TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : MAJLIS BERBUKA PUASA DAN PELUNCURAN RAKAN MASJID X RAKAN MUDA MADANI

22 Februari 2026

 TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS BERBUKA PUASA DAN PELUNCURAN

RAKAN MASJID X RAKAN MUDA MADANI

  

 

22 FEBRUARI 2026 (AHAD) | 6.30 PETANG

DEWAN SERBAGUNA

MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah,

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.

 

Alhamdu lillāhil qā’il,

Syahru ramaḍānallażī unzila fīhil-qur`ān,

hudal lin-nāsi wa bayyinātim minal-hudā wal-furqān,

Wasallallah hu ala saidina Muhammad,

Wa’ala a’lihi wasabihi ajmain.

 

Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul,

Yang di-Pertua Dewan Rakyat;  

 

Rakan-rakan Menteri;

 

Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

 

Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq bin Johari,

Menteri Belia dan Sukan;

 

KSN;

 

Yang saya muliakan Dato’ Dr. Haji Nooh bin Gadut;

 

Ramai-ramai kawan-kawan ulama yang hadir; dan

Rakan-rakan, terutama anak-anak muda yang dikasih sekalian.

 

  1. Alhamdulillah kita dapat bersama-sama mengimarahkan bulan Ramadan, ada caranya. Timbalan Menteri pun ada minta maaf. Dan kita jayakan majlis ini, saya ucap tahniah kepada Menteri Dr. Zul dan juga Taufiq, kerana bila mencari kaedah, ikhtiar baru bagaimana boleh mendekati generasi muda dengan masjid dan kita tahu kalau masjid itu adalah pangkal, pangkalan bagi gerakan umat. Kita tahu dalam sirah Nabi Muhammad SAW, di mana masjid itu dianggap tunggak la masjidun ussisa ala taqwa. Jadi, caranya ialah mendekati. Saya tidak berani kupas lebih, Dato’ Dr. Haji Nooh bin Gadut ada, Sahibus Samahah Mufti ada, Ustaz Al-Khaim, Syed Jamil, semua ulama besar ada, saya nak cerita yang lain sikit saya tidak berani.

 

  1. Rencana ini baik kerana kita boleh bicara secara umum manfaat Ramadan. Kita tahu, tapi bagaimana kita nak gunakan Madrasah Ramadan atau bulan ini sebagai kesempatan untuk mencari kaedah baru mengangkat martabat kerana Ramadan itu mesti berakhir dengan la’allakum tatta’akun. Bukan sekadar puasa, lapar, dahaga tetapi berakhir kepada mengangkat darjat, martabat, harakat umat itu ke arah la’allakum tatta’akun dan caranya tentu di antara yang difikirkan oleh dua-dua menteri muda kita ini adalah untuk mendekatkan anak-anak muda dalam bentuk supaya lebih mengimarahkan masjid dan dengan itu, mendalami ilmunya dan memperkukuh amalnya. Dan kita tahu dalam urusan dengan masjid ini ada keadaan tertentu kerana kita semua diminta mengimarahkan masjid. Tetapi mengimarah masjid untuk apa? Innama ya’muru masajidallahi man amana billahi wal-yaumil-akhiri wa aqamas-salata wa ataz-zakata wa lam yakhsya illallaha, fa ‘asa ula’ika ay yakunu minal-muhtadin. Sadaqallahulazim.

 

  1. Saya tengok Dato’ Dr. Haji Nooh angguk, saya selamat. Kalau dia mula, eh. Baik. Jadi apa maknanya? Ini dalam hubungan Ramadan, tentu kita bicara tentang madrasah Ramadan, tapi kita guna rakan masjid sempena bulan Ramadan dan kita kaitkan dengan ayat Qur’an tadi tentang pembinaan dan mengimarahkan masjid. Untuk apa? man amana billahi wal-yaumil-akhiri. Itu kita tahu dirikan solat – aqamas-salat dan menyempurnakan tugas dengan zakat.
  2. Jadi ada tugas yang langsung soal ibadah dan menyerah kepada Allah SWT, dan ada tugas kepada masyarakat. Sebab itu dikaitkan solat dengan zakat. Dan kalau benar, anak muda punyai kekuatan itu, semangat itu, dedikasi dan minat yang sedemikian, wa lam yakhsya illallah, dia tidak akan gentar pada segala bentuk masalah dan ujian, melainkan hanya takut kepada Allah SWT. Jadi rumusannya itu sangat menarik.

 

  1. Izinkan saya sekadar untuk menyatakan sedikit pengalaman peribadi. Pagi tadi, usai solat subuh dengan anak cucu, jadi saya nak tekankan tentang saya tanya, di sekolah mereka ada tukang cuci, tukang bersihkan tandas. Saya kata, ada tak pernah tegur dan ucap terima kasih kepada mereka? Mereka jawab, ya kita bagi salam sepintas lalu sahaja. Saya kata dalam negara MADANI ini ada konsep hormat s,elepas kupas soal hormat itu saya ingatkan pendidikan itu yang kita sebut adabani rabbi fa ahsana ta’dibi dalam hadis Rasulullah SAW itu, adalah juga tentunya menimba ilmu, menggapai, saya selalu sebut dia menggapai di langit, Artificial Intelligence, digital, teknologi sekarang bicara pula soal energy transition. Semua itu ya perlu menggapai di langit tapi, di Malaysia ini, kita sebut menggapai di langit dan mengakar di bumi atau mengakar ke bumi. Mengapa mengakar ke bumi? Kerana ini basis, asas akidah kita ini akhlak kita ini sistem nilai kita. Sebab itu kita sebut dalam doa Rasulullah SAW itu, Adabani Rabbi fa’ahsana ta’dibi dia penyempurnaan soal adab.

 

  1. Jadi saya beritahu anak cucu saya, saya kata, pendidikan ini maknanya belajar pintar, matematik dan semua subjek yang lain, tetapi jangan kita tinggalkan ini, hormat kepada orang-orang yang bersihkan kawasan kita. Masjid ini bersih yang membersihkan bukan tetamu dalam dewan ini yang membersihkan itu ialah tukang-tukang cuci. Jadi ada nilainya.

 

  1. Sebab itu saya ucap terima kasih kepada jawatankuasa masjid dan MAIWP juga mengambil kira untuk memerhati kedudukan mereka, nasib mereka dan kebajikan mereka. Jadi saya beri contoh, saya teringat tentang pesanan Rasulullah SAW dan pengalaman beliau bila diperingat oleh Allah SWT dalam Abasa Wata Walla An-Ja Ahul ‘A-ma. Bayangkan, Rasulullah diberi peringatan oleh Allah SWT kerana beliau berpaling. Ayat itu kata berpaling. Berpaling dari mana? Berpaling kerana Rasulullah sedang menjalankan tugas dengan pemimpin-pemimpin Quraisy, dengan ketua-ketua kabilah, dengan speaker-speaker Parlimen, Menteri itu saya tambah lah. KSN, mana boleh ringankan hubungan kerana ada urusan tugas. Jadi berpaling dari siapa? Berpaling dari seorang yang agak kelihatan lebih daif, yang menunggu di sisi Rasulullah SAW, yang juga berhajat untuk berjumpa dengan Rasulullah.

 

  1. Bayangkanlah, itu pengajaran kepada saya. Sebab itu kalau saya lalu, baik di masjid, di luar masjid, di tempat umum, kalau ada orang tunggu nak pergi salam, saya sibuk macam mana pun tidak berani meninggalkan, kerana saya tahu peringatan Allah SWT dalam Al-Quran. Yang kemudian, saya harap syeikh-syeikh tolong beritahu macam mana-mana kalau tersilap, contoh-contoh. Kerana rupanya, orang yang dimaksudkan itu, yang berpalingnya Rasulullah sebentar daripada dia — itu namanya Abdullah ibn Umm Maktum. Betul Ustaz ya?

 

  1. Abdullah ibn Umm Maktum tu maknanya begitu kuat teguh imannya, akhlaknya, amalnya sehingga diperingatkan. Maknanya kategori, maqam dia itu begitu dimuliakan di sisi Islam. Bukan kerana kekayaannya, tidak ada. Pangkatnya tidak ada. Dia nampak orang biasa, tetapi diberi penghormatan begitu. Itulah yang disebut tentang nilai insaniah. Kemanusiaan yang kita bicara dalam negara kita.

 

  1. Apa erti kalau kita belajar Abasa Wata Walla tapi bila kait dengan soal negara, tidak dipedulikan nasib dan kebajikan rakyat dan kita fikirkan hanya bagi golongan-golongan pembesar dan atasan dan meminggirkan golongan rakyat terbanyak termasuk anak-anak muda. Ini pengajaran kepada saya dan kepada semua. Kita boleh terangkat kedudukan kita. Tetapi tidak boleh melupakan peringatan bahawa kerja dan usaha kita untuk memuliakan sesama manusia. WaLaqad Karramna Bani Adam. Allah mengangkat darjat. Allah has exalted the children of Adam. Mengangkat darjat anak Adam.

 

  1. Kisah Abdullah ibn Umm Maktum ini memang hebatlah sebab bila berlakunya hijrahtun Nabi Muhammad SAW dari Makkah al-Mukarramah ke Yathrib yang kemudian dikenali sebagai Madinah al-Munawwarah. Yang dikirim, dua orang yang dikirim itu termasuk Abdullah ibn Umm Maktum dan Mus’ab bin Umair. Jadi, saya nak ceritakan kisah orang yang bernama Abdullah yang nampak sederhana ataupun ialah dalam kategori B40, tetapi dimuliakan dan diperingatkan kepada kita supaya dalam kehidupan, dalam kerja, dalam amal, tahap kemanusiaan itu yang harus ditingkatkan.

 

  1. Ini maknanya dengan sendiri membenamkan ego, membenamkan sifat ananiyah yang menganggap kita sahaja tinggi atau mulia atau pintar. Tidak boleh begitu. Itu bezanya. Kalau kita bicaranya, kita kira masalah aku, kedudukan aku, kehebatan aku. Dalam peringatan ini adalah untuk sentiasa prihatin. Kita bicara hari ini bukan bicara pasal masalah saya atau kerja saya, kita juga [bicara] masalah kita bersama. Ini dia, maksud dalam kita hidup bermasyarakat dan mengangkat martabat kemanusiaan atau insaniah. Jadi mudah-mudahan dalam majlis yang sederhana ini, dalam matlamatnya adalah untuk meluncurkan Rakan Masjid dan Rakan Muda Ramadan.

 

  1. Wah, ini Menteri baru ni idea dia banyak. Dia pakat pula dengan Menteri Agama. Tetapi saya senang bila begitu ya. Senang bila ada tokoh-tokoh muda kita, tidak sibuk dalam isu-isu yang memecahbelahkan, tapi gunakan Ramadan dan madrasah Ramadan untuk mengangkat darjat kemanusiaan dan keimanan kita. Secara positif membina, kerana dalam negara ini bagilah fakta baik sebanyak mana pun. STR, Tunai Rahmah, SARA, pertumbuhan yang tinggi, pengangguran yang rendah, inflasi yang rendah, pelaburan yang tinggi. Semua itu akan terpadam kerana kita tumpu hanya permasalahan-permasalahan titik bengik yang boleh memecahkan kita.

 

  1. Saya syukur ke hadrat Allah SWT dan terima kasih kepada rakan-rakan saya dan juga jentera di Kementerian Agama, Kementerian Belia dan Sukan, termasuk penjawat awam dan anak-anak muda yang terlibat dalam kegiatan ini dan percayalah. Percayalah, untuk menjayakan Malaysia sebagai negara Madani, untuk mengangkat martabat darjat dan harakat bangsa, tidak boleh lari daripada paksi tauhid, daripada bertaut kepada keyakinan kita. Keyakinan, keyakinan saya tekankan iaitu yakin bahawa hanya dengan akhlak yang baik, nilai yang positif, sikap yang positif, membina untuk mampu kita bangunkan negara ini. Kalau kita tidak menjurus ke arah itu dan diheret untuk setiap ketika bicara hal-hal yang negatif, tidak ada negara yang mampu membangun.

 

  1. Negara Malaysia ini pelbagai kaum dan majmuk. Saya ucap terima kasih kepada pemimpin-pemimpin agama. Dari Buddhis, Kristian, Hindu, semua datang. Ini tunjuk baik. Pada bulan Ramadan, belum tentu dia puasa atau tak puasa. Tapi dalam amalan cara mereka ya. Tetapi, ini cara memuliakan. Baru-baru ini kita sambut Hari Raya Cina, Gong Xi Fa Cai, saya sebut Xin Nian Kuai Le, Xin Nian Hao, Nian Nian Hao dan masyarakat Cina, Dewan Perniagaan Cina, sanggup mengawalkan sambutan, tidak pada Hari Raya Cina, hanya kerana menghormati umat Islam yang mengamalkan Ramadan, berpuasa. Jadi saya ucap terima kasih.

 

  1. Saya kata, kalau ini buat hari raya, hari satu. Saya sebagai pemimpin, saya terpaksa hadir juga, malamnya mungkin. Kalau hadir siang pun, saya hadir untuk memuliakan dan menghormati budaya dan agama mereka. Tapi walaupun saya tidak mungkin makan bulan Ramadan. Tetapi nak tunjuk sikap toleransi. Ceritalah yang baik, yang positif begini. Mana ada negara di dunia yang begitu sekali awalkan Hari Raya Cina 4-5 hari kerana nak menghormati umat Islam yang menunaikan ibadah Ramadan. Jadi kita ambil sikap yang sedemikian. Kalau orang menghormati kita, apalah salahnya kalau kita sekali-sekali menghormati mereka. Keyakinan dan kepercayaan agama itu berbeza. Tetapi memuliakan darjat manusia satu sama lain dan keyakinan dan kepercayaan masing-masing itu akan menyebabkan negara kita baik dan menjamin keharmonian kita.

 

  1. Kalau tidak, apa yang dibicarakan? Pergaduhan. Hari-hari yang dikemukakan adalah masalah-masalah tittik bengik yang memecahkan di antara kita. Dan ada orang menggunakan nama sebagai tokoh Islam. Ada yang pula yang menggunakan nama sebagai tokoh Hindu atau tokoh agama lain. Hanya untuk menimbulkan permasalahan. Padahal, bayangkan negara Malaysia ini Islam agama Persekutuan. Islam majoriti. Tetapi kita terima hak semua kaum dan semua agama dan kita setuju, ikrar untuk jamin masa depan dengan aman bersama semua kaum dan menghormati hak semua kaum dan hak semua agama. Baru boleh aman.

 

  1. Jadi bagi saya, yang majoriti termasuk pemimpin-pemimpin agama itu mengambil sikap positif. Saya ingin menyeru terutama anak-anak muda, melalui Rakan Masjid, Rakan Muda ini. Secara berani, secara terang. Selamatkan negara kita. Bawa mesej yang positif. Bangunkan kehidupan yang sihat. Sementara itu, menegakkan, mengukuhkan keyakinan kita sebagai orang Islam dan menambah ilmu dan kebijaksanaan. Supaya Bil Hikmah wal Mauidzatil Hasanah Wa Jadil-hum Billati Hiya Ahsan (Surah An-Nahl, 125)

 

  1. Terima kasih banyak. Saya luncurkan dengan semangat yang sedemikian.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: