TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS AMANAT PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KALI KE-20 (MAPPA XX) “PERKHIDMATAN AWAM MADANI TERAS KECEMERLANGAN”
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS AMANAT PERDANA PERKHIDMATAN AWAM
KALI KE-20 (MAPPA XX)
“PERKHIDMATAN AWAM MADANI
TERAS KECEMERLANGAN”
15 OGOS 2025 (JUMAAT) | 3.30 PETANG
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahi Rabbil-Alamin
Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Saudara-saudara Timbalan-Timbalan Perdana Menteri,
Rakan-Rakan Jemaah Menteri,
Tan Sri Shamsul Azri KSN,
Tan Sri KPPA,
Presiden CUEPACS dan semua hadirin yang dimuliakan.
- Saya terharu dengan sambutan baik di kalangan rakan-rakan Jemaah Menteri dan seluruh barisan pimpinan negara kerana mereka melihat peranan perkhidmatan awam ini di tingkat tertinggi. Jarang sekali kita lihat ada pertemuan yang didukung sepenuhnya, hampir sepenuhnya oleh pimpinan negara. Ini menunjukkan keperluan ada sinergi yang baik di antara pimpinan negara dan penjawat awam.
- Izinkan saya mulakan dengan menjelaskan beberapa isu mutakhir yang harus juga difahami oleh rakan-rakan penjawat awam dan saya percaya rakyat keseluruhannya. Mutakhir ini, timbul beberapa unsur negatif membangkitkan isu ketegangan kaum, agama, isu kecelaruan akibat rendah akal budi, budaya buli di sekolah, di pejabat di Jabatan kesihatan. Isu-isu pembunuhan atau kematian yang meragut beberapa nyawa pelajar, pelajar pendidikan tinggi dan tentunya menggusarkan.
- Harus ada kesepakatan kita, bukan sahaja di kalangan badan-badan penguatkuasa khususnya PDRM, tapi keseluruhan ibu bapa, pendidik, rakyat keseluruhannya untuk menyatakan hal ini amalan yang merosakkan dan melemahkan sendi negara ini mesti dihentikan. Tak mungkin selesai hanya dengan pengumuman dasar atau penguatkuasaan, ini mesti bangkit dari kesedaran rakyat bahawa negara yang memacu pertumbuhan ekonomi yang menyegarkan tidak dapat bertahan kalau induk, tonggak dari segi nilai dan budaya itu kian luntur.
- Sebab itu dalam Negara MADANI ini selain dari pemacuan pertumbuhan yang segar dan rancak, kita tekankan sebagai tonggaknya soal nilai. Apakah kita nak banggakan hanya dengan jumlah pelaburan dan pemacuan pertumbuhan ekonomi dan kesegaran dari segi bursa? Tetapi budaya masyarakatnya akhlak dan nilai kian pudar dan runtuh.
- Sebab itu rakan-rakan Jemaah Menteri tadi berbincang panjang, dia harus tentukan di antara kebebasan yang menjadi dasar negara ini. Demokrasi yang menjadi tonggak dalam sistem pemerintahan negara, dengan sikap melampau, keterlanjuran, keangkuhan, kebiadaban, sikap buli, sikap merendahkan darjat orang berdasarkan kaum atau keturunan atau warna kulit atau apa sahaja. Hal ini mesti dan wajib dihentikan dan seluruh kekuatan mesti bergerak ke arah itu.
- Maka dengan mandat diberikan oleh rakan-rakan Jemaah Menteri saya ingin jelaskan di sini, dari hal yang sebesarnya seperti kematian anak kita, Zara di Sabah ke isu Jalur Gemilang yang harus kita rai dan muliakan, semuanya jadi agenda untuk menghangatkan suhu politik. Mengecam, menghina, mengherdik, menghukum tanpa mengira apakah hak? Apakah batil? Apakah benar? Apakah palsu? Apakah fakta? Ataupun apakah rekaan atau rekayasa?
- Sebab itu saya ingin menggesa dan memberi arahan yang jelas kepada badan penguatkuasaan, ada sahaja mana-mana unsur, tokoh besar atau tokoh kecil, tokoh politik atau masyarakat termasuk rakyat awam yang terlibat dalam jenayah, ungutan, hasutan seperti ini, saya ingin tegaskan di sini ya, sudahlah. Masa seru, masa amaran, orang mual kalau saya bagi amaran berikutnya, kerana orang mengharapkan negara ini mesti diselamatkan. Negara ini terkenal, maju dapat membantu usaha-usaha perdamaian antarabangsa serat kerana kita ini damai, kerana kita dari pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai wilayah, pelbagai adat masih tahu kecintaan kita kepada negara dan sebagai manusia ‘Karamah Insaniah’ itu kita tingkatkan.
- Oleh itu hari ini bukan amaran, hari ini bukan teguran, hari ini saya menyatakan untuk menyelamatkan negara ini tindakan tegas mesti dan wajib diambil. Kalau ada rakan-rakan yang mempunyai amanah tidak bersedia mereka beritahu saya, kita tukar mereka, ambil orang yang berprinsip, tegas dan berani bertindak. Ini bukan saingan popularity, bukan saingan siapa yang lebih popular, siapa yang sanggup menarik minat rakyat, ini soal menyelamatkan negara.
- Saudara tahu kita ada pengalaman bibit-bibit perpecahan dan tragedi rusuhan kaum. Mulanya kecil, kali ini mungkin bendera, dulu mungkin siaran berita-berita palsu. Jangan diizinkan. Mana boleh negara itu, saya sebut tadi di dalam Jemaah Menteri dalam Maqasid Syariah itu sendiri salah satu tonggaknya, dalam al-Muwafaqat, yang dikupas oleh al-Syatibi, tugas dan tanggungjawab negara yang pertama adalah keamanan, keselamatan setiap rakyatnya bukan memilih satu dua orang yang boleh jadi jaguh dengan angkuh, untuk mengherdik dan mengugut orang lain, tiap rakyat tidak kira kecil besar, miskin kaya dari mana kaum, mesti kita jamin keselamatan mereka itu mesti kita pertahankan.
- Ini tidak lagi menyentuh soal keganasan atau kegiatan Mossad yang pernah bergerak di sini, kegiatan keganasan terrorism, itu memang kelompok yang paling ganas, yang bahaya, tetapi ia menjadi budaya di sekolah, ratusan sekolah, universiti, pejabat, kerajaan apa negara ini? maknanya yang gagah, yang besar, yang kuat dari kalangan majoriti mesti bertindak dengan nafsu serakah mereka.
- Demokrasi ini bererti kuasa, pengaruh, keputusan majoriti. Tapi dari awal pengolahan prinsip demokrasi, termasuk Founding Fathers di Amerika Syarikat kuasa majoriti itu untuk menegakkan keadilan, bukan tyranny of the majority. Ya, ada yang menjawab juga bukan tyranny of the minority.
- Kita saksikan bukan sahaja golongan majoriti, kadang-kadang melihat dan melakukan kekecohan adalah golongan minoriti. Pernah seorang tokoh yang sekarang sibuk mencabar keputusan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang lalu, itu pernah menyatakan bahawa Malaysia ini negara zalim, menyebabkan pembunuhan ribuan orang-orang India oleh polis, yang mempertikai hak keistimewaan orang Melayu. Itu minoriti. Jadi kena ingat, bila saya bagi amaran, ini bukan amaran kepada majoriti sahaja, ada juga apa yang disebut sebagai the tyranny of the minority and we will not tolerate zero tolerance to any form of racism and religion godric.
- Tapi dalam keadaan siasatan, serahlah kepada kebijaksanaan badan penguatkuasa. Ini belum apa-apa dah sudah ambil ringan, anak VIP ini, orang ini, kita ini siapa? tutup saja pejabat-pejabat polis semua, kalau dah semua keputusan kita boleh buat tanpa siasat.
- Jadi harus ada siasatan segera, telus, adil dan terbuka jangan pakai hukum sembrono. Tidak layak jadi pegawai, tidak layak jadi seorang tokoh kalau hanya terus menghukum tanpa apa-apa fakta kerana kita benci, kerana sejarah tertentu tidak boleh begitu.
- Saya mohon izin rakan-rakan membicarakan hal ini, kerana bagi saya, tidak mungkin kita pertahankan sistem yang aman, baik, maju kalau tidak dapat selesaikan masalah ini. Jadi harus ingat, rakan-rakan badan-badan penguatkuasaan dengan adil berdasarkan fakta dan ikut undang-undang. Negara ini negara hukum, kalau saya percaya sudah salah, saya tidak boleh pergi bawa kumpulan dan ugut saudara ikut jalur hukum. Sanggup bertindak, kekal jawatan tidak sanggup bertindak, ganti orang lain yang lebih berani dan tegas.
- Baik, terima kasih itu mukadimahnya. Tadi saya sengaja pergi jalan ke atas untuk bersalaman dengan semua, kalau tidak dikata, “Anuar ni dia salam yang depan sahaja, jadi saya salam belakang.” Tapi, dalam cepat-cepat salam itu, ada lagi yang bisik, “Dato’ Seri, pengumuman apa?” Saudara Saudari, ini bukan ucapan belanjawan ucapan belanjawan yang 10 Oktober jadi sabar lah sekejap.
- Ada orang yang menyinggung kita secara sinis mengatakan, bagaimana mungkin perdana menteri ini tidak bercakap benar, menipu sebab umum nak naik gaji. Mana ada orang? Tapi kita telah buktikan ini Kerajaan MADANI. Walaupun implikasi kewangan bukan kecil, tapi saya mewakili pandangan rakan-rakan Jemaah Menteri yang yakin kalau kita ada garis yang benar, kita gunakan dana untuk memberi keadilan kepada yang berhak termasuk penjawat awam, saya percaya limpah rezeki akan bertambah kerana mereka akan juga bekerja lebih baik.
- Maka untuk tahun ini, seperti mana yang sering saya tegaskan tambahan dana adalah RM10 bilion, untuk tahun depan dari skim saraan ini, tambahan dana adalah RM18 bilion. Ini kadar tertinggi dalam sejarah sejak kita merdeka tahun 1957.
- Jangan tahniah kepada saya, tahniah kepada penjawat awam kerana mereka telah berjasa kepada kita. Tapi tentunya ia datang dengan harapan, negara ini mesti terus dengan agenda reform.
- Agenda reform itu tidak menyenangkan semua, dia tukar cara kerjanya, dia banyak akan dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan dia kena belajar kaedah dan teknologi baru, ia terdedah dengan AI dan digital yang memeningkan sesetengah orang. Ya, dia dipantau dan dipersoal terus kebijakan-kebijakan mereka.
- Inilah harapan kita, kerana kita cinta negara kita. Kita tidak mengerti mengapa Malaysia harus tercorot. Kita lebih yakin melihat kepada perkembangan mutakhir ini bahawa kita ada upaya untuk mengangkat martabat dan harakat Malaysia sebagai negara hebat dan cemerlang. Dan saya katakan, kita kerja sebagai pasukan. Orang tanya, saya dapat tahniah daripada seluruh dunia termasuk presiden, perdana menteri, raja-raja yang terkenal, bila tahniah kepada saya, selalu ingat istighfar, mohon ampun pada Allah Taala dan tahu bahawa apa yang kita capai itu kerana pasukan kerja saya itu mantap.
- Bayangkan bagaimana boleh kita selesaikan atau usaha damai Thailand dan Kemboja. Perdana Menteri ada peranan, Menteri Luar ada peranan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, pegawai-pegawai di kementerian-kementerian yang bekerja bertungkus-lumus mencerakin tiap koma, tiap huruf untuk cari titik pertemuan, kita salute kepada mereka semua kerana kerjasama mereka.
- Apa yang nak saya sampaikan, kita mampu lakukan hal-hal yang dianggap sukar kerana kita ada tekad untuk bersama, pemikiran kita positif bukan untuk hina orang, bukan untuk herdik orang, bukan untuk rendahkan darjat orang, bukan nak maki hamun orang, tetapi kita tahu dengan membina kekuatan karamah insaniah ini kita boleh angkat martabat bersama.
- Sementara menunggu belanjawan Oktober, yang akan menetapkan beberapa keputusan besar, jadi izinkan saya mengumumkan hal-hal yang kecil. Presiden cuepacs tunggu sahaja (nada seloroh).
- Pertama, susulan pelaksanaan SSPA fasa satu dulu, kita tengok ada isu kelayakan masuk skim perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM. Justeru itu, Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan tujuh (7) Kelayakan Masuk Pelbagai bagi skim perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus) contohnya, Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan.
- Pemberian insentif berasaskan prestasi (BIPs) yang diberikan terhad sehingga Pegawai Waran II Setaraf (Gred Z6) dan Pegawai Waran I Setaraf (Gred Z7) bagi yang memenuhi tempoh perkhidmatan 6 tahun di gred yang semasa. Jadi peluang yang jauh lebih baik.
- Jadi kita setuju perluaskan insentif ini kepada Anggota Lain-Lain Pangkat ATM iaitu Sarjan Setaraf (gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (gred Z5).
- Tempoh perkhidmatan mereka agak sugul kerana agak terlalu lama, jadi oleh itu untuk melayakkan insentif BIPs bagi anggota LLP ATM bagi Gred Z4 dan Z7 dipendekkan dari enam tahun kepada empat tahun. Ini akan memberi faedah kepada 3,789 anggota berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
- Baik, kemudian ramai rakan-rakan yang mengambil inisiatif sendiri belajar. Yang mengambil kursus, diploma, siswazah, PhD dan lain-lain. Jadi kita setuju memberikan Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) yang berbentuk insentif kewangan kepada pegawai awam, Kumpulan Pengurusan & Profesional dan Kumpulan Pelaksana yang memula dan menamatkan pengajian serta kelayakan akademik lebih tinggi. Yang ambil inisiatif belanja sendiri. Ya, bayangkan belanja sendiri. Jadi elaun untuk isteri dikurangkan kerana nak bayar yuran pengajian.
- Jadi kita bagilah sedikit tanda penghargaan walaupun bajetnya itu melibatkan RM75.7 juta ringgit. Ia akan memberi manfaat kepada 91,672 pegawai awam. Sekali dalam sepanjang perkhidmatan, sekurang-kurangnya tunjuk bahawa kita galakkan penjawat awam tingkatkan upaya mereka atas ikhtiar dan inisiatif sendiri.
- Untuk ijazah kedoktoran RM 1,250.00;
- Ijazah sarjana RM 1,000.00;
- RM 750.00 Ijazah Sarjana Muda; dan
- RM 500.00 yang mendapat diploma atau kelayakan setaraf.
Ini terpakai juga kepada Menteri-menteri dan Timbalan Menteri kerana ada seorang Timbalan Menteri semalam dapat PhD. Tapi dia tak dapat kerana ini hanya untuk penjawat awam.
- INTAN sekarang diangkat taraf dia main peranan dalam negara dan juga peringkat antarabangsa. Dan peranan INTAN, oleh itu kita harus pastikan berkembang selari dengan tuntutan semasa. Jadi menjamin keadaan kedudukan dia sebagai rujukan kecemerlangan perkhidmatan awam di rantau Asia dan global. Jadi kita peruntukan untuk dana tambahan RM3 juta Ringgit untuk INTAN.
- Kemudian program-program APEL.Q. Belanjawan 2025, pengumuman kita bahawa Kerajaan bersetuju menanggung kos pengajian melalui pemberian bantuan yuran pengajian bagi program APEL.Q sehingga 50% atau maksimum RM 15,000 bergantung kepada mana yang terendah. Program ini yang dulu diumumkan hanya untuk 2025, tetapi Kerajaan setuju supaya inisiatif APEL.Q @ INTAN diteruskan untuk tahun 2026.
- Ramai yang mengeluh melalui Tabung Haji melalui Menteri Agama sebab nak pergi Haji dia kena sahkan syarat khidmat. Jadi syarat pengesahan dalam perkhidmatan itu akan dimansuhkan bagi kemudahan Cuti Haji penjawat awam yang dilantik secara tetap. Yang tak pergi Haji pun tepuk semua. Terima kasih.
- Jadi ini, ada pengumuman jauh lebih penting, itu pada hari belanjawan Oktober nanti, insya-Allah. Jadi saudara-saudara, biar saya rumuskan pada petang ini, penghargaan kepada KPPA, Presiden CEUPACS, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Timbalan Menteri, rakan-rakan dari semua Jabatan, termasuk yang lebih kontroversial macam ketua Polis Negara, Peguam Negara yang turut menerima serangan bertubi-tubi.
- Jadi saya nak ambil kesempatan ini mengulangi secara ikhlas penghargaan kami kepada saudara-saudara kerana negara kita tidak akan jadi begini diiktiraf dan mencatat beberapa kejayaan tanpa sumbangan pengorbanan dan khidmat cemerlang, saudara-saudara. Terima kasih banyak.
- Terima kasih kepada MAPPA dan segala larian-larian di sana-sini. Saya tak dapat ikut kerana hari itu keletihan. Tapi semangat yang ditunjukkan larian di Putrajaya tu 15,000, keseluruhannya 21,000 lebih ramai larian daripada turun Anwar.
Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
