WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DARIPADA : DATO’ SRI SAIFUDDIN BIN ABDULLAH [ INDERA MAHKOTA ]
TARIKH : 23 OKTOBER 2025 (KHAMIS)
SOALAN 2:
Minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah langkah-langkah kerajaan dalam meningkatkan usaha-usaha sekolah serta mengukuhkan kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa, komuniti setempat dan agensi keselamatan bagi menangani isu keselamatan dan kesejahteraan murid di peringkat akar umbi.
JAWAPAN:
Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Indera Mahkota yang tentunya juga punyai pengalaman dalam soal pendidikan ini dan juga faham masalah pendidikan ini masalah melibatkan anak-anak sekolah, guru, ibu bapa, persekitaran dan budaya dalam masyarakat.
Dan setakat ini, seperti mana yang dimulakan sejak dulu bahawa langkah-langkah yang diambil oleh kementerian memperbaiki apa yang dianggap kelemahan-kelemahan yang ada dan mengambil kira peranan ibu bapa, pandangan akademia, pandangan guru-guru, kerajaan setuju menubuhkan Majlis Pendidikan Negara supaya diselaraskan semua pandangan itu dan diperkemaskan berapa langkah yang perlu.
Ada jawatankuasa ditubuh sebelum ini pun, iaitu umpamanya soal keselamatan. Bila polis masuk itu, ada juga di kalangan yang setuju untuk menjamin keselamatan. Ada juga dari segi pendidik, akademik yang bimbang kerana ia memberikan fokus bahawa ada gangguan daripada pasukan keselamatan, tetapi melihat kepada beberapa masalah buli, masalah penderaan, masalah jenayah di sekolah, keputusan kerajaan ialah untuk meneruskan, tetapi memberikan pandangan dan panduan supaya polis itu memantau dan tidak menimbulkan keresahan kepada anak-anak.
Dan budaya anak-anak sekarang ni tak seperti mana generasi saya kecil-kecil dulu. Kalau lihat polis, yang kita panggil mata-mata tu, gerun. Sekarang ni kadang-kadang budaya tu dah berubah. Tetapi Kempen Anti-buli harus ditingkatkan. Dan saya setuju Indera Mahkota bahawa ini bukan satu perkara yang ringan dan ini melibatkan ibu bapa. Ibu bapa tidak boleh elak daripada mengikut tanggungjawab ini, guru-guru tentunya dan kementerian dari segi keseluruhan, tetapi budaya buli ini memang pernah berlaku dulu.
Saya masih ingat semasa saya Menteri Pendidikan menghadapi masalah buli di Sekolah Menengah Cheras yang mengejutkan dan sangat membimbangkan. Tetapi dia menuntut satu tindakan yang sangat keras dan tegas juga, pertamanya kepada pengetua dan guru yang bertanggungjawab. Dia tidak boleh melepaskan tanggungjawab itu juga. Kemudian langkah-langkah lain diambil. Jadi tahun demi tahun kita dengar kisah-kisah, dan sekarang ini dengan media sosial, perkara ini nampak lebih ketara. Tapi sekarang ini dilibatkan ya secara langsung PIBG, selain daripada pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dan guru-guru. Kemudian komuniti dan ibu bapa, saya percaya YB Indera Mahkota boleh bantu memberikan juga pencerahan tentang langkah-langkah tambahan yang harus diambil.
Tapi saya fikir soal ini masih lagi soal akhlak, soal nilai, soal fahaman dan bagi kita tentunya didikan Islam. Tapi didikan Islam pun kalau kita tidak beri pencerahan dari sudut nilai, dia jadi rituals. Jadi orang-orang itu dia boleh hafal, tetapi dia tidak menterjemahkan dari segi sikap dia di sekolah yang menyebabkan masih lagi bertindak yang kurang waras.
Ada cadangan tentang CCTV. Kita, oleh kerana tekanan masyarakat dan merasa kebimbangan anak-anak mereka, bersetuju sekarang ni kita dah meluluskan peruntukan RM5 juta untuk memasangkan CCTV di sekolah-sekolah pilihan dulu. Kemudian kaunseling ditambah. Kaunseling, seperti mana juga disebut, kaunseling guru ni tidak seperti trained, qualified, certified counsellors. Itu juga sedang ditimbangkan. And then pembantu warden asrama termasuk veteran tentera yang harus diambil secara yang lebih kemas. Kemudian yang lain itu smart support system, semua yang dah sebahagiannya ditekankan oleh, dijawab oleh Menteri Pendidikan sebelum ini. Tapi saya percaya dalam hal ini mesti ada kesepakatan. Saya harap rakan-rakan, ahli yang berhormat, kerana kita juga masuk golongan ibu bapa, kita juga pernah sama jadi pendidik, dan oleh yang demikian, kita harus cari kaedah yang lebih baik untuk menjernihkan suasana ini yang juga merunsingkan.
SOALAN TAMBAHAN 1:
DATO’ SRI SAIFUDDIN BIN ABDULLAH [ INDERA MAHKOTA ]
Terima kasih. Saya suka ayat Yang Amat Berhormat tentang akhlak dan sebagainya. Kurikulum persekolahan 2027 sedang digubal. Saya harap kita bukan hanya bercakap soal karakter, tetapi kembali kepada akarnya yang sebenar — soal ta’nib dan membina adab, yakni disiplin jasad, akal dan roh. Ini guru kita lah, Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Sebab karakter tu dia boleh berubah-ubah.
Baru-baru ini seramai 19 orang Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional membuat satu sidang media dan mencadangkan tiga perkara. Semalam, terima kasihlah Yang Berhormat Menteri pun menerima satu memorandum ‘Make School a Safer Place’. Itu proaktif Menteri. Tiga perkara ni, Yang Amat Berhormat, satu soal jawatankuasa keselamatan dan kesejahteraan murid sekolah, tak kiralah apa namanya, tetapi lebih structured lah. Tadi Yang Amat Berhormat sebut kerjasama. Benar, kerjasama itu memang ada, tapi supaya dia lebih structured. Tak boleh pula orang luar masuk tak tentu pasal mengajar cikgu dan sebagainya. Jadi lebih structured, ada dia punya terms of reference. Kedua ialah latihan khas untuk guru, warden dan pengawas juga. Ada masa pengawas juga perlu diberi latihan, terutama kalau pengawas yang menjaga hostel, asrama dan sebagainya. Dan yang ketiga, yang ini mungkin boleh juga dibuat dengan cepat. Mereka yang masuk ke sekolah yang bertugas, mungkin tak melibatkan guru sebab guru terlatih. Pengawal keselamatan, pekerja kebersihan, pekerja kantin, adakah perlu agaknya ada satu tapisan betul dan mereka ni ada sijil kelayakan khas, tak kiralah apa namanya, sekurang-kurangnya kita menapis dari segi keselamatan psikologi mereka?
Akhir sekali, ini keadilan untuk mangsa dan keluarga mangsa. Kita ada kemalangan-kemalangan yang membawa kematian atau fatal accident dan kita ada undang-undang sivil yang boleh memberi ganti rugi kesedihan (damages for bereavement). Jadi, adakah kerajaan sama ada nak guna undang-undang sedia ada atau guna undang-undang baru? Sekarang ini pampasannya lebih kurang RM30 ribu. Dulu RM10 ribu, sekarang RM30 ribu. Mungkin nak ditingkatkan untuk keluarga mangsa. Terima kasih.
JAWAPAN:
Terima kasih, umpamanya cadangan keselamatan lebih structured. Saya fikir Kementerian Pendidikan harus teliti. Memang sekarang ada, tapi untuk perkemasan dengan parameter dan terms of reference yang lebih teratur, saya setuju. Tentang latihan khas, memang diputuskan dan termasuk counsellors, warden, pengawas telah diputuskan untuk mengadakan latihan khas untuk mereka. Tentang pekerja, ini cadangan baru sebenarnya kerana tukang cuci dan sebagainya itu harus, at least kalaupun tidak ada sijil tetapi sekurang-kurangnya ada pendedahan tanggungjawab mereka dan sebagainya kerana ada kes di mana warden atau penjaga juga terlibat dalam kes-kes jenayah terhadap pelajar termasuk jenayah seksual. Soal ganti rugi, setakat ini kita rasa memadai, tapi kalau ada kes-kes tertentu macam ada kes di mana anak OKU di Pulau Pinang itu didera, jadi mungkin ada kes-kes tertentu yang boleh ditingkatkan jumlah pampasan. Jadi itu insya-Allah kita boleh pertimbangkan tetapi setakat ini, kita rasa memadai. Yang pentingnya ialah memberikan kemudahan kepada mereka balik dan jaminan kepada anak-anak dan keluarga selain daripada pampasan. Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 1:
TUAN SANISVARA NETHAJI RAYER RAJAJI RAYER
[ JELUTONG ]
Berkenaan dengan masalah yang berlaku di sekolah. Saya mendengar makluman yang diberikan oleh YAB Tambun berkenaan dengan langkah-langkah yang bakal diambil bagi mengatasi masalah yang berlaku di sekolah. Dalam perbahasan, ada ramai ahli-ahli parlimen yang telah mencadangkan untuk guru-guru diberikan budi bicara untuk merotan. Adakah kerajaan akan mempertimbangkan cadangan ini di mana budi bicara diberikan?
Masa kita di zaman sekolah dulu, merotan merupakan salah satu perkara yang mendisiplinkan kita dan tidak ada ibu bapa yang akan mengadu. Malahan bila kita balik beritahu kepada ayah dan ibu, kita juga akan dirotan kerana kita bertindak dengan cara yang tidak berdisiplin. Malahan sekarang ada ibu bapa yang telah membuat laporan polis.
Soalan kedua saya, apakah yang akan berlaku kepada dua guru-guru sekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Confucian di Pulau Pinang yang telah dituduh di mahkamah kerana merotan dan mendisiplinkan murid-murid tersebut di bilik disiplin? Tetapi bila ada aduan dibuat, mereka dituduh di bawah Seksyen 324. Adakah kerajaan akan mempertimbangkan menarik balik pertuduhan? Kerana mereka bakal, sekiranya didapati bersalah bakal menghadapi hukuman 10 tahun penjara termasuk sebatan. Akhir sekali, adakah kerajaan serius untuk mempertimbangkan melarang penggunaan handphone dan media sosial kepada murid-murid sekolah di bawah 16 tahun? Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
Jelutong bercakap dengan pengalaman kerana dia pun pernah kena rotan saya rasa ya (dengan nada berseloroh). Tengok gaya dia memang baik. Maaf, maaf, ini gurau. Off the record.
Tan Sri Yang di-Pertua, soal rotan, pandangan peribadi saya, saya telah suarakan, harus dikembalikan. Tapi dengan syarat-syarat yang ketat bukan public canning, rotan mungkin di tangan bukan bagi kelonggaran sepenuhnya. Saya pernah jadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak saya dah rotan tapi di tangan dan tentunya tidak nampak penderaannya. Tapi ada juga pandangan umpamanya daripada kumpulan-kumpulan hak asasi yang merasa ini termasuk dalam kategori penderaan anak-anak, jadi saya faham kontroversi itu.
Tetapi banyak, saya ingat ramai pendidik dan ibu bapa merasakan ada keperluan, tapi dengan syarat-syarat yang ketat dan ditugaskan guru-guru tertentu dan di bilik khas, bilik disiplin dan berapa maksimal rotannya. Jadi adalah beberapa peraturan, jadi saya tidak fikir ibu bapa harus terlalu bimbang, kerana anak-anak ni kenakalan anak-anak ni suatu perkara yang biasa. Tetapi ada kadang bila dia melanggar peraturan yang agak berlebihan, tentunya harus ada hukuman. Tetapi ini sekadar pandangan, bukan dasar kerajaan.
Saya percaya harus dipertimbangkan, diperhalusi dan libat urus dengan semua pihak yang akan dikendali oleh Menteri Pendidikan sebelum kita muktamadkan. Saya hanya bagi pandangan peribadi kerana saya fikir, tidak ada, bukanlah dia masuk kategori penderaan. Rakan-rakan SUHAKAM juga ada bagi pandangan agak keras, menolak sebarang tindakan yang dianggap penderaan, tapi oleh itu kita kena bincang dengan semua.
Mengenai apa yang berlaku di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Confucion, YB Jelutong, itu perkara ini sedang dalam tindakan mahkamah. Cuma saya nak beritahu di sini, kebetulan dari laporan diperolehi, seorang anak itu anak Autisme. Jadi kalau begitu, keadaan ini agak mungkin beda sikit. Tetapi eloklah kita ikut faktanya, saya tidak harus komen lebih daripada itu, tetapi kalau katalah kes itu kes yang agak ringan yang terlibat dalam apa yang kita bincangkan, maka tentunya pihak pendakwa raya boleh menilai semula sama ada untuk meringankan tuduhan itu kerana kita sekarang kita juga sedar dari segi konsensus yang dengar dalam perdebatan, kebanyakan ahli parlimen yang suarakan pandangan, harus ada satu bentuk penderaan walaupun dengan kaedah dan syarat yang ketat.
Soal media sosial, telah kita suarakan pandangan kita sehingga kita boleh muktamadkan. Media sosial, banyak negara-negara sudah pun memulakan dari umur 14, ada 15, dan 16 ada diluluskan dengan syarat ada yang membatalkan hak sama sekali, tetapi ini pun mengundang banyak bantahan. Dia bukan mengharamkan telefon tapi dia mengharamkan media sosial dan penggunaannya di sekolah, melainkan di pagar sekolah.
Kemudian, kalau guna telefon, dia menjadikan masalah bukan sahaja media sosial, tapi juga gaming itu tidak memerlukan media sosial, dia teks terus. Jadi, juga merujuk kepada pedofil dan juga merujuk kepada perjudian, jadi ini sedang diteliti. Tapi saya sekali lagi cenderung bahawa negara ini, kalau kita nak pertahankan soal nilai, tadi YB Indera Mahkota sebut bahawa kita dalam falsafah pendidikan ni tu tak boleh lari daripada semangat Addabani Rabbi, fa Ahsana Taadibi, bahawa ilmu, kecanggihan tapi tak boleh lari daripada persoalan adab dan akhlaq. Jadi kita ni bila kehilangan nilai yang menjadi begitu.
Saya pernah jumpa anak-anak yang terlibat dalam kes Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, anak-anak tu baik di penjara Sungai Buloh. Bersolat, tertinggal, baca Qur’an apa semua. Tapi, sekali bila dia lalu saya tanya mengapa boleh jadi begini, dia agak macam keadaan itu terbawa-bawa dengan budaya begitu, bayangkan boleh serika sahabatnya. Dan ini bagi saya, sudah hilang kewarasan untuk memungkinkan begitu.
Jadi sebab itu, harus ada didikan dari awal, dari peringkat rendah untuk menghalang. Bagaimana anak-anak yang baik, yang solat, baca Qur’an… tetapi bagaimana boleh terbawa-bawa dengan budaya begitu, dengan sahabat dan rakan-rakan dalam asrama? Saya juga tanya, apa yang warden dia buat? Mengapa Naib Canselor dia tidak tahu? Bila ditanya, ini budaya yang dah dilakukan selama bertahun-tahun. Sebab itu pertanggungjawaban itu harus menyeluruh. Kita sekarang kadang-kadang hanya marah anak yang melakukan buli, tapi kadang-kadang suasana persekitaran sekolah atau universiti kita kurang hiraukan. Jadi sebab itu kalau kita anggap meningkatkan kefahaman, kesedaran, pencerahan soal akhlak, nilai dan budaya dia harus melihat seluruh sistem dan suasana pendidikan itu sendiri.
SOALAN TAMBAHAN 3: YB TUAN HAJI AHMAD FADHLI BIN SHAARI [ PASIR MAS ]
Terima kasih Yang Amat Berhormat Tambun di atas jawapan tadi. Saya nak mengimbau balik, pada tahun 1988 berlaku kes buli yang merupakan kes berprofil tinggi, di mana mangsa Allahyarham Hishamuddin Majid, 17 tahun, telah meninggal dunia setelah dipukul di dalam tandas di sekolah menengah di Selangor.
Menteri Pendidikan ketika itu, iaitu Yang Amat Berhormat sendiri pada waktu itu, telah turun segera ke sekolah tersebut dan berikutan daripada itu, hukuman rotan telah diperkatakan semula dan telah pun dibenarkan ataupun telah disebut-sebut untuk dilaksanakan semula pada ketika itu dan menjadi penanda aras tindakan Menteri Pendidikan pada ketika itu.
Masa berlalu, dan sekarang ini kita berdepan dengan kes-kes seperti ini sekali lagi. Apa yang saya hendak tanya kepada YAB Tambun ialah, apakah Yang Amat Berhormat Tambun setuju bahawa selain daripada isu pendidikan di dalam kelas, environment ataupun suasana di sekolah itu sendiri membentuk pemerkasaan moral dan akhlak pelajar?
Saya menyebut ini kerana pada hari ini, seolah-olah peraturan moral dan akhlak ini semakin longgar di mana salah seorang Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat ini membangkitkan penganjuran pesta arak di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael di Ipoh pada 27 September oleh Persatuan Alumni. Walaupun tidak melibatkan pelajar, tetapi membenarkan arak masuk ke kawasan sekolah ini telah melanggar Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2018.
YAB Tambun, apabila kita bercakap tentang akhlak, saya yakin bahawa kita setuju bahawa minuman keras tidak boleh masuk ke pagar sekolah. Jadi, kita minta, adakah boleh kerajaan bertegas dalam isu ini — mana-mana pihak membawa minuman keras masuk ke sekolah perlu diambil tindakan dengan tegas dan segera?
Dan juga, adakah YAB Tambun perlu melihat balik bagaimana pekeliling ataupun arahan supaya MP – MP pembangkang ini, ahli-ahli dewan undangan negeri pembangkang, Exco-exco Kerajaan Negeri, tidak boleh terlibat dengan sebarang urusan di sekolah milik di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kita halang ahli-ahli politik yang dipilih oleh rakyat. Kami tidak tahu apa yang berlaku di dalam pagar sekolah. Hendak berurusan, walaupun apa juga urusan dengan sekolah itu, tidak dibenarkan oleh kementerian. Ahli-ahli timbul isu buli dan sebagainya, hatta nak bagi sumbangan pun tidak boleh, seolah-olah kami ini berbahaya dan memberikan ancaman kepada pihak sekolah.
Di era reformasi YAB Tambun ini, kalau boleh, kalau peraturan ini dapat kita longgarkan, YAB menjadi pelopor kepada kebebasan ahli-ahli politik untuk terlibat dengan sekolah. Saya rasa ini akan menjadi catatan sejarah. Terima kasih, YAB Tambun.
JAWAPAN:
Terima kasih, Pasir Mas. Saya ucap terima kasih. Terima kasih kerana ucapan yang bernas dan tenang, jarang saya dengar macam ini. 1988 itu saya tadi rujuk sebentar, kerana perkara ini bukan perkara baru, dan Sekolah Menengah Cheras, kalau tidak silap saya, itu kejadian yang sangat serius, terkenal kepada kegiatan gangsterism, buli yang parah dan dibiarkan sekian lama.
Sebab itu, pada ketika itu mungkin suasana agak lain. Masa itu pemerintahan UMNO-BN itu kuat, pembangkang tidak ramai, dan media sosial pun tidak ada. Jadi, saya ambil sikap yang agak sangat keras. Pengetua, guru disiplin, dan guru kelas itu saya minta tukar serta-merta. Kemudian, keesokan harinya bila saya pergi, saya beri amaran: kalau tidak ada perubahan dari segi disiplin, kebersihan, saya akan tutup sekolah. Tentunya menteri tidak ada hak tutup sekolah — kalau tutup sekolah, 1,000 pelajar hendak hantar ke mana?
Tapi masa itu media sosial tidak ada, jadi orang tenang sikit. Tetapi umumnya, ibu bapa senang. Tetapi kita ucap tahniah kerana maknanya anak-anak ini, betul Yang Berhormat, kalau ditekankan soal disiplin, nilai, akhlak dan diberi kesedaran, itu akhirnya tahun, kalau dilihat balik, keputusan dia itu terbaik yang pernah dicapai. Tapi setelah kita beri amaran yang keras, dua minggu berikutnya bila saya pergi, sekolah itu menukar wajah, bersih, anak-anak 100% datang ikut waktu. Awal, tujuh setengah, semua sudah masuk.
Maknanya kalau disiplin itu dijaga daripada awal dan betul persekitaran dia juga, dia bukan soal guru dengan pelajar. Peraturan keseluruhan dengan tegas, tapi seperti yang saya sebut, masyarakat pada masa itu lebih senang menerima peraturan begini dan keadaan mungkin lebih rumit sekarang. Tetapi saya percaya, soal ini adalah soal nilai dan soal akhlak maknanya bagi negara Malaysia sementara kita bicara soal digital AI, new technology, peralihan tenaga,
Saya bimbang kalau kita remehkan soal nilai, soal akhlak, soal pendidikan bagi masyarakat Islam, pendidikan Islam, yang lain mungkin pendidikan akhlak dan moral dan ini juga ditekankan. Sebab itu, rangkap yang saya bangkitkan selalu dalam menggapai yang di langit, kita mesti mengakar ke bumi, kita mengakar soal nilai dan akhlak dan ada positifnya bila kita ada perbahasan daripada semua rakan-rakan, baik Kerajaan dan pembangkang, semua melahirkan kebimbangan tentang budaya di sekolah, sikap anak-anak, kadang lebih cerdik, lebih pintar tetapi lebih rendah moral dan akhlak. Dan kita harus teliti semua ini secara menyeluruh.
Yang keduanya tentang pesta arak, saya setuju suasana sekolah itu mesti mengelakkan daripada walaupun selepas sekolah, dewan sekolah, pada pandangan saya, tidak harus digunakan untuk kegiatan-kegiatan yang melanggar peraturan dari segi sekolah, kerana walaupun dikatakan ini disewa oleh badan bebas umpamanya, dan ada arak, ada perjudian, ini bukan mendidik anak-anak, jadi melanggar konsep dan falsafah pendidikan kita sendiri.
Jadi, saya setuju malah Menteri Pendidikan telah bawa kepada saya tentang hal ini beberapa bulan yang lalu menyatakan bahawa harus diperketatkan, tapi kita juga nak minta rakan-rakan kita, kadang-kadang bukan Islam, dia salah faham. Bukan kita nak larang hak dia, tetapi sekolahnya ini tempat didikan, ilmu dan moral dan nilai. Dan kalau kita izinkan sedikit cebisan ala perjudian atau arak yang ditolak dalam kawasan sekolah, saya minta rakan-rakan kita bukan islam juga faham, ini sekolah. Masuk sekolah-sekolah bukan islam, kita anak-anak bukan islam bukan diajar daripada kecil untuk minum arak atau berjudi.
Jadi, budaya itu mesti budaya Malaysia keseluruhannya. Di luar itu soal mereka, hak mereka, tidak langsung kita nak pertikai, dia buatlah di dewan lain. Itu pandangan saya dan saya rasa Kementerian Pendidikan sedang meneliti supaya peraturan-peraturan ini… bagaimana tentang sekolah itu sekolah swasta, sekolah yang bukan milik kerajaan? Itu ada masalah sedikit. Ada lihat bagaimana setakat mana hak bidang kuasa kerajaan. Tetapi kalau sekolah milik kerajaan, saya tidak fikir kita harus melanggar prinsip-prinsip ini.
Saya percaya di kalangan rakan-rakan saya di sini ada juga melahirkan kebimbangan, nampak kita nak memaksa nilai dan pandangan Islam, tapi ini bukan maksud saya begitu. Maksud saya ialah melihat konsep dan falsafah pendidikan. Apakah pendidikan ini sekadar menimba ilmu, kecanggihan ilmu, kepintaran ilmu, ataupun membina, membentuk manusia? Nilai manusiawi, kalau nilai manusia, saya percaya kita ada consensus, ada yang boleh dibolehkan, ada yang harus dilarang.
Jadi saya cenderung untuk tidak membenarkan pesta-pesta sebentuk itu, termasuk pesta-pesta kerajaan sama ada selepas atau sebelum, seperti yang berlaku beberapa hari ini.
Tentang majlis kerajaan, saya lihat peraturannya dan daripada dulu 2002, 2018 peraturannya sama. Semua yang nak masuk ke sekolah mesti mendapat kebenaran. Baru-baru ini ada kes menteri diminta kebenaran daripada PPD, tidak boleh masuk sekolah, baru-baru ini. Tapi, tentunya saya maklumkan kepada menteri, patut juga beri makluman awal sama ada PPD, Kementerian Pendidikan atau Pejabat Menteri.
Jadi, ini harus terpakai untuk semua. Harus jaga, kawal sekolah itu untuk siapa. Ya, saya nak beritahu ni rekod memang betul. Ada seorang menteri yang tidak dibenarkan kerana tidak ada kebenaran dari sekolah ataupun dari Pejabat Pendidikan Daerah. Jadi saya ingat ini, YB Pasir Mas, terpakai untuk semua, untuk menteri dan juga untuk Pasir Mas. Kalau nak masuk, minta kebenaran dulu.
