MAJLIS PELUNCURAN STRATEGI LITERASI KEWANGAN KEBANGSAAN 2026-2030 DAN BULAN LITERASI KEWANGAN 2025

3 Oktober 2025

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELUNCURAN STRATEGI LITERASI KEWANGAN KEBANGSAAN 2026-2030

DAN BULAN LITERASI KEWANGAN 2025

3 OKTOBER 2025 (JUMAAT) | 3.00 PETANG

SASANA KIJANG, BANK NEGARA MALAYSIA

KUALA LUMPUR

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,

Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,

Menteri Pendidikan

Yang Berbahagia Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour,

Gabenor Bank Negara Malaysia;

Yang Berbahagia Dato’ Mohammad Faiz Azmi,

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti;

Timbalan Gabenor Bank Negara;

Rakan Strategik Financial Education Network (FEN); dan

Semua pembesar-pembesar dalam Bursa, KWAP yang ada dana, terima kasih, dan juga dari institusi kewangan yang ramai, terima kasih banyak.

  1. Saya ucap terima kasih, penghargaan setinggi-tingginya kepada Bank Negara yang membantu menyelaraskan acara ini, dan kerjasama yang diberikan oleh institusi berkait, terutamanya Kementerian Pendidikan. Kerana soal kecelikan ni, kecelikan budaya, kecelikan ekonomi, kecelikan pelaburan, kecelikan digital, semua itu menjadi tumpuan kita dalam menjayakan negara ini.
  2. Hari ini, kita kata literasi atau kecelikan kewangan. Saya masih ingat semasa 90-an, semasa saya Menteri Kewangan. Kita dikejutkan dengan satu laporan dari UK yang diterbitkan dari kajian oleh bursa di sana, London Stock Exchange, kalau tak salah saya, dan mengejutkan kerana anggapan umum ialah bahawa kadar literasi kewangan dan pelaburan, dan kerana kecanggihan sistem itu yang bermula di sana, tetapi keupayaan menguasai ilmu ini itu paling lemah dan di tahap yang paling rendah.
  3. Itu pada masa itu bagi kita menggemparkan. Saya masih ingat lagi dipanggil dan bersidang di sini dengan Gabenor Bank Negara, dengan SC dan Bursa, dan kumpulan institusi kewangan yang menyatakan kalau kita mahu melonjak ekonomi kita ini, mesti ada satu kempen besar-besaran.
  4. Apa dia risiko orang yang terlibat dalam kegiatan ini, tapi kadar kefahaman yang sangat rendah. Risikonya pada masa itu kemudian muncul apa yang disebut oleh Greenspan sebagai ‘irrational exuberance’, melihat bursa itu sendiri sebagai seolah-olah satu kasino, dan pelaburan sesuatu yang agak diputuskan berdasarkan andaian dan agak, tetapi tidak melalui penguasaan ilmu atau literasi kewangan itu sendiri.
  5. Tapi tentunya kelemahan manusia ada juga. Orang kata ‘gullibility’, bahawa dia lihat sahaja keuntungan kewangan dan sebagainya tanpa melihat kepada angka dan data, kerana mungkin tidak ada latihan dan tidak ada kecelikan yang diperlukan.
  6. Sekarang kita sudah 2025, kadar pertumbuhan, Alhamdulillah, segar dan vibrancy dari segi institusi kewangan keseluruhannya itu lebih meyakinkan.
  7. Tetapi kita juga tahu dalam negara MADANI ini, kita tidak mahu ini hanya dimanfaatkan oleh kelompok yang kecil, elit, sama ada dari sudut penguasa ataupun kewangan. Kita mahu melebarkan merentas semua daerah, kaum, termasuk golongan yang lebih miskin atau tahap sederhana. Sepertimana peranan institusi bank yang menjelajah sampai ke seluruh pelusuk tanah air.
  8. Dan bagaimana harus kita jayakan ialah kerana beri kefahaman. Salah satu isu yang saya rasa besar bagi negara kita, yang kita asak berterusan, adalah tahap pemikiran yang lebih kritis, yang disebut critical thinking, yang tentunya bermula dari apa yang disebut financial literacy dan generally, apa yang disebut sebagai kecelikan.
  9. Malah bagi negara yang bangun, tanpa kecelikan dan literasi ini, ia banyak masalah. Tadi pagi YB Fadhlina, Menteri Pendidikan Tinggi dan kita mulakan sidang pertama Majlis Pendidikan Malaysia. Dan tidak boleh lari daripada situ ini, pendidikan ini makna kecelikan ilmu, budaya, sejarah, kefahaman kerana negara boleh membangun, tapi tanpa kecelikan banyak masalah-masalah berlaku.
  10. Dangkal kefahaman dari segi sejarah, dangkal kefahaman dari sudut elemen dan prinsip utama untuk menyatupadukan rakyat. Kedangkalan ini yang menyebabkan manusia bertempur, isu kaum, isu agama, isu wilayah, isu yang titik bengik lainnya, kerana kedangkalan ilmu.
  11. Saya popularkan dulu rencana salah seorang sarjana asal Palestin, Edward Said. Tatkala menjawab kupasan Samuel Huntington, “Clash of Civilization” yang kita sudah arif. Maknanya bagi dia civilization ought to clash sebab kata dia akhirnya dominance of the Western culture, dan rendahnya tamadun China, atau India, atau apalagi Islam.
  12. Tapi Edward Said dalam rencana pendek dalam “The Nation”, sekitar 8 halaman, 10 halaman, dia menjawab dan bagi saya sangat mengesankan. Kata dia, apakah benar ada kefahaman? Adakah kupasan “Clash of Civilization” itu akibat dari kefahaman? “Are you able to comprehend what you mean by civilizations — by Western or Eastern, or Chinese, or Indian, or Islamic?” Jadi jawab dia “No. Hardly any understanding or comprehension about other cultures, other civilizations”.
  13. Jadi jawab dia, bukan Clash of Civilization, but Clash of Ignorance. Satu ungkapan yang sangat tajam, dan kalau saudara baca sebenarnya bukan sahaja orang Barat kedangkalan, kejahilan tentang Timur, tapi orang Timur pun banyak yang anti-Barat atau anti-Eropah, tetapi kefahamannya sangat dangkal. Jadi dia cepat untuk generalize dan menghukum tanpa kefahaman dalam masyarakat kita.
  14. YB Fadhlina, Menteri Pendidikan tahu ya, dalam masyarakat kita yang bicara soal Islam, soal Melayu atau kaum-kaum lain, begitu jugalah. Dia menghukum, memutuskan tanpa asas ilmu yang kuat.
  15. Jadi bagi Bank Negara untuk bicara soal ini menarik. Lepas itu saya nak perluaskan sedikit, celik kewangan ini makna celik ekonomi. Celik ekonomi makna celik negara, celik masyarakat, celik realiti, kenyataan hidupan kita, celik sejarah.
  16. Saya tidak tahu sama ada Rasheed boleh kupas itu. Tapi saya percaya dia dengar kuliah saya banyak kali ini, dia boleh sikit. (nada berseloroh)
  17. Tapi kalau saudara baca “Clash of Civilization”, if the government does not mind i think you can probably trace these clash of the civilisation and I’ll be very appreciate that if you can distribute to the bankers for the change, otherwise it is a boring job. Jadi, tengok it is just a short article, you can finish…but if it is heavy, probably more than 10-15 minutes, tetapi you boleh anggap, you see, masalah kita sebenarnya ialah masalah kedangkalan ilmu, masalah cepat menghukum kerana kejahilan kerana andaian kita tahu padahal kita tidak tahu, apalagi hal-hal yang tidak specialize yang dia sebut specialized disciplines seperti kewangan.
  18. Jadi kecelikan kewangan atau literasi kewangan itu bagi saya sangat penting bukan saja soal institusi tapi hak orang tidak tahu. Saya sekarang sedang memikirkan bagaimana kita nak pastikan perang terhadap rasuah itu dah paling keras lagi dah.
  19. Jadi bagaimana kita nak beri kefahaman? Jadi ada saya baca pengalaman beberapa masyarakat civil society yang mengusulkan umpamanya kita nak bina sekolah menengah katalah di Bukit Mertajam, boleh tak kita letak dalam label itu, sekolah ini kosnya sekian, tendernya sekian, specs-nya sekian, batu asas sekian, projeknya harus siap pada sekian tahun dan biar rakyat lihat menilai.
  20. Di sebuah kampung, Cherok Tok Kun kampung saya ada projek umpamanya bina parit kosnya RM120 ribu, kontraktornya sekian. Jadi maknanya rakyat itu dengan kecelikan kefahaman dia itu, dia tengok kewangan dia lihat projek, dia lihat tender, dia lihat janji bila boleh siap dia tengok mutu projek itu.
  21. Itu bagi saya mungkin agak sukar, tidak terlalu popular tetapi mungkin ada kebaikannya. Ini termasuk, Dato Faiz, Bursa lah, ataupun SC lah. Projek ini sekian, dia popularkan batik sekian dan lain-lain lah. Ini sekarang saya nak lontarkan idea apa yang harus kita usahakan untuk meningkatkan tahap kefahaman. Jadi kita beri dia kuasa, pemerkasaan rakyat untuk menentukan. Baik.
  22. Kerana walaupun kita lebih canggih, kempennya ni berlurus, tapi saya tengok gullibility itu, vulnerability berberapa kalangan dalam menghadapi scammers ini, bagi saya menghairankan. Ada orang yang pernah jadi ketua pengarah, ada yang pendidikannya, pendidikan tinggi tapi bagaimana boleh tertipu begitu mudah sekali? Kecelikan ada tapi mungkin celik tapi rabun. Sukar mengerti bagaimana mudah hilang RM80,000, hilang RM100,000 dan jumlahnya saya tahu mencecah billion.
  23. Kalau di ASEAN itu dah mencecah puluhan billion. Bukan maksud saya nak bunyi macam angkuh, arrogant, tidak. Tapi saya mengatakan bahawa perkara ini dijawab, kalau ada kecelikan, I mean kalau saudara pernah jadi ketua pengarah tentunya, paling celiklah sepatutnya ketimbang orang yang dari sekadar ketua kampung atau penghulu tapi bagaimana boleh mudah begitu, kerana mungkin ada kecelikan umum tapi tidak ada kecelikan dalam bidang yang khusus termasuk kewangan.
  24. Jadi, tatkala negara lebih memacu dengan lebih segar dan meyakinkan, maka kita lebih tercabar untuk melakukan sesuatu memberikan kefahaman lebih mendalam. Kalau, umpamanya KWAP dalam kempen umpamanya, pelaburan, bila kita pergi ke sekolah-sekolah bila ada kesedaran itu, tengok sambutan anak-anak itu baik, positif. Tapi mengapa sebelum kempen ini tidak lakukan itu, budaya menyimpan atau melabur sejak kecil? Itu kerana tahap kefahaman kempen.
  25. Jadi sebab itu saya rasa bank-bank yang ada cawangan yang seluruh negara ini yang patut ada juga, usaha untuk dekati sekolah berdekatan, masjid berdekatan, persatuan masyarakat berdekatan untuk memberikan sedikit kefahaman dan pendidikan. Tak mungkin institusi formal, sekolah untuk lakukan semua kerana sekolah itu tanggungjawabnya luas, sekarang lebih lagi. Saya dah tuntut Kementerian Pendidikan selain daripada kurikulum yang ada, bahasa harus lebih baik, kemudian tambah lagi Bahasa Inggeris harus lebih baik, kemudian tambah pula digital AI mesti dikuasai udah. Beban cikgu tu, tuntutan lebih besar dan sekarang, Dato’ Rasheed pula kata, literasi kewangan pula lagi, dia rasa beban.
  26. Jadi sebab itu, tanggungjawab itu harus dipikul juga oleh rakan-rakan institusi kewangan, pertamanya saudara punyai pengalaman yang lebih, pengetahuan yang lebih dalam bidang yang demikian, bidang tersebut dan kadar penyampaian dengan lain. Banyak kalau seorang itu pengurus bank, walaupun bank di daerah, itu dilihat oleh anak-anak itu dengan agak kagum juga. Jaga dana yang begitu besar dan dipercayai elemen teras di situ. Jadi kalau boleh dikupas jangan hanya cerita pasal faham kewangan tapi maknanya bagaimana seorang pengurus bank diamanahkan menguruskan kadar wang puluhan juta ringgit. Ini elemen integriti, elemen amanah dan kefahaman tentang selok-belok dan prinsip kewangan.
  27. Saya hanya lontarkan idea ini saya percaya rakan-rakan boleh bantu dalam hal ini. Setakat ini saya ucap terima kasih kerana sambutan baik dari institusi kewangan. Mula-mula kita katakan kampung angkat, dah nampak jalan kampung angkat, kita kata sekolah angkat. Lepas sekolah angkat tu SejaTi MADANI. Jadi setakat ini saya tak dengar lagi orang kata bosan, hari-hari ada idea baru. Ini tambah pula hari ini kecelikan literasi kewangan.
  28. Lepas itu jangan jemput saya selalu (nada berseloroh). Tiap kali ada, saya ada saja cadangan tahu kerana you know, we want this country to move and succeed and to succeed, we need to embark on new programmes and more comprehensive understanding and what the country and the society requires and we don’t have a choice. We have to work doubly hard to ensure that we don’t only sustain but excel. I believe in this specific field, you are better prepared, better equipped.
  29. Tapi peranan saya hanya menggesa sedaya upaya kerana saya yakin akan keupayaan kita. Saya mewakili satu generasi yang sangat idealistic saya rasa Malaysia ini kalau kita boleh benamkan ini permusuhan kaum, agama dan hanya work, bekerja sebagai satu pasukan dan jayakan semua dan jangan bagi mana-mana masyarakat rasa terpinggir atau tersisih apakah dari kaum mana, daripada agama mana, dari daerah mana, kampung mana, doesn’t matter. Kita harus angkat semua dan kita ada keupayaan, kita ada khazanah yang cukup dan kita ada tenaga yang cukup mahir.
  30. Itu sajalah harapan saya tentang Literasi Kewangan Kebangsaan ini untuk 2026-2030 dan Bulan Literasi Kewangan. Mudah-mudahan kerana Bank Negara selaraskan ini jadi senang masalah kita. Jadi dia kata moral suasion. I don’t know what it means but, jadi terima kasih sekali lagi Dato’ Rasheed. Terima kasih rakan-rakan yang menjayakan dan YB Fadhlina Sidek dan kementerian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Share: