TEKS VERBATIM YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA FELDA DI JOHOR, FELDA SEMENCHU
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA FELDA DI JOHOR
5 APRIL 2026 (AHAD) | 2.00 PETANG
FELDA SEMENCHU,
WILAYAH JOHOR BAHRU
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab walam yaj’al lahuu ‘iwajaa,
Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina binti Othman Said,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi);
Seorang yang cukup kuat bekerja dan berpengaruh memaksa saya datang ke sini. Terima kasih Aza.
Rakan-rakan menteri;
Ramai menteri,
Menteri Agama ada, Menteri Belia dan Sukan;
Ketua Setiausaha Negara;
Wakil Menteri Besar;
Saudara Dato’ Sri Ahmad Shabery bin Cheek,
Pengerusi FELDA;
Dan seluruh pimpinan dan pengurusan FELDA;
Datuk Sulong Jamil bin Mohamed Shariff,
Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan;
Rakan-rakan dan yang penting masyarakat Semenchu, Kota Tinggi dan FELDA Johor. Terima kasih.
- Saya tentunya sebagai turut bertanggungjawab dalam Kerajaan tentang FELDA telah berikan penekanan dan kita ikhtiar baiki kemudahan-kemudahan, tingkatkan upaya, bincang dengan rakan-rakan Jemaah Menteri, umpamanya kerana dahulu pandangan kita FELDA ini terasing. Jadi, kalau ada sekolah, perkembangan belia dan sukan atau kegiatan agama, atau kegiatan pendidikan, yang lain-lain, TVET, itu dibincangkan secara terasing. Tapi sejak 2 tahun yang lalu saya ambil keputusan semua program pembangunan negara ini mesti secara langsung libatkan FELDA supaya FELDA mendapat manfaat secara langsung. Itu keputusan kita.
- Tetapi, ujian kita juga untuk memantau keadaan. Sebab itu, selepas ini kita juga akan ke sekolah, menekankan soal vokasional dan TVET yang banyak diberi penekanan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi. Ada hal-hal yang dibangkitkan dulu, yang pertama ialah soal tanggungan hutang. Sebab itu bagi saya, kalau mahu pulih dan angkat martabat FELDA ini, pengurusan dia harus jauh lebih baik.
- Saya ucap tahniah kepada Saudara Ahmad Shabery bin Cheek dan seluruh jenteranya sekarang kerana tumpu untuk membangkitkan, membawa perubahan. Kita tanggung. Hari ini Kerajaan kena bayar berapa? RM1 bilion. Hampir satu tahun masalah hutang lama. Bukan saya nak mengeluh. Bukan salah peneroka. Tetapi itulah tanggungjawab kita yang kita sempurnakan.
- Tapi dalam pada itu, FELDA bangkitkan beberapa isu, untuk kemudahan kesihatan umpamanya. Jadi saya sukacita dengar di sini dan di tiap kawasan ditentukan sekurang-kurangnya ada pusat dialisis, jadi tak perlu ibu bapa terpaksa berjalan jauh untuk dapat rawatan, kadang-kadang mingguan.
Saudara-saudara,
- Saya nak singgung sedikit dalam keadaan sekarang ini, sementara hal yang dibangkitkan yang mampu kita lakukan, kita lakukan. Ini bagi saya soal rakyat dan peneroka ini ada sejarahnya. Tadi kita lihat umpamanya, peranan awal Almarhum Tun Abdul Razak Hussien yang merangka dan kemudian menggerakkan satu kegiatan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat. Bagi tanah kepada orang yang tidak ada tanah. Betul, kalau di Johor penerokanya banyak orang Johor, kalau di negeri-negeri lain termasuk Pahang, kerana kawasannya luas, peneroka adalah orang-orang dari negeri Kedah, Pulau Pinang dan yang kurang tanah itu diberikan. Jadi, sumbangan kepada masyarakat Melayu umumnya oleh FELDA itu luar biasa. Sebab itu, generasi sekarang termasuk barisan pimpinan Jemaah Menteri sekarang beri tumpuan dalam hal ini.
- Tapi saya nak singgung juga kerana keadaan semasa. Saya tidak mahu orang kita ini seolah-olah memikir tak ada apa yang berlaku, biar dunia perang jauh tak ada kesan. Saya nak beritahu, mungkin berita ini kurang disenangi oleh sebahagian, tapi kita hidup dalam negara ini, keluarga kita, masyarakat kita harus tahu apa yang berlaku. Bukan masalah kita, yang buat kecelakaan besar ini adalah Israel, negara kejam. Zionis Israel dengan kerjasama Amerika. Tak semena-mena dia serang Iran dan negara Islam yang lain, kerana dia tak setuju dengan dasar Iran. Mana mungkin negara sekarang ini masing-masing nak fikir kepentingan dia, tak setuju serang. Cuma dia salah hitung, dia ingat Iran ini macam negara-negara kecil yang lain, yang takut. Iran tunjuk keupayaan lawan, ambil tindak balas.
- Bayangkan negara Iran yang kita anggap tidak terlalu maju, mampu menembak jatuh jet pejuang Amerika Syarikat. Israel terus angkuh. Mana negara di dunia hari ini yang boleh bom, bunuh anak-anak kecil, keluarga, rampas tanah tiap hari di Gaza. Jadi sebab itu, saya nak minta mohon ibu bapak faham, walaupun negara kita bukan negara kaya, kita susah, tetapi kita mesti tunjuk keprihatinan. Orang Gaza dibunuh tiap hari, ramai yang kebuluran. Kita dapat kumpul dana 30 kontena besar yang disiap di Mesir. Saya minta kerjasama sahabat saya, Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi 2 minggu yang lalu, saya telefon kepada Abdel Fattah El-Sisi, saya kata, sahabat selain daripada bincang soal Iran, soal perang, saya kata boleh tak bagi laluan, kemudahan kepada anak-anak kami yang bertungkus-lumus kerja, kumpul dana, nak seberang ikut Rafah bantu keluarga kita, saudara kita di Gaza. Alhamdulillah, dia kata dia sedia, dia minta saya utus, saya utus saudara Amiruddin, Menteri Besar Selangor dan rombongan untuk bantu mempercepatkan proses itu.
- Alhamdulillah kerana apa? Kerana semangat rakyat kita Kerana apa? Semangat ukhuwah Islamiah kita. Kerana apa? Kita adalah negara merdeka yang benci dengan kezaliman. Benci dengan khianat Israel dan mahu tunjukkan sedikit semangat kita bagi meredakan masalah yang dihadapi umat Islam di Gaza. Jadi jangan putus doa. Jangan putus doa dan ikhtiar kita. Dan jangan ikut feel setengah-setengah pihak, dia kata, “apa Anwar ni? Orang kita pun ada yang susah. Kenapa nak tolong orang Gaza?” Saya nak bagi tahu, di kampung kita pun kadang-kadang orang susah. Kadang-kadang kita tolong juga orang di kampung lain. Ini orang Islam. Masih ada yang berfikiran begitu. Jadi saya harap, Semenchu, tidak. Kota tinggi, tidak. Tapi saya harap janganlah ada pandangan-pandangan sedemikian. Dah tak mahu bantu, tak apalah. Tapi sampai orang lain bantu pun kita sakit hati. Ini penyakit sebenarnya. Yang merosakkan, melemahkan umat Islam, ialah kerana sikap dengki dan hasad yang merosakkan begini.
- Balik kepada Perang Iran. Apa yang kena mengena dengan kita? Dia ada kaitan. Dan kita syukur alhamdulillah, kerana dasar luar kita. Kita boleh berhubungan banyak negara Islam yang tak berani bagi sokongan kepada Iran bila Iran diserang. Bayangkan negara merdeka, negara berdaulat. Rakan kita dibom tak berani cakap apa-apa. Kebanyakan negara begitu, tapi kita bincang dengan kawan-kawan dalam Jemaah Menteri, Aza pun ada, kita kata tak. Kita tak boleh. Malaysia ini negara merdeka dan berdaulat. Ibu bapa kita dulu, dengan darah, dengan keringat, bangkit untuk pertahankan negara ini bebas. Tapi bebas tak berani cakap apa-apa, apa guna. Sebab itu, kita ambil keputusan, sokong perjuangan Iran menentang Israel, dan Amerika Syarikat.
- Tidak mudah, saudara-saudara. Memang tidak mudah. Kita negara kecil. Saya pemimpin kecil. Nak berdepan dengan yang besar-besar gergasi itu. Tetapi itulah, saya ucap terima kasih kepada saudara-saudara termasuk di kawasan FELDA ini kerana bagi semangat kepada saya jalankan tugas pertahankan maruah negara. Tapi kesannya kepada kita apa? Saya kata yang pertama yang baiknya, saya boleh hubungi Presiden Iran. Raja Qatar, Emir Qatar, Presiden Mesir dan semua negara-negara Teluk, Presiden Erdogan, Turkiye untuk cari macam mana penyelesaian. 2-3 kali bercakap dengan Perdana Menteri Pakistan kerana percubaan dia adakan pertemuan di Pakistan untuk menyelesaikan atau meredakan. Itu satu bab yang kita terus lakukan.
- Tetapi masalah kita ini kesan kepada ekonomi Malaysia dan dunia. Negara jiran, satu negara kedai minyak tutup 400 kedai minyak, stesen minyak tutup. Negara jiran. Negara lain, saya tak patutlah sebut nama-nama negara, tak eloklah saya berhubungan baik. Negara-negara lain, ada catuan, beli minyak sikit sahaja dan ada hari-hari tertentu. Saudara, kita alhamdulillah, sebab itu di Perak semalam, saya kata kita tahu bersyukur. Dah orang marah pula, “tengok Anwar ni, harga barang naik, minyak naik, dia suruh bersyukur.” Ini dengar lah. Saya kata bersyukur, kerana belum sampai ke tahap itu, kita boleh bertahan. Masih ada. Betul, ada diesel, ada yang mahal. Saya tahu kita tengah sidang, tanya menteri-menteri ini. Tetapi kita cuba untuk bantu, kalau masalah kegunaan peneroka, petani, nelayan, kita turunkan. Kalau ada lagi yang tak puas hati, boleh bawa dan kita boleh bincang lagi.
- RON95 sekarang ini jadi di antara paling murah di dunia. Hanya Brunei yang murah sikit beberapa sen. Di seluruh dunia, negara jiran, 10 ringgit, 1 liter. Kita RM1.99 sen. Dengan jiran RM10, ada yang RM4.50. Saya pergi ke Jakarta 2 jam jumpa dengan Presiden Prabowo Subianto dan terus pulang, itu dia terus berat memikirkan bagaimana untuk kawal harga dan harga dia lebih tinggi daripada kita. Sebab itu saya kata kita bersyukur setakat itu.
لَعِنْ شَكَرْتُمْ لَعَذِي دَنَّكُمْ وَلَعِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَا شَدِيءِ
Kita bersyukur setakat itu.
- Bukan saya kata tak ada masalah, bukan saya kata tak ada orang miskin, bukan saya kata masalah harga barang semua selesai. Harga barang yang keluaran negara yang tak perlu bahan import, kita faham. Tapi sekarang ini, di kawasan FELDA, sekarang masih bertahan. Kalau bagi lagi satu bulan, harga baja, fertilizer ini, import, harga dah melambung 3 kali ganda. Urea, potassium, semua naik sekarang ini. Bukan Kerajaan naikkan, ini kenaikan di dunia. Sekarang ini kita masih kawal. Jadi saya ambil kesempatan ini, kalau kita tak fikir macam tak peduli, dok minta macam dulu juga ini masalah kita. Berapa satu bulan kita tambah dana? Bukan saya nak turun gaji, naik dah gaji. Bukan saya nak turun elaun, dak. Tetapi kena terima kenyataan, berapa satu bulan kita bayar sekarang minyak, diesel, bantuan-bantuan yang kita tambah sebab peperangan ini? Sebab perang, bukan sebab kita. Terpaksa. Berapa satu bulan? Sekarang dah cecah hampir enam bilion ringgit satu bulan, kalau 10 bulan terus tak selesai dah enam puluh bilion ringgit.
- Ada orang kata kamu Perdana Menteri, kamu carilah jalan selesai. Saya cari, saya akan cari apa sahaja yang mungkin kerana kalau sampai kepada beban ini kepada rakyat itu susah kita. Sebab itu kita kata kita kerja sekarang ini, saya tak usah dok fikir pilihan raya lambat lagi, tumpu. Jangan dok bergaduh. Ini masa ini nak maki hamun kita, masa ini nak sampaikan umpamanya kita tak buat apa. Harga barang ada yang bangkitkan oh diesel di Malaysia tinggi, siapa kata? Di Thailand, seminggu lebih tinggi daripada kita. Lepas itu, sekarang dah mencanak naik. Jadi, guna semua nak jadi isu politik. Negara Jahanam tak apa, asalkan dia sedap cakap.
- Ada yang kata, oh, Petronas bimbang apa? Yang dekat pergerang ini. Kerana, minyak ada di sini. Betul minyak ada. Tapi, 50% minyak itu kita import. Kita tak teruk macam negara yang tidak ada minyak, tetapi basih terkesan. Jadi saya mohon maaf, janganlah salah faham. Bukanlah saya datang ini, dah datang sekali-sekali untuk cerita masalah. Bukan masalah saya, ini masalah negara. Masalah negara keseluruhannya. Katakan negara lain bayangkan kalau kita di sebuah negara baru ni yang tutup stesen minyak 400 stesen minyak ditutup. Bayangkan kalau kita. Bayangkan sebuah negara di ibu kota sekarang digalakkan pegawai-pegawai Kerajaan, penjawat awam berjalan dari rumah pergi ke pejabat. Kurus Ketua Setiausaha Negara kita. Hari-hari kena berjalan, berapa jauh berjalan. Dia duduk Putrajaya tak jauh sangat lah.
- Jadi, saya nak ambil kesempatan ini untuk mengajak rakan-rakan, mari kita cari jalan bersama jimat. Sebab itu bulan puasa dulu saya kata jimatkanlah sikit belanja. Setengah-setengah orang macam tak ada apa-apa, ini penyakit. Pergi mana-mana, seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. Ini yang 6 bilion satu bulan ni, ini peringkat sekarang. Besok kita mesyuarat lagi. Hari Selasa, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, hari Rabu, Mesyuarat Jemaah Menteri, hari-hari cari jalan penyelesaian.
- Jadi saya ambil kesempatan ini untuk mengajak warga FELDA untuk apa yang kita boleh bantu selesaikan cepat boleh. Ada cukai-cukai yang kita boleh kurang, kita sedang fikirkan. Ada masalah harga yang boleh kita kawal, kita akan kawal. Ada cadangan-cadangan tadi, Pak Long sebut soal GSA – Group Settlement Act yang mencadangkan agar sebuah rumah boleh buat rumah kedua dengan kemudahan asas. Itu saya beritahu kepada Dato’ Sri Ahmad Shabery bin Cheek. Saya kata, bawa dalam Lembaga, bagi cadangan. Ahli Parlimen saudara, Menteri Undang-Undang. Undang-Undang dia yang buat, kalau lambat, tanya dia, jangan tanya saya. Jadi sebaik saja FELDA setuju, saya akan serah kepada Azalina dan Azalina nanti kemukakan dan saya boleh teruskan. Maknanya, pada pendapat saya, sedaya upaya kita cari jalan supaya rumah-rumah yang kita nak buat rumah kedua dan kemudahan-kemudahan asas itu, itu insya-Allah kita akan teliti. Yang itu semua tak ada masalah sangat, kerana ini dia tidak membebankan Kerajaan dan dia tidak merosakkan keadaan ekonomi dunia sekarang. Tapi hal-hal yang menyentuh soal harga, itu yang tak boleh kita kawal, kita kena terima.
- Saya tegaskan semula ya, kita syukur alhamdulillah, kerana tekanan kepada kita ini kurang. Tapi janganlah kita selesa, saya pergi mana-mana macam tak ada apa-apa, relax saja masalah kita ini. Beban yang kita tengok ni bayar 6 bilion satu bulan. 6 bilion, bayangkan yang sebelumnya belum dibayar begitu, tambah. Tapi kita tak ada apa-apa, eh tak apa-apa. Ini jadi masalah. Saya tak mahu jadi, melainkan kalau keadaan entah beberapa bulan-bulan lagi terpaksa, lain. Tapi nasib baiklah hubungan kita baik dengan Iran itu. Sekarang baru orang tahu. Dulu dia marah saya, dia kata pasal ini patut jaga perasaan Amerika, Amerika akan tekan kita, Amerika akan guna kuasa, kita negara kecil, kita berdagang dengan Amerika, kamu nak baik pula dengan Iran.
- Nasib baik kita baik dengan Iran. Saya telefon sahaja sekali, saya kata Mr. President lepas bercakap semua pasal perang pasal semua, saya kata ini kapal kita ni ada tujuh sangkut lagi, dia kata apa? Ya Petronas, Sapura. Ada satu lagi, tiga syarikat. Dia kata, ya. Okay. Jadi, saya kata kalau boleh, presiden bagi lah. Ini, saya cakap masa itu juga, dia kata, okay Anwar, take it from me, terima kenyataan saya. Saya akan arahkan segera kapal-kapal Malaysia dilepaskan.
- Ada seorang pembangkang dia kata pula, ah kapal lepas tapi harga mahal juga. Iyalah, tambang kapal tu bulan lalu, dengan sekarang memang lebih. Insurans kapal pun meningkat. Tapi sekurang-kurangnya ada minyak. Negara lain catuan minyak. Tak ada minyak. Saya kalau ikut geram saya, saya nak, untuk yang cakap banyak tu jangan bagi minyak. Baru dia naik minyak. Kita dah buat kerja, patut kamu tak mahu sokong, tak apalah. Ini dihentam kita pula.
- Saya nak tanya saudara saudari, berapa pemimpin negara boleh bercakap langsung dengan Presiden Iran dan dia masa itu juga dia jawab bagi jaminan. Brother, dia panggil brother Anwar, saudara Anwar, saya bagi jaminan, saya akan arah sekarang juga supaya kapal-kapal Petronas dan lain-lain dari Malaysia itu dilepaskan supaya minyak boleh sampai ke Malaysia. Saya nak tanya berapa negara boleh buat begitu? Ini bukan sebab saya, sebab pendirian Jemaah Menteri. Sebab prinsip negara kita. Jadi, kita kena teruskan di hal yang sedemikian.
- Yang lain-lain ini, Dato’ Sri Ahmad Shabery bin Cheek dan FELDA bagi banyak, suruh saya umum, umum dah sebahagiannya dah telah bagi tahu. Saya pun, tak apalah saudara faham lah, yang mana boleh kita buat gini je lah saya dengan FELDA ini, datang jauh-jauh. Yang mana boleh, yang munasabah, percayalah saya ini hidup saya susahnya lama, deritanya lama, kena tahan pun lama. Sekarang Allah takdirkan, saya pegang tampuk Perdana Menteri. Saya bukan nak ambil harta orang. Saya bukan nak jenuh, nak kayakan diri saya dan keluarga saya. Tak setuju dengan saya tak apa, tapi yang itu saya nak beri jaminan. Ini pun kawan-kawan lama saya. Saya nak beritahu. apa sahaja yang munasabah, yang mungkin untuk tolong rakyat termasuk keluarga FELDA, Insya-Allah saya akan lakukan sedaya upaya saya.
- Kerana saya ikrar, bila saya telajar keluar dulu, bukan oleh kawan-kawan dak, bukan oleh UMNO bahagian tak, ini ada seorang lagi, Azalina jangan susah hati. Apa yang saya baca Doa? Saya guna doa Nabi Allah Shuib A.S:
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ٱلْإِصْلَٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ
Itu doa Nabi Shuib A.S, bagi lah aku peluang, aku nak bawa perubahan sedaya upaya aku. Perubahan itu bermula daripada diri. Ini prinsip Al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
Dan hadis Nabi Muhammad SAW, ‘Ibda’ Binafsika’. Maknanya, kalau kita nak ubah negara ini, ini amalan curi wang orang, curi tanah orang, bolot kekayaan peribadi dan keluarga, mesti dan wajib dihentikan. Yang itu kita cuba sedaya upaya buat dengan rakan-rakan saya. Dan oleh kerana itu dapat kita kawal.
- Ada orang tanya, macam mana kita boleh bertahan? Kita kena bayar sekarang katakan RM6 bilion, satu bulan. Tetapi alhamdulillah, beberapa tahun yang lalu ini, kerana kita keras melalui agensi, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, pengawalan, kita selamatkan RM15.5 bilion wang negara yang hilang. Saudara, dalam 2 tahun yang lalu, kita kumpul RM15.5 bilion wang yang hilang. Ini, rakyat termasuk yang di kampung di FELDA kena tahu. Kena tahu.
- Macam mana boleh selamat dari dulu. Wang itu pergi mana dulu? Dia bocor. Dia hilang. Di tangan orang-orang tertentu. Ini kita kena hentikan. Sebab itu, kita kena guna kuasa politik kita, kuasa sosial kita, kuasa kerja kita untuk fikir bagaimana untuk membela nasib rakyat. Saya tegaskan tadi, banyak cadangan-cadangan tentang kos dan sebagainya. Panjang dorang minta saya baca, saya tak mahu baca. Saudara-saudara pun bosan dengar, menteri datang dok baca. Tapi yang saya nak jamin itu tadi, kita ada jawatankuasa khas, kemudian pengerusi pun tahu, cari jalan, apa sahaja yang mungkin, munasabah, walaupun sedikit terbantut dengan krisis ekonomi yang besar. Ini krisis ekonomi ini besar. Dulu, nak keluar minyak, boleh. Nak edar tak boleh. Ada kadang-kadang, edar boleh, keluar tak boleh. Ini dua-dua. Nak keluar minyak pun di kena bom. Emir Qatar bagitahu saya, bila kena bom di Qatar, 3 tahun tak boleh bergerak, gas tak boleh keluar dan pengedaran tak boleh, tersekat di Selat Hormuz. Nak marah Amerika, Iran, tak boleh. Dia kata kamu gunakan kekayaan ini untuk jahanamkan ekonomi kami. Jadi, kita nasib baik boleh dapat laluan tapi kos meningkat.
- Yang lain, banyak pengumuman penting ini saya ingat saya edar dah je lah. Boleh lah. Nanti orang kata, Perdana Menteri datang tak ada umum apa-apa pun. Macam-macam dia dah bagi kat saya, letih kalau saya nak baca semua. Tapi begini jelah ya, tentang FELDA…oh jangan kata datang ini cakap pasal ekonomi dunia. Dak, ekonomi ini kita. Ini kalau keadaan tidak berubah satu dua bulan ini, kesannya sampai ke setiap kampung di negeri kita. Percayalah saya cakap.
- Saya doa ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan dapat dileraikan. Tetapi kalau sikap kadang-kadang Israel ini memang yang paling biadab yang pernah dapat dalam sejarah dunia. Bunuh orang hari-hari dan orang bercakap pasal damai. Amerika sekurang-kurangnya kata okay kita boleh bincang, walaupun banyak orang tak percaya, tapi Israel langsung tidak. Da punya takbur ini kemuncak Mustakbirin – kemuncak takbur yang pernah dialami di dunia.
- Jadi saya terpaksa sentuh soal itu, walaupun saya nak sebut di sini dari semasa ke semasa, bagi ruang kepada kita, kita akan umumkan hal-hal yang beri faedah kepada masyarakat di sini. Tapi saya cuma satu saja, kerana bila saya pergi ke tempat tadi, tempat itu walaupun Kota Tinggi dia besar, Johor lagi besar, tapi Semencu ini, dengan saya tengok sambutan pun saya terharu, terkesan jugalah. Ia nampak ibu-ibu, bapak, adik-adik semua nampak, saya tak pernah sampai kampung ini. Tapi sambutan tu memang saya terkesan sikit. Saya ini memang manusia biasa juga ada perasaan, bila tengok orang itu baik, nampak ikhlas, saya pun tersentuh.
- Jadi walaupun tadi tak ada permohonan khas untuk di sini saya akan pastikan ya sama ada di masjid atau di sekolah ataupun di dewan ataupun di kemudahan-kemudahan asas, saya luluskan khas setengah juta ringgit untuk kawasan ini, kampung ni. Ini saya tak tahu ilmu apa yang saudara lakukan, tak minta pun. Tapi entah tenungan ke renungan ke apa saya tak tahu, saya tengok siapa terpukau. Maka fikir, kita luluskan setengah juta dan pihak pengurusan akan pastikan dengan jawatankuasa di sini, untuk bantu semua keperluan-keperluan asas sekolah, masjid, surau, kemudahan asas, anak-anak, orang miskin yang hal-hal kecil-kecil yang kita boleh selesaikan. Terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
