TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 28 OGOS 2025: SOALAN 1 DAN SOALAN-SOALAN TAMBAHAN
LAPORAN VERBATIM
WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
TARIKH : 28 OGOS 2025 (KHAMIS)
SOALAN 1: DATUK SERI HAJI JALALUDDIN BIN HAJI ALIAS [JELEBU ]
Minta YAB PERDANA MENTERI menyatakan benarkah perancangan projek pembangunan infrastruktur oleh Kerajaan Persekutuan hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu dan meminggirkan sebahagian yang lain sebagai contoh projek E-ART Wilayah Iskandar Johor dan Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dan sebagainya.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.
Yang Di-Pertua,
Terima kasih kepada JELEBU atas soalan ini, dan kesempatan kepada saya untuk memberikan penjelasan angka yang diperolehi terkini dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi. Dalam kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Perindustrian Baru kita telah memberikan beberapa projek keutamaan. Ini selari dengan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS), umpamanya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ).
Tapi ini tidak bermakna beberapa pembangunan di negeri-negeri dipinggirkan. Umpamanya Yang DiPertua, Sabah Kalau kita lihat umpamanya tahun 2022 ketimbang tahun 2025, Untuk perbelanjaan pembangunan itu peningkatan agak mendadak dari 5.2 bilion naik ke 6.7 bilion ringgit. Sarawak, dari 4.7 bilion tahun 2022 kepada 5.9 bilion. Terengganu daripada 1.4 bilion naik ke 1.8 bilion. Kelantan 2.4 bilion kepada 3.2 bilion. Kedah dari 1.6% kepada 2.2% dan Perlis daripada 0.4% kepada 0.6%
Ini saya nak tunjukkan sengaja bahawa dalam Kerajaan MADANI bukan dipinggirkan malah ditambah peruntukan berdasarkan keperluan. Tapi tentunya untuk umpamanya Sabah dan Sarawak berdasarkan pakej pembangunan Lebuh Raya, itu jumlahnya besar, umpamanya. Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, kosnya RM15.9 bilion. Untuk Sabah Sarawak Link Road (SSLR), itu hampir RM10 bilion. Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan Pahang, Terengganu, Kelantan dan sebagian Selangor itu jumlah keseluruhan RM74.96 bilion. Ini tidak termasuk Central Spine Road, Pahang, Terengganu, Kelantan, kosnya RM6.38 bilion.
Jawapan ini perlu Yang Di-Pertua kerana menolak sebahagian daripada tanggapan bahawa ada peminggiran, seperti yang ditohmah selama ini dan bila kita beri angka-angka ini tidak dihadam dan naratif yang lama diteruskan.
Saya sebut di dewan ini berulang kali tentang RTB (Rancangan Tebatan Banjir), umpamanya untuk keseluruhan negara itu RM25.08 bilion dan tertumpu banyaknya di Kelantan, Pahang, Terengganu, yang menelan kos 8.8 bilion ringgit. Ini bukan karena soal pilih atau tidak, tapi soal keperluan.
Bekalan air melalui PAAB, pinjaman di bawah PAAB, 1 bilion ringgit untuk Kedah, 1 bilion ringgit untuk Kelantan. Ini termasuklah apa yang disebut Skim Pemindahan Air Jeniang, dikedah dengan kos RM922 juta.
Untuk NCER, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, kita ambil Hab Logistics SIDAM, RM700 juta. RM723 juta untuk kemudahan infrastruktur, Pembangunan Lembah Cuping, Perlis. Jadi apa yang saya sebut tadi tentang kos pembangunan ini kerana tidak termasuk apa yang disebut di sini dari segi projek-projek pembangunan yang berskala besar. Menaik taraf Empangan Timah Tasoh fasa 3, RM300 juta.
Jadi angka-angka ini ada juga dalam buku Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan (RMKe-13). Jadi kalau kita lihat, umpamanya kita akan pastikan tetap tentang jumlah-jumlah yang disebut dan jumlah keseluruhannya, tentunya jauh lebih besar. Sebab itu untuk mempersiapkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) dan Belanjawan, saya turun ke negeri-negeri. Anwar turun, tapi ke negeri untuk mendengar dan kemudian atas permintaan Menteri Besar, termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, mereka cadangkan beberapa keutamaan. Dan itu kadang-kadang berbeda dengan keutamaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan. Tapi saya ubah suai bagi jaminan, satu dua keutamaan yang negeri pilih, kita akan terima dan ini akan insya-Allah saya umumkan dalam Belanjawab bulan Oktober ini. Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 1 BAGI SOALAN 1
Pertamanya, saya nak ucapkan terima kasih di atas penjelasan yang begitu teliti oleh Yang Amat Berhormat, dan walaupun kita ada peningkatan seperti yang diumumkan jumlah pelaburan dan juga peningkatan dalam soal kemudahan infrastruktur dan sebagainya. Saya bangkitkan ini kerana saya melihat, Dato’ Yang Di-Pertua ya, jurang yang ekonomi antara negeri ini perlu kita rapatkan.
Saya nak bagi contoh mengikut data kita ya. Pada tahun 2024, Selangor mencatatkan GDP dengan nilai 432 bilion. Berbanding dengan Negeri Sembilan, berada di tempat yang ke-9 dengan nilai 54 bilion dan kalau saya sebut Perlis, jauh lagi lah 6.5 bilion. Ini bukan tujuan untuk kita supaya semakan, kerana saya tahu dalam soal yang berkaitan dengan justifikasi politik dan ekonomi, Negeri Sembilan dengan negeri Selangor tentunya tak boleh sama. Tetapi saya sebut Negeri Sembilan adalah second Klang Valley in the making. Maknanya daerah-negeri yang paling rapat dengan Selangor yang harus diberi penumpuan.
Pandangan saya, Dato’ Speaker, perlu ada satu langkah panjang yang khusus bagi memastikan jurang ataupun saiz ekonomi ini dapat kita sekurang-kurangnya dapat kita rapatkan lagi. Sekurang-kurangnya pembangunan infrastruktur di antara negeri dan pembangunan antara daerah itu, Dato’ Speaker. Negeri satu hal, kemudian daerah pula. Kalau kita tengok Negeri Sembilan Yang Amat Berhormat Tambun, Jelebu ini yang amat berhormat Tambun. Dulu Yang Berhormat Menteri Pengangkutan bagi ECRL laluan ke Jelebu, akhirnya ditarik balik. Lepas itu saya minta jajaran daripada Jelebu ke Hulu Langat, akhirnya pun tidak mendapat perhatian. Bukan tak dapat perhatian, belum mendapat perhatian.
Jadi perkara ni Dato’ Yang Di-Pertua, saya fikir adalah satu perkara yang mesti diberi perhatian dan pertimbangan wajar oleh pihak Kerajaan, terutamanya Kerajaan MADANI.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima Kasih JELEBU, memang dari segi dasar pendekatan sejak almarhum Tun Abdul Razak membicarakan tentang pembangunan in-situ desa. Sebab itu ada projek-projek yang ditekankan melalui FELDA, RISDA, FELCRA untuk pembangunan setempat, tetapi tidak sepenuhnya berhasil kerana budaya penghijrahan ke bandar itu sesuatu yang memang berlaku dalam seluruh sejarah umat manusia. Sebab itu hijrah Nabi Muhammad SAW pun dari Makkah al-Mukarramah ke Kota Yathrib yang kemudian dikenal sebagai Madinah Tun Nabi. Bagaimana juga teori Ibni Khaldun, pusat pembangunan dan tamadun itu, Umran Hadhari itu, di kota. Jadi kita harus tangani.
Cuma apa yang diusulkan oleh Yang Berhormat Jelebu itu sesuai kerana jangan sehinggakan kesenjangan itu terlalu melebar dan membengkak sehingga ada jurang yang ketara. Sebab itu bila soal digital connectivity, soal pembangunan asas, sekolah, kemudahan-kemudahan asas itu dipastikan pengagihannya agak lebih adil.
Yang keduanya tentang ECRL seperti mana saya sebut tadi, kosnya sudah mencecah RM74.9 bilion, sebab itu saya ingat keputusan itu kekal. Walaubagaimanapun, soal cadangan Jelebu ke Hulu Langat itu memang sekarang di peringkat mula dibawa ke Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) dan ini memang diteliti sebagai salah satu keutamaan untuk menjayakan program pembangunan yang agak lebih selesa untuk masyarakat Negeri Sembilan.
Tentang Negeri Sembilan, kita teliti rancangan macam Malaysia Vision Valley (MVV), itu sudah meningkat besar, cepat dan juga program pelancongan dan pembangunan sekitar Port Dickson untuk merapatkan jurang. Saya setuju pada dasarnya dan kita memang sediakan peruntukan untuk pembangunan desa di wilayah yang agak banyak untuk mengurangkan beban kesenjangan ini.
SOALAN TAMBAHAN 2 BAGI SOALAN 1: YB DATUK SERI DR. RONALD KIANDEE [BELURAN]
Terima kasih yang Amat Berhormat Speaker.
Yang Amat Berhormat Tambun air, lampu dan jalan raya merupakan “penyakit tiga serangkai” yang menghantui rakyat Malaysia yang berada di Sabah ketika ini.
Pan Borneo umpamanya, walaupun dikatakan RM15.9 bilion telah diperuntukkan, manakala Link Road RM10 bilion diperuntukkan, namun for the past 9 years, Pan Borneo tak selesai, Link Road dalam keadaan yang daif, jadi rakyat Sabah berhadapan dengan jalan Pan Borneo yang tak selesai dan juga Link Road yang dalam keadaan daif, Yang Amat Berhormat.
Apa masalah sebenarnya? Berbanding dengan negeri lain, contohnya Sarawak, 99% dikatakan telah selesai Pan Borneo, dan jalan Link Road juga dalam keadaan yang lebih baik daripada Sabah, mengapa perbezaan yang amat ketara di dua negeri di Pulau Borneo ini berlaku pada ketika ini?
Rakyat Malaysia yang berada di Sabah for the last 9 years, Dato’ Sri berada dalam keadaan, berhadapan dengan keadaan yang sungguh daif, so it will akan menjadi cabaran kepada Kerajaan untuk melaksanakan perkara ini dalam masa terdekat.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih Beluran, memang benar kalau di Sabah, isu air, isu jalan berlubang dan isu Pan Borneo. Kita beri keutamaan, tetapi seperti mana yang kita sebut tadi projek diluluskan dalam masa yang sama, 8-10 tahun yang lalu. Di Sarawak dijalankan dan berhasil, sekarang mencecah sekitar 97-98% dan kita boleh tambah sekarang tentang apa yang dipanggil “red line” untuk melengkapkan, tetapi itu tidak berlaku di Sabah.
Tentu sebabnya Yang Berhormat Beluran pun tahu, kita warisi sistem pengagihan kontrak yang sangat bermasalah sebab itu, sejak dua (2) tahun yang lalu kita minta supaya semua proses tender itu lebih telus dan tidak lagi beri alasan mesti syarikat tempatan atau syarikat negeri, saya kata, syarikat yang boleh buat termasuk syarikat besar dengan syarat mesti ada pengagihan projek-projek kecil itu ke syarikat negeri.
Sabah ini yang kita warisi bukan baru. Yang Di-Pertua, sejak 7-8 tahun yang lalu, projek diluluskan dengan syarat-syarat negeri memperketatkan syarat untuk melibatkan syarikat-syarikat negeri dan kemudian pelaksanaan sangat lemah dan banyak terpaksa dibatalkan, disambung dengan penyambungan kontrak itu, ada yang dua kali dan ada yang tiga kali, saya sudah tamatkan supaya kita boleh kontrak semula dan insya-Allah dapat berjaya untuk melihat, menyaksikan perkembangan projek Pan Borneo itu agak lebih cepat.
Jadi saya yakin dengan cara kita tender lebih telus ini, projek ini boleh berjalan dengan baik. Saya terima teguran Beluran kerana tidak ada sebab, pojek sama, peruntukan masa yang sama, siap 98% di Sarawak, tetapi hampir gagal kebanyakan fasa di Sabah sebab itu, pendekatannya harus lebih tegas, berani dan lebih telus.
SOALAN TAMBAHAN 3 BAGI SOALAN 1: YB TUAN HAJI AHMAD JOHNIE BIN ZAWAWI [IGAN]
Kepada Yang Amat Berhormat Tambun, IGAN mendengar dengan teliti jawapan yang telah diberikan dan betapa bagaimana Sarawak mendapat peningkatan yang pembangunan peruntukan yang sangat signifikan tadi disebut daripada RM 47 bilion kepada RM 59 bilion. Terima kasih Yang Amat Berhormat Tambun.
Soalan tambahan IGAN ialah bagaimana pula mana-mana Kerajaan negeri yang lain dapat meningkatkan bilangan dan nilai projek yang dilaksanakan di negeri masing-masing. Kerana sudah tentu setiap negeri ingin meningkatkan pembangunan infrastruktur di negeri masing-masing. Itu soalan tambahan IGAN, Yang Amat Berhormat. Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih IGAN dan itu tidak termasuk apa yang saya sebut tadi iaitu untuk jaringan di Sarawak itu, projek itu mencecah RM 24.54 bilion. Jadi kalau lihat keseluruhannya, pengagihan itu lebih adil daripada sesetengah suara seolah-olah ada peminggiran.
Tetapi saya setuju sebab itu dalam perbincangan kita dengan Kerajaan-kerajaan Negeri, kadang-kadang selama ini projek-projek dikemukakan kemudian kita putuskan di sini, tetapi pendekatan saya ialah mengadakan siri-siri perbincangan saya dan beberapa menteri dan KSP, KSU, kementerian-kementerian mendengar sendiri dan memilih untuk bersetuju ataupun menempatkan keutamaan kepada beberapa cadangan negeri. Umpamanya kalau di Sarawak, dicadangkan pusat kanser. Mulanya tidak dalam perancangan kita. Sarawak kata, tidak apa kita mulakan dengan RM 1 bilion dan Kerajaan Persekutuan akan bayar kemudian. Hal-hal ini kita teruskan berdasarkan keutamaan yang ditetapkan oleh negeri, sama juga seperti yang kita buat di Johor atau Kelantan dan lain-lain negeri. Terima Kasih.
