TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MALAM GALA FESTIVAL BUDAYA MALAYSIA 2025 – WOW MALAYSIA!
13 September 2025
Skip to content
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MALAM GALA FESTIVAL BUDAYA MALAYSIA
2025 – WOW MALAYSIA!
13 SEPTEMBER 2025 (SABTU) | 8:30 MALAM
TAMAN TASIK TITIWANGSA, KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih, saya bawa anak kawan-kawan saya itu. Dia kata, “I cannot wait, I want to go back”, kata dia.
- Alhamdulillah kita dapat bersama-sama menjayakan Festival Budaya Malaysia 2025 Wow Malaysia. Dan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, seluruh jentera pelancongan bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Yang Berbahagia Datuk Seri Paduka TPr Dr. Maimunah binti Mohd Sharif dan semua yang bagi kerjasama menjayakan program ini. Dan ini menggambarkan hebatnya Malaysia dengan pelbagai budaya.
Saudara-saudari yang dimuliakan,
- Dalam dua hari lagi kita akan sambut Hari Malaysia di Pulau Pinang. Dan yang kita tonton dan kita tonjolkan pada malam ini adalah satu festival kerencaman budaya Malaysia yang kita banggakan, kerana kekuatan kita adalah dalam kepelbagaiannya. Kehebatan kita ialah kerana kesediaan kita menerima semuanya dari warisan negara kita, dari pelbagai kaum, pelbagai suku kaum, pelbagai daerah. Semuanya ada kekuatan masing-masing. Semuanya mempamerkan keindahan, kecantikan, kehebatan luar biasa. Saya salute pada anak-anak Malaysia yang ada pertunjukan pada malam ini. Jadi, maknanya kita lihat secara positif.
- Bila kita jayakan negara MADANI, teras kita adalah pemerkasaan ekonomi dan kemampanannya. Tetapi yang kita hendak bangunkan itu manusia. Pemerkasaan ekonomi mestilah selari dengan pemerkasaan budaya. Kita kembangkan nilai insan dan manusiawi, dan kita tunjukkan kesediaan kita untuk bukan sekadar kenal, tetapi menghormati, mengimarah, menghebatkan, memperkenal dan menunjukkan kita terkesan dengan kehebatan masing-masing budaya,ini saya nak tekankan kekuatan Malaysia.
- Berbeza daripada pandangan kelompok kecil yang anggap hanya satu pandangan mereka yang baik dan tidak bersedia menerima kepelbagaian. Negara ini ditegakkan dengan beberapa asas. Seperti mana kita tahu Bahasa, Bahasa Melayu, bahasa rasmi, bahasa yang memperkuat dan mengikat semua rakyat di negara kita. Tetapi negara ini ditegakkan juga untuk menghormati hak semua kaum menguasai bahasa mereka. Dan dengan perkembangan dunia yang mencabar sekarang, kita tahu keperluan menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris.
- Begitu juga dalam budaya. Teras budaya kita adalah budaya Melayu, budaya kebangsaan. Tetapi budaya ini dikembangkan dengan merangkul budaya suku-suku kaum yang lain. Kita ada pertunjukkan yang melibatkan teras budaya Melayu dengan Cina, dengan India, dengan Iban, dengan Kadazan, dengan Murut, dengan Melanau, dengan Bajau. Semuanya itu kemudian kita rangkul sebagai budaya kita anak Malaysia. Inilah yang akan menjayakan, menjamin keamanan dan kelangsungan kita. Kalau kita mula merasakan perlu menolak, itu mulanya bibit-bibit perpecahan dalam kalangan kita.
- Baik, aspek yang kedua yang penting kita faham adalah festival mempamerkan kekuatan ini, mengagumkan bukan sahaja rakyat Malaysia, tetapi orang lain. Dalam setiap kehadiran meraikan pembesar-pembesar, presiden, raja dan perdana menteri dari luar negara, bila ada pertunjukkan di Kompleks Seri Perdana, saya tunjukkan semuanya. Dengan warna-warni, dengan pelbagai gaya dan lenggok. Dengan lagu-lagu pelbagai bahasa.
- Itu bagi orang yang melihat dari jauh, itu mengagumkan. Itu dilihat, “Wah, luar biasa orang Malaysia ini. Dia terima kepelbagaian. Dia meraikan.” Lihat, ya. Maknanya kalau kita beri ruang ini, bukan sahaja rakyat Malaysia, tapi orang lain akan lebih kagum.
- Ramai yang di sini juga pelancong. Many of you are visitors, tourists into this country. And of course, this is a showcase of our sense of tolerance, appreciation of the very subcultures in this country. And we take great pride that Malaysia is able to attain peace and prosperity but at the same time, we celebrate this festival of various cultures, dances, songs, because that reflects our great nation Malaysia.
- Terima kasih kerana kehadiran semua dan tentunya Kementerian Pelancongan, YB Dato’ Sri Tiong King Sing ya, bangga kerana angka-angka yang ditunjukkan baru-baru ini, kehadiran pelancong-pelancong luar negara sudah hampir mencecah rekod dan hasil kepada negara juga sangat tinggi. Terima kasih.
- Jadi, yang ditunjukkan ini rupanya 68 ya aktiviti budaya. Ada wayang kulit Nusantara, ada Menora, ada silat, ada tarian pelbagai etnik, makanan warisan. Saya tak tengok makanan, belum ada. Program interaktif, pertandingan kreatif, pertandingan silambam antarabangsa, makanan cita rasa warisan, belum ada, saya tak tengok lagi. Yang ada saya tengok cekodok ja. (nada berseloroh) Persembahan kebudayaan tradisional. Ini semua, manfaatkan waktu ini sebelum akhir, yang hari akhir 16 haribulan nanti.
- Dan saya ucap terima kasih kepada kementerian kerana kejayaan mereka. YB Dato’ Sri Tiong King Sing ya, walaupun saya selalu tak luluskan peruntukan beliau banyak, sebab nampak ada keupayaan dengan peruntukan yang ada, hasilnya boleh tambah. Jadi buat apa nak tambah peruntukan.
- Jadi kejayaan Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha (KSU) dan semua pegawai-pegawai dan keluarga dan tiap program, baik di Wilayah Persekutuan, bandar raya nampak tersergam. Dan saya juga ucap tahniah kerana memilih tempat ini yang popular dan boleh menarik jumlah kehadiran yang lebih ramai.
- Jadi, ucap sekali lagi terima kasih dan dengan sukacitanya merasmikan Festival Budaya Malaysia 2025 — Wow! Malaysia.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
