TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 22 JULAI 2025: SOALAN YB TUAN MOHD SANY HAMZAN [ HULU LANGAT ]
LAPORAN VERBATIM
WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
TARIKH : 22 JULAI 2025 (SELASA)
SOALAN 1: YB TUAN MOHD SANY BIN HAMZAN [HULU LANGAT]
Minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Timur Tengah, khususnya dalam memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara.
JAWAPAN:
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, YB Hulu Langat. isu Timur Tengah, khususnya Gaza dan Palestin itu telah menjadi kehangatan dan keributan selama lebih tujuh (7) dekad. Dan kita, dari segi Malaysia, khususnya Menteri Luar dan Kementerian Luar Negeri telah berusaha sedaya upaya menyuarakan pandangan kita dengan tegas.
Malaysia di antara negara yang agak keras pendirian dalam sidang OIC, dan juga pertemuan Liga Arab dan OIC berulang kali, dan juga di The Hague, yang tidak ramai negara-negara Islam yang hadir, tapi dihadiri oleh Menteri Luar, dan beberapa langkah-langkah lain.
Di samping itu, inisiatif Malaysia dan Jepun dalam CEAPAD itu diteruskan dan pertemuannya diadakan dua (2) minggu yang lalu untuk mempersiapkan jentera membantu, bantuan kemanusiaan sekiranya keadaan reda.
Tapi nampaknya kezaliman dan keganasan Israel itu tidak terhenti, dan sekarang ini bukan sahaja soal Gaza dan Tebing Barat, tapi melibatkan Iran, serangan di Syria, di Iraq, dan di Lebanon. Jadi ini menimbulkan satu masalah.
Malaysia juga di antara satu-satu negara yang menghubungi Iran dan menyatakan sokongan kepada Iran, dan hak mereka membalas serangan ofensif dan agresif dan ganas oleh Israel. Dan selepas itu, atas cadangan Presiden Iran, kita menghubungi Amir Qatar supaya dapat dileraikan dan hubungan di antara Qatar dan Iran itu seperti sediakala, sebagai negara sahabat.
Jadi pendirian kita ini banyak terikat dengan keputusan Liga Arab kerana mereka negara-negara jiran, OIC dan United Nations. Tapi malangnya dalam beberapa keputusan termasuk yang terakhir di United Nations, yang veto itu Amerika Syarikat. Yang kita minta sekarang minima, sekurang-kurangnya hentikan serangan ke atas Gaza dan Tebing Barat.
Dan keduanya, bagi laluan bantuan kemanusiaan kepada rakyat, kerana langkah genosid ini berterusan dan penderitaan itu terlalu berat dan belum berlaku dalam abad ini, paling parah sejak Perang Dunia Kedua.
Jadi dari segi Malaysia, tentu saya terbuka dengan nasihat Ahli-ahli Parlimen, apa lagi yang perlu kita lakukan dari segi suara, kelantangan, bantuan kemanusiaan, hubungan nasional dan peribadi. Saya dan Menteri Luar hampir semua negara berkenaan itu telah kita suarakan.
Dan dalam pertemuan umpamanya di BRICS, dengan Perdana Menteri Sepanyol, Presiden Colombia yang menyatakan dukungan, itu kita terus. Begitu juga dengan Presiden Lula, Brazil dan mutakhir dengan Presiden Cyril Ramaphosa (Afrika Selatan). Jadi kita perluaskan.
Tapi tuntutan ini masih belum memberikan kesan yang diharapkan. Pembunuhan terus berlaku, keganasan terus berlaku. Jadi, cuma yang mampu kita lakukan, telah kita lakukan.
SOALAN TAMBAHAN 1 BAGI SOALAN 1
Terima kasih di atas jawapan YAB Perdana Menteri. Seorang pimpinan yang sangat lantang, yang berani mengkritik dan juga seorang pimpinan yang sangat berani.
Perdana Menteri, saya hendak tanya kepada YAB Perdana Menteri, apakah langkah-langkah drastik yang akan dilakukan oleh Malaysia dalam usaha untuk menghentikan pembantaian dan juga pembunuhan umat manusia yang berlaku di Timur Tengah khususnya di Palestin. Khususnya kecaman kita terhadap kuasa-kuasa besar dunia, dan juga negara-negara Arab yang berpeluk tubuh yang melihat dan juga yang membantu tentera-tentera laknatullah Israel membunuh warga dan juga masyarakat, rakyat dalam negara Palestin.
Tuan-tuan dan Ahli-Ahli Parlimen, saya nak menyatakan bahawa di Eropah, di barat mereka bingkas bangkit mengadakan demonstrasi ratusan ribu, jutaan umat manusia bangkit di barat dan juga di Eropah membantah pembantaian dan juga pembunuhan umat manusia yang berlaku di Timur Tengah dan juga di Palestin, sedangkan kita sebagai orang Islam ini kita ada himpunan setahun sekali di Mekah dan juga di Madinah yang kita tidak berbuat apa-apa. Itu soalan saya respons daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Terima kasih Tan Sri speaker.
JAWAPAN:
Terima kasih Hulu Langat. Kerajaan Malaysia sama ada saya sendiri, Menteri Luar dan Kementerian Luar dan Menteri-Menteri lain telah melakukan bagi saya apa yang mampu. Tapi tentunya kita hanya akan melakukan secara berkesan kalau kita terus adakan kerjasama dan rundingan dengan Liga Arab dan OIC sebagai pangkalannya, kemudian melalui UN, tapi sekarang ada inisiatif tambahan seperti menjadi the Hague. The Hague itu Malaysia dari antara satu-satu negara yang mengirim wakil tertinggi, Menteri Luar hadir sendiri. Sidang khas United Nations sendiri dan baru-baru ini bila Presiden Colombia ambil inisiatif kita hantar wakil kita.
Jadi setakat menyuarakannya seperti mana yang dimaklumi di hadapan presiden Joe Biden ketika itu, Presiden Amerika Syarikat, di hadapan Olaf Scholz pada masa itu, Presiden Jerman dan baru-baru ini kepada Perdana Menteri Itali dan juga Presiden Perancis, Emmanuel Macron itu kita dah suarakan sama ada dalam bilateral atau dalam pertemuan dua hala di antara saya dengan Presiden. Dan saya tidak fikir mampu kita lakukan selain dari menyuarakan, memberi bantuan kemanusiaan dan menggesa rakan-rakan kita dunia Arab.
Saya tidak tidak mahu menambah bahawa hubungan kita secara peribadi juga dengan beberapa pemimpin Arab itu diteruskan sama ada melalui contact semasa lawatan rasmi ataupun semasa mesyuarat-mesyuarat multilateral yang lain. Sidang BRICS ataupun Sidang United Nations itu ambil peluang dan saya tekankan sebentar tadi termasuk bicara dengan presiden Iran yang sebenarnya tidak ramai negara-negara termasuk negara Islam yang berani bicara, kerana kontroversi dan tekanan yang Iran hadapi dari negara-negara barat termasuk Amerika Syarikat. Tapi kita terpaksa lakukan kerana Iran juga dizalimi dalam kes ini dan Iran bagi kita berhak serang balas terhadap kezaliman Israel.
Jadi Israel satu-satu negara pengganas dalam dunia ini yang nampak terus melakukan jenayah perang dan genosid tanpa disekat oleh dunia kerana didukung oleh beberapa negara barat termasuk Amerika Syarikat.
SOALAN TAMBAHAN 2 BAGI SOALAN 1 : YB TUAN WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL [MACHANG]
Yang Amat Berhormat Tambun dan Dewan Yang mulia, Iran dan Malaysia ada banyak persamaan. Ya, kita berbeza mazhab, kita Ahli Sunnah Wal Jamaah, Iran Syiah tetapi dari segi geopolitiknya Iran adalah penjaga Selat Hormuz dan Malaysia penjaga Selat Melaka dan kalau kita bilang konflik yang berlaku antara Iran – Israel ini hanya di Timur Tengah, kita silap. Pada 2012, Malaysia telah dikenal pasti sebagai Command Post, Command Post kepada Virus Stuxnet yang dilancarkan di jana kuasa nuklear Iran.
Maknanya apa? Malaysia sudah pun lolos dimasuki oleh ejen Mossad untuk membuat kerja-kerja menjadikan Iran sebagai medan konflik. Dan baru-baru ini kita tahu Yang Berhormat Kota Raja, Pensyarah Palestin dibunuh oleh Mossad, as-syahid Dr. Fadi alBatsh dan ini menunjukkan keselamatan negara kita ada kompromi berlaku. Dan kelmarin Yang Amat Berhormat Tambun, autogate kita gagal berfungsi dan apa jaminan dengan kelemahan-kelemahan yang ada pada hari ini dan bukti-bukti yang dijelaskan tadi, negara kita kalis daripada kemasukan ejen-ejen anasir Mossad yang sebenarnya boleh merosakkan keselamatan negara kita. Boleh Yang Amat Berhormat Tambun jelaskan apa langkah Kerajaan hendak memastikan kita kalis daripada serangan Mossad?
JAWAPAN:
Terima kasih, Machang. Sebenarnya, bahaya kehadiran badan-badan perisik antarabangsa termasuk Mossad itu memang dikenal pasti. Tahun 2012, seperti mana Yang Berhormat sebut, memang dibunuh dan sebelum itu dikenal pasti beberapa tindakan lain yang kemudian diambil tindakan.
Cuma mereka ini cukup canggih dan pantas. Banyak yang keluar lari sebelum dapat dikenal pasti. Paling akhir ialah kes di mana pasangan suami isteri Melayu dari Selangor yang telah bersekongkol dengan ejen yang dipercayai ejen Mossad yang menyeludup senjata dari Thailand, dan kemudian ditangkap dan sekarang ini ditahan di penjara.
Dan saya setuju langkah-langkah tambahan memang telah diambil dan Menteri Dalam Negeri dan kementerian sedang kenal pasti dan tingkatkan keupayaan kita.
Masalah autogate itu dia terkait juga dengan badan Interpol antarabangsa untuk ditingkatkan keupayaan, dan alhamdulillah setakat ini sudah pun dapat diselesaikan.
Cuma yang ditekankan tentang Malaysia, oleh kerana mungkin suara kita ataupun pendirian kita, telah menjadi medan penyeludupan senjata, dadah dan dalam kes ini, ejen-ejen Mossad.
Dari segi taklimat terbaru yang diberi oleh badan perisikan Malaysia, memang mereka ambil berat betul soal ini, terutama setelah terbukti bukan saja kehadiran mereka, tetapi menggunakan pasangan suami isteri Melayu sebagai sama ada ejen ataupun yang bekerjasama dengan Mossad.
SOALAN TAMBAHAN 3 BAGI SOALAN 1 : YB DATO’ SRI DORIS SOPHIA ANAK BRODI [SRI AMAN]
Minta PERDANA MENTERI menyatakan berkenaan dengan status terkini bantuan kemanusiaan negara Malaysia ke Gaza setakat ini.
JAWAPAN:
Terima kasih, Sri Aman. Pagi tadi memang ada taklimat terakhir daripada Menteri Luar dan pegawai-pegawai kementerian. Malah, kita ada lagi kelengkapan, dana, kemudahan, dan beberapa kali saya mohon kerjasama daripada Presiden, Abdel Fattah El- Sisi, Mesir, untuk membantu. Tetapi masih dihalang di sempadan Rafah oleh Israel.
Kita membuat juga langkah melalui Qatar dan ada yang kumpulan pertama bolos masuk, yang kedua masih terhalang di sempadan Israel.
Langkah ketiga yang dilakukan oleh Kementerian Luar ialah melalui Jordan. Bantuan, malah Menteri Luar ada di sana dan beri bantu kepada beberapa hospital dan kemudahan lain termasuk usaha Jordan untuk membawa barang makanan dan bantuan makanan dan perubatan ke Gaza. Itu pun masih tersekat.
Jadi, sekarang ini dari segi bantuan kemanusiaan, masih kita ada keupayaan lagi, dana lagi, tapi tidak boleh diteruskan. Lori-lori yang tersangkut itu masih jumlahnya beratus, ada yang sudah rosak dan punah.
Kita sedang hadapi satu negara yang separuh kurang siuman dan ganasnya sampai tidak peduli melihat anak-anak, bayi mati dan terkorban dan kelaparan, itu tidak mengesankan. Maknanya hilang nilai kemanusiaan, hilang. Dan kita telah dedahkan hipokrisi, kemunafikan beberapa negara Barat – negaranya, sebab rakyatnya itu berbeza pandangan sampai membiarkan ini berlarutan.
Tapi percayalah, sebaik sahaja laluan itu diizinkan, kita akan tambah apa sahaja ikhtiar untuk bantu rakyat yang terkorban.
SOALAN TAMBAHAN 4 BAGI SOALAN 1 : YB TUAN SYED SADDIQ BIN SYED ABDUL RAHMAN [MUAR]
Terima Kasih Tan Sri Speaker. YAB Perdana Menteri, Malaysia tegas dan lantang dalam melawan puak zionis dan dalam membela hak Palestin, kadang-kadang kelantangan kita itu jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan negara-negara di Asia Tenggara.
Persoalan saya, pada 1 Ogos ini, Malaysia bakal dikenakan tarif tambahan 25% walaupun Presiden Trump ada umumkan ini berkenaan soal ekonomi sahaja. Tetapi kalau kita lihat apa yang dikenakan ke atas Brazil, yang jelas bukan kerana surplus atau defisit tetapi kerana kemarahan Trump kepada kawannya yang bakal dipenjarakan.
Persoalan saya, adakah ketegasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan kelantangan Malaysia ada diambil kira oleh pihak Amerika Syarikat yang mungkin hendak kenakan tarif tambahan kerana kelantangan kita dalam membela hak Palestin? Dan adakah Kerajaan Malaysia bersedia untuk berkompromi dalam bab ini?
Terima kasih.
JAWAPAN:
Terima kasih Muar. Kita masih ada waktu sehingga Ogos, dan rundingan masih diteruskan. Saya tidak mahu preamble tetapi dalam pertemuan dengan Menteri Pertahanan, akses di Singapura dan Marco Rubio ke sini baru-baru ini, walaupun disinggung hal itu tapi tidak menjadi isu pokok dalam perbincangan kita dengan mereka.
Tarif di Malaysia itu masih lebih rendah daripada Vietnam, Kemboja, Thailand, tetapi kita tidak anggap keputusan Amerika itu adil dan unilateral. Dia melanggar semua prinsip-prinsip WTO dan perdagangan antarabangsa dan perjanjian telah dimeterai dan kita telah suarakan.
Dan benar Muar sebutkan, kerana kelantangan Brazil dan Presiden Brazil, Presiden Lula, yang insya-Allah akan sampai di sini bulan Oktober, dia telah berjanji untuk datang dengan rasa senang untuk hadir, dia oleh kerana kelantangan dia menyerang Amerika Syarikat atas soal genosid di Gaza dan menentang langkah-langkah unilateral untuk menekan negara-negara berkembang termasuk yang terlibat dalam BRICS, kerana Presiden Lula (Brazil) itu menganjurkan sidang BRICS baru-baru ini, maka dikenakan 50% tarif.
Kita belum dalam rundingan terakhir yang dilaporkan minggu lalu masih belum ada tanda-tanda, tetapi dalam rundingan itu ada beberapa pertimbangan yang besar, iaitu kerana E&E, semiconductor, dan chips, kerana pengeluaran kita itu seperti mana pernah saya sebut di Dewan, 60% dari pengeluaran kita itu ke Amerika Syarikat. Tapi di sebaliknya, Amerika Syarikat juga memerlukan chips dan E&E di Malaysia, sekitar 25% daripada keperluan Amerika Syarikat.
Jadi kita harap dan doa, insya-Allah, dapat diselesaikan dengan baik. Tetapi apa pun kesan ataupun ugutan ataupun bantahan mereka dalam soal pendirian kita dalam isu Palestin, Gaza atau hubungan baik kita dengan Iran itu tidak akan merubah pendirian kita tegas sebagai negara merdeka dan berdaulat, menyuarakan pandangan kita.
