TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA

9 Februari 2026

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

PERHIMPUNAN BULANAN

KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA

 

 

9 FEBRUARI 2026 (ISNIN) | 8.30 PAGI

DEWAN DAMAR SARI, KOMPLEKS F, PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahirabbil ‘alamin

Nahmaduhu wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang,

Menteri Perpaduan Negara;

 

Yang Berhormat Tuan Yuneswaran Ramaraj,

Timbalan Menteri Perpaduan Negara;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berbahagia Dato’ Haslina binti Abdul Hamid,

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan termasuk yang ikuti dari talian.

 

 

 

  1. Dalam pertemuan bulanan kali ini, saya tentunya akan menekankan soal pokok perpaduan negara. Kita harus bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana betapa pun simpang siur, gelagat politik dan lain-lain, yang kadang-kadang mengheret kita dalam kancah perseteruan di antara satu sama lain, tapi umumnya, Alhamdulillah majoriti rakyat menerima kenyataan bahawa negara harus tegak atas landasan yang betul, memupuk persefahaman dan perpaduan.

 

  1. Tanpa pra-syarat ini dilaksanakan dengan baik, tidak ada jaminan kelangsungan sistem, keamanan negara. Negara kalaupun mampu memacu pertumbuhan yang menyakin dan menyegarkan, ataupun suasana kekayaan negara dengan hasil mahsul yang melimpah jenuh, belum menjamin kebahagiaan sekiranya perseteruan berterusan.

 

  1. Saya menyeru penjawat awam umumnya, dan rakyat tentunya, untuk menerima kenyataan ini. Dan kenyataan ini tidak mudah sebab kita mewakili sosok yang berlainan, budaya yang berbeda, bahasa, sejarah dan pengamatan yang berbeda. Tanya seorang, pandangan dia tentang sejarah dia mungkin memberikan kupasan yang berbeda. Pahaman agama tentunya, kita, saya sebagai orang Islam yakin dan mahu berjaya menjadi Muslimun Hakikiyun. Tanya rakan-rakan kita yang Kristian, yang Hindu, yang Buddhis, pun begitu juga masing-masing. Tetapi apakah perbedaan ini harus menghasilkan pembenturan idea, pembenturan dan perpecahan di kalangan kita? Ini soal yang jangan dipandang remeh.

 

  1. Oleh kerana keadaan itu agak terkawal, kita anggap semuanya terkawal. Tidak semestinya. Belajar dari pengalaman sejarah-sejarah negara yang lain. Saudara-saudara yang mengikuti sejarah tahu. Di Eropah, umpamanya, perang yang disebut ‘Perang 30 Tahun’ (30 years war), itu di kalangan orang Kristian Katolik dan Protesten, yang meragut puluhan juta nyawa kerana perseteruan yang berpunca dari kefahaman agama. Walaupun tidak semua yang berterlibat itu sebenarnya mengamalkan agama itu pun. Begitu juga di kalangan masyarakat Islam, peperangan yang berlaku di dunia arab, di dunia Islam, ada ada Sunni, Syiah, soal kabilah, soal kaum, ini berlaku terus-menerus, apalagi di antara muslim dan Hindu, Muslim dan Kristian, Kristian, Yahudi, Muslim.

 

 

 

 

  1. Ada hal-hal yang berlaku yang sukar kita elak kerana kezaliman itu berterusan. Katalah kalau kita dilahirkan di Gaza, di Palestine, sukar kita nak mencari perdamaian kerana kezaliman itu dihempap atas kepala kita saban hari. Jadi saya dalam mukadimah ini menyatakan bahawa betapa pun tidak popular, tidak disenangi, suara ini harus terus digegarkan supaya keluarga kita, rakan-rakan kita, rakan sejawat sekerja kita dan rakyat harus terima kenyataan ini. Dan kenyataan ini tidak mengandaikan semuanya indah, kerana sedikit sebanyak salah faham akan terus berlaku dan ini tidak jadi masalah. Yang jadi masalah ini bila kita ambil sikap, pandangan kita sahaja yang betul dan kalau yang tidak benar itu harus diserang, dihina, dicerca. Ini punca masalah.

 

  1. Dan ada sedikit kebenaran di satu pihak, ada juga sedikit kebenaran di pihak yang lain. Ini yang disebut half-truth, turn absolutes, dia pandangan kecil yang sebenar, dia anggap dia itu mutlak, faham. Di mutakhir ini, ada pandangan tentang, di Wilayah Persekutuan dan terutama di negeri Selangor dan negeri-negeri lain, di semenanjung terutamanya, walaupun umumnya, Aaron ya, di Sabah Sarawak itu dari segi perseteruan kaum itu lebih terkawal. Sebab itu Aaron jadi Menteri Perpaduan.
  2. Jadi kita harus-harus cuba faham dan leraikan dengan baik. Saya beri contoh umpamanya, soal kuil. Ada yang mengatakan jangan sebut kuil haram. Walaupun istilah umumnya kuil yang tidak mendapat kebenaran tuan tanah atau Kerajaan, itu tidak ikut peraturan lah. Baik. Jangan kita bergaduh soal istilah. Tapi yang penting apa? Tak boleh. Itu yang penting. Ikut peraturan.

 

  1. Masjid yang dibangunkan, ikut peraturan. Gereja yang dibangunkan, ikut peraturan. Jadi semua yang lain pun begitu juga. Jadi, harus cari jalan penyelesaian. Bukan pergaduhan. Baik. Kalau ada orang langgar, apa kita ambil tindakan? Kita jalur hukum, bawa pada lembaga yang sah dan peraturan. Dan ini bukan perkara baru, timbul muncul seolah-olah ini perkara baru, baru berlaku semalam, hanya di bawah PMX, kacau bilau, amboi! Padahal semua Kerajaan masa itu, masa BN perintah, masa PN perintah, masa PAS perintah, siapa sekarang? Sebahagian Keadilan, Kerajaan Perpaduan, hal itu berterusan. Jadi kalau tanya saya, haruskah kita cari penyelesaian? Saya jawab, ya.

 

  1. Apakah wajar kita beri pengiktirafan, penghormatan kepada semua agama dalam negara kita? Islam agama persekutuan, yang lain kita beri hak masing-masing? Jawab saya, ya. Apakah kita harus berikan kebenaran kepada kuil dan rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tak boleh. Jadi jelas. Kerana kita ikut jalur hukum. Baik. Jadi jelas ya. Ini dok bergaduh kata, Anwar kata semua rumah ibadat boleh. Ini kalau dengar dalam sosial media keluar begitu. Saya kata semua boleh kalau ikut peraturan yang sah. Kalau tanah orang, mana boleh kita nak buat rumah ibadat, kita rampas tanah orang. Dia ada percanggahan itu. Kenapa? Tanah yang tidak sah, dipaksa, dirampas ataupun diambil tanpa kebenaran dan nak dijadikan sah. Tak boleh. Jadi apa keputusan kita? Keputusan kita, akui tidak sah. Saya nak jelaskan ini.

 

  1. Bagaimana Batu Caves? Batu Caves itu sah. Ada cadangan Batu Caves nak buat escalator. Saya bincang dengan Menteri Besar Selangor, semalam kebetulan saya bersama dengan Tuanku Sultan Selangor, saya bangkitkan perkara ini juga tanya pendapat baginda Sultan. Batu Caves itu mendapat pengesahan, kelulusan. Dia minta oleh kerana tangga naik tinggi. KSN belum naik lagi ya?. Jadi, oleh kerana tinggi, ada yang cadangkan nak buat, nak bangunkan escalator. Pendapat saya tak apa, dia tak ganggu tanah kita, dia tak paksa, dia tak rampas orang lain, dia nak teruskan supaya masyarakat Hindu dapat teruskan amalan mereka. Pandangan saya, dan saya sampaikan kepada Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar, kita tidak ada halangan. Boleh teruskan.

 

  1. Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana, di bawah pohon, di mana-mana. Dan ini mesti dihentikan. Saya tanya di India, ataupun bagi kalangan masyarakat Cina di negara China, itu tidak diizinkan. Di India tidak diizinkan melainkan, kuil-kuil yang sah. Jadi, biar ini jadi dasar, kita faham. Jadi, nak fikir soal perpaduan pun Aaron, tak jadi masalah, kita ikut peraturan.

 

  1. Baik, kalau satu-satu kes katanya betul tidak ada kebenaran lagi, tapi sudah ada 200 tahun dah, dia nak minta pertimbangan, itu dia rayu kes lain, diberi pertimbangan. Tetapi, jangan guna alasan sudah ada di bawah pohon itu, wajib diluluskan. Saya dengan ini, mahu umumkan ketetapan kita, tidak lagi mengizinkan yang tidak mengikut peraturan dan Majlis Bandaran diberi keizinan untuk bertindak supaya dibersihkan kawasan yang bukan hak kuil, supaya selesai masalah ini dengan baik.

 

 

 

 

  1. Saya tahu akan mengundang kontroversi, sebab itu berapa orang, Kalau yang melampau, sampaikan ada kempen nak robohkan kuil. Pun salah, bukan kerja kamu, kita negara ini negara hukum. Nak tunjuk hero, hendak jadi pejuang Islam, buat dakwah dengan baik, tunjuk peribadi yang baik. Laqad kana lakum fi rasụlillahi uswatun ḥasanah – contoh dan peribadi yang baik, bukan untuk menghina dan mencerca. Ikut peraturan, tidak boleh, tidak boleh.

 

  1. Itu di satu pihak, nak robohkan. Ada satu pihak lain pula, dia terus menghukum. Jadi dua-dua tidak diizinkan. Satu pihak, hendak robohkan, satu pihak nak pertahankan. Walaupun hal itu tidak sah. Ada pulak satu Kumpulan, ini seolah pejuang dan pembela agama Hindu. Bela ikut hukum, ikut aturan. Tidak mungkin kita bela, kata langgar peraturan dan hukum, tidak boleh. Ini negara, negara hukum, mahu runding, runding dengan baik. Tapi takkanlah kalau ada seribu kuil yang tidak mengikut kebenaran dan kelulusan tanah di Wilayah Persekutuan, semua nak dipertahankan, tidak boleh. Jadi sebab itu saya ingat penjelasan ini menjadi dasar kita.

 

  1. Saya percaya dalam hal ini juga ada yang puak-puak yang melampau. Ada orang yang pernah jadi Menteri pun, dan keluarkan kenyataan yang keterlaluan. Umpamanya tuduhan bahawa orang Hindu tidak dapat mengamalkan agama mereka di Malaysia. Kemudian disebut di antara lain bagaimana orang-orang Hindu dibunuh semasa dalam tahanan. Kemudian, bahawa patut dipersoalkan kedudukan hak keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu dan perlembagaan persekutuan.

 

  1. Jadi hal-hal ini seperti yang disuarakan oleh mantan menteri semasa Kerajaan dulu, itu tidak boleh kita izinkan. Dan orang-orang ini sekarang nak jadi jaguh baru. Apa jaguh dia? Dia jadi jaguh, konon untuk menyelamatkan perlembagaan negara dari dijajah oleh Amerika di bawah ART sekarang. Ini pandangan Waytha Moorthy Ponnusamy, dan yang anehnya dia disokong oleh 4-5 ahli parlimen pembangkang: dari PAS dan Bersatu. Saya fikir ini aneh. Orang yang jelas mempertikai perlembagaan ada hadnya boleh kritik, tetapi masih dijadikan, berikan ruang walaupun isu berkaitan perjanjian dagang dengan Amerika Syarikat.

 

  1. Ini saya nak bagi contoh tidak mudah saudara-saudara, kerana diheret sentimen kaum yang keterlaluan. Jadi saya jelaskan sekali lagi, dasar biar jelas. Aaron kalau tanya, polisi kita kena jelas, jangan ganggu, hina mana-mana agama. Tanya saya, ini keyakinan saya sebagai seorang Islam.
  2. Satu kisah Nabi Muhammad SAW yang sedang duduk dengan para sahabat. Kemudian jenazah seorang Yahudi yang dulunya sangat memusuhi, sangat menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam, lalu di depan. Suasana agak diam, memberi gambaran jenazah yang lalu. Tidak ada penghinaan di situ. Jadi, bila ditanya Rasulullah SAW, Rasulullah hanya menjawab, “alaysat nafsan – bukankah dia juga seorang insan yang pernah bernyawa—manusia dulu?” Itu tahap kemanusiaan kita. Kita tidak dilatih untuk menghina. Sampai ke tahap itu, sukar bagi tahap kita itu untuk diangkat ke makam yang tertinggi. Tapi pengajarannya itu harus ada.

 

  1. Sayyidina Ali bin Abi Talib RA pernah ditanya. Kita bersama umat Islam ini bersaudara. Kita tahu semua adalah manusia Muslim itu bersaudara. Jadi ditanya kepada baginda Sayyidina Ali bin Abi Talib RA, “Bagaimana orang Islam dengan orang Islam dan hubungan orang Islam dan bukan Islam?” Jawab Sayyidina Ali bin Abi Talib, “Sesama Islam itu saudara kamu, akhukum fiddin – saudara kamu dalam agama”. Oh ok, selesai lah. Dengan Timbalan Menteri macam mana? Jawapan Sayyidina Ali itu tepat. Istilah itu ‘akhukum’ -saudara kamu, ‘fil insaniyah’ – sesama manusia. Sebab itu dalam MADANI ni kita tahapkan, tingkatkan masalah kemanusiaan, ihsan, hormat. Ya. Dia tidak merendahkan. Jadi, tengok. Istilahnya itu akhukum saudara kamu. Cuma ada sama kerana kita sama faith, sama keyakinan agama. Walaupun kadang-kadang dia maki hamun lebih teruk daripada lain. Soal lainnya, di antara apa yang diucapkan dengan apa yang dia amalkan itu ada gap.

 

  1. Selalu saya sebut tentang pandangan T.S. Eliot, salah seorang pujangga terkemuka. T.S. Eliot dia sebut, “Between the ideal and the reality, lies the shadow” – di antara matlamat yang indah dengan kenyataannya, kadang-kadang ada ruang yang samar. Jadi kita tidak harus kekalkan begitu. Jadi ingat ya. Jadi kita seorang manusia. Melainkan dia panggil, dia hina nabi kita atau agama kita, dia ambil parang nak lawan kita. Itu soal lain. Tapi dalam keadaan kemanusiaan, persahabatan, warganegara dengan hak yang sama. Jadi kita harus santuni. Saya tahu ini macam kuliah, kadang-kadang agak membosankan. Bosan ke? Kalau bosan, saya nak berhenti dan (nada seloroh). Tetapi kita terpaksa sebut hal ini. Saya tak ada pilihan. Kena peringatkan. Kerana kita ini, ya kadang ada janggut, ada tudung, cuba nak jadi Muslim yang baik. Tetapi kadang-kadang amalan itu, dengar pandangan dia, kupasan dia, ceramah dia itu melanggar semua prinsip tatasusila. Hina sehina-hinanya. Jadi, tidak melambangkan sosok yang kita anggap keperibadian yang baik.

 

  1. Laqad kaana lakum fii rasulillaahi uswatun hasanah. Kerana kita, contoh terbaik itu pada Rasul. Kesabaran dia, kemuliaannya, menghormati semua, kemanusiaannya, tinggi sekali, dan kita dididik begitu rupa dan kita hidup pula kita bukan pilih. Saudara tidak pilih jadi Melayu, jadi Cina, jadi Iban, tidak. Jadi India, tidak. Dan kita dilahirkan begitu. Kemudian kita cuba jayakan dengan sebaik mungkin.

 

  1. Jadi ini yang pertama saya harap sempena di Kementerian Perpaduan ini, kita harus tanam keyakinan ini, bahawa kecuaian ini akan mengundang malapetaka. Dan bila kita umpamanya tegur, kita jadi khianat. “PMX kan kianat kerana dia menegur orang-orang yang cuba mengambil hukum, undang-undang tangan mereka sendiri dan mencela kelompok yang lain”. Saya tidak pertahankan kelompok yang lain. Tapi kalaupun dia salah, ikut jalur hukumlah. Janganlah kita panaskan lagi suasana. Tak ada untung pun. Dakwah pun tak berkembang. Islam pun tak ditingkatkan kefahaman. Yang tingkat itu hanya kebencian. Kebencian dan permusuhan. Mana tingkat? Pergi cerca sana, cerca di sini. Dialah saja hero dan pejuang dan pembela.

 

  1. Kalau nak bela, tingkatkan dakwah. Dakwah itu pun ada prinsip, Ud‘u ilaa saiiîli rabbika bil-hikmati wal-mau‘idhatil-ḫasanati wa jaadil-hum billatii hiya ahsan. Dakwah itu juga pun ada peraturannya. Jangan semua belajar satu ayat, semua dah jadi pendakwah. Maka sebab itu, kalau tengok kadang-kadang dalam media sosial, makinya kuat. Tak betul. Dia ada kaedah dakwah itu. Dengan baik. Jalan Allah – sabil, bilhikmah – dengan bijaksana. Hikmah itu perkataan berat. Hikmah. Dan guna perkataan yang baik.

 

  1. Jadi saya harap ini kalau dapat diterapkan bermula dari Kementerian Perpaduan, betul-betul ditingkatkan kefahaman. Saya tegaskan di sini kita tidak punya pilihan. Negara ini masih diselamatkan. Tapi jangan kita remehkan. Saya bagi contoh Eropah. Saya bagi contoh lagi yang sekarang itu sejarah. Yang saya sebut 30 years war. Yang ini sekarang. Kebangkitan faham fasisme dan perkauman. Itu kuat sekarang di Eropah dan di Amerika. Benci minoriti, Islamophobia, benci kaum-kaum lain lah, agama lain. Itu merebak di Amerika dan di Eropah. Di kalangan yang pintar. Di kalangan yang terdidik. Mereka bukan jahil dan bodoh. Walaupun dari segi ilmunya jahillah. Mana mungkin orang yang arif, bijak, boleh ambil sikap yang sedemikian.

 

  1. Tetapi percayalah, ya, tidak mudah dan ini menuntut kekuatan daripada kita. Kerana sentimen mengheret dari kaum agama itu lebih kuat, walaupun tanpa sandaran ilmu. Yang ini masalah kita sekarang. Tanpa sandaran ilmu. Jadi saya harap perkara ini, betul.

 

  1. Bila kalau dah sikap ini betul, kita ambil SARA ini. Bayangkan, 22 juta rakyat, dah dapat buat kali kedua, SARA untuk semua. Ya jumlahnya kecil, tapi nak santuni semua. Berapa kesan dia keseluruhannya? SARA dengan STR, 15 bilion ringgit. Dia bukan kecil. Tapi nak meringankan sebab apa? Kita tahu, Thaipusam baru lepas, Raya Cina nak datang, kemudian puasa bulan Ramadhan. Lepas tu nanti jumpa saya ngeng, ngeng, ngeng, ngeng, ngeng… masalah mereka. Jadi kita cuba sedaya upaya. Kita nak banyak sangat sekaligus tak boleh. Kita tak mahu defisit. Nah, urus dan strict. Saudara tahu di kementerian. KSN dia tahu, KSU. Kita cermat belanja. Jadi, mulai hari inilah 9 Februari ya. Jangan ambil waktu pejabat, lepas tu.

 

  1. Dan ada perbedaannya, dulu ada masalah kerana kita boleh beli di kedai-kedai, kedai-kedai besar. Jadi banyak orang bangkitkan. Jadi sekarang ini kita gunakan 10,000 kedai runcit. Belilah dari 10,000 kedai runcit di seluruh negara. Dengan demikian kita boleh kembangkan kegiatannya menyeluruh ke peringkat yang serendah mungkin. Kemudian, dah kita bagi ramai yang tulis melalui KSU. Dia kata tapi kami tak nak juga, kalau boleh, makanan sejuk beku. Dah bagi, ambil je lah. Tapi, tapi dah kalau dah minta, okeylah. Kita bagi, tambahan ini. Jadi belanja dengan baik, ya. Dan walaupun jumlah nampak sikit, kalau ada keluarga empat, lima orang, itu pendapatannya meningkat.

 

  1. Apa yang saya nak tekankan di sini, ya, iaitu kalau negara itu aman dan stabil, kemudian kita tumpu ke arah pembangunan negara dan rakyat, tak mungkin saya fikir ini, semua ini. Kalau ekonomi kita tidak memberikan hasil yang lumayan, ataupun ekonomi itu tidak segar, jadi ini semua berkaitan ini. Berderet, dari politik yang stabil dan memusatkan dalam kegiatan ekonomi. Basic issues. Fundamental economic issues. The correct policies. Kemudian baru boleh menarik penglibatan pelabur asing. Kemudian melatih anak-anak supaya ada keterampilan dalam bidang-bidang yang tidak dikuasai sebelumnya. Semua ini harus kita fikirkan. Kalau ini semua, baru kita dapat berikan hasil pada rakyat.

 

 

 

 

  1. Sekarang kadang-kadang, hal-hal yang penting begini tak dibincangkan. Yang dibincangkan soal bergaduh sahaja. Jadi apa masalah dia di rumah tangga, saya tak tahu. Baik. Kemudian tentunya di Kementerian Perpaduan ini, isu negara bangsa, ada Menteri Aaron memaklumkan kepada saya di Jemaah Menteri, ada kajian-kajian baru, pendapat golongan akademik untuk memberikan beberapa usul untuk memantapkan lagi perpaduan, tapi dia bermula di kalangan pegawai-pegawai Kementerian Perpaduan. Perpaduan pun nyet sana, nyet sini, lepas itu suruh orang bersatu macam mana? Jadi, KSU kena teliti. Ada tak di kalangan penjawat awam di Kementerian Perpaduan ini, tidak ada semangat perpaduan? Tak ada ya? Hmm, ikut kamu lah.

 

  1. Ini mudah-mudahan saya, walaupun saya bergurau, saya yakin, saya tengok. Yang ini, saya serius ya. Saya fikir majoriti tak ada masalah. Saya pun dibesarkan di Bukit Mertajam, Sungai Bakap, Bukit Mertajam. Dan jiran-jiran saya, ya tentu Melayu, ada Cina, ada India. Tapi kita besar dan ya, tak ada sikap permusuhan itu. Saya pergi rumah jiran yang Cina, itu semasa saya kecil lagi. Belum ada lagi soal kesedaran tentang halal, haram, makanannya belum. Tapi setiap kali saya pergi makan, auntie itu akan pastikan saya makan dari nasi bungkus. Saya tengok dia, dia tak adalah bercampur Melayu, banyak sangat. Tapi maknanya kalau kita biar begitu, fahaman begitu, dia ada kesedaran begitu. Maknanya yang ini kita sebut hormat, respect dan ini harus kita hidupkan.

 

  1. Inilah cerita-cerita yang baik yang kita harus kembangkan. Ini cerita yang indah ini terlalu banyak, tapi kita ini sikapnya negatif. Hati ini kadang-kadang selaput. Jadi, negatif sahaja. Ya, aku dalam hidup aku dulu ni, ada tau rumah India ni, dia langsung tak peduli. Dia pergi yang satu India tu. Ni penyakit dia dengan India itu. Saya kalau nak selesaikan, tengok ‘Kuch Kuch Hota Hai’ lah. Selesai dengan masalah India ni. Saya nonton Taj Mahal baru ni.

 

  1. Baik, jadi itulah yang saya nak sampaikan. Temanya adalah semangat perpaduan negara kita. Dan saya jelaskan, isu-isu yang mengheret ke arah perpecahan, seperti mana yang kita kaitkan dengan isu kuil, kita selesaikan mengikut jalur hukum. Begitu juga yang terkait, yang saya tinggal tadi, soal umpamanya ternakan khinzir atau babi. Ternakan khinzir ini bukan soal Cina atau Melayu. Saya ada jiran-jiran, masa di Pulau Pinang, dia makan babi. Jiran yang Cina lah, jangan yang Melayu pula. Ini ya saya tengok macam ini, Tan Sri senyum je. Janganlah, itu syak wasangka, kau ini tak baiklah ni. Ya ada yang tudung kelabu tu. Macam dia “eh Anwar ni”. Ish, ini jiran Cina bukan Islam. Tolong tulis, tulis, tulis. Baik. Yang saya nak tekan kat situ. Tapi, bila ternakan babi keliling rumah dia, dia tak mahu. You see. Dia makan babi. Dia, dia yang tudung kelabu. Bukan saya. Tetapi, dia tidak mahu terenakan babi di sekitar rumah dia. Kerana masalah persekitaran, masalah kebersihan, masalah bau. Begitu jugalah masyarakat. Sebab itu bagi saya, saya tidak lihat dari segi kaum. Dari segi keperluan ya, orang Cina atau yang bukan Islam, makan babi. Jangan kita larang. Itu hak dia.

 

  1. Tetapi, kawasan penduduknya yang tidak makan babi, termasuk orang Islam, itu tentunya kita tidak galakkan. Saya tidak setuju kalau di persekitaran rumah saya dekat Sungai Long, ada ternakan babi. Bukan sebab saya anti orang Cina makan babi, sebab saya tak tahan baunya. Dia kata, “tapi macam mana, bau lembu boleh tak?” Kebetulan lembu tak ada di situ. Tapi tak sama. Dengan najis, masalah [bau]. Apa kata kalau kita ada satu teknologi baru, menjamin kebersihan seperti teknologi di Eropah, di Netherlands? Yalah, boleh cuba. Tapi janganlah bawa tempat dekat kampung kita.

 

 

 

  1. Hal-hal ini kita boleh bincang secara baik. Tetapi jawapannya apa? Apakah harus diteruskan di kawasan yang mungkin menimbulkan kontroversi? Saya jawab, jangan. Sebab kalau ada, cari tempat yang tidak menimbulkan kontroversi. Kerana masalahnya Masalah bau, masalah kesihatan, masalah najis itu masalah yang real, bukan masalah yang direka. Jadi, cari tempat yang ada consensus. Kalau di Kuala Lumpur tak ada, tak adalah. Kalau di Selangor susah, sukarlah. Janganlah cari masalah.

 

  1. Ini yang juga yang saya sampaikan dan kebetulan Tuanku semalam perkenan pandangan ini dan Menteri Besar pun setuju. Cuma kita, baik. Dia kata, “Oh tapi Menteri Besar tak tegas. Kata jangan.” Jangan begitu. Kita kena dengar dulu. Ada orang cadang nak buat di kampung itu. Kita dengar dulu. Bincang dulu. Dari segi kesihatan boleh tidak? Dari segi environment boleh tidak? Dari segi bau okay atau tidak? Tetapi ini, belum apa-apa terus kita kena hentam. Tak boleh sebab kalau kita tolak awal, belum dengar, dia kata kita ni tak sabar. Kita ni anti-Cina, anti-babi. Jadi takkan nak pro-babi?

 

  1. Jadi, saya harap hal-hal ni, ya bunyi macam ya taklah susah sangat, tapi in reality, it is a major problem. Kita bergaduh soal-soal ni. Padahal kalau ikut saya, sebab ini saya tegas. Kuil, saya selesaikan, saya sebutkan tadi. Masalah, yes, yes, nanti akan bantah teruk ni. Tetapi kalau betul-betul haram, janganlah pergi ambil kapak, terus kapak kuil, tak bolehlah. Kadang bagi masa, tetapi bagi masa 3 bulan dia tak angkat lagi. Setahun dia biar macam tu pun masalah juga. Jadi, mesti ada ketetapan dan peraturan dan hukum.

 

  1. Begitu juga tentang ternakan babi. Saya setuju dengan pandangan tidak harus diteruskan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk tempatan. Kalau mahu cari pilihan tempat yang jauh, boleh. Teruskan. Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi atau tidak melarang orang bukan Islam makan babi. Kita tidak mahu memaksa masyarakat yang tidak menghendaki ternakan itu, mengizinkan kawasan dan persekitaran tempat duduk mereka yang menyebabkan pengaliran kotoran. Saya anak Pulau Pinang. Kalau di belah Balik Pulau dulu, memang problem Dah dah besar nak tutup, masalah besar. Tak tutup pun masalah besar. Jadi apa yang kita buat? Tutup tak tutup lah. Tutup tak boleh, tak tutup tak boleh. Jadi, sebab itu jangan memulakan. Bila kita dah mula, dah ada, itu jadi masalah.

 

 

  1. Jadi, saya harap hal ini sebagai contoh, Aaron. Sekadar nak tunjuk bahawa dalam mengendali, mengemudi perjalanan negara ini, dia tidak semudah mungkin. Tetapi, jawapannya bukan dengan bengis, bukan dengan cerca, bukan dengan menghina. Jawapannya itu dengan runding dengan baik, dengan hormat. Kita hormat hak orang yang makan babi, dia hormat hak kita untuk jaga kawasan yang sesuai. Jadi kalau begitu dia aman.

 

  1. Tapi kalau kita mula mengatakan tidak boleh sama sekali, nak fikir, nak bincang tak boleh, sebut terus marah, terus terus ada tunjuk perasaan, baru sebut ni cadangannya. Ataupun yang di sebaliknya, kumpulan lain nak paksa, “No kami makan babi oleh itu mesti ada.” Hal ini kita harus elak.

 

  1. Saya harap Kementerian Perpaduan dan semua yang lain-lain kalau tak sebut kementerian lain kecil hati pulak — dan semua yang lain yang penting ini. Tetapi Kementerian Perpaduan harus muncul sebagai contoh terbaik dalam hal ini. Contoh semangat Malaysia, semangat perpaduan untuk bangkit mempertahankan rakyat dan negara ini.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Share: