TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM RANCAKKAN MADANI NEGERI KELANTAN
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM RANCAKKAN MADANI NEGERI KELANTAN
9 OGOS 2025 (SABTU) | 12:15 TENGAH HARI
DEWAN UTAMA KAMPUS KESIHATAN USM KUBANG KERIAN, KOTA BHARU, KELANTAN, KELANTAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,
Alhamdulillahi Rabbil-Alamin Nahmahduhu
Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Saudara saya Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud,
Menteri Besar Kelantan Darul Naim;
Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin
Ab Kadir,
Menteri Pendidikan Tinggi;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Roslan bin Hussin,
Ketua Pengarah, Akademi Kenegaraan Malaysia;
Yang Berbahagia Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed,
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia;
Yang Berusaha Professor Dr. Shaiful Bahari Ismail, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia;
Warga Akademi Kenegaraan Malaysia;
Warga Fakulti Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian;
Rakan-rakan yang dimuliakan,
- Terima kasih kepada Akademi Kenegaraan Malaysia, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Professor Dr. Shaiful Bahari Ismail, Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, sediakan tempat yang begitu baik, terima kasih. Saya hendak ucapkan juga terima kasih kerana Fakulti Perubatan dan Universiti Sains Malaysia, Kelantan ini telah meningkatkan bukan sahaja mutu perkhidmatan tetapi penyelidikan. Jadi atas khidmat pengorbanan, saya bagi pihak kerajaan melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih. Peruntukan tambahan, tanya saudara Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Ab Kadir.
Rakan-rakan yang saya muliakan,
- Terima kasih kepada Dato’ Dr. Haji Roslan bin Hussin dan rakan-rakan Akademi Kenegaraan Malaysia kerana menganjurkan majlis ini. Tujuan kita, sepertimana yang telah dijelaskan adalah untuk memberikan pencerahan. Negara ini boleh bangkit bukan kerana golongan elit. Dia kerana harus ada penyertaan rakyat. Dalam istilah demokrasi, participatory democracy. Dalam sejarah Islam lebih lagi, dia tidak bangkit seperti itu. Dia bukan bangkit dengan semangat di antara Dia bangkit dengan kesedaran, bangkit dengan pendidikan dan pencerahan.
- Kalau kita lihat umpamanya ayat surah al-quran yang awal, al-muddaththir, az-zamil itu semua, apa dia? Qum fa-anẓir wa rabbaka fakabbir, wa thiyabaka faṭahhir. Itu semua kesedaran pertama dari diri, kebesaran tuhan. Maknanya, tahu kedudukan dia, keyakinannya sebagai hamba tuhan, penyerahan kepada tuhan dan memulakan dengan pembersihan. Wa thiyabaka faṭahhir, maknanya dia tidak akan berlaku tanpa fahaman, penjelasan, pencerahan, kesedaran bermula dari diri. Keyakinan, ilmu baru ada pencerahan. Dan ini tapak awal dalam marhalah makkiyah. Betul, ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin ye? Kalau dia senyum, saya selamat (nada berseloroh).
- Baik, tapi kalau lihat dalam umpamanya Hijrahtun Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dari Makkatul Mukarramah ke Madinah Al Munawwarah, Yathrib sebelumnya itu, Madinatun Nabi. Apa yang berlaku? Dia tidak berlaku sewenang-wenang. Dia tidak berlaku dengan seruan. Dia berlaku dengan tindakan dan tindakan itu berlaku dengan persiapan yang rapi.
- Saya hendak rumuskan, umpamanya kita tahu tentang Bai‘atul ‘Aqabah al-Ula, Bai‘atul ‘Aqabah ath-Thaniyah disebut Bai‘atul ‘Aqabah an-Nisā’, maknanya penyertaan dari hijrah itu. orang muda diwakili oleh ikon kita, Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a, wanita Asma’ binti Abu Bakar. Sahabat setia, matang, bijak, taat Abu Bakar as-Siddiq r.a.
- Malah malas dalam logistik itu bukan Islam. Kawan-kawan Siam, tahu dak? Bahawa dalam hijrahtun Nabi, hijrah Nabi itu, orang bukan Islam ada peranan, Abu Hurairah r.a. Jadi, makna persiapan itu bertahun, dua (2) tahun sebelumnya kemudian kirim Mus‘ab bin ‘Umair r.a. dengan Abdullah ibn Umm Maktum r.a. Kirim dulu bagi pencerahan apa dia Islam? Apa itu kekuatan akidah? Apa itu perubahan yang dilakukan, baru Rasulullah sampai. Faham tidak? Ini kalau kita faham, dalam membawa suatu konsep baru macam itu juga.
- Kita sarankan mesti ada kesedaran. Balik kepada Mus‘ab bin ‘Umair r.a dan Abdullah ibn Umm Maktum r.a. Saya rumuskan lah, bukan tazkirah, ini sampai lepas Zohor (nada berseloroh). Hendak yakinkan bahawa dalam participatory democracy, dalam kaedah yang ditekankan dalam agama, itu dia.
- Dia tidak berlaku hanya dengan seruan, dengan program kemudian tidak ada kesedaran. Yang kita buat melalui Akademi Kenegaraan Malaysia, Dato’ Dr. Haji Roslan. Itu kerana kita mahu akademi itu mengangkat martabat kita melalui pencerahan dan kesedaran yang harus meluas.
- Orang kena faham dan dia kena yakin bahawa negara ini punyai potensi besar. Malaysia adalah satu negara yang gagah, boleh dihormati dunia dan mengangkat martabat rakyatnya.
- Dan ini kita kena yakin ada potensinya. Kita boleh jadi lembab, kita boleh jadi korup, kita boleh jadi malas atau kita boleh angkat perubahan. Perubahan itu pada diri kita, kesedaran kita. Itu kalau Islam yang jadi keyakinan kita. Kalau ambil teori katalah, Barat, perubahan revolusi Amerika Syarikat. Jangan bincang Amerika sekarang, semangat awal revolusi melawan penjajah Inggeris. Amerika itu ada sejarah lawan penjajah Inggeris. Tapi kemudian dia lama-lama dia jadi penjajah. Itu masalah dia.
- Pada peringkat awal ada kupasan salah seorang, bukan sarjana tapi maknanya pemimpin politik dan juga sarjana Alexis de Tocqueville. Dia itu orang Perancis. Dia melawat ke Amerika kerana dia kagum. Apa yang menyebabkan Amerika itu semangat juangnya besar, tolak kekuatan Inggeris, lawan Perancis, merdekakan negara dan bawa satu perubahan ke arah kesedaran, keadilan, bawa semangat baru demokrasi.
- Apa dia? Dia kaji dalam buku dia, dua (2) jilid demokrasi di Amerika. Dan dia lihat umpamanya yang pertama, yang ada kaitan dengan kefahaman kita. Dia sebut tidak ada perubahan kalau tidak ada habits of the heart. Maknanya denyut jantung keyakinan kita, bukan kabilah kita, bukan negeri kita, bukan parti kita, bukan kelompok kita, bukan keluarga kita. Ini ketukan zhamir, hati nurani kita, habits of the heart.
- Hati ini mahu kebaikan. Hati ini mahu ma’ruf kalau dalam Islamnya. Hati ini mahu keadilan, hati ini menolak rasuah dan kemungkaran, ini yang disebut. Apatah lagi kalau kita kaitkan dari segi pengalaman pimpinan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Saya rasa kita hendak tunjuk bahawa tidaklah ada kekuatannya yang kita faham.
- Tetapi tidaklah asing sangat asalkan manusia itu ketuk pintu hatinya, zhamirnya untuk cari kebaikan. Dia tidak asing sangat. Tapi kalau hilangnya itu, kamu membunuhlah hari-hari, anak kecil, Wanita di Gaza tidak memberi kesan. Mengapa? Hilangnya kemanusiaan, habits of the heart tidak ada.
- Mana ada manusia, orang mati bergelimpangan tidak ada mengesankan. Jadi Tocqueville sebut, habits of the heart. Dan untuk jayakan demokrasi ini mesti ada participation, ada penyertaan. Demokrasi ini hidup dengan penyertaan yang diungkapkan sebagai participatory democracy. Orang serta, orang bagi bincang, bagi pandangan. Orang Kelantan kata, pandange. Jenuh hendak baku ini. Pergi mano? Machang. (nada berseloroh).
- Baik, itu yang pertama, habits of the heart maknanya hati itu kena baik. Betul kita dari Islam, keyakinannya tapi okey kawan Buddhist, begitu juga. Hati itu kena baik. Hat molek. Itu kena ada. Dan peranan yang kita sebut civil society, NGO ataupun (LSM) Lembaga Swadaya Masyarakat di Indonesia.
- Itu maknanya apa? Maknanya penyertaan ramai itu perlu. Apakah dia? Parti politik, persatuan, kelompok, apa-apa. Tapi semuanya itu disebut Intermediate Association. Badan-badan perantara. Ada Kerajaan, ada rakyat, ada suara melalui saluran-saluran ini yang harus dan wajib didengar oleh pimpinan.
- Ini bagi saya, apa yang perlu diteruskan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) maksudnya supaya sampai. Kalau tidak, tidak sampai tidak jadi orang kata apa ini? Lain Perdana Menteri tukar pula MADANI, tidak. Ini bukan soal Anwar, orang banyak salah faham sebab bagi saya pembangunan seutuhnya apa? Pembangunan ya, betul ekonomi betul fizikal. Tapi pembangunan, pembangunan seutuhnyanya itu manusia ini disebut pembangunan manusiawi. Yang disebut diangkat oleh Allah SWT “Wa laqad karramna bani Adam”, karamah insaniah tu ada ciri dia, bukan manusia biasa, bukan pembangunan biasa, ada nilai yang baik, ada etika ada kemurniannya.
- Dan ini yang kita hendak sampaikan. Menjadi MADANI kalau tanya saya, tentunya politik mesti stabil dan rakyat mesti tahu ada masa untuk bertempur pasal pilihan raya. Masa lain mesti harus stabil. Oh, kalua tidak siapa hendak hormat? Saudara ingat Thailand dengan Kemboja dia hendak hormat? Dia kata “haa Anwar Negeri kamu pun hari-hari bergaduh.”
- Jadi syarat, prasyarat stabil itu penting. Tapi stabil itu tidak bermakna Kerajaan harus kekal selama-lamanya, tidak. Akan dinilai oleh rakyat setiap 5 tahun. Masa itu. Jangan hendak ber-gocoh sebelum itu. Jadi supaya kita tumpu selain daripada stabil politiknya apa yang harus kita lakukan? Ada penjelasan tentang dasarnya. Apa hendak dasar ekonomi. Okey, dasar ekonomi kita cerakinkan. Sekarang ini Energy Transition, apa dia? Jadi ada road map. Digital mengapa digital apa road map-nya, dalam digital, Pecah lagi AI connectivity. Kemudian ekonomi, ekonomi selain daripada new technology, perubatan, kejuruteraan, pendidikan, pertanian tadi saya pergi.
- Ini yang dicerakinkan dalam clarity of policies dasar yang jelas. Tapi dasar jelas tidak akan bermakna kalau tidak dilaksanakan. Ini KSN dan seluruh jentera dia jadi pelaksanaan itu penting. Kalau tidak berapa kali dasar sudah.
- Sebab itu bila saya luncurkan Rancangan Malaysia Ketiga belas baru-baru ini. Saya ada kelainan. Ada bukan hendak tunggu separuh masa separuh-penggal 2 tahun setengah. Tidak, 6 bulan kaji balik satu tahun balik kepada kabinet. Apa yang dicapai apa yang belum dicapai kerana umum itu senangkan. Tapi hendak melaksanakan bak kata, WS Rendra “perjuangan itu adalah pelaksanaan kata-kata”. Ini orang reformasi sudah lupa.
- Baik, jadi ini yang saya katakan tentang penjelasan kemudian. Baik, kalau laksanakan yang paling penting itu base rakyat harus faham. Mengapa MADANI, kerana kita bukan sahaja hendak membangun. Sepertimana yang saya rasa selalu ungkapkan pandangan Pak Nasir. Jangan sambil membangun kita robohkan, kita bangunkan gedung kita bangunkan industri ke bangunan mahligai kita bangunkan macam-macam keindahan industri tetapi manusia akhlaknya, nilainya, upahnya tidak setimpal, untung syarikat RM1 bilion, upah pekerja RM 1,400 sebulan.
- Jadi sambil membangun kita robohkan yang kita hendak membangun negara naik siling tapi naik lantai. Kalau tidak kita naik siling, lantai tinggal sama tidak akan capai. Sebab itu dalam menantikan Rancangan Malaysia Ketiga belas kita sebut naik siling naik lantai. Dengan mana naik siling itulah bawa segala digital, bagaimana naik lantai gaji tambah. Bukan saja untuk pegawai kerajaan kita lakukan, GLIC, syarikat-syarikat Kerajaan, Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia, yang bawah Perbadanan Nasional Berhad (PNB), bank-bank semua mesti bagi gaji. Kalau kerajaan kata daripada RM1,200 bawah MADANI naik RM1,500 dan MADANI naik RM1,700 tidak cukup.
- Jadi di bawah syarikat-syarikat yang dimiliki oleh kerajaan minima RM3,100. Ini disebut naik lantai. Tapi bagaimana dengan petani, nelayan, pekebun, penoreh getah. Kita cari supaya bagaimana hendak naikkan, betul kita bagi suntikan macam STR dengan SARA sudah cecah sampai RM15 bilion. Sebab itu bila orang duk jerit “Anwar Turun” Kamu tidak buat apa-apa. Hari ini saya turun Kelantan.
- Dan saya hendak sebut pegawai kerajaan tahu 12 tahun tidak ada kajian gaji sistem persaraan mereka kita lakukan. Berapa kosnya untuk tahun ini? RM10 bilion, untuk tahun depan RM18 bilion. Ya? Tidak buat apa-apa, saya tidak kisah, kamu katalah apa pun, kerja aku jalan “membujur lalu melintang patah” Itu yang kena.
- Kemudian, macam SARA dari RM9 bilion baru-baru naik masuk apa STR dengan SARA itu RM15 bilion. Dia bukan mudah. Tanya MB di Kelantan umpamanya bila projek hendak kena bantu, sekolah minta bantu, dia kena bantu dan tentunya bila-bila keadaan begitu. Seorang Menteri Besar dan EXCO kena fikir ada had. Nantilah dulu, maknanya saya hendak jelaskan di sini sama bercakap dengan Persekutuan.
- Orang minta lebih setiap tempat saya pergi orang minta tetapi harus kita mengerti, kalau ekonomi itu tidak segar, ekonomi hendak segar politik kena stabil, kalau tidak siapa nak datang. Kemudian bila politik stabil ekonomi segar tapi janganlah kaya itu seorang, sebab itu saya tegas, kamu katalah apa pun. Saya bagi amanah sebagai Perdana Menteri, saya tidak mahu tolak ansur, sakau-sakau tidak boleh sudah. Mahu jadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan mesti kaya.
- Bukan kaya RM100, RM200 juta, ini bilion-bilion ringgit. Ini kena henti. Negara kaya seperti mana pun tidak mampu kalau sikap macam itu apa kata Mohandas K. Gandhi, India, dia kata, “The world is enough for every man need, but never enough for every man is greed.” Apa maksud dia? Maknanya dunia ini cukup kalau semua tidak tamak haloba, kita bahagi cara molek okey cukup, dunia ini, khazanahnya Malaysia ini cukup kalau kita agih pelahan-pelahan. Tapi tidak cukup kalau tiap orang apa lagi pimpinan itu tamak haloba.
- Seorang RM1 bilion, seorang RM2 bilion. Seorang satu keluarga RM4 bilion itu baru kita dikesan seorang anak dia RM1 bilion, RM1.8 bilion. Tapi bila cakap, “saya tidak ada duit”, jadi orang kata “dendam.” Tidak saudara-saudara, dendam apa? Saya tahu saudara-saudara pun tahu susah lama. Ramai yang sokong Zamri dulu pun Ustaz Nasaruddin pun kalau saya datang Kelantan dia kuat untuk tolong atur program-program.
- Saya tidak lupa itu, ingat, saya tidak lupa. Jadi orang tanya, “oh Anwar sekarang sudah jadi, dapat.” Buatlah dengan sebaik mungkin. Orang hendak kita bila diuji masa mana? Masa kita ada kuasa. Masa ada kuasa buatlah sebaik mungkin. Besok sudah jadi mantan Perdana Menteri. Kemudian terus barulah “ini tidak betul”, “ini tak betul”, “orang Melayu miskin lagi”, “ini sekolah ini tidak bantu”. Yang kamu, kalau orang Kedah dia kata ‘Hang’ “Yang hang masa jadi itu pasal apa hang tak buat”.
- Jadi sebab itu kalau orang tanya, orang kritik, saya terima, saya tidak terkesan kalau orang kritik “Anwar yang patut, you tidak cukup bagi perhatian pada masalah ini.” Saya mula-mula dulu orang tegur dia kata ini, tebatan banjir ini masalah, di Johor sebahagian Selangor. Teruk di Pahang, di Terengganu, di Kelantan, di Kedah. Jadi saya kata “tidak apalah.” Saya tidak kira di mana masalah ini mesti kita selesai sebab beban kepada rakyat. Lebih-lebih lagi rakyat miskin itu terlalu banyak. Kita belanja RM5 bilion. Tidak cukup, RM10 bilion. Tidak cukup? Hendak RM15 bilion kita cari juga saudara-saudara.
- Tapi sebab apa? Sebab masa ada kuasalah kita tolong sebaik mungkin. Ini saya hendak peringatkan, kuasa tu maknanya macam mana? KSN ke, Pengarah AKM ke, Naib Canselor ke, Pengarah ke, itu masa ada kuasa, itu yang buat sebaiknya. Orang akan nilai. Dan Allah, bertanggungjawab akhirnya kepada Allah SWT kerana nilai semasa kita pikul amanah itu.
- Sebab amanah ini saudara bukan mudah. Perdana Menteri semua ada kemudahan-kemudahannya dan pergi mana-mana orang puji. Semua bagus, semua baik. Hendak terbang, kapal terbang ada, kereta ada. Saya tidak payah fikir siapa hendak sambut kat airport. Tidak payah fikir, hendak kata bertolak 8.00 malam, saya tidak fikir kapal terbang mana, pilot mana, tidak payah, terus sampai zup
- Jadi, setengah orang dia mungkin rabun, terpukau kerana kuasa. Jadi itu yang dia sebut, kita selalu peringatkan. Kuasa itu akhirnya, kuasa semua peringkat ini sebab itu dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W. ‘kullukum rā‘in wa kullukum mas’ūlun ‘an ra‘iyyatihi’, pertanggungjawaban itu. Apa kuasa itu taklif, responsibility, tanggungjawab. Bukan tashrif. ‘Taklīfun wa lā Tashrīf’ di Arab dulu. Saya mengaji sekolah Inggeris, Malay College dulu.
- Jadi ‘taklīfun wa lā tashrīf’, tanggungjawab bukan keistimewaan. Responsibility and not a privilege. Tapi, the post, jawatannya, baik KSN, MB, Menteri, Perdana Menteri itu ada privilege-nya, tapi kena ingat, yang kita nilai itu bukan privilege-nya, bukan keistimewaan, tetapi tanggungjawabnya.
- Sebab tu saya susah, susah hati juga kadang-kadang. Kerana tuntutan banyak, orang fikir, tanya saudara Zambry semalam di Jemaah Menteri kita bincang juga ini, anak kita, Zara, di Sabah, meninggal dunia. Ada kata jatuh, ada kata tolak, ada kata sebab buli umpamanya, kita tidak pandang ringan. Kita pun tidak mahu jadikan ini sebagai bahan politik.
- Ini dalam pepatah Melayu disebut, “jangan membina istana di atas pusara.” Orang tengah korban, pusara, kamu fikir kamu hendak guna dan bina istana di situ, jangan! Arahan kita jelas, tidak ada tolak ansur. “Oh anak TYT lah, anak Menteri lah, isteri Menteri, itu semua cerita, saya tidak peduli. Saya hendak bagitahu, tapi jangan fitnah, saya hendak beritahu dan saya hari-hari, semalam call IGP, AG, tadi call pagi-pagi, Menteri Dalam Negeri, dan minta dia bagitahu apa dia. Mereka jalankan, apakah ada kesilapan? Kalau ada, ambil tindakan.
- Tetapi yang penting apa? Kita jangan, saudara ini satu kematian. Tidak kiralah anak miskin ke, anak kaya ke, di gunung ke, di darat ke, di lautan, yang kalau mati kita ambil tahu, sebab apa? “Biar siasatan dijalankan.” “Oh tapi kita tidak boleh hendak percaya,” saya hendak katakan, open, transparent, telus, siasatlah sepenuhnya.
- Kerana saya sedih, saya tidak mahu begitu. Dia mungkin anak saya, cucu saya. Dia tidak boleh, bukan jadi mainan-mainan ini. Tengah siasat, ya, ini arahan kita. Kalau ada kelemahan, nanti, tunggu. Ada kesilapan, saya tidak tahu mengapa, ada pelbagai alasan diberikan. Saya tidak sebut di sini.
- Sebagai Perdana Menteri, tentu laporan sampai. Tapi mengapa tidak ada bedah siasat? Saudara yang sudah tahu di sini, Kelantan, untuk bedah siasat ini memang suatu hal yang kadang paling tidak disukai oleh keluarga. Saya Ahli Parlimen dulu lama, saya percaya Menteri Besar pun begitu, tiap hari ada je kalau ada accident jangan, jangan, jangan. Tapi kita kata ikut peraturan dan undang-undang.
- Tapi oleh kerana di situ ada syak wasangka dan kecurigaan, dan ikut peraturan, maka Peguam Negara mengarahkan supaya digali semula dan dibuat bedah siasat exhume dan conduct, tidak ada masalah. Saya tidak bimbang langsung, “oh kalau buka nanti terbongkar ini terbongkar,” tidak ada.
- Dan saya nanti minta beberapa langkah-langkah supaya kembalikan keyakinan kalau ada permasalahan. Dan sekarang kita minta, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur, atau di Putrajaya, turun dan pantau sendiri supaya jangan ada timbul masalah anak siapa-siapa VIP hendak dilindungi, tidak ada. Ini Kerajaan MADANI, tidak ada hendak lindungi orang, pembunuh, sesiapa pun.
- Jangan, kena faham itu, ini saudara saya bagi contoh. Kadang-kadang timbul masalah-masalah ini dan kita kena prihatin. Apakah saya marah orang, nampak mula resah? Saya tidak marah, saya tahu. Katalah kalau keluarga saya terlibat, saya tentu hendak tahu apa puncanya. Biar siasatan telus. Jadi jangan salahkan sesiapa, tapi soalnya saya hendak sebut di sini, bukan saya, Jemaah Menteri semalam pun kata biar siasatan penuh dan telus, dan tidak ada apa unsur menyelindung.
- Ya itu sebagai contoh, maknanya masalah itu akan timbul dalam suatu masa. Dalam kita duduk baik-baik, sudah bergaduh pula Siam dengan Kemboja. Saya sahabat kepada Thailand, sahabat kepada Kemboja. Saya kenal bukan sahaja Perdana Menteri, keluarga Perdana Menterinya. Dan cara saya itu bincang dengan baik, pakatlah.
- Jadi bila dengar ada kematian, selain daripada kematian, ada yang cedera. Ratus ribu yang pindah randah. 150,000 dekat daripada Kemboja, 130,000 daripada Thailand. Saudara bayangkan kalau saudara salah satu dari keluarga yang terpaksa berpindah kerana dua negara berperang.
- Jadi saya ikhtiar melalui telefon. Kemudian tidak dapat berhasil, maka saya telefon kedua-dua, saya kata, “beginilah, datang KL esok”. Ha, yes, datang dan kita cuba bincang berdepan, kita bertiga, dua Perdana Menteri dengan rombongan dia dan saya. Tapi sebelum tu tentu Kementerian Luar, Menteri Luar hubungi Panglima Angkatan Tentera kita jalankan tanggungjawab yang sangat cemerlang. Tan Sri Nizam, dia terus, saya setuju sahaja perjanjian itu. Saya, Perdana Menteri Kemboja, Perdana Menteri Thailand selesai dalam pukul 5.30. Saya lambat terbang kerana malam itu saya makan malam dengan sahabat saya, Prabowo. Terlambat satu jam. Dia hendak tunggu, hendak selesaikan Siam dengan Kemboja.
- Bila kita selesai sahaja jam 6.00, Panglima Angkatan Tentera terus terbang ke Bangkok, Phnom Penh, ke sempadan, untuk berbincang dengan Jeneral-Jeneral yang bertanggungjawab. Itu cara kita. Makna bukan saya sahaja, seorang. Saya jalankan tanggungjawab saya, Menteri Luar – Menteri Luar, Jeneral dengan Jeneral.
- Barulah kita capai, sepertimana yang tercapai julung-julung kalinya, satu perdamaian yang cepat dan dilaksanakan dengan baik. Alhamdulillah. Jadi, bila Presiden Trump telefon saya, dia pun kata, “Oh, terima kasih.” Tapi saya kata tidak, bukan saya seorang, pemimpin-pemimpin ASEAN semua komited. Kerajaan Thailand, tentera Thailand, Kerajaan Kemboja, tentera Kemboja pun sangat bertanggungjawab hendak cari penyelesaian.
- Saya kata, Presiden Trump pun dan Presiden China pun bantu. Dia bila saya sebut itu, dia happy lah, terus dia kata, “Okey, okey, saya hendak datang Kuala Lumpur Oktober ini.” Kita ini sahabat dengan semua ASEAN, dengan China sahabat baik, dengan Amerika rakan dagang yang lama, Eropah.
- Saudara orang tengok kita ini sebab apa? Sebab dia tengok Malaysia ini, politiknya stabil, dasarnya jelas. Dan kita cuba sedaya upaya bersihkan sistem ini daripada amalan-amalan lampau yang kurang sihat. Ini harus disampaikan dan ada cadangan, kita kemukakan dengan baik.
- Apakah ini sudah sempurna? Tidak. Hari-hari kita dapat complain, ini belum buat, ini belum selesai, ini tidak buat sepertimana yang diputuskan dan kita cuba selesaikan dengan baik, kerana kita mahu faedahnya cara langsung kepada rakyat.
Terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
