VERBATIM: TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI SEMPENA PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA KEMENTERIAN KERJA RAYA

8 Disember 2025

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA KEMENTERIAN KERJA RAYA

8 DISEMBER 2025 (ISNIN) | 8.30 PAGI

DEWAN TAN SRI MAHFOZ KHALID

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin,

Nahmaduhu wa nusalli ala rasool kareem,

Wa alihi wa sahbihi ajma‘in.

 

Salam Malaysia MADANI, Salam Segulai Sejalai.

 

Saudara Menteri,

Dato Sri Alexander Nanta Linggi;

 

Timbalan Menteri,

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Maslan;

 

Ketua Setiausaha Negara (KSN);

 

Ketua Setiausaha (KSU); dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Saya diminta pakai ini sebagai menyokong yang dipaksa oleh wanita untuk menjayakan Kempen Anti-keganasan Terhadap Wanita. Jadi kita bersama-sama.
  2. Berbincang dengan Tan Sri KSN, kita mulakan perjumpaan bulanan ini daripada saya tumpu di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan, jadi kita harus adakan siri ini mengikut Kementerian. Setiap bulan kita pindah ke kementerian supaya dalam perjumpaan berikutnya setelah ada pertemuan, kita ada sesi khas dengan Menteri dan pegawai-pegawai untuk mendengar apa-apa masalah dari segi pelaksanaan, program atau rencana yang ditetapkan.
  3. Memang kita pilih KKR, kerana KKR dari sudut kepentingan pelaksanaan itu diantara kementerian utama untuk menentukan sama ada program yang kita lakar dan tetapkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan saya mulakan untuk menyatakan terima kasih dan penghargaan kepada menteri dan rakan yang telah bekerja.
  4. Ini saya tekankan kerana orang mengandaikan bahawa program-program yang dijalankan itu sebagai sesuatu yang sedia ada, tidak. Ia melibatkan kerja sepasukan, dia melibatkan komitmen, dedikasi, disiplin, keikhlasan, ikhlas Fi Amanillah, dia melibatkan kesungguhan dan keupayaan untuk merubah perkara dan kaedah pelaksanaannya. Ini yang saya minta selalu laksanakan oleh KSN, KPPA, KSU membantu, bukan sahaja sekadar meneruskan tetapi memperbaiki prestasi kita dari semasa ke semasa.
  5. Kita bersyukur, Alhamdulillah kerana beberapa kejayaan yang kita paparkan termasuk semalam di Majlis Rancakkan MADANI untuk merakyatkan dan minta supaya kita dapat santuni dan rakyat ikuti perkembangan. Dan saya dapat catatan tadi pagi dari Tan Sri KSN, kita banyak buat perhimpunan, majlis-majlis menyantuni rakyat, tetapi kali ini setelah tiga tahun MADANI, Alhamdulillah sambutan itu luar biasa, mencecah lebih setengah juta yang hadir dalam tiga hari. Ini penting kerana kita boleh lakukan perubahan-perubahan, tetapi kalau dia tidak ditangkap, dirasakan oleh rakyat, dia keberkesanannya itu akan dipersoal.
  6. Jadi tiap projek, tiap perlaksanaan, tiap usul baru, baik SARA atau STR ataupun Sistem Persaraan Penjawat Awam, projek-projek dilaksanakan, jambatan, sekolah, jalan raya dan sebagainya itu, dapat dilihat sendiri oleh rakyat apa yang berlaku mengikut jadual atau tidak dan perkembangan setiap tahun.
  7. Sebab itu bagi saya, perhimpunan-perhimpunan itu bukan sekadar pesta-pestaan sahaja, atau beli belah dan kegiatan-kegiatan seni budayanya juga penting bagi masyarakat, tetapi beri pencerahan. Semua orang berbicara tentang kebebasan dan demokrasi, tapi semangat musyawarah itu kalau dalam tradisi masyarakat kita, semangat musyawarah, gotong royong itu bermula dengan kefahaman, dengan pencerahan.
  8. Semua orang sekarang ini nak jadi pakar. Ada sesetengah orang kalau dalam, bila ada ruang dia boleh bicara seolah-olah dia pakar dalam semua hal. Ada orang kalau ditanya, dia boleh jawab semua isu, termasuk banyak isu yang dia tidak tahu. Sebab itu, menggunakan kebebasan itu harus juga ada pertanggungjawaban. Ilmunya, pencerahannya, maklumatnya. Sebab itu kalau kita baca, kena dakwah sekalipun, dia harus berteras dengan beberapa kaedah yang disebut fiqh dakwah, iaitu kaedahnya termasuk memahami subjek yang dibicarakan, menyampaikan dengan baik. Sebab itu dalam gesaan dakwah dan Al-Quranul Karim itu bil hikmah. Apa bil hikmah? Dengan b
  9. Kebijaksanaan itu dengan menyampaikan maklumat dan ilmu tidak untuk menimbulkan perpecahan, permusuhan. Tambah lagi kita di Malaysia ini, pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai wilayah, pelbagai budaya, jadi mesti hikmah itu menunjukkan ada semangat kasih sayang. Diulang, bil-ḥikmah wal-maw‘izhati al-ḥasanah, wa jādilhum billatī hiya aḥsan. Tiga (3) kali, hikmah dengan cara yang baik.
  10. Jadi, tentunya ada maksud penyampaian dalam semua bidang. Ada orang tanya saya, ini soal projek jalan raya, jambatan, sekolah, apa kena-mengena dengan dakwah bil-ḥikmah? Tapi kebijaksanaan itu penting, nak menyampaikan itu dengan bijaksana, dengan waras, dan sebab itu, di atas hadis yang paling awal dihebahkan, kebanyakkan muhaddisīn itu tentu soal yang ditekankan ialah soal kasih sayang.
  11. Jadi bagi negara MADANI, apa dia kaedah yang agak unik bagi pandangan saya? Tentunya Kemampanan, pertumbuhan ekonomi, Peralihan Tenaga, Energy Transition atau Transformasi Digital, AI, itu semua penting. Tetapi terasnya masih Nilai, masih Kemanusiaan. Jangan kita lupa itu. Yang kita bangunkan itu bukan sekadar gedung. Bukan sekadar jambatan, bukan jambatan besi, betul, tapi jambatan besi itu untuk menghubungkan manusia. Jalan konkrit itu untuk dimanfaatkan oleh manusia. Sekolah bangunan fizikal yang kita bangunkan itu untuk mendidik manusia.
  12. Jadi nilai manusiawi itu jangan kita tinggalkan. Itu yang disebut karamah insaniyyah – walaqad karramnā banī Ādam. Kemudian, dalam penyampaian ini saya tekankan kadang-kadang dalam pertarungan kita, baik politik, baik perselisihan faham, baik ideologi, baik kaum, suku kaum, negeri, itu kadang hilang nilai kemanusiaanya. Dia luput.

Dan kita kadang-kadang dewa-dewa agung, jadi, soal nilai itu diketepikan.

  1. Umpamanya dalam soal memerangi rasuah sekarang, nilai itu juga terhakis. Kita kata kita benci rasuah, bila ambil tindakan kalau kena kepada kawan kita, dah kita marah. Bukan setakat itu, kita sekarang ada pula trend aliran untuk mendewa dan mengagungkan pemberi rasuah. Saya fikir sangat-sangat menggusarkan, kerana ini tidak akan mampu mengangkat negeri kita dan negara kita.
  2. Yang saya sebut tadi hadith awal itu, Irḥamū man fil-arḍ, yarḥamkum man fis-samā’. Ini satu hadis yang menyentuh soal kemanusiaan, bukan kebencian kaum atau agama dan bagi kita negara sangat penting ditekankan. Apa maksudnya Irḥamū man fil-arḍ ? Tunjuk kasih sayang kamu di bumi. Saudara merangka untuk membina jambatan, niatnya apa? Kerana kasih sayang pada manusia yang tidak boleh menyeberang dengan baik. Menunjukkan kemudahan kerana kasih kepada manusia
  3. Kenapa gedung-gedung sekolah itu hebat? Ya, nak canggih, nak hebat, nak ada AI, smart city, smart school, tetapi untuk apa? Kerana kasih kita kepada anak-anak kita, malah kalau dalam Islam ditekankan, sebutnya kasihnya bukan fi al-insān sahaja, fi al-arḍ, di bumi, haiwan, pohon-pohon, gunung-gunung, yang jahanam kadang-kadang. Banjir itu kadang-kadang ada benarnya juga. Air pasang, hujan banyak, tapi bukan semuanya benar. Sebahagiannya runtuh kerana tamak haloba, kegelojohan manusia. Meruntuhkan bukit-bukau, melunaskan balak sehingga terhakis dan terbebannya itu rakyat.
  4. Jadi bila kita sebut, Irḥamū man fil-arḍ, kasihlah kamu, sayanglah kamu, yang di bumi, itu termasuk bukit bukau. Sebab itu dalam saudara melakar bangunan, kalau tebing bukit dan sebagainya, itu semua di ambil pengiraan, betul dari segi kejuruteraannya, kepakarannya kepada saudara-saudara, saya tidak mahu argue, saya tidak tahu. Bincang falsafah, agama, ekonomi saya boleh sedikit. Kejuruteraan, jenis bentuk bangunan semua, ada nota yang Ketua Setiausaha bagi, saya tidak larat baca, saya pun tak faham semua. Itu jadi kita hormat kemahiran, kepakaran saudara.
  5. Tanggungjawab saya menekankan bahawa dalam negara MADANI ini, bila kita sebut Ihsan, Hormat ini maknanya membina gedung itu sebenarnya membina manusia dengan nilai manusiawi untuk faedah manusia. Jadi fil-arḍ itu untuk manusia. Tentu manusia itu muslim dan bukan Islam. Ada orang kata kalau sekolah itu berbeda, tidak. Ada hal soal akidah, soal ibadat, soal solat itu kita berbeda. Tapi soal kehidupan, soal keadilan, soal kemanusiaan, soal pembangunan, soal kesejahteraan, itu bersama. Itu pertama, manusia.
  6. Yang keduanya, haiwan, kasih. Yang ketiganya, pohon-pohon dan bukit-bukau dan bumi yang kita pijak, apa ertinya? Sekiranya ini dimaknai dan diamalkan – Irḥamū man fil-arḍ, yarḥamkum man fis-samā’, nescaya yang di langit akan mencurahkan rahmat dan kasih sayang kepada kita.
  7. Bayangkan, saudara buat jambatan, apa kena mengena dengan yang lain? Niat yang ikhlas, yang bersih, yang tidak kira komisen dan rasuah penyelewengan, dilaksanakan dengan baik, Dengan maksud membina satu jambatan yang terbaik, dengan kos yang ada, untuk faedah manusia, dengan harapan dan niat kasih sayang kepada manusia. Yang di langit akan curahkan rahmat kepada saudara. Ini bukan saya kata, ini hadis Nabi Muhammad S.A.W.
  8. Bayangkan, setiap hari yang saudara kerjakan, setiap design yang sudah lakar, setiap kaedah baharu yang diperkenalkan, setiap usaha untuk mempercepatkan, menyiapkan. Orang yang memerlukan jambatan itu untuk siap Januari tapi tertangguh bulan Februari, sebulan dia derita. Tertangguh enam bulan, dia sengsara, tertangguh sepuluh bulan, dia duka lara.
  9. Jadi sebab itu, kalau niatnya begitu, saya percaya kita boleh lakukan. Dan bayangkan, saudara hanya mencatat minit mesyuarat dengan niat baik untuk kebaikan keluarga kita, kemanusiaan seluruhnya, walaupun menyempurnakan tugas jabatan. Bayangkan yarḥamkum man fis-samā’, yang di langit itu akan mencurahkan kasih sayang kepada kita. Tak terbayar kita. Tak termampu kita meneruskan projek. Tetapi yang dicurahkan dari langit itu, percambahannya hanya kerana niat kita kasih kepada manusia. Ya. Jadi, demikian mukadimah saya.
  10. Tentang Negara MADANI dan kasih sayang serta nilai, kerana seringkali kita lupa. Semua kita sibuk dengan kerja, kita lupa sebenarnya. Kalau kata saya umumkan semalam, miskin tegar — Alhamdulillah Malaysia satu-satu negara, saya tidak mahu dabik dada dari usaha saya orang, kata Anwar angkat. Bukan. Ini pasukan. Alex (YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi) saudara Alex ada dalam Jemaah Menteri, ini tekad kita bersama. Kemudiannya Ketua Setiausaha Negara menterjemahkannya jadi pelaksanaannya. 
  11. Ahmad Maslan (Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan) bawa dalam parti dia untuk memberikan dukungan supaya dalam hal-hal yang pokok ini kita bersama. Dan syukur Alhamdulillah kerana kita catat, hampir menoktahkan. Kalau 0.09% itu, maknanya menoktahkan.
  12. Jadi, ada catatan? Adakah ada kelemahan? Masih ada. Apakah harus kita perbaiki lagi? Harus, ya. Kerana manusia ini dinamik. Untuk mencapai kejayaan, itulah ‘Itqan fil-‘amalstriving for excellence. Itu bukanlah kita meremehkan apa yang kita lakukan. Tapi kita akui bahawa masih ada ruang untuk diperbaiki.
  13. Itu yang saya tekankan dalam tajuk kedua ini ialah tentang Kementerian Kerja Raya. Saya merenung Kementerian mana nak pergi ini. Saya terus berfikir KKR, yang pertama pasal YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Saya kawan sejak ayah dia lagi. Baik. Tapi saya nak sebut di sini bila berfikir, kita ada rancangan. Dan Alhamdulillah, dalam ombang ambing politik beberapa tahun sebelumnya, sekarang 3 tahun Kerajaan dan politik negara stabil, Alhamdulillah. Walaupun biasalah hal politik boleh baca sedikit-sedikit itu cukuplah, jangan runsing sangat. Hari-hari “Anwar turun, kejap lagi saya turun’’ (PM berseloroh) itu biasa.
  14. Tetapi Alhamdulillah, kita dapat bertapak dan catat. Saya tidak akan mengulangi pertumbuhan 5.2% peratus. Pengangguran 3%, kemiskinan tegar 09%, pelaburan tertinggi dalam Sejarah, semua okey. Saudara pun dah ikuti dan semalam kita ulang semula. Tapi yang saya nak tegaskan di sini ialah memahami bahawa politik negara yang stabil itu harus dimanfaatkan untuk melakar program yang jelas dan melaksanakan. Saya tidak katakan mudah. Tetapi setelah setahun mungkin sukar, tapi tiga tahun orang boleh buat ukuran.
  15. Dan kerana kadang-kadang sikap sesetengah pihak yang sangat negatif. Dia melihat hanya hal-hal yang negatif. Di rumahnya pun, saya pun simpati lah kalau dengan isterinya, kalau sikap dia itu asyik marah, dia balik rumah macam mana agaknya? Tetapi sampai ke situ. Jadi saya tanya kenapa kita pilih Kementerian Kerja Raya? Sudah stabil, perancangan sudah ada, dan prestasi Alhamdulillah.
  16. Dan untuk terus maju dengan kelajuan yang lebih meyakinkan, dia agensi pelaksana. Tiada yang paling mencabar dan diharapkan tentunya Kementerian Kerja Raya. Maknanya kalau kita bincang semua projek-projek, yang projek kecil itu boleh, ya masih penting, dan dikendalikan oleh jabatan-jabatan lain. Tetapi projek-projek prasarana infrastruktur yang besar, itu Kementerian Kerja Raya. Dan sebab itu saya pada hari ini bagi pihak rakan-rakan saya datang selain menyatakan penghargaan tentang apa yang dilakukan tapi meletakkan harapan yang sangat tinggi.
  17. Kita baru selesai PRU Sabah. Dan saya sebagai manusia, saya faham juga orang marah. Dia kata, dengar, Menteri silih berganti, kerajaan silih berganti, Perdana Menteri silih berganti. Air belum berganti. Elektrik disebut karan, karan. Nenek saya dulu dia sebut karan, kalau di Pulau Pinang. Elektrik, belum pasang. Jalan, lubang-lubang. Jadi bagi dia, dia resah. Dia belum cukup yakin. Saya tak salahkan mereka. Walaupun kita telah luluskan jumlah kewangan yang paling besar dalam sejarah. Saya sebut macam untuk keseluruhan pembangunan dan operasi expenditure untuk Sabah itu RM17 bilion. Untuk air dekat RM1 bilion, untuk elektrik RM1.2 bilion. Tapi belum siap. Jadi selagi belum siap, kerana dia terasa terpinggir sekian lama, kita boleh faham.
  18. Sebab itu saya tak ambil sikap macam setengah orang politik. “Oh, dia tak sokong aku.” Marah, marah. Saya tidak. Saya cuba faham. Ini baiknya orang yang lalui liku-liku yang agak sukar dan penuh derita. Dia lebih faham. Empathize dengan derita orang. Jadi saya pergi turun ke Sabah, hari Sabtu. Dan bagitahu pada mereka, kita akan pantau dan program-program pelaksanaannya. Dan sebagai Menteri, Alex akan juga perhatikan projek-projek ini.
  19. Dan untuk semua projek lain yang melibatkan kementerian semua lain, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU JPM akan pastikan mesyuarat bulanan di Kota Kinabalu. Supaya hal yang tiga yang paling penting bagi rakyat – jalan, elektrik, air itu kita cuba leraikan dalam segera mungkin. Saya minta mesyuaratnya kalau boleh bulan ini, kalau tidak mulai bulan Januari.
  20. Dan sekali lagi saya tekankan, KKR itu tonggaknya. Saudara berjaya, berjayalah pembangunan negeri itu. Dan saya yakin insya-Allah, saudara akan lebih berjaya dengan tekad dan kesungguhan yang ada sekarang.
  21. Apa yang harus dilakukan oleh kementerian, selain daripada untuk negeri, ialah menyenaraikan seperti yang sudah ada dalam senarai, semua projek. Berapa ratus projek atau mungkin ribu di negara kita. Dan pastikan kita rekod prestasi mereka. Dan kalau ada, jangan tunggu sehingga selesai. Dato’ Sri Alex tahu benar, kita kata kalau kita ambil sikap yang lebih keras terhadap kontraktor, kalau masalah sambil lewa dan lambat untuk pastikan projek itu dilaksanakan mengikut jadual. Jadi ada di peringkat kementerian, itu bulanan pantau secara teliti dan terus ambil tindakan.
  22. Kemudian yang diuruskan di peringkat negeri, baik Sabah ke Sarawak ke Perlis ke Kelantan, supaya projek itu dijalankan mengikut jadual. Kadang-kadang saudara lagi mengerti apa yang diperlukan di bawah daripada perancangan di atas.
  23. Jadi pegawai-pegawai yang turun ke bawah, sebab tu kita dapat ambil Kampung Angkat, Sejati MADANI itu kerana kita tidak mahu disconnect di antara di atas, di Kuala Lumpur itu dengan di Cherok To’Kun. Jadi sebab itu, bila saudara ke bawah, beri ruang. Saya minta KSU umpamanya beri ruang kepada pegawai-pegawai termasuk yang rendah untuk beri feedback bukan sahaja setakat projek, tapi cadangan mereka. Kadang-kadang kita nak buat sekolah, projek lulus. Tapi bila dia turun ke bawah dia tengok jalan itu teruk, itu tak masuk dalam projek. Jadi beri ruang kepada pegawai lebih rendah itu submit pandangan mereka. Bukan semestinya dalam proses dan prosedur yang sedia ada. Dan kita beri pertimbangan.
  24. Dengan cara yang sedemikian kita bekerja sebagai satu pasukan dan saya percaya penuh kepada Menteri dan juga Timbalannya, KSUnya untuk terus memantau dan menjadikan KKR ini dengan prestasi yang membanggakan.
  25. Saya sekali lagi saya ucapkan penghargaan setingi-tingginya pada rakan-rakan. Dan memang sengaja saya pilih KKR kerana saya menetapkan harapan yang tinggi atas usaha dan khidmat dan kesungguhan saudara-saudara.

 

Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: