VERBATIM: TEKS UCAPAN YAB DATUK SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI SEMPENA MAJLIS PELUNCURAN BLOK BANGUNAN BAHARU HOSPITAL TAWAU
TEKS UCAPAN
YAB DATUK SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN BLOK BANGUNAN BAHARU
HOSPITAL TAWAU
10 NOVEMBER 2025 (ISNIN) | 9.30 PAGI
HOSPITAL TAWAU
SABAH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera,
Al-ḥamdu lillāhil-ladzī anzala ‘alā ‘abdihil-kitāba wa lam yaj‘al lahu ‘iwajān. Wa ṣallū wa sallimū ‘alā rasūlihil-karīm wa ‘alā ālihi wa ṣaḥbihi ajma‘īn.
Yang Berhormat, Datuk Seri Dr. Hj. Dzulkefly bin Ahmad,
Menteri Kesihatan;
Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin Manjun
mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah;
Yang Berbahagia Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad,
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan;
Yang Berusaha Dr. Norlimah binti Arsad,
Pengarah Hospital Tawau;
Wah, ini pengarah hospital seorang wanita yang gigih dan mengurus dengan baik. Tahniah. Timbalan Menteri, Datuk Mustapha Sakmud dan rakan-rakan yang saya muliakan.
Saya ucap terima kasih atas kehadiran yang ramai lagi mungkin tak sebut. Ini saya minta tadi jururawat kerana saya dengar, saya diberitahu suara mereka merdu, jadi saya kata nyanyi tambahan “Senyuman Sabah” sebab “Senyuman Sabah” senikata itu baik musim sekarang ni. Sebab musim ini panas-panas, marah-marah, jadi kita senyuman Sabah ni. Jangan marah-marah, jangan buat-buat, jadi tenang. Terima kasih.
Kalau begini layanan jururawat-jururawat, Dr Norlimah saya kalau sakit saya ingat mai hospital Tawau lah. Layanan yang baik, jururawat yang mesra, tapi pesanan Dr Dzul itu penting. Hospital ini pusat khidmat, sebab tu kalau kita doa, Allahu ba’inna nas’alukal afiyah, mendoakan afiyah sihat, afiyat kebajikan, jadi kita sebut selalu syafakallah, ya.
Jadi oleh itu, ingat bahawa khidmat itu baik, hospital itu bukannya tersergam indah, kemudahan asas yang baik dan saya bangga sebagai anak Malaysia, sama ada kita pergi hospital di Selangor atau hospital di Kelantan dan Tawau sekarang sama dari segi hospital daerahnya, kemudahan yang baik.
Ini maknanya perlu hubungan baik negeri, Sabah dan Malaysia. Di mana-mana saya sampaikan, saya kata itu cara dia. Kita kena pilih wakil-wakil yang menjaga kepentingan.
Jadi, perhatikan masalah yang dihadapi rakyat. Puluh tahun tergendala projek ini dan kita arahkan Kementerian Kesihatan, semua kementerian. Yang tertanggung, selesai dulu. Kalau tidak, kita umum Rancangan Malaysia yang ke-11 pun belum siap, ini dah masuk ke-13. Jadi oleh itu, pemantauan itu penting, kerjasama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga sangat penting.
Sebab itu kalau saudara lihat sekarang, Kerajaan MADANI dalam tiga tahun ini, kita kata apa yang tertangguh selesaikan dulu dan inilah menyebabkan arahan supaya selesaikan dan saya terima kasih juga kepada Tan Sri Liew, kontraktor yang membantu menyenggerakan dengan keadaan yang baik. Tapi saya tak jamin kontrak baru, itu kena ikut tender.
Dr. Dzul juga sebut peruntukan, kalau lihat belanjawan negara, banyak negara dia tumpu pertahanan yang penting ataupun aspek-aspek lain, projek-projek mega, bangunan tinggi, jambatan panjang yang membanggakan. Tapi dalam Kerajaan MADANI ini, ikut kerangka pembangunan kita, kita tumpukan dua yang terpenting – pendidikan, kesihatan, baru diikuti dengan infrastruktur. Sebab apa? Sebab keluarga yang miskin, kalau mau terangkat nasib mereka, dengan pendidikan yang baik. Anak Kampung Merotai yang boleh diangkat tidak dengan pendapatan segera, dengan mutu pendidikan.
Sebab itu sekolah-sekolah kita itu ditekankan, diberikan kemudahan yang lebih baik. Kemudian ibu bapa kita, anak-anak kita dan kita sendiri pun kadang-kadang terpaksa menghadapi masalah kesihatan dengan kemudahan kesihatan yang tidak memuaskan. Maka ini negara MADANI menekankan pertama, pendidikan, diikuti oleh kesihatan. Perbelanjaan yang harus cukup diberikan.
Saya, bila dah siap ini luncur, saya tanya terus pengarah apa kapasitinya? Sudah penuh, tambah 150 katil pun penuh. Jadi saya akan arahkan dan KSU lihat ni, kalau ada kapasiti tambah, tambah lagi kemudahan di Hospital Merotai ini supaya kapasiti itu meningkat, kerana walaupun 500 lebih, ini hospital besar. Kalau lihat blok baru ni macam bangunan hospital baru, bukan blok, tetapi masih belum cukup. Jadi saya tanya kapasiti itu boleh ditambah lagi di sekitar 100-150 katil, kalau tak siap, jaga ada pengarah. Jadi, kemukakan pandangan bagaimana kita boleh tingkatkan kapasiti kerana orang sakit ibu bapa kita, keluarga kita, perlu kita tangani dengan baik dan berikan kemudahan yang baik.
Saudara-Saudari,
Kementerian Kesihatan, seperti mana jabatan-jabatan lain juga hadapi banyak masalah. Di antaranya ialah doktor-doktor kontrak, orang kadang-kadang serang kerajaan yang ada sekarang. Itu kita warisi. Ribuan doktor kontrak, puluh ribu dulu tak diselesaikan. Jadi kadang-kadang kita selesaikan, dia nak selesaikan hari ini juga. Tentu kita ada rencana dan saya syukur Alhamdulillah kerana bantuan Kementerian Kesihatan JP, kita selesaikan hampir keseluruhan masalah doktor kontrak yang riuh-rendah dulunya.
Kemudian, dibangkitkan soal elaun tugas atas panggilan pegawai perubatan. Betul, tidak memuaskan sepenuhnya kerana doktor pakar ni kadang-kadang bertugas tak tentu masa. Saya masih ingat, saya pun berkahwin dengan Doktor Azizah, itu satu-satunya isteri, dan kadang mula kahwin itu, pukul 1 pagi dia panggil, 2 pagi dan latihan mereka begitu rupa. Dalam masa singkat kalau saya nak bangun pukul 2 pagi itu, dia kena main masa 10 minit lah nak rileks dulu, gitu gini buat cerak. Tapi dilatih doktor-doktor ini, saya ingat luar biasa. Dia boleh top up dalam 5 minit cepat-cepat, cukup saat pakai, terus ke hospital.
Jadi, tentu membebankan dan bila mereka minta supaya dikaji sedikit skim tentunya kerajaan terpaksa memberi perhatian. Jadi kenaikan itu 40% walaupun belum secukupnya, tapi satu permulaan yang baik, Alhamdulillah. Tapi yang penting bulan Disember bagi penjawat awam, ni jururawat, ni yang nyanyi tadi. Sebab bulan Disember, naik gaji. Bulan Januari, naik lagi. Ini Kerajaan MADANI lakukan setelah terbiar selama berapa lama? 12 tahun.
Orang tanya saya ‘Anwar, apa pasal bagi lebih sangat kepada penjawat awam? Petani, nelayan pun kena bantu’. Saya kata dengar dulu, 12 tahun tidak ada naik skim ini dan dalam skim kita tidak seperti dulu. Yang bawah, naik lagi tinggi. Ada peringkat saya naik 30-35%, yang rendah. Yang tinggi itu, macam KSU, naik sikit. Baru adil. Jadi sekarang ni sistem dia begitu. Jadi bulan Disember naik. Untuk 2024, berapa kos tambahan daripada kerajaan? Kos tambahan tahun ini untuk gaji dan elaun penjawat awam berapa? RM10 bilion, tambahan. Kerana kita iktiraf kerja dia, kita minta dia kerja kuat. Kurang senyum sikit, kena marah. Kadang-kadang pula ada yang bebal, pesakit, doktor kata kena discharged, dia kata ‘kenapa discharged? Saya masih sakit’. Yang tahu kamu sakit tidak sakit doktor lah, tapi itulah keadaannya. Kena sabarnya. Pegawai-pegawai perubatan itu luar biasa, jadi kita naikkan. Kos tambahan RM10 bilion. Untuk 2025, berapa kos tambahan gaji sahaja untuk penjawat awam? RM18 bilion. Ini Kerajaan MADANI. Sebab itu saya minta sokong bagi Kerajaan MADANI ini kuat.
Dan kerjasama dengan Kerajaan Negeri seperti mana yang Ketua Menteri Hajiji lakukan, kerjasama. Ada masalah, bincang. Tak setuju, runding, jangan gaduh. Sebab tu saya minta lagu ni kita popularkanlah “Senyuman Sabah”. Jangan marah-marah, jangan buat-buat. Jadi bagi saya sendi kata, saya nak hafal, saya nak hafal. Ni hafal lagu lain ni “pacarku hilang, diambil orang”, takda makna sangat. Kemudian “kok kamu, kok seperti hantu”, jadi lebih baiklah lagu “Senyuman Sabah”.
Jadi Saudara-Saudara,
Itu apa? Gaji penjawat awam termasuk pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan, saya tekankan level lagi rendah, naik lagi tinggi. Ini cara kita tangani kos sara hidup, saya akui kos sara hidup ini, harga barang jadi masalah. Sebab itu, bila kita naikkan elektrik, kita naik hanya bagi golongan yang paling kaya. Yang ada 85%, tidak ada kenaikan. Bila kita naik diesel di Semenanjung, kita tak naikkan di Sabah Sarawak.
Ini kadang-kadang tak sebut, sebut ‘oh kerajaan ini ambil wang kita, tak bagi 40%’, marah saja. Tolong dengar ini lagu, jangan marah-marah, bincang cara baik dan dengar dulu. Diesel naik untuk Semenanjung, walaupun naik bagi orang kaya, di Sabah Sarawak tidak. Sebab? Bot banyak 4×4, pelbagai kemudahan pengangkutan menggunakan diesel yang banyak, jadi kita bagi pertimbangan, kerana apa? Kita dengar keluhan. Keputusan kita buat, adakah munasabah? Naik cukai, naik tarif bagi Semenanjung tapi bagi perkecualian Sabah, Sarawak. Di Semenanjung ada juga yang marah, dengar itu orang-orang pembangkang. Di Parlimen, dia sebut, dia tanya saya ‘mengapa tak naik Sabah Sarawak?’, di sini dia datang kempen tolong sokong dia. Jangan sokong orang-orang seperti itu.
Saudara kena ikuti, sebab itu saya katakan anak muda terutamanya mesti ada pencerahan. Orang kempen ni, dia boleh cakap apa-apa pun tetapi kita tengok dari segi tindakan dia.
Kemudian sekarang, kita turun harga RON95 sebab penyeludupan banyak. Berapa kita boleh selamatkan? Bila kita bayangkan turun harga minyak patut, beban kerajaan bertambah, ini tidak. Harga minyak turun RM1.99 sen, untung kerajaan tambah RM2.5 bilion. Ah ini cerdiknya pegawai-pegawai ekonomi kita bantu.
Selalu harga minyak turun, dana kerajaan kurang, ini tidak. Turun harga minyak, naik pendapatan kerajaan RM 2.5 bilion ringgit, dari mana? Dari orang asing. Orang yang tidak ada kad pengenalan, bayarlah. Kita, saya bantu, tentu rakyat saya dulu. Kemudian kalau keadaan mood besar, hasil banyak, kita boleh fiikirkan yang lain. Itulah sebabnya mengapa kita jalankan program RON95, ada orang marah ‘oh kena bawa IC’, ‘inilah satu negara yang nak ambil minyak pun guna IC’. Aduh, Dah nak harga minyak, ikutlah peraturan sedikit, tapi itulah keadaan dia. Baik.
Dan langkah-langkah lain, 122 dalam Perlembagaan berdasarkan MA63, kita tentukan kerajaan mesti bayaran khas kepada Negeri Sabah dan Sarawak. Selama 10 tahun sekitar RM50 juta sahaja, kemudian naik dulu RM150 juta. Saya runding. Jadi kalau ada keputusan mahkamah mengatakan tidak ada runding, mungkin betul sebelumnya, tapi mahkamah harus tahu apa yang berlaku tahun 2023-2024. Ada rundingan, ada jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh Dato’ Sri. Fadillah, Timbalan Perdana Menteri. Yang Menteri Kewangan, itu masih dia juga hadir. Ada peringkat tertinggi, saya, Datuk Hajiji, Premier Abang Jo duduk, kita runding. Belum ada keputusan muktamad, jadi keputusan sementara interim agreement kita tambah dari RM56 juta tu, 150 juta sebelumnya. Sekarang, RM600 juta kepada Sabah setahun. Cukup? Belum. Sabah dan Sarawak kata kita mesti runding lagi. Saya tetap itu cara dia. Kamu bertempur, gaduh, gaduhlah sampai bila pun tetapi masa berkuasa dulu, tak ada pula yang runding. Yang runding sekarang, yang runding ni dalam 2-3 tahun lalu, saya, Hajiji, Abang Jo. Sebelumnya saya tak tahu apa runding sebab tak naik. Sekarang naik RM600 juta. Tak apalah kalau kata tak puas hati, boleh bincang cara elok. Tak ada masalah bagi saya. Sebab itu keputusan itu disebut keputusan sementara, rundingan tidak dapat muktamad, keputusan sementara RM600 juta. So why blame us? why don’t you talk about the former leaders and their party? Who had done virtually nothing or not successful in their negotiations. Now kita berikan RM600 juta dan dia kata kita ini menekan kempen mana-mana. Kadang-kadang kenyataan yang menipu.
Umpamanya, seorang pemimpin parti menyatakan Petronas hanya beli minyak mulai sekarang dari Amerika dan tidak beli dari Sabah. Ini kenyataan tidak masuk akal, ini berdasarkan perjanjian baru Malaysia dengan Amerika, saya dengan Presiden Donald Trump. Keputusan beli dari Amerika ini bukan keputusan baru, masa mereka perintah dulu pun dah ada, dah beli dah. 2018 dah mula beli dari Amerika Syarikat. Kalau harganya itu berpatutan, kita beli is commercial terms. ‘Oh tapi kita ada minyak’, ya kita ada minyak, kita jual ke China, Jepun, Korea, untung lagi besar. Kita jual sebanyak mungkin, untung tinggi, kita import, untung kecil. Tapi itu meniaga, bukan saya putuskan, itu kebijaksanaan rakan-rakan kita dalam Petronas. ‘Oh tak ada, akan rugi gas Sabah tak ada orang beli’, ini cakap apa? Jadi tolong dengar baik-baik dan fikir.
Saya berpuluh tahun, mesti dia tahu dari lama, ni kawan lama saya. Puluh tahun saya Menteri Kewangan dulu datang Timbalan Perdana Menteri. Saya tanya dia. Saya kerja datang ke mana-mana daerah, apa? Satu balak saya tak ambil, satu keping tanah saya tak nak minta, projek saya tak ambil, saya datang untuk khidmat kepada orang Sabah. Saya orang Semenanjung, orang Pulau Pinang tapi saya mahu jaga Sabah sebagai negeri saya sendiri. Ini jangan hukum saya ini minat Semenanjung, tidak.
Berapa peruntukan di Sabah? Seluruh Malaysia, Sabah mendapat peruntukan paling tinggi. Berapa hasil dari Sabah? Semalam ada orang pertikai tak betul, tak apa, boleh kira, boleh bincang. Hasil yang kita ambil, cukai, cukai pendapatan, cukai jualan, segala cukai, sekitar RM10 bilion satu tahun, besar. Ini negeri yang ada potensi.
Saya beritahu kepada Ketua Menteri Hajiji, Masidi pun ada. Saya menaruh harapan yang tinggi, ada kerajaan dasar jelas, stabil. Sabah itu ada keupayaan diangkat martabat. Syaratnya mesti urus dengan baik dan kerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan. Tak ada kerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan, sukar kita nak capai. Jadi ini kebaikan kita. Saya datang sebagai Perdana Menteri menyatakan, saya bersedia mengangkat kedudukan Sabah supaya maju.
Jadi berapa hasil dari Sabah? RM10 bilion semuanya sekali. Ini anak-anak muda dengar. Ini bukan nak gaduh orang Murut, ini orang Kadazan, ini orang Bugis, ini orang Suluk. Ini dengar ini orang Sabah. Kita mahu angkat martabat orang Sabah. Kalau masing-masing duk fikir suku kaum, daerah, benci-membenci, lawan-melawan, marah-marah — bukan senyuman Sabah. Yang untung, orang itu. Sebabnya yang cakap-cakap besar itu semua orang kaya-kaya, yang lantang-lantang bicara ‘ini Sabah for Sabahan’, cuba tanya berapa harta dia. Harta di sini, harta di Hong Kong, harta di luar negara, harta rumah di Kuala Lumpur, rumah di London, tetapi bicara di sini ‘tolong rakyat’, aduh.
Jadi yang miskinnya rakyat, yang berdegar-degar bicaranya orang atas, yang untung mereka, yang gaduh kita. Yang gaduhnya orang bawah. Saya nasihatkan orang bawah jangan gaduh dan bersatu angkat kedudukan rakyat ini. Gaduh, gaduh, gaduh di atas. Air tak selesai, elektrik tak selesai. Elektrik orang Sabah kata ‘Karan’ — karan pun tak selesai. Saya di Penang, tu saya kata ‘karen’, kita tidak ada ‘karen’. Air pun belum selesai. Jalan lubang-lubang.
Jadi sebab itu saya kata kerjasama kita. Kita bagi peruntukan RM17 bilion. Pelaksanaan ini, Hospital Tawau berapa puluh tahun? Kamu perintah dulu, mengapa biar sampai berpuluh tahun? Sekarang kita selesaikan, bukan dia selesaikan. Pengarah, saya kata tambah lagi katil jadi seratus lagi, ini pelaksanaan kita.
Jadi kita ambil RM10 bilion, sistem cukai kita, kita bagi balik RM17 bilion. ‘Oh tak 40%’, dia kira macam mana? Tetapi 40% hakim kata mesti runding, kita runding, tidak ada masalah. Tetapi sekarang nak runding dengan siapa Masidi? Sekarang ketika government, federal government, saya beritahu AG mahkamah dah putus runding segera. Dia kata ‘PM tidak boleh runding dengan Sabah sekarang sehingga selesai pilihan raya dan diangkat Kerajaan’. Okey, kita runding. Tak ada masalah dan kita bagi semua angka-angka ini, sebab seperti kita dah tahu ini melibatkan bukan sahaja undang-undang tetapi juga kewangan, cukai.
Hakim mesti dapat maklumat semuanya. Empat hakim kata runding. Saya kata, hakim diberitahu atau tidak kita dah runding sejak 2023? Dia tahu tak pengerusi utamanya saya, Hajiji, dengan Abang Jo bermesyuarat. Dia tahu tak, technical committee bermesyuarat berkali-kali tiap tahun yang dipengerusikan oleh TPM2, Dato’ Sri Fadillah. Dia tahu tak kita selesaikan banyak perkara? Undang-undang buruh sekarang ambil alih oleh Sabah. Elektrik Sabah dah ambil alih. Itu semua yang kita putuskan setelah rundingan. Mengapa tak buat dulu? Yang buat ini bawah Kerajaan MADANI.
Kemudian dah bagi balik kepada Sabah, SEDCO, dia kata ‘tak fikir perlu wang lagi’. Kita dah serah kepada Sabah, kita masih lagi bagi peruntukan dan pinjaman sekitar RM1 bilion kepada SEDCO, sebab hubungan kerajaan negeri bawah Datuk Sri Hajiji dengan Kerajaan Persekutuan itu baik, memudahkan kita berbicara. Untuk apa? Untuk membantu rakyat kerana orang Sabah kata “karan, karan, karan tak cukup”.
Jadi saya harap kita faham ini . Saya dah beritahu tentang 40%, boleh runding lagi. Yang paling banyak bagi sumbangan kepada negara setakat ini negeri Selangor. Kita bagi kurang daripada yang kita ambil. Kena dengar betul-betul. That is what federalism is all about. You take from some of the very rich states: Selangor, Pulau Pinang yang bagi hasil, Johor hasil banyak kepada kita. Kita bagi sebahagian daripada dia. Yang lebih, kita bagi pertamanya Perlis. Perlis tak ada hasil sangat, hasil kecil. Gaji penjawat awam Perlis pun Kerajaan Persekutuan bayar. ‘Oh, jangan bayar’, tak bayar kalau… problem, jadi Kerajaan Persekutuan bayar walaupun hasilnya kecil. Dan kadang-kadang setengah bahagian mereka, terima kasih pun tak ada. Complain. Gaji penjawat awam dia pun kita bayar, pun complain lagi. Manusia ini. Dia tak ada (la’in syakartum la’azîdannakum wa la’in kafartum inna ‘adzâbî lasyadîd). Itu Al-Quran, kita diajar bersyukur. Minta boleh. Tegur boleh. Runding dengan baik kerana bersyukur itu dan nikmat Allah itu dituntut.
Jadi sebab itu saya katakan kita runding dengan baik. Saya bukan musuh saudara-saudara. Saya tak mahu harta saudara-saudara. Saya sudah tua. Lalui pelbagai ujian berat, sakit teruk di penjara. Saya nak kawan-kawan di sini sama-sama bantu baiki nasib hidup rakyat. Apa yang saya nak? Saya nak sekurang-kurangnya orang percaya di Malaysia yang ada pimpinannya, kerajaannya yang jaga rakyat. Negara kita harum. Sekolah kita lebih baik. Bekalan air, elektrik, jalan lebih baik dan kita bekerja begitu.
Hentikanlah soal pemimpin-pemimpin yang sombong, mahu curi harta. Cukup. Kita stop this nonsense. Kita bangkit dari satu generasi baru, fikir nasib anak-anak kita. Saya bukan datang untuk gaduh. Saya datang untuk merayu supaya kita buat keputusan yang baik. Pakatan Harapan dan KEADILAN pun tidak ambil kerusi yang banyak. Kita tidak merebut jawatan Ketua Menteri. Orang Sabah nak pergi pilih, pilih lah. Tetapi saya pesan pilih orang yang boleh berkawan dengan kita kerana yang bertanding kita di sini termasuk Merotai ini, tanggungjawab dia itu jaga supaya kepentingan rakyat terbela dengan hubungan baik Negeri dan Persekutuan. Jadi ini yang saya nak.
Tentang hospital, jabatan-jabatan memang saudara sedia maklum, saya tidak mahu ulang apa yang diberikan. Tetapi saya nak beritahu ini julung kali, saya bangga. Bila saya diberitahu siap, saya kata “okay, I’ll come” dan terima kasih kepada semua, saya sebut tadi kerana bila menyiapkan hospital dan khidmat hospital, Dzul minggu lalu saya ke IJN University College.
Tetapi saya kata ini budaya baru. MADANI ini maknanya pengarahnya berjasa. Doktor-doktor pakarnya terbaik. Kemudahannya baik, tetapi jangan lupa hospital itu baik kerana khidmatnya. Dan khidmatnya itu dari semua — dari yang tadi saya sebut, jururawatnya, technician-nya, tukang cucinya, tukang masaknya. Jadi, bila kita berjaya, jangan lupa tukang cuci tandas, tukang bersihkan parit. Itu semua punyai jasa menjayakan projek kita.
Sebab tu kalau saya dulu masa saya Menteri Pendidikan ada yang senior ingat, I don’t know Tan Sri Liew, you remember or not. Masa saya Menteri Pendidikan, saya wajibkan pelajar-pelajar seminggu sekali atau sebulan sekali gilir tiap kelas cuci tandas, paritnya, sekolahnya sebab dia latih, dia jangan pandang orang cuci ni orang hina, orang miskin, kotor. Dia mesti belajar buat. Ini that’s what education is all about, empathy, ihsan, karamah manusia, karamah insaniah ini dia yang kita perlukan.
Walaupun masa itu belum ada social media, ada masa itu text, apa dia panggil? SMS. Ada ibu bapa masa itu di Petaling Jaya. Dia tanya, ‘Menteri, anak saya dihantar sekolah untuk belajar, bukan untuk cuci tandas’. Amboi. Saya belajar di Malay College. Di antara latihan masa itu, ini sekolah elit, ialah cuci tandas dan saya tidak rasa sedikit pun terhina. Bila dia belajar cuci tandas, saya mula tahu tentang apa yang dilakukan oleh seorang pekerja atau ibu tua yang saban hari cuci tandas, membersihkannya. Bagi saya itu education.
Jadi saya jawab. Dia tak bagi nama dia, saya jawab. “Saudara yang di Petaling Jaya itu dari kumpulan atasan, ningrat, kalau orang Jawa kata dari keraton. Saya setuju. Sila hantar anak tuan jangan di sekolah-sekolah di dunia ini. Hantar di sekolah di kayangan kerana tak ada tandas di situ.” Itu saya jawab dia. Kamu hantar sekolah di angkasa, mana tahu ada tandas-tandas, hantar situ. Kalau hantar sekolah kita, berlatihlah jadi manusia yang baik, yang tak menghina sesama manusia.
Ini kita belajar pandai, ada PhD. Masuk universiti, hina kaum, hina warna kulit, hina perbezaan satu sama lain, ini orang Cina, ini orang Dusun, oh ini orang Bugis, kita dari besar belajar untuk menghina. Agama kita, agama Islam dan semua budaya kita mengajar kita untuk jadi manusia. Apa hubungan dengan hospital? Doktor tengok orang sakit. Kaya, miskin, Bugis, Suluk, Kadazan, Murut… dia tidak soal. Dia jaga pesakit itu sebagai pesakit dia.
Jadi, mudah-mudahan semangat ini dapat diteruskan. Terima kasih banyak atas kerjasama yang diberikan dan pengarah ada tugas, cari macam mana nak tambah 100 katil lagi, kerana dia beritahu dah hampir penuh. Boleh ya Dzul, KSU ya? Duit jangan tanya saya, guna peruntukan yang sedia ada.
Terima kasih dan sekali lagi saya ucap semua kepada kawan-kawan di Tawau ini atas jasa baik, senyuman diberikan dan persahabatan yang kita turunkan. Terima kasih Datuk Masidi.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
