itu satu bulan itu satu beban. Jadi kalau kita boleh tingkatkan tahap kecekapan kita, kita boleh beri keselesaan kepada ratus ribu orang. Jadi sebab itu, badan-badan Kerajaan ini dia tidak harus lihat terlalu birokratik. Yang kita nak tegaskan, jangan curi wang, jangan sakau, jangan guna kelewatan gitu-gitu untuk ambil komisen yang bukan hak kita. Ini yang kita nak tekankan. Tapi kalau semua tahap kecekapan itu baik, dia percepatkan, tidak ada masalah dengan Ketua Audit Negara. Malah KSN dalam rangka STAR telah memastikan supaya hal-hal ini dipercepatkan.
- Jadi, dalam projek yang kita cadangkan ini, di tanah Prasarana pakir ini, saya nak tengok contoh bagaimana kita boleh dapat cadangan dalam tempoh cekap, diuruskan oleh Prasarana, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Perbandaran Shah Alam, termasuk Menteri Besar, supaya kelulusan itu boleh catat rekod yang baik, supaya perumahan rakyat di sekitar Shah Alam itu kita dapat berikan dalam masa yang singkat. Kalau boleh sebelum pilihan raya akan datang.
- Yang itu gurau sahaja. Yang last part itu gurau, nanti media kata, “tengok Anwar ini”. Jadi saudara-saudara kena ingat ini ya, bahawa tatakelola yang baik, pimpinan dan penjawat awam, dan pegawai yang amanah itu, akan memberi kesan dan kerangka dasar yang baik. Untuk rumah-rumah besar ini mewah, tidak perlu kita sibuk, dia tahu dia ada dana, dia boleh cari tanah, dia boleh dapat kelulusan, tidak payah kita sibuk sangat. Kita hanya bagi satu kawasan sahaja. Tapi untuk rumah rakyat, kalau kita tidak campur tangan tidak beri penekanan, sukar.
- Sebab itu saudara-saudara, harus beri perhatian lebih kepada ini. Saya ingat lagi gesaan Umar Ibnu Khattab R.A, bila kita minta dengar, seorang pemimpin dia dengar, dia bukan dengar orang keliling, kita dengar hari-hari. Tapi, dengar orang yang jauh, yang susah, yang sukar menemui kita. Sebab itu, kita harus dampingi mereka, faham kehendak mereka. Apa dia? Masalah pengangkutan dia. Masalah kos hara hidup dia, masalah rumah dia. Jadi, ikut keupayaan kita kita lakukan.
- Saya ucap terima kasih juga kepada KSN, kerana hari Jumaat kita umumkan untuk penjawat awam. Tanah-tanah milik Kerajaan: tanah perumahan Kastam, JPJ, mana-manalah perumahan. Kadang-kadang ada kawasan rumah yang lama yang boleh dibangunkan semula, ada tanah lapang yang boleh dibangunkan. Jadi kita teliti, rupanya boleh dibangunkan.
- Pulau Pinang mungkin sukar, tanah Kerajaan sangat terbatas. Di Perak, sekitar Ipoh, masih ada, di Kuantan, masih ada, di Johor, masih ada. Tidak ada, kalau nak harap yang lain-lain lah. Ini bukan kempen, cuma nak beritahu. Sebab itu, Kerajaan Persekutuan campur tangan. Untuk apa? Untuk jamin rumah milik atau kegunaan penjawat awam boleh didirikan di tanah Kerajaan Persekutuan yang sedia ada, kerana setengah-setengah Kerajaan Negeri, dia kurang beri tumpuan dalam soal ini.
- Jadi hal ini, kita beri perhatian dan kita akan mulakan di beberapa tempat termasuk di Perak dan di Johor dan khususnya Johor Bahru, di Larkin akan dibangunkan di tapak tanah yang ada.
- Apa maksudnya yang saya nak sampaikan? Banyak hal yang boleh kita kerjakan kalau kita fokus keutamaan kita. Begara ini alhamdulillah, dalam beberapa tahun ini catat satu prestasi yang baik. Sebab apa? Politiknya stabil, dasar itu jelas, clarity of policies dan execution-nya, pelaksanaannya itu harus lebih berkesan.
- Jadi hari ini, ya kita saksikan dan saya tegaskan seperti yang sebelumnya, belanjanya bukan kecil, jalur yang terbatas, tapi faedahnya, ya, saya tahu daripada sini ke Tropicana, ke Temasya, ke Bukit Raja, ke Bandar Botanik. Jadi sepanjangnya kemudahan, kos, RM4.7 bilion ini bukan kecil. Tapi, sepertimana yang kita sebut, ini diperlukan kerana ia dengan sendirinya, pemangkin kepada perubahan yang memberi manfaat kepada aspek-aspek yang disebutkan tadi.
- Jadi, ini hari ini cerita baik. Hari minggu, hari minggu pun saudara kerja bah, luar biasa. Hari minggu, hari minggu ini, KSU itu nampak. Dia patut janji nak cuti makan tosai di mana, dia batalkan sebab nak datang ke sini.
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kepada pertamanya kepada Menteri yang sangat gigih, komited dalam hal ini, dan Kementerian Pengangkutan, Prasarana dan Menteri Besar kerana kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran dan ahli-ahi Parlimen yang berkaitan.
Terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
