TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: KARNIVAL USAHAWAN TENUSU MADANI “MEMACU REVOLUSI PERTANIAN MODEN, MENJANA EKONOMI RAKYAT”
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
KARNIVAL USAHAWAN TENUSU MADANI
“MEMACU REVOLUSI PERTANIAN MODEN, MENJANA EKONOMI RAKYAT”
16 OGOS 2025 | SABTU | 10.30 PAGI
FARM FRESH PERAK, PONDOK TANJUNG, PERAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba
Wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa
Wa nusalli wa nusallim ala rasoolilah kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad,
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan;
Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu,
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;
Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,
Menteri Pendidikan;
YB Wong Kah Woh,
Timbalan Menteri Pendidikan;
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Yang Berusaha Encik Azmi Zainal,
Ketua Pengarah Operasi, Farm Fresh Malaysia;
Seluruh Keluarga Farm Fresh;
Rakan-rakan yang hadir dari Selama, Perak, wakil-wakil dari Kelantan, Terengganu, Johor dan Pulau Pinang;
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
- Kita dengar tadi laporan yang Alhamdullilah membanggakan. Saya hendak beritahu YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu bahawa apa yang beliau lakukan di kementerian ini telah menzahirkan kejayaan dan saya ucap terima kasih kepada beliau dan rakan-rakan di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Bila kita lantik dia itu, kita tahu dia boleh tolak sebagai Panglima perang dalam bidang pertanian ini.
- Saya sebut ini sebab, saya beritahu saudara Azmi saya pernah jadi Menteri Pertanian dahulu. Ada percubaan umpamanya udang. Baik kerajaan dan syarikat udang galah. Lembu bawa daripada Australia tapi sukar, cuaca, kerana teknologi pada masa itu kita tidak kuasai. Jadi tidak berhasil termasuk satu projek besar dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah. Ia tidak berhasil malah gagal dengan dana jutaan ringgit kerugian.
- Jadi bila kita lihat umpamanya Farm Fresh, saya dapat taklimat lengkap pada awal tahun 2023 dari Khazanah Nasional yang saya pengerusikan. Khazanah Nasional mula memberikan dukungan kepada usaha-usaha Farm Fresh yang mula anggap sebagai start up. Sekarang bukan start up dah, sudah jadi besar dah. Dan laporan mereka saya lihat ada hala tuju yang jelas, teknologi yang baik, Corporate Social Responsibility (CSR) menyantuni rakyat, penduduk dan pekerja, dan saya rasa harus diberikan sokongan.
- Pada masa itu pun awal 2023, saya kata mesti tingkatkan dukungan dan apa-apa masalah yang mereka hadapi dari segi pelaburan, teknologi, kelulusan termasuk Kerajaan Negeri kita harus berikan bantuan kerana ada hasil yang belum kita catat sebelumnya. Kerana kalau dulu, saya tidak mahu sebut syarikat-syarikat antarabangsa yang lain. Mereka tidak percaya di Malaysia boleh kita hasilkan begini. Saya tidak mahu sebut kerana sensitif, kerana mereka juga melabur. Ada dua tiga syarikat gergasi, raksasa di Malaysia ini yang menjual susu, daging dan sebagainya yang tidak percaya bahawa Malaysia mampu menggerakkan kekuatan di bidang pertanian, tenusu sepertimana yang dilakukan oleh Farm Fresh.
- Dan oleh itu, saya ucap tahniah kepada semua keluarga Farm Fresh di sini dan juga keluarga di Pondok Tanjung. Nama Pondok jauh Tanjung, macam kampung saya Cherok Tok Kun. Tapi bukan sebarang Pondok, bukan sebarang Tanjung. Pondok Tanjung catat sejarah kerana dapat menjadi lapangan kegiatan tenusu yang masyhur bukan sahaja di sini tetapi di negara lain. Azmi sebut tentang bila ada perbalahan, peperangan di antara Kemboja dengan Thailand, susu Thailand tidak boleh masuk Kemboja. Susu Farm Fresh telah masuk ke Kemboja. Dan saya beritahu dia kerana hubungan kita dengan Thailand dan Kemboja baik, beritahu saja YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu bila hendak bawa, hendak buka ladang di sana, Farm Fresh kita akan bagi kerjasama sepenuhnya. Itu manfaat berkawan dengan rakan-rakan luar negara ini.
- Banyak orang kadang-kadang di Parlimen dia singgung tapi tak apa, kita tahu manfaatnya. Malaysia, syukur alhamdulillah kerana politik kita stabil, orang hormat, pembangunan ekonomi baik. Bila ada pergaduhan diserah usaha perdamaian itu dengan kita. Satu dunia iktiraf, walaupun beberapa orang Ahli Parlimen Pembangkang tidak mahu iktiraf itu, tak apa lah. Adalah sikit sekarang ini dia iktiraf sedikit. Tapi yang penting apa? bila kita capai itu untuk apa?
- Pertama begini, yang capai itu apa, sebab PM Anwar? tak betul. Dia pasukan kita, Kementerian Luar Negeri, Panglima Angkatan Tentera. Itu hari ini, hari yang saya buat perjanjian dengan Cambodia, Thailand, selesai enam (6), tandatangan dua-dua pihak. Okey, damai jangan perang. Mula pukul 12.00 malam ini, pukul 10.00 malam Panglima Angkatan Tentera terus terbang ke sempadan berunding dengan kawan-kawan dia Panglima Angkatan Tentera Thailand dan Kemboja hendak pastikan perjanjian itu dilaksanakan.
- Pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi kerjasama dengan kawan-kawan mereka di sempadan supaya mengatakan bahawa apa sahaja yang perlu dibantu mereka akan membantu. Kementerian Luar Negeri, agensi pertahanan, jadi ini kerja pasukan.
- Sebab Itu saya kata Kerajaan MADANI ini kena kuat dan kukuh bukan sahaja untuk letak nama yang harum tapi boleh laksanakan program. Ada orang kata kita belum buat apa-apa, tak apa. Tapi setiap yang ada di sini tahu tiap bulan masuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), daripada RM10 bilion ringgit sekarang sudah RM13 bilion ringgit. Siapa kata tidak buat apa? Kita bagi RM15 bilion ringgit tiap bulan masuk akaun itu wang daripada Kerajaan MADANI sampai kepada tiap orang kampung termasuk Pondok Tanjung. Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100. Orang kaya di Kuala Lumpur dia kata, “alah RM100 hendak buat apa?” Dia tidak tahu RM100 bagi orang kampung tiap bulan itu boleh mengurangkan. Sebab apa kita bagi? Sebab kita tahu ada masalah. Rakyat susah. Mana boleh selesai semua masalah.
- Tadi saya bercakap dengan Ketua Polis Negeri, Menteri Besar ada, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dengan Panglima Komandan Kem Kamunting. Banyak kem, Kamunting saya ingat, saya dua (2) tahun situ (nada berseloroh). Dan itu pun masa di Tambun dia kata, “kome bukan orang Perak, kamu Orang Ayaq, bukan Orang Ayor”. Eh, teman nak bagi tahu, teman di Perak ni 9 tahun. 7 tahun Kuala Kangsar Malay College, dua (2) tahun Kamunting, cukuplah itu. Sebab itu sayang Perak ini.
- YAB Dato’ Menteri Besar dia ambil kesempatan terus. Ini sekejap lagi hendak naik kereta hendak balik Ipoh, ini adalah surat, satu (1), dua (2), tiga (3). Tapi saya terima baik sebab apa? Surat itu bukan dia minta projek. Bukan dia minta tanah, bukan dia minta saham. Dia minta untuk rakyat Perak.
- Saya kena sebut hal ini. Walaupun letihlah saya ni “hei Sharani (YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad) aku ini Perdana Menteri bagi seluruh negara, Kelantan tu minta juga, dia balun-balun juga dia minta minta juga” biasalah kan manusia. Jadi saya balik pada soal ini, maknanya kita faham, buat. Saya bila mari sini saya tanya Menteri Besar. Saya tanya Azmi, sekolah macam mana? YB Fadhlina ada apa ada kekurangan? Mana di klinik kesihatan berdekatan? Macam mana jalan dan kemudahan asas?
- Terima kasih, sebahagiannya Farm Fresh bantu. Bagaimana kemudahan air, cukup tak? Kemudian elektrik saudara ingat saya duduk saja? “Dak” kerana apa, kita tahu susah liku-liku kita dulu, kena terajang, kena hina, masuk penjara, keluar penjara, dah jadi Perdana Menteri bukan nak sombong, bukan nak mentedarah duit orang “dak” kena berhenti amalan ini. Dan sebab itu saya mari sini Pondok Tanjung. Siapa dengar, tapi kita peduli turun ke mari. Dan tanya belum pun Ketua Kampung bagi tahu, saya tanya dulu. Ada api? Ada air? Bagaimana sekolah, masjid macam mana? Jalan macam mana? Orang miskin macam mana? itu dia. Tanya ini, tanya Menteri Besar, tanya Azmi, panggil Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh. Tanya lagi macam mana sekolah berdekatan. Dia kata kita ada sekolah, dah bantu RM 300,000 di Sekolah Kebangsaan saya tengok. Saudara itu dia yang kita buat.
- Sebab itu orang maki hamun saya, cerca saya tak pedulilah. Dia rasa nak menang dengan cara maki. Maki lah. Baru-baru ini ada turun Anwar. Hari ini saya Anwar turun. Turun ke mana? Turun ke Pondok Tanjung. Baik, ke Larut, Larut ya, baik. Jadi saudara-saudara yang penting apa, kita selalu saya bagitahu kawan-kawan Tok Mat (YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu), dia orang lama, YB Fadhlina tokoh baru. YB Wong Kah Woh DAP semua kawan-kawan kita. YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad ini UMNO. Kalau Mat Sabu dulu-dulu dia tak kata UMNO. “UM..NO” kata dia. La ni kita boleh melawak dengan kawan-kawan.
- Baik apa yang selalu saya ingatkan, apa yang selalu saya tekankan, masa ada kuasa, masa Allah S.W.T bagi kita amanah. Masa tu lah kita kena fikir sebaik mungkin bagaimana nak bantu negara dan rakyat. Masa tu lah kita jaga bersih. Bagaimana kita lawan rasuah, penyelewengan, keangkuhan. Masa tu lah kita amalkan. Jangan, saya tak mahu belajar daripada orang lain. Masa ada kuasa, tengok kekayaan mereka berlipat kali ganda. Bukan saja saya nak mereka anak pinak berbilion ringgit. Ada mantan Menteri dah 4 bilion ringgit lebih. Ada anak pemimpin dulu 1.8 bilion ringgit kekayaan. Ada mantan Menteri 2 bilion ringgit. Apa nak jadi negara ini? Siapa nak ambil tahu pasal Pondok Tajung? Siapa nak ambil tahu tentang masalah rakyat ini? Kalau kita duk fikir nak kaut kekayaan, memang saya tahu orang marah. Memang saya tahu orang benci bila saya cakap pasal rasuah tak habis-habis, tatakelola, rasuah, rasuah tak habis-habis. Memang dia meluat dengar sebab dia kena.
- Saya nak bagi tahu macam mana nak urus negara ini. Kalau pimpinannya itu tumpuan dia tu nak cari, nak bolot. Ini nak fikir Farm Fresh, nak fikir lembu, nak fikir tanaman-tanaman yang petani-petani. Petani miskin, pesawah padi Kedah itu miskin. Kedah bukan parti kerajaan tapi saya pergi bulan lalu, saya pergi cek projek, berapa satu bilion ringgit nak tolong pesawah padi. Pesawah tu semua sokong Kerajaan, “dak” kebanyakan yang bangkang. Tapi saya kata saya Perdana Menteri, saya kena tolonglah. Saya kena tolong satu bilion untuk Tok Mat (YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu) punya program.
- Dua minggu lalu pergi Kelantan, pergi tengok pondok-pondok tok-tok guru. Kemudian pergi tengok kawasan sawah, masuk sawah padi, tengok dan bagi kerjasama dan bantuan. Apa dia soalan dia? Masa kamu perintah, kamu buat apa? Bagaimana nasib petani, nelayan, orang miskin? Saya kata bagaimana boleh saya duduk Perdana Menteri, memang betul saya tak ambil gaji. Itu pun orang-orang peleceh. Kita Nabi pun ambil gaji, aku tak pernah dengar. Tapi tak apalah. Saya tak peduli, saya ada elaun Parlimen. Azizah pun ada elaun Parlimen. Bagi saya cukuplah.
- Tapi saya nak bagi mesej kepada rakyat. Jadi ketua, Tuhan bagi amanah ini bukan nak kira kita sahaja, ini rumah polis bagaimana saya tanya tadi Ketua Polis Negeri, tanya macam mana kedudukan rumah polis? Komanden tentera saya tanya ini yang repair, yang kita bagi duit untuk repair rumah-rumah tentera. Kerja khidmat untuk negara, terkorban pun ada, kena tembak pun ada, risiko tinggal anak bini berapa bulan. Tetapi kita tak peduli pasal rumah dia. Saya pergi Lumut tengok rumah Tentera laut. Tadi saya tanya. Kerana kor kejuruteraan harus baiki.
- Di sekolah, setiap hari Jumaat saya sembahyang Jumaat di masjid, di mana yang sempatlah. Sebelum tu makan di warung. Saya tak mahu pergi ke warung sebelum pilihan raya. Kerana Menteri-menteri dan Perdana Menteri biasanya makan warung, tengok baby, cium baby semua dekat pilihan raya, terutama masa musim kempen. Oh, bukan masa tu lah dia pegang baby semua. baik. Saya buat tiap minggu, hari Jumaat sebelum solat Jumaat pergi ke warung. Apa saya tak boleh makan ke duk hotel 5 bintang restoran 5 bintang. Memang boleh ya. Tak ada orang nak sambut mana hotel restoran 5 bintang pun sambut.
- Tapi saya pilih tiap minggu Hari Jumaat sebelum pergi solat Jumaat dari pejabat pergi ke warung gerai Yang rakyat biasa duduk. Baru kita tahu. Air bekalan air cukup ke tempat tu bersih ke kerusi meja macam mana bumbung bocor ke hujan tempias teruk ke? Semua kita tahu daripada kita lihat dan kita dengar. Lepas tu baru solat. Bila solat Jumaat selalu anak-anak sekolah selalu nanti kerumun jumpa saya. Selalu saya tanya, Fadhlina kalau hari Jumaat dia pening kepala. Sebab saya dapat report daripada budak-budak sekolah ni. “Ni sekolah mana?” “Sekolah sekian.” “Tandas baiki semua? Ha, berapa rosak?” “Dua.” Saya pun teks Fadhlina, sekolah sekian, rosak tandas dua. Kerja Perdana Menteri kah? Ia kerja untuk pantau. Saya saja sebut perkara ini kerana saya tak mahu rakan-rakan kita termasuk di kampung-kampung, wakil-wakil ada dari Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah, Johor, Pulau Pinang supaya dengar secara langsung daripada kita.
- Semua orang boleh bercakap, dia tak boleh jawab kalau kita debat pasal Rancangan Malaysia Ke-13, batik dia batik Indonesia. Batik Kelantan saya pakai. Kemudian oh laporan tak tebal, had dulu lagi tebal daripada la. Itu je modal dia. Kemudian bohong, tak buat. Sebab tu saya, zalim kepada Kelantan kerana tak bagi bantuan. Banding masa Kerajaan dulu, Kerajaan sekarang. Saudara saudari, kita bagi lebih bukan kerana saya pilih khas Kelantan, sebab Kelantan masalah besar, banjir. Jadi duit untuk banjir bilion ringgit. Kemudian hasil tanaman padi sangat rendah, paling rendah di negara kita. Paling tinggi di Selangor, Sekinchan. Kedah masih rendah, Kelantan lagi rendah. Jadi apa saya buat? Kita kena bantu dari segi prasarana atau infrastruktur dia.
- Ini penting bagi saudara-saudara faham, kerana saya pun tidak selalu mari di Selama atau Larut ni. Jadi saya nak terangkan supaya kita hujah dengan fakta. Tak boleh macam ni. Paling tidak, kerja tak buat. Dok main ni masalah Cina, ini DAP, gaduh apa dia? Buatlah. Siapa Perdana Menteri? Melayu. Siapa Menteri Kewangan? Melayu. Siapa Panglima Angkatan Tentera? Melayu. Siapa Menteri Besar? Melayu. Buatlah. Dok bergaduh marah kat orang, pasal apa? Masa kamu perintah, berapa kekayaan kamu?
- Melayu ni contohnya apa dia? Contoh akhlak dia, nilai dia, kesungguhan kerja dia, kepintaran dia, teknologi dia, tunjuk sebagai hebat. Ini yang disebut dalam al-Quran selalu yang saya selalu ingatkan. Kita nak tunjuk hebat kita itu bukan maki orang, bukan hina orang kaum lain. Biar dia kerja, dia anak-anak kita, keluarga kita, dari negara warganegara kita. Tapi kalau kita nak tunjuk kita itu hebat, jayakan program kita.
- Tengok umpamanya Farm Fresh. Pengurusannya, pekerjanya majoriti Melayu. Sebab itu al-Quran ini jelas sudah: “Wa kadzalika ja‘alnakum ummatan wasata, litakunu syuhada ‘alan-nas wa yakuna al-rasulu ‘alaikum shahida.” Allah dah janji ummat wasata, umat seimbang, umat sederhana, contoh terbaik. Apa dia cara dia? Contoh terbaik iman, ilmu, akal, kalbu, duniawi, rohani, ukhrawi, material, spiritual, jaga persekitaran. Itu yang dikatakan seimbang — umat sederhana dan seimbang.
- Kalau dia jadi begitu, syuhada ‘alan-nas, Allah janji, bukan kita janji. Kalau betul kamu ini umat wasat: iman, ilmu, akal, kalbu, rohani, jasmani, kamu itu contoh bagi manusia, syuhada ‘alan-nas wa yakuna al-rasulu ‘alaikum shahida dan Rasulullah S.A.W. akan jadi saksi kepada kamu besok. Jadi buktikanlah. Jangan nak bergaduh, pasal bendera gaduh. Satu budak mati, dia maki hamun semua orang, anak VIP, cucu TYT. Saya kata Polis siasat, saya dah bagitahu, tak peduli siapa. Dak, maki lagi.
- Bagaimana nak boleh begini? Jadi harapnya kita bangkit daripada ini dan balik macam untuk program pertanian ni. Kita ada bagitahu keluarga Kementerian Pertanian ada ramai di sini, Exco Pertanian dan Jawatankuasanya ada, kita buat sebaiknya. Kalau ada yang Melayu yang ramai miskin, kita bantu. Ada projek India, kita jalan. Ada projek anak-anak Cina, Orang Asli, buat. Dan saing dengan baik. Dengan niat yang baik. Jaga keluarga kita, jaga nilai kita, jaga akhlak kita, jaga akidah dan akhlak dan sahsiah kita. Itu yang penting kita lakukan.
- Jadi, untuk Pondok Tanjung dan sekitarnya, kerana dah saya mari sini, bagus, tak minta apa pun. Ini luar biasa, Perdana Menteri datang, depa tak minta apa. Oleh kerana tak minta lah, saya ambil keputusan, mana Pegawai Daerah? Pegawai Daerah ada. Saya luluskan tambahan satu juta ringgit untuk keperluan apa-apa yang mendesak. Selain daripada peruntukan yang ada, saya cek untuk sekolah, untuk kesihatan dan lain-lain. Saya tambah, tak cukup minta Menteri Besar.
- Terima kasih banyak. Terima kasih Saudara Azmi dan seluruh keluarga Farm Fresh. Saya bangga hari ini bersama dengan Kementerian Pertanian dan Kerajaan Negeri.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
