TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PENGHARGAAN KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025
19 Januari 2026
Skip to content
TEKS VERBATIM UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PENGHARGAAN KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025
19 JANUARI 2026 (ISNIN) | 3.00 PETANG
MAEPS, SERDANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin
Nahmaduhu wa nussolli ala rasulihil kareem
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri I;
YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan,
Menteri Luar; dan
Seluruh keluarga Kementerian Luar yang menjadi penyelaras utama dalam menjayakan.
- Rakan-rakan Menteri, KSN dan Pegawai-pegawai. Terlalu ramai yang telah berkhidmat dengan bertungkus-lumus, dan seperti mana disebut oleh Saudara Haji Mohamad bin Haji Hasan, hendak senarai satu persatu memang sukar, tetapi percayalah dari lubuk hati saya dan saya percaya rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri yang ramai hadir pada hari ini, kami teruja dan syukur Alhamdulillah, kerana ada pasukan bertugas sepenuh masa, sukarelawan, Kerajaan, swasta, agensi yang bekerja dengan ikhlas tungkus-lumus mengangkat nama Malaysia di peta dunia.
- Jadi, hari ini tujuan kita hanya nak menyampaikan penghargaan, Jazakumullah khairan kathiran, terima kasih. Saya pikul amanah ini dan rasa sangat syukur kerana ada pasukan yang tunjukkan iltizam dan komitmen yang luar biasa dari sekecil-kecilnya, kota yang boleh dibersihkan, maknanya tukang cuci, seni budaya yang dipersembahkan dengan begitu menarik, mempersonakan. Maknanya Kementerian-kementerian, Jabatan, anak-anak dan PDRM, KPN yang tunjukkan prestasi luar biasa mengendali tanpa satu insiden yang mengganggu kita.
- Kastam, Imigresen, pasukan kawalan semuanya. Swasta dan lain-lain lah, tapi saya nak senaraikan, maknanya ia tugas memang berat, tapi saya rasa ringan sekali bila lihat umpamanya rakan-rakan, selesai taklimat 11.30 malam, jam 12.00 tercegat lagi pasukan keselamatan. Pegawai-pegawai daripada Kementerian Luar, dari MITI, dari MOTAC, kalau tak sebut Kementerian-kementerian lain nanti kecil hati pulak, semua lah. Tidak kira masa, tak ada nampak lelah dan letih kerana apa? Kerana khidmat mereka Lillahi Ta’ala mengangkat nama baik negara kita tercinta.
- Bahagian kedua saya nak sentuh dari segi yang substantif, saya lontarkan pandangan mengenai kesepakatan kita. Sebab itu selalu saya tekankan, jangan remehkan kepentingan, Kerjasama, muafakat, dan perpaduan kita. Ini yang kita nak angkat ini nama baik Malaysia.
- Apa kita terlalu terikat dengan sentimen jabatan ataupun kementerian ataupun negeri ataupun kaum? Tidak! Kita bekerja sebagai satu pasukan dan negara ini mampu lebih hebat kalau kita angkat kesedaran ini bahawa bersama semua kaum, semua jabatan, semua kalangan, menumpukan perhatian, menyelamatkan diri, keluarga, masyarakat dan mengangkat Malaysia ini sebagai suatu negara yang hebat di rantau kita. Kerana semangat perpaduan kita. Dan tidak melayani sentimen-sentimen yang negatif.
- Apa yang dicurigai sebelum ini? Mana mungkin boleh bawa tokoh-tokoh besar dunia, Presiden Amerika Syarikat, Presiden Xi Jinping China, semua kepala negara ASEAN. Bawa pertama kalinya ketua-ketua negara Arab, negara Teluk-GCC. Bawa antara negara kuat di Afrika, Ramaphosa dan di Amerika Latin, Lula. Semua berpengkalan di sini.
- Dan saudara saudari, percayalah bila saya sebut, tidak ada siapa pengunjung dari luar yang pulang tanpa terkesan dengan kehebatan Malaysia, pertumbuhan ekonomi Malaysia, cara kita mengendali persidangan, cekap, bersih, ikut jadual, dan balik dengan perasaan anak-anak yang terima baik dengan senyuman, yang menjaga hotel, kamar, yang menjaga keselamatan, yang memandu, semuanya jalankan tugas itu sepenuh hati.
- Jadi, hari ini setakat ini yang saya boleh sampaikan, iaitu penghargaan yang luar biasa. Saya minta maaf kadang-kadang agak sentimental sikit pada petang ini. Kerana saya, Dato’ Seri Zahid, Dato’. Fadhilah, Dato’ Seri Mohamad bin Haji Hasan, dan Menteri-menteri lain, Saifuddin ada sini, KSN. Ini sudah hadir ratusan sidang seluruh dunia, dan percayalah, baik di barat atau timur, utara atau selatan, bila Malaysia mengendali dan mengemudi persidangan, kita mampu menjalankannya dengan di antara perkara terbaik yang pernah dicapai.
- Ini yang pertama, yang kedua, isu yang lebih substantif yang saya nak bicarakan. Sebab itu, apa yang kita boleh belajar daripada pengalaman ini? Pertama, negara mesti aman dan stabil. Orang tidak akan melayani, tidak menghormati kita kalau kita terus bergeser. Soal pecah belah, sesama parti, atau kaum, atau negeri. Politik dan negara mesti aman dan stabil. Pimpinan harus berasa dan memikul tanggungjawab, menggalas amanah sebagai sesuatu secara serius, dengan tatakelola yang baik, Itqan fil amal, sentiasa berusaha memperbaiki. Dasar-dasar yang jelas.
- Kita tidak mahu orang datang sekadar lihat tarian ini hebat, sambutan yang baik, negerinya bersih, tersusun, ya itu baik, tapi kita nak dia lihat juga cara kita urus ekonomi, cara perpaduan di kalangan kita, cara kita menggapai teknologi baru, AI-nya, dengan data center nya, dengan teknologi maklumatnya, dengan seluruh fokus dalam memilih tenaga baru, perdagangan antarabangsa, pelaburan. Jadi, kita nak dikenali dalam bidang-bidang ini dengan melibatkan apa yang saya kaitkan dengan dasar yang jelas, pimpinan harus tegas, dan bersih, tata kelola harus baik penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan, dan rasuah mesti dibanteras.
- Dasar mesti jelas, ke mana hala tuju kita dari segi ekonomi? Ekonomi maju, mengangkat martabat negara, apa dia kebajikan dan faedah kepada rakyat? Apakah hasil pelaburan ratusan bilion itu boleh dipulangkan kepada rakyat? Ini dasar yang cuba kita sampaikan. So, di parlimen saya jelaskan sedikit isu ekonomi dan selepas itu meluncurkan pelan pendidikan bagi negara kita supaya mutu pendidikan dapat ditingkatkan.
- Apa kaitannya dengan sidang atau majlis meraikan saudara- saudara? Maknanya, kejayaan mempengerusikan ASEAN dan Kepengerusian ASEAN tahun lalu itu tidak harus menyebabkan kita leka, mengajar kita supaya bekerja lebih kuat, lebih bertanggungjawab, kerana yang lebih penting dari pengiktirafan dunia adalah keupayaan kita mengangkat, memperbaiki ekonomi kita dan membela nasib rakyat kita.
- Dan mudah-mudahan hal yang substantif juga dibincangkan. Dan saya hargailah rakan-rakan, KSU, Tuan Amran dan rakan-rakan Kementerian Luar, Kementerian Ekonomi, Kementerian MITI, Kementerian Kewangan, kerana membantu dalam merancang program-program yang substantif dari segi ekonomi yang kemudian mudah dipilih.
- Bila Tok Mat Hassan sebut tadi tentang Vision 2045, itu sebenarnya walaupun diterima oleh rakan-rakan ASEAN, itu titik peluh keringat, perah oleh penjawat awam, pegawai-pegawai kita yang menyelaraskan kegiatan dengan baik dan meletakkan satu wawasan yang diterima oleh negara ASEAN, yang cukup membanggakan saudara-saudara.
- Dan kita tunjuk bahawa kita sedia berkawan dengan negara kaya, negara besar Amerika, China, tetapi kita juga mengambil berat tentang jiran yang dahulunya sebahagian dari Indonesia dan sekarang ini namanya Timor-Leste, yang dianggap negeri yang termiskin di rantau kita, tetapi kita memberikan perhatian, penghormatan, pengiktirafan seperti mana saudara kita yang lain. Ini satu pengajaran penting bagi negara kita.
- Kita tidak hanya berkawan dengan orang kaya. Kita tidak hanya berkawan dengan orang yang maju dan rasa megah dan bangga dengan itu. Kita juga mengiktiraf rakan-rakan kita, jiran kita yang memerlukan kerjasama dan pertolongan kita. Sebab itu, kita berusaha sedaya upaya mendapatkan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN tahun lalu.
- Ini mesej yang jelas saudara saudara. Jadi, mudah-mudahan majlis ini kita akan teruskan dan ingat ya, agenda kita, langkah-langkah yang harus diambil itu masih banyak. Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan saya di Jemaah Menteri, rakan-rakan saya semua KSU, KP, Ketua Pengarah, Ketua Polis Negara, semuanya lah, yang telah membantu dan teruskanlah usaha itu dengan gigih kerana negara memerlukan dan kita bertanggungjawab akhirnya kepada Allah S.W.T supaya dapat menyempurnakan tugas dengan sebaik mungkin.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
