TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 27 JANUARI 2026 SOALAN 2 DAN SOALAN-SOALAN TAMBAHAN

27 Januari 2026

TEKS VERBATIM

YAB PERDANA MENTERI

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA,

PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS

 

 

PERTANYAAN       :     WAKTU PERTANYAAN –  PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

DARIPADA             :    YB DATO’ HAJAH SITI ZAILAH  BINTI MOHD YUSOFF

                                      [RANTAU PANJANG]

 

TARIKH                   :    27 JANUARI 2026 (SELASA)

 

 

SOALAN

 

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.

Sebelum saya mengemukakan soalan, saya bersama rakan-rakan di sini mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Ahli Yang Berhormat Kinabatangan. Alhamdulillah sebagai ahli baharu kami di sini.

 

Tuan Yang di-Pertua,

Soalan saya, RANTAU PANJANG, meminta PERDANA MENTERI menyatakan rasional dan kriteria data penentuan usia kemasukan murid Tahun 1 sama ada pada usia 6 tahun atau 7 tahun, serta tahap kesiapsiagaan kerajaan bagi pelaksanaan dasar tersebut termasuk implikasi kepada kebajikan murid.

 

Mohon jawapan. Terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Terima kasih atas soalan itu.

Yang pertama, mengikut angka yang diperoleh daripada UNESCO, 137 negara telah melaksanakan umur 6 tahun bagi kemasukan Tahun 1. Maknanya, lebih 71 peratus negara di dunia yang melaksanakan. Jadi janganlah kita ketinggalan.

Baik, apa kebimbangan kita? Kebimbangan kita ialah andai kata kita belum cukup bersedia. Jadi sebab itu, selain daripada langkah umpamanya sesi 2027, mulai 15 Februari hingga 31 Mac sesi 2027, untuk murid berumur 6 tahun itu dilaksanakan.

Bagi kanak-kanak berumur 5 tahun boleh mendaftar untuk mengikuti prasekolah secara pilihan mulai 6 April 2026.

Itupun saya ingin menggesa sebaik mungkin semua anak-anak mendaftar. Mengapa kita beri pilihan? Kerana pada peringkat awal, kita tidak mahu ibu bapa merasakan kejutan atau paksaan. Tetapi kita sediakan ruang. Ada setahun untuk masuk ke Darjah 1.

Baik, bagi pelaksanaan ini, memastikan pelaksanaan itu berjalan dengan baik. Maka kita tambah kemudahan atau perluasan kemudahan di sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institusi pendidikan guru.

Sebanyak 10,514 bilik darjah prasekolah di 6,469 institusi telah dibuat perluasan, termasuk 150 bilik darjah pada tahun 2025 dan 350 bilik darjah prasekolah baharu pada tahun 2026. Jadi ada persiapan yang besar, yang juga menelan belanja yang agak tinggi.

Untuk tahun ini, tambahan peruntukan dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan adalah sebanyak RM800 juta tamabahan untuk memenuhi keperluan pengambilan 18,000 guru baharu yang diambil. Kapasiti prasekolah kerajaan berjumlah 110,889 tempat. Ia merangkumi KEMAS, Jabatan Perpaduan Negara, Integrasi Nasional (JPNIN), dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Maknanya, kita ambil kira semua, sebab kohort umur enam tahun itu telah masuk dalam bidang kuasa beberapa jabatan yang lain.

Sebab itulah dalam Belanjawan tahun ini, tambahan ini kita akan bentangkan penambahan RM800 juta supaya memenuhi keperluan segera, dan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah pun mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menyegerakan langkah-langkah tersebut.

SOALAN 1 TAMBAHAN 1:

 

Ya, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua,

Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di atas jawapan yang diberi.

Saya ingin tahu, apakah kajian yang terperinci telah dibuat sebelum dasar ini diisytiharkan? Walaupun kita tahu banyak negara yang telah melaksanakan, tetapi sejauh mana kesediaan sistem pendidikan dalam negara kita? Sebab kita tidak mahu anak-anak sekolah kita menjadi tikus makmal untuk eksperimen dasar, dan sejauh mana kebimbangan daripada masyarakat, termasuk kesiapsiagaan kurikulum, latihan guru, kecukupan guru termasuk infrastruktur sekolah?

Dan saya ingin tahu juga kenapa jawapan Menteri yang agak berbeza sebelum ini. Bagaimana kali pertama mengatakan terserah kepada ibu bapa, yang kedua mengatakan kena ujian diagnostik, dan yang ketiga kena lihat bagaimana program ini akan dilaksanakan secara berfasa-fasa, iaitu tertakluk kepada bilangan guru dan bilik darjah.

Bukan kita menolak dasar ini, tetapi pelaksanaannya supaya tidak memberi kebimbangan, terutama kesediaan guru-guru dan kepada ibu bapa.

Saya ingin juga tahu berkaitan dengan sistem peperiksaan Tahun 4. Apa justifikasinya? Begitu juga peperiksaan Tingkatan 3. Adakah kesediaan dari sudut Lembaga Peperiksaan, dan bagaimana pelaksanaan? Adakah pelaksanaan ini menggantikan PT3 dan begitu juga kurikulum sekolah?

Jadi, dasar yang baik ini seharusnya dilaksanakan dengan tersusun supaya tidak memberi kesan kepada pelajar sehingga membawa kepada keciciran. Dan inilah yang sangat dibimbangi oleh ibu bapa, sebab kita tak mahu anak-anak kita menjadi tikus makmal eksperimen dasar baharu Kerajaan. Minta penjelasan.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Saya ingat tujuan kita adalah untuk memastikan anak-anak kita punyai ruang pembelajaran sebaik mungkin. Tak payahlah jauh sangat. Tikus makmal ini dia very elaborate process. Dia ada ujian dan sebagainya. Ini tidak. Semua pelajar yang cukup umur enam tahun masuk sekolah, dan isu dia adakah kemudahan disediakan? Kemudahan disediakan. Ada guru? Guru disediakan. Nak kata sempurna semua? Mungkin tidak. Jadi saya tidak fikir kita jauh sangat.

Negara kita ini, kakak Rantau Panjang, tak boleh ketinggalan, itu pokoknya. Negara semua dah buat. Dan ada persiapan daripada kementerian. Memang benar, saya tak nafikan kalau ikut kementerian pada peringkat awal, dia kata boleh tak kita tangguh setahun lagi. Saya fikir agak berbeda. Saya kata kalau kita tangguh setahun lagi, anak-anak kita itu rugi setahun. Dan anak-anak kita generasi sekarang tak seperti dulu. Umumnya jauh lebih dewasa, lebih pintar, lebih peka dan bagi ruang. Jangan kita fikir guna tahap pemikiran kita yang lama. Memang kita rasa tak boleh. Tapi anak-anak kita jauh lebih pintar. Tetapi yang penting, beri pendedahan kepada mereka.

Jadi yang dibimbangi oleh Yang Berhormat ialah, apakah ada persediaan? Saya jawab, dana kita sediakan. Ya, RM800 juta, mungkin mencecah RM1 bilion. Kita terpaksa cari, kerana ini menjamin masa depan anak-anak kita. Apakah harus kita tangguh? Saya tidak setuju kita tangguh.

Yang kedua, apakah guru-guru disediakan? Guru-guru ada. Dan tadi saya baca angka keperluan guru-guru yang mula diambil sekarang untuk memenuhi keperluan guru-guru di sekolah, terutama di tahap itu.

Apakah ia akan memenuhi keperluan sekolah yang sesak? Sekolah sekarang pun ada yang sesak, terutama sekolah bandar. Jadi saya tak dapat nak jamin semua kelas satu sesi. Tetapi harus kita tangani sekarang. Kerana saya anggap kalau melengahkan, dia akan merugikan negara.

Apakah kita harus wajibkan? Kerana ada kebimbangan sesetengah ibu bapa, kita kata tidak wajibkan. Tapi kalau tanya saya, nasihat sebagai seorang guru dulu, saya kata sebaiknya ibu bapa cuba memenuhi keperluan itu. Tetapi peringkat awal ini, kita masih belum wajibkan.

Jadi saya tidak anggap ini satu keputusan yang akan merugikan, malah satu keputusan yang wajar diberi pertimbangan dan disokong dari semua pihak.

Kita, sekali lagi saya tekankan Tan Sri Yang di-Pertua, negara tidak boleh ketinggalan. Kalau ada beberapa kelemahan yang harus kita lakukan, kita lakukan sekarang.

Sebab itu kita memulakan bulan ini dan dijangka dua bulan selepas Hari Raya umpamanya untuk kemasukan itu ditingkatkan, dan kita masih bagi ruang sebulan, dua bulan bagi anak-anak memikir, mendaftar supaya tidak terlalu membebankan, terutama mereka anak-anak kecil. Kita tahu ia anak kecil. Jadi kita beri ruang, ibu bapa ada masa untuk menghantar anak-anak.

Cuma yang saya nak rumuskan, wa akhirul kalam ini ialah bahawa negara, kalau mahu maju, harus memikir langkah-langkah proaktif dan lebih berani. Dan kalau kita rasa ada beberapa masalah, kita cuba selesaikan dalam masa singkat. Sebab itu saya lihat Kementerian Pendidikan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan telah bergegas untuk melihat semua aspek ini. Aspek dana, aspek persiapan kurikulum, aspek sikap ibu bapa, itu diteliti sekarang supaya kita dapat laksanakan dengan sebaik mungkin, insya-Allah.

 

SOALAN TAMBAHAN 2 BAGI SOALAN 2: YB TUAN LEE CHUAN HOW [ IPOH TIMUR ]

 Terima kasih Tan Sri Speaker,

Terima kasih Yang Amat Berhormat Tambun.

Kita seringkali dengar yang memang dibangkitkan sekolah kurang murid. Tapi kita juga mesti tahu bahawasanya, kita juga ada senarai sekolah padat. Sekolah padat yang mungkin dengan bilik darjahnya, murid mencecah 40 – 40 lebih murid. Dan kita tahu khususnya di Lembah Klang, di Selangor, kita ada SK Kebun Baharu, SK Sijangkang ada SK. Kebun Baharulah yang semua rata-rata memang sangat-sangat padat bilik darjahnya.

Maka saya rasa bangkit satu soalan, saya nak bangkitkan satu soalan yang timbul dari segi kesiapsiagaan dari segi bilik darjah bilangannya atau malah bangunan untuk mengisi, bangunan yang diperlukan untuk mengisi tambahan, penambahan murid yang bakal memasuki sekolah dengan murid-murid yang berumur enam (6) tahun ini.

Bukan sahaja dari segi dana tetapi tempat dan juga sistem dan dasar perolehan untuk membina bilik darjah baru ini. Adakah kesiapsiagaan itu telah telah dibincangkan, telah diputuskan untuk mempercepatkan proses ini khusus kepada semua jenis aliran-aliran sekolah yang menghadapi kepadatan ini. Apabila kita nak fikir tentang dalam setahun ini kita nak ada bilik-bilik darjah yang baharu untuk diisi. Apakah pandangan dasar dan mungkin intervensi kejuruteraan untuk mempercepatkan proses ini?

Terima kasih.

 

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Terima kasih, Ipoh Timur. Memang ada sekolah yang agak sesak sekarang. Ada banyak sekolah-sekolah desa, pedalaman yang kurang murid. Itu memang kenyataannya.

Bagi sekolah-sekolah yang dianggap sesak, pemikiran Kementerian Pendidikan sekarang dari beberapa sekolah, terutama untuk peringkat anak-anak kecil darjah satu yang baharu ataupun prasekolah, itu boleh dibuat dua sesi buat sementara.

Dan saya fikir cara idealnya, kita boleh fikir satu sesi tapi yang penting ialah pendidikan bermutu. Jadi saya setuju kita ambil langkah-langkah segera kalau saya dapat umpamanya taklimat dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, memang dana yang disediakan pun tinggi, kerana yang bagi kita yang diutamakan ialah guru. Itu memang boleh diselesaikan.

Yang keduanya, bilik darjah untuk menghadapi kekangan sekolah-sekolah bandar yang sesak, itu dicadangkan di beberapa sekolah dua sesi. Tetapi kalau ada keperluan untuk ditambah peruntukan memang disediakan peruntukan yang agak tinggi juga tahun ini, untuk menambah kemudahan kelas-kelas baharu dan tambahan.

 

SOALAN TAMBAHAN 3 BAGI SOALAN 2: YB TUAN SYED SADDIQ BIN SYED ABDUL RAHMAN [ MUAR ]

Terima kasih, amat berhormat Perdana Menteri.

Mengawalkan pendidikan Darjah 1 selaras dengan piawaian antarabangsa adalah dasar yang baik secara prinsipnya. Masalah timbul selepas 24 jam apabila ada pengumuman tambahan, di mana walaupun ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke Darjah 1 pada umur 6 tahun, anak-anak mereka sebelum memasuki sekolah perlu lulus ujian kelayakan untuk masuk ke Darjah 1 ini.

Saya dengar ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri beberapa hari lepas, yang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kongsikan sebelum ini tentang kelas pemulihan. Itu contoh yang sangat baik. Tetapi perbezaannya sangat besar. Kerana kalau anak-anak ini tidak melepasi ujian tersebut, dia terkeluar daripada sistem persekolahan selama setahun — twelve months of learning loss. Kalau kelas pemulihan, kita berada dalam sistem persekolahan dan boleh ada intervensi supaya cikgu-cikgu boleh tolong.

Kalau kita ingin ikut dasar UNESCO yang tadi telah kita quote (petik), lebih 130 negara bersetuju dengan dasar ini. Tetapi dalam kajian yang sama, UNESCO juga katakan jangan ada ujian saringan kelayakan yang membahagikan anak-anak yang kurang bijak pada umur yang awal dan anak-anak yang lebih awal belajar at a very young age.

Jadi cadangan Muar mudah. Dasar ini dasar yang baik. Umur 6 tahun patut dibuat. Cuma tolong perhalusi keperluan untuk ada ujian diagnostik ataupun ujian kelayakan. Itu sahaja.

 

Terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

 

Mohon jangan bimbang dengan istilah yang orang kata merunsingkan ini, ujian diagnostik. Rasionalnya itu baik Muar, iaitu, kita nak sekurang-kurangnya ada sedikit sistem penilaian apakah anak itu betul-betul mempunyai keupayaan, atau perlu kita tangguhkan setahun lagi.

 

Tetapi saya setuju dengan gesaan Muar. Oleh kerana kita telah meneliti semula, Menteri Pendidikan mencadangkan supaya ditiadakan ujian diagnostik itu.

 

Namun saya nak tekankan di sini, cadangan awal itu baik sebab ada satu sistem penilaian sebelum anak itu masuk ke sekolah. Tetapi difikirkan nanti ia boleh menjadi diskriminatif. Maknanya ada anak ini masuk Darjah 1 atau prasekolah, dia tak layak, dia kurang cerdik dan sebagainya. Jadi mungkin ada kesan psikologi.

 

Oleh itu, ujian tersebut ditiadakan, itu jelas. Itu adalah cadangan Menteri, dan saya setuju supaya ditiadakan dan dipermudahkan.

Walaupun begitu, kita tetap harus pantau. Tanggungjawab guru dan ibu bapa untuk memantau kelayakkan anak-anak itu.

 

 

Saya fikir oleh kerana dimulakan melalui prasekolah, ada kebijaksanaannya kerana ia memberi ruang kepada kita untuk satu tahun menilai. Begitu juga tentang ujian. Ujian bila Darjah 4. Kita sebut ujian, tetapi maksudnya ada satu sistem penilaian kecil di situ. Itu membolehkan kita bersedia dan ada dua tahun untuk memperbaiki sebelum masuk Tingkatan 1.

 

Tetapi biasalah, dalam apa juga cadangan, ia memang mengundang sedikit kontroversi. Kalau ambil peperiksaan Darjah 3 pun salah, Darjah 4 pun salah, Darjah 6 pun salah, tak buat langsung pun salah.

 

Jadi kita putuskan untuk membuat penilaian di Darjah 4, kemudian kita lihat keberkesanannya. Pendidikan ini dinamik. Saya setuju speaker iaitu harus ada penilaian yang berterusan cuma peringkat awal inilah cadangan yang saya fikir masyarakat ibu bapa  bagi ruang kita cuba dengan sebaik mungkin.

 

Terima kasih.

 

SOALAN TAMBAHAN 4 BAGI SOALAN 2: YB TUAN HAJI AMINOLHUDA BIN HASSAN [ SRI GADING]

 

Terima kasih Tan Sri Speaker.

Oleh kerana isu ini isu yang besar berkaitan dengan masa depan anak-anak. Sebagai bekas guru, 30 tahun yang terlibat, pertama sekali, Sri Gading menyokong dengan penuh harapan kerana kita dapat membantu, pertama sekali keluarga muda yang mempunyai anak-anak yang bekerja, ibu bapa yang bekerja, pendapatannya rendah, nak hantar ke tadika dia tak mampu. Kadang-kadang menyebabkan anak-anak pada usia 6 tahun itu tak masuk lagi tadika.

 

Jadi dengan adanya sekolah ini, dia memberikan peluang kepada ibu bapa yang pendapatan rendah tapi boleh hantar anaknya ke sekolah tanpa melalui tadika, itu yang pertama.

 

Yang kedua, dari segi kemudahan dan sebagainya, sepertimana yang telah dijawab oleh Yang Amat Berhormat Tambun, kita sebagai wakil rakyat memang mengharapkan kemudahan-kemudahan ini, keselamatan anak-anak dan juga keperluan guru, itu sangat diperlukan. Sebagai contohnya, jawapan daripada Yang Amat Berhormat tadi, apabila kalau katakan kelas itu penuh, memang baik cuba buat sebelah petang. Tetapi janganlah anak-anak yang muda ini, yang kecil-kecil ini, dibuat sebelah petang.

 

Dan kami mengharapkan bahawa langkah yang dinyatakan tentang sebagai tikus makmal ini, saya rasa jangan keluarkanlah istilah-istilah sedemikian rupa, kerana Kerajaan ada tanggungjawab untuk membantu rakyat, untuk membantu warganegara kita yang memerlukan pendidikan awal kepada anak-anak mereka yang tak mampu ke tadika.

 

Jadi apakah pandangan Yang Amat Berhormat tentang cadangan iaitu supaya membantu keluarga muda ini dapat tempat menghantar anak-anak dia ke sekolah.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

Perinciannya Kementerian Pendidikan akan uruskan. Cuma kita harus juga tahu bahawa dengan keputusan ini, perbelanjaan Kerajaan meningkat lebih besar. Banyak anak-anak dari umur 5 tahun, 6 tahun sudah diberikan pendidikan percuma. Jadi dan ini akan berterusan sehingga dia di Tingkatan 5, Tingkatan 6 atau dalam sistem pendidikan kita.

 

Jadi oleh itu, saya mohon kerjasama semua rakan-rakan berikan dukungan untuk perkemas dan perbaiki sistem ini. Yang dicadangkan itu adalah bagaimana kita mampu perbaiki dan tentukan sesi dan sebagainya itu saya serah kepada kebijaksanaan Kementerian Pendidikan untuk menentukan. Cuma saya harus akui untuk beberapa sekolah bandar mungkin tidak dapat diadakan satu sesi itu sebabnya.

 

Dan ideally, dalam sistem pendidikan kita perlu satu sesi, tapi secara praktiknya kerana kos itu melambung maka ada keperluan beberapa sekolah bandar yang sesak adakan dua sesi. Tapi dua sesi kalau untuk anak-anak prasekolah atau Darjah 1 saya fikir munasabahlah untuk kita beri pertimbangan.

 

Terima kasih.

 

 

 

Share: