TEKS VERBATIM YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI: PERJUMPAAN BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI
13 Oktober 2025
Skip to content
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI
13 OKTOBER 2025 (ISNIN) | 8:00 PAGI
DEWAN DE’ SERI ENDON PUSPANITAPURI, PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; dan
YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa,
Menteri Wilayah Persekutuan;
Saudara-saudari yang dihormati sekalian.
- Pagi ini saya hendak menyimpulkan susulan daripada belanjawan tentang isu apa yang saya sebut sebagai kerangka besar, yang ada kaitan dengan kegiatan kita harian.
- Kerangka besar pembangunan ini haruslah pertama, memacu pertumbuhan. Tapi konsep untuk apa? Untuk pembangunan manusia seutuhnya. Kita mewarisi satu sistem pendidikan dan pemahaman ekonomi yang tentunya terikat dengan pola pemikiran para ekonomi Barat. Tentu sudah biasa dengan perkara yang dianggap tonggak dalam sistem modal kapitalisme Adam Smith, yang ada kekuatannya The Wealth of Nations. Bagaimana negara boleh pacu pertumbuhan. Ia memberikan satu dampak yang sangat luas kepada seluruh pemikiran ekonomi dari London dan membentuk pemikiran para ekonomi seluruh dunia.
- Walaupun kemudian pandangan Karl Marx yang menyanggah. Tapi saya hendak sebut, memahami Adam Smith pun, saya ingat lagi masa saya Menteri Pendidikan lama dulu. Saya menyanggah kerana kalau kita baca Adam Smith, kita kena baca keseluruhannya. Adam Smith itu ada dua karya besar: The Wealth of Nations, yang membicarakan soal modal, bagaimana penguasaan modal itu kritikal untuk membangunkan negara, dan yang pentingnya dalam dasar materialisme, modal segala-galanya.
- Tetapi ada juga karya yang besar yang lain, The Theory of Moral Sentiments. Kalau baca Adam Smith, dia kenal dua-duanya. Ini kadang-kadang masalah sistem pendidikan kita. Kalaupun hendak ambil di Barat, ambil keseluruhannya. Kalau dicedok hanya yang dominan pemikirannya, iaitu kapitalisme sebagai ideologi, maka kefahaman anak-anak kita pakar ekonomi dari pengurusan bank kepada sistem kewangan negara, kepada dasar ekonomi negara dan perbendaharaan umpamanya, akan terpengaruh dengan pandangan itu.
- Bagaimana tentang karya yang kedua yang besar, The Theory of Moral Sentiments. Itu menarik, kerana dalam Theory of Moral Sentiments itu dibicara soal kesenjangan, penindasan pekerja, keadilan sosial. Tetapi buku yang kedua itu tenggelam sedikit kerana dibicara lebih banyak tentang falsafah kehidupan, keadilan sosial dan sebagainya, yang tidak banyak kaitan dengan kerjanya, ekonomi secara khusus.
- Tapi pada pandangan saya, tentulah ketimbangan. Saya tidak mengusulkan bahawa Adam Smith itu menjadi suatu kekuatan induk, tetapi saya hendak bicarakan tentang fahaman yang lazim diterima oleh semua kita yang terdidik, sama ada di Barat atau di sini semuanya fasih dengan Adam Smith.
- Tatkala ada satu wacana khas di Bilbao, Sepanyol, 10–15 tahun yang lalu, Amartya Sen, saya tahu sebagai pakar ekonomi yang agak lebih bicara tentang social dimension, justice. Kami bertiga, Amartya Sen, saya, dan Michel Camdessus, mantan ketua IMF yang agak kontroversial. Isteri kepada Amartya Sen itu profesor di Oxford. Dalam perbicaraan kami bertiga, dia mencelah bila kita kritik Adam Smith. Dia kata, dalam karya Adam Smith itu tidak kurang 14 atau 17 kali disebut istilah inequality. Jadi, orang yang paling kapitalistik sekalipun masih mengingatkan kita bahawa isu permasalahan, kesenjangan antara kaya dan miskin itu satu masalah besar.
- Tapi oleh kerana pandangan tentang keperluan modal itu begitu kukuh sebagai satu prasyarat pembangunan ekonomi, maka pandangan tentang kesenjangan di antara kaya-miskin (inequality) itu dengan sendirinya tenggelam.
- Apalagi kita sebagai orang Islam, fahaman tentang isu zakat, tentang Aal-Adl wal Ihsan, tentang bagaimana kehebatan Khulafa ar-Rasyidin atau kekuatan istimewa Umar Ibn Abd al-Aziz itu kerana keprihatinan dia. Damirnya itu tergetuk kalau lihat ada kesengsaraan hidup rakyat. Itu yang terkenal atau masyhur dua tahun tiga bulan dia jaga, dia dapat selesaikan masalah kemiskinan tegar seluruh wilayah.
- Masa itu, wilayah Islam itu Mekah, Madinah, Dunia Arab, sehingga Azerbaijan. Bayangkanlah. Itu kerana tatakelola yang baik. Betul, kalau kita dengar kadang-kadang kuliah-kuliah ini, tentang hebatnya Umar Abd Aziz, dia kena baca Al-Quran tiap malam, tahajjud tiap malam, menangis baca Al-Quran. Betul. Tetapi dalam penilaian tentang negara, menyusun dan mentadbir negara, yang menentukan itu adalah dasar dia. Dan dasarnya termasuklah soal yang saya rangkul sebagai tatakelola.
- Yang pertama dilakukan ialah inventory: apa yang diperolehi di khazanah negara, berapa banyak emas, berlian, harta, gandum yang ada. Dan tentunyalah bendaharanya akan mengatakan apa yang khalifah perlukan, ini semuanya khazanah milik khalifah. Situ dia jelaskan: “Ini milik negara, gaji dan upahku milik aku.” Categorisation yang sangat jelas dari awal.
- Jadi kalau dia tidak cukup untuk belanja perkahwinan anak-anak dia, dia kena pinjam dan dia kena bayar balik. Jadi, kehebatan dia itu menyebabkan selesai masalah kemiskinan tegar. Ini yang mempengaruhi saya, walaupun kita mengambil masa lebih sedikit panjang, kerana sistem itu tidak sama sepertimana dalam zaman kegemilangan Islam, dan Perdana Menteri itu jauh lebih rendah dari martabat Umar Abdul Aziz. Dan sebab itu ada keterbatasan dia.
- Ini yang saya sebut kerangka. Beberapa tahun yang lalu, sepuluh tahun yang lalu, kita dihebahkan dengan karya Thomas Piketty’s – Seolah-olah satu kejutan bahawa dunia ini terlalu banyak tekanan kapitalisme. Ini akibat daripada keresahan rakyat termasuk di Amerika Syarikat pada ketika itu. Sebelum itu, banyak karya-karya lain, John Rhodes, John Kenneth Galbraith. John Kenneth Galbraith itu banyak menekankan tentang pertimbangan kemiskinan, kesenjangan, ketidakadilan dalam sistem dan kemudian Joseph Stiglitz, dia yang popularkan the 1% or 10% control, the 90% golongan kaya, dia menentukan bukan saja sistem ekonomi, undang-undang yang dilakukan, pentadbiran negara, itu dipengaruhi oleh golongan, itu maknanya unbridled capitalism. Kapitalisme yang tidak terkawal.
- Sebab itu dalam rangka ekonomi negara yang saya tekankan ini, bukan kuliah ekonomi tetapi mengingatkan kita bahawa dalam merangka, tatakelola itu sangat penting dan tatakelola itu mesti terkait dengan pola pemikiran kita tentang apa dia pembangunan ini.
- Pembangunan manusia seutuhnya yang ditetapkan juga oleh nilai, bukan materialisme, bukan modal, nilai. Jadi keputusan-keputusan kita mestilah sesuai. Baik, kita bayangkan belanjawan baru-baru ini. Mengapa kita boleh berikan lebih kepada rakyat? tanpa mengenakan cukai lebih, baik untuk penjawat awam ataupun anak-anak di universiti yang di kategori yang pertama yang paling miskin, kemudian kesihatan lebih baik, SARA dan STR dan sebagainya. Maka ada aneh.
- Kalau nak berikan yang lebih kepada rakyat, dia harus hasil yang lebih, makna cukai. Tapi ini juga mengingatkan saya, tentang prinsip yang saya yakini begitu lama iaitu, sebelum kita fikir soal cukai, kita fikir soal kerja kita, pelaksanaan kita dan sistem yang kita warisi yang sekarang ini kita tadbir. Apakah sistem itu cekap? Apakah kita dapat kawal ketirisan? Apakah kita kawal rasuah? Atau penyeludupan? Jadi sebelum kita fikirkan soal cukai kadang-kadang membebankan rakyat, kita harus betulkan dulu kesilapan-kesilapan dalam pentadbiran kita.
- Sebab itu bagi saya, dari awal bulan pertama saya diamanahkan untuk mengetuai pentadbiran ini, saya bicara soal tatakelola, memang saya faham ada yang paling tidak senang. Mana mungkin orang yang rasuahnya berbilion ringgit senang dengan kita lancarkan tegas anti rasuah atau orang yang terlibat dalam sindiket penyeludupan, senang dengan itu? tidak. Ataupun yang kaya hidup dengan subsidi akibat daripada price control ayam dan telur, dia tidak akan senang. Tapi kita harus memikirkan, jangan disebut itu dan outside the box
- Kalau tidak kita hanya terus begitu saja the same system, Perdana Menteri sila berganti, KSN sila berganti, KPPA pun sila berganti tapi kaedahnya lebih kurang sama. Sekarang, Alhamdulillah ada banyak perubahan dalamnya.
- Tapi, saudara-saudara faham ya. Sebab itu dua tahun, 2023 saya tekan panggil badan-badan penguatkuasaan tapi tidak begitu berhasil, 2024 nampak ada kencang sedikit badan penguatkuasaan, 2025. Bayangkan dua tahun kita dapat selamatkan RM15.5 bilion ringgit. Aneh. Dari mana RM15 bilion? dari penyeludupan, dari ketirisan, dari rasuah.
- Jadi saya ucap tahniah kepada badan-badan penguatkuasaan, SPRM, LHDN dan semua yang lain, polis dan sebagainya yang saya tahu puluhan tahun lalu ada sindiket yang mengawal di pelabuhan, tapi tidak terlawan kita kerana begitu lama dan tentunya sindiket ini tidak boleh hidup kalau tidak ada kaitan dia dengan badan-badan penguatkuasa, pembesar-pembesar dan mungkin menteri dan Perdana Menteri. Jadi kita tanya diri kita, solat lima kali sehari, berdoa kepada Allah SWT, berdoa dan jangan zalim, jangan menindas, tapi kita izinkan perkara ini semua. Simpan janggut, kadang-kadang semualah.
- Jadi, bagi saya sebab itu saya cuba sedaya upaya dan perkara ini bukan mudah, ada risikonya, ada bantahannya seperti di mana saya selalu sebut, kalau nak tunggu di parlimen, termasuk pembangkang, hendak sokong usaha pembanteran rasuah, penyeludupan tidak ada yang dengar kalau ada isu rasuah itu hanya isu personal, politik. Ini masalah kita. Jadi saudara-saudara di kalangan penjawat awam, jangan harap lah orang lain. Kita, ابدأ بنفسك (Ibdā’ binafsik). Betul-betul Al-Quran precise يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا (Yā ayyuhalladzīna āmanū, quu anfusakum wa ahlīkum nārā.) Ini mesti ada tekad daripada diri ini dari the dictates and the habits of the heart, mesti dari pancaran, keyakinan ḍamīr (ضمير) hati nurani kita.
- Kita mahu peroleh pendapatan yang halal, jalankan kerja sebaik mungkin, kita ada setahun lagi, dua tahun lagi, lima tahun lagi, khidmatlah dengan sebaiknya, bayangkan dua tahun kita selamatkan RM15 bilion, katalah lima bilion satu tahun, dua tahun lima belas bilion terlalu tinggi. Maknanya kita dalam 20 tahun RM100 bilion, itu yang dapat dikesan, bayangkan tidak dikesan. Jadi kalau RM100 bilion dalam 10 tahun yang kita dapat ini, bayangkan universiti kita, pendidikan anak-anak kita, klinik desa dan sekolah anak-anak kita, kemudahan kesihatan untuk ibu bapa kita, anak-anak OKU. Bayangkan, begitu banyak kemudahan dan kemungkinan naik martabat negara kita sebagai negara yang betul kuat dan hebat.
- Saya bukan nak menafikan semua jasa dan khidmat terdahulu, tapi saya nak tekankan ini kenyataan. Bayangkan, saya bagi contoh, ayam, berapa satu tahun kita biaya yang price support1 billion. RM1.1. bilion itu universiti besar. Baik, kita ambil tindakan berani lalu Kementerian Pertanian, kita kena jalan juga ambil risiko kalau mereka main dengan kartel ini main, kita import ayam daripada Thailand cepat-cepat simpan di bilik sejuk, kalau dia naikkan kita longgokkan, you see this plan maknanya pegawai-pegawai kita itu, kalau dia ada backing dan commitment, dia boleh lakukan. Jadi, sejak dua tahun yang lalu, kita serah pengabungan ayam dan kita save RM1.1 bilion ringgit.
- Saving itulah yang kita boleh tambah gaji penjawat awam, STR, i-SARA, macam hebat je banyak duit. Daripada mana? Daripada menyelamatkan wang negara. Kalau tidak, bagi kepada 5 atau 6 syarikat besar kartel. Sama macam elektrik. Elektrik itu, saya kena hempuk setengah mati, tapi Alhamdulillah. Sebab itu saya selalu bagi tahu yakin percaya bahawa Allah uji dengan 10 tahun kena terajang, kena hempuk, penjara diaibkan itu, ada juga pengajaran hikmahnya. Jadi kita lebih tegas, tegap sikit kerana dia mengambil masa menerangkan.
- Walaupun kita tekankan, tarif elektrik tidak membebankan 85%, kalau di sini, tak ada yang terkesan, tapi semuanya marah, pekebun kecil… sehinggakan dalam pilihan raya negeri, itu isu terbesar dan parah kita. Banyak kawasan-kawasan yang kalah. Sekarang ternyata berapa saving? RM5 bilion, RM6 bilion daripada elektrik.
- Ini cadangan RON95. Memang cadangan awal, lain. Jadi kalau orang yang tak berapa setuju saya fahamlah. Cadangan awal, naik harga kemudian bagi Pangkalan Data Utama (PADU). Saya kata, kalau tak belajar daripada pengalaman elektrik itu, tak cerdiklah. Orang tak boleh terima kenaikan harga dalam keadaan gaji tak naik tinggi. Dalam keadaan harga barang makin terkesan, geopolitik dunia yang tidak menentu yang menyebabkan harga import kita meningkat. Alhamdulillah, Ringgit kita menguat. Kalau Ringgit kita jatuh lagi parah.
- Jadi sebab itu, bincang, kita pilih RON95 ini lebih baik kita turunkan harga. Sebab itu pun motto kempen saya lama – “Naik menang hari ini, minyak turun”. Yang itu yang aku kena balun sekarang (nada seloroh). Jadi Alhamdulillah sudah turun. Bila turun, kita beda dengan warga asing.
- Jadi kalau unjuran kita, kita boleh saving daripada subsidi ini RM8 bilion, tak dapat sebab kita turun harga untuk semua rakyat. Tapi kita kenakan bagi warga asing dan kenderaan asing. Estimate di kalangan, di antara RM2.5 bilion hingga RM3 bilion. Tak apalah, kita masih save RM3 bilion, tetapi tidak membebankan rakyat. Cuma dia kata ‘beban, apalah negara ini menyusahkan, kena bawa IC’… Allah! Bawa IC pun, apalah, nak menikah pun bawa IC.
- Baik, tak apalah, tapi sekurang-kurangnya saya percaya, saya yakin kalau difahami, dia berhenti, kita boleh saving. Jadi, sementara perlaksanaan itu penting tapi kita juga fikir, kita dengar. Maknanya, mengapa saya adjust sini? Kerana saya dengar, saya belajar daripada pengalaman itu, pendekatan tentang elektrik umpamanya.
- Jadi, pimpinan ini di semua peringkat mesti juga dengar dan respon. Saya yakin dengan beberapa tindakan tapi saya ubah suai sedikit. Kerana akhirnya kita dapat selamatkan dari subsidi sudah banyak dan dari rampasan penyeludupan dan rasuah ini juga banyak.
- Jadi saudara-saudari, saya manfaatkan majlis pada pagi ini untuk mengingat saudara, kita bekerja ini dengan satu tekad. Ada saudara-saudara ada pengalaman 10, 20, 30 tahun. Jadi baki-baki tahun, berilah yang sebaik mungkin. Kerana apa yang saudara lakukan itu akan menentukan nasib negara kita dan masa depan kita. Dan kita juga kena terima, Alhamdulillah kita buat sebaiknya, tapi kita juga tahu yang kita sebut ‘sebaiknya’ sekarang ini tidak cukup cemerlang, jadi mesti cari kaedah jalan.
- Sepertimana saya sebut tadi, pada penguatkuasaan, bukanlah saya nak puji berlebihan, tapi kenyataan. Bukan mereka tidak lakukan dulu, tapi kalau tanya dia, dia kata kerana dia pun belum pasti apakah tekad politik itu ada. Apakah pimpinan akan pertahankan mereka? Kadang-kadang akan mencecah VIP itu, dia nanti kena. Dan kita lihat banyak negara begitu. Tapi bila saya jelaskan, ada bukti, jangan ada penganiayaan, jalan dan jalan tegas, keras, segera. Dan saya akan pertaruhkan segalanya untuk pertahankan mereka dalam menjalankan tugas menyelamatkan negara ini.
- Kalau begitu, you sudah lihat dalam dua tahun, memuncak. Tetapi saudara-saudara dalam badan penguatkuasaan mahu tahu, ia bermakna saya sendiri mesti mengepalai dan bagi tahu my full undivided support dalam tindakan mereka dan kita hargai tindakan ini. Hasilnya jelas, tetapi penguatkuasa tidak cukup. Sebab itu saya ambil contoh ini sebagai suatu yang agak istimewa dalam bentuk tindakan.
- Tapi saya nak mengajak rakan-rakan semua dengan penjawat awam seluruh negara untuk melihat ini. Masih ada masalah, masih. Hari-hari kalau anda berita orang kena tangkap pasal rasuah. Negara apa begini? Tekan begitu kuat, tindakan tegas, masih maknanya ada sikit-sikit lagi kelemahan. Jadi jangan harap kepada SPRM atau pada badan penguasaan. Sebab itu saya bebankan tanggungjawab kepada ketua-ketua jabatan. Kalau ketua-ketua jabatan tahu dan menjadi pelindung, kita tak boleh pertahankan ketua jabatan itu. Sebab itu, pertanggungjawaban dan itu harus ada.
- Kita hafal semua, “Kullukum ra’in wa kullukum ma’su’ulun ‘an ra’iyyatihi”, saya tak tahu maknanya apa. Kerana bila laksanakan, kita tak laksanakan. Padahal Islam itu, istajibu lillahi wa lir-rasul, iza da’akum lima yuhyikum, itu penghayatannya, pelaksanaan kata-kata. Mudah-mudahan, sudah faham perkara ini.
- Sama macam buli, ini baru saya umum hari Jumaat, umum pasal buli. Memang keputusan dah dibuat, menteri dah sebut. Rogol lagi kat sekolah. Sampai setiap majlis saya di Tambun hari Sabtu jumpa ada dua program di sekolah, itu saya tekankan masalah buli. Pendidikan knowledge, not values, not moral and ethical principles. So ada flaw. Bukan salah guru saja, ibu bapa, sistem.
- Jadi, mudah-mudahan lah. Kita ada tekad, lakukanlah sebaiknya untuk kita, untuk keluarga kita, untuk masyarakat kita, untuk negara kita. Semoga Allah SWT memelihara kita semua dan memberkati usaha-usaha kita semua.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
