TEKS VERBATIM: UCAPAN VERBATIM YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMPENA PROGRAM HARI KELUARGA DAN RAPAT REFORMIS KEBANGSAAN 2026

3 Januari 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA 

PROGRAM HARI KELUARGA DAN RAPAT REFORMIS KEBANGSAAN 2026  

             3 JANUARI 2026 (SABTU) | 2.30 PETANG

BUKIT BERUTUNG GOLF RESORT RAWANG, SELANGOR

 

 Reformasi!

Reformasi!

Reformasi!

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah Rabbil ‘Alamin

Nahmadu wa nusalli ala rasulihil karim

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Saudara-saudara yang tolong menganjurkan majlis pada hari ini;

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari,

Dato’ Menteri Besar Selangor;

Yang Berusaha Haji Mustapa bin Omar,

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia;

Yang Berhormat Senator Tuan Amir bin Haji Ghazali, dan

 

Ramai kawan-kawan lain, rakan-rakan, Naib Presiden, ramai Menteri-menteri.

Saudara bayangkan, bayangkan begitu ramai Menteri, saya terkejut sikit hari ini.

Bangun, bangun Menteri semua bangun, termasuk Menteri Besar. Haji Mustapa? Senator Tuan Amir janganlah bangun, kamu bukan Menteri lagi kan Amir? okay, terima kasih, terima kasih.

Bila saya sebut menteri, Senator Tuan Amir yang mahu bangun, jangan lagi, belum. Baik, dak saya kata bila saya minta Menteri bangun, saya tengok Senator Tuan Amir pun nak bangun, saya kata jangan lagi.

Baik, jadi kita ingat yang dilantik itu hasil dari keringat air mata perjuangan rakan-rakan semua. Perjuangan itu menuntut perubahan.

 

Sistem bukan orang. Perdana Menteri, Menteri silih berganti. Itu orangnya. Tetapi yang kita tuntut itu sistem supaya lebih adil. Jadi ini isu saya nak sentuh sedikit, sementara Otai-otai Reformis ini ada. Supaya jangan balik rasa kecewa, bagi contoh yang baik.

 

Semua kumpulan Otai ini bersepakat, satu. Terima kasih dan tahniah kepada Mustafa, Amir yang ambil inisiatif ini bekerjasama. Contoh kepada anak-anak muda sekarang. Otai tahu sejarahnya. Bukan sejarah untuk mengangkat satu orang atau sepuluh orang. Minta supaya ada perubahan, ‘Islah’ – perubahan, ‘Mastata’tu’ – sedaya upaya kita.

 

Baik sekarang, Alhamdulillah kita dapat mandat jadi Kerajaan. Apakah kita penuhi semua? Tidak. Kadang-kadang kita lupa kalau KEADILAN 30 kerusi, kalau Pakatan Harapan 82, tapi kadang-kadang kita bicara macam kita control 200 kerusi Parlimen.

 

Jadi kena ingat, perubahan mesti dilakukan, tapi mesti waras, mesti bijaksana, mesti faham, runding dengan baik, musyawarah di kalangan pimpinan. Semua parti ini bukan mudah kerana masing-masing parti ada keutamaan mereka.

 

Jadi kita harus mengemudi dengan bijak. Tapi, satu hal yang tidak boleh kita sangkal. Kita tegak untuk bawa perubahan; tolak rasuah, tolak penyelewengan, tolak keangkuhan, itu dia. Dan kita juga ikrarkan, kalau nak buat perubahan, masa kita ada kuasa. Saya tak mahu ikut macam pengalaman orang-orang yang sudah lama jadi Perdana Menteri atau Menteri, bila ada kuasa sama ada dia punggah harta atau tidak buat apa-apa. Bila tak ada kuasa beleter hari-hari.

 

Dulu kita kata Mak Lampir, sekarang banyak Mak Lampir, Pak Lampir, Bang Lampir, Kak Lampir hari-hari. Masa ada kuasa, tidak buat banyak. Masa tidak ada kuasa, semua tidak betul.

Ini cabaran kepada kita yang berkuasa. Masa ada kuasa, buat sebaik mungkin. Mudah? Tidak. Orang semua setuju? Tidak. Orang yang biasa dengan rasuah tidak mungkin menerima kita dengan baik. Orang yang mendukung perasuah tidak mungkin akan senang dengan kita. Orang yang telah menceroboh kebebasan badan kehakiman, tidak akan senang dengan keputusan bebasnya badan kehakiman.

 

Sebab itu, guna kuasa dengan bijaksana. Otai ada tanggungjawab. Kalau berkumpul, seperti yang Mustafa lakukan, terima kasih. Kita akan tentunya ingat dan prihatin.

 

Saya jumpa Maszlee tadi saya tanya, orang yang sama bersama dengan kita. Yang meninggal, orang yang kuat dulu, yang datang dengan kerusi roda, bertongkat. Ingat jasa dan khidmat mereka dan mereka juga harus sampaikan.

 

Jadi saya bagitahu kepada Mustafa dan Amir tadi, setiap cabang harus ada Unit Veteran, dan Unit Veteran itu dapat mengumpulkan semua tenaga Otai. Bekerjasama dan perkukuh cabang, barulah kita boleh bawa perubahan.

 

Kita masih berhadapan dengan pelbagai masalah, kita buat apa pun perubahan, yang dibangkitkan soal kaum, yang ditakutkan soal Cina. Setengah orang Cina dia fikir seolah-olah Malaysia ini masalah sekolah Cina sahaja tak ada isu lain. Setengah orang India pun begitu, sebab itu kita nak ajak Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak boleh bawa isu mereka, tetapi lihat dalam kerangka besar Malaysia. Barulah boleh negara ini selamat.

 

Saya diberitahu oleh rakan-rakan Otai, majlis hari ini santai. Semalam datang masak sendiri. Ada yang bawa makanan dari luar. Ini amalan dulu. Ini orang-orang baru tidak tahu ini. Dia ingat majlis dulu ini macam sekarang. Tidak. Dulu bawa makanan. Ini tadi saya makan itik, dibawa dari Taiping. Ya, maknanya amalan itu masih ada. Sekarang sudah kurang. Jadi, semangat itu mesti kita hidupkan.

 

Bukanlah saya suruh bawa rendang itik ke sini. Tapi saya nak maksudkan, kerana biasa dengan cara begitu. Saya pergi kempen di mana-mana. Di Ulu Perak, Kelantan, ada orang bungkus makanan; cekodok, goreng pisang, kerana itu biasa. Dalam keadaan kita dulu, mengharung berjuang dalam keadaan susah.

 

Jadi, sekali lagi saya hendak ucap penghargaan yang setinggi-tingginya. Tanpa saudara-saudara, kita tidak boleh berdiri di sini dengan bergaya.

 

Jadi, saya harap dengan mesej saya ini, Menteri-Menteri ada, Timbalan Menteri ada, Pimpinan Keadilan ada, ambil perhatian tentang masalah yang dihadapi oleh Otai-otai kita.

 

Sebaiknya kumpul sebagai satu kekuatan, supaya hubungan kita lebih baik. Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada Mustafa dan semua yang menganjurkan majlis.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

Share: