TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2025
19 Julai 2025
Skip to content
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2025
19 JULAI 2025 (SABTU) │ 10.30 PAGI
PERKARANGAN STADIUM NEGERI BATU KAWAN,
PULAU PINANG
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera
YAB Chow Kon Yeow,
Ketua Menteri Pulau Pinang;
YB Datuk Aaron Ago Dagang,
Menteri Perpaduan;
YB Fadhlina Sidek,
Menteri Pendidikan;
YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul,
Yang di-Pertua Dewan Rakyat;
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri;
Timbalan Ketua Menteri;
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Terima kasih dah tahniah kepada Aron dan Saras dan seluruh KSU baru dan semua keluarga Kementerian Perpaduan atas kejayaan menyelenggarakan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang. Terima kasih juga atas kerjasama Ketua Menteri YAB Chow Kon Yeow dan seluruh jentera Setiausaha Kerajaan Negeri dan rakan-rakan yang membantu menjayakan program yang hebat dan permai ini. Selalu orang Pulau Pinang, mereka tumpu banyak soal industri, soal AI, tapi kali ini nampak ada penekanan tentang perpaduan, kebudayaan, seni dan yang disebut warisan, yang diberikan penekanan oleh Kementerian Perpaduan dan saya percaya orang Pulau Pinang akan berikan sambutan terus sepertimana yang kita saksikan semalam dan hari ini terutamanya.
Saudara saudari,
- Ada cadangan untuk memperluaskan lagi kegiatan perpaduan ini dan sejak Kementerian Perpaduan diasaskan 2-3 tahun yang lalu, kita lihat umpamanya kegiatan yang lebih rancak. Tadi Ketua Menteri Chow sebut kepada saya, betul, setelah Kementerian ini diwujudkan, kita tekankan tentang prinsip kebudayaan, kebangsaan dengan merangkul penyertaan kelompok-kelompok minoriti. Bukan sekadar yang besar-besar, termasuk yang disebut tadi, Rungus. Rungus itu satu kelompok kecil di kalangan Kadazan, tapi kita perkenalkan dan kita perkenalkan bahasa-bahasa baru seperti “Segulai Sejalai” yang sebenarnya konsisten dengan maksud harmoni dalam kepelbagaian.
- “Harmoni dalam kepelbagaian” ini sebagai tema ini tidak lari daripada apa yang diilhamkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj bila mengasaskan Persekutuan Tanah Melayu. Kerana di situ diletakkan “Bersekutu Bertambah Mutu”. Maknanya kepelbagaian itu bukan sahaja mencapai harmoni tetapi meningkatkan mutu.
- Kepelbagaian boleh menimbulkan kekacauan sepertimana kita dengan hasutan-hasutan baru ini. Kalau hasutan di Alor Setar maknanya “Melayu terancam”, “kita hidup Melayu” dan sebagainya. Tak ada masalah. Di Pulau Pinang, tadi saya luncurkan Pelan Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang. Itu dilakukan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerjaan Negeri. Ada beberapa masalah yang dibangkitkan oleh orang Melayu Pulau Pinang. Soal keusahawanan, perumahan, itu tidak dihalang. Jadi kita ada kuasa, kita buat. Tapi biarlah teratur, adil, kerana masalah dihadapi oleh semua masyarakat. Orang Melayu ada masalah dia, Cina, India, Iban, Kadazan. Jadi kita mesti ada pendekatan untuk selesaikan.
- Kalau kita hasut, benci, dia tak selesai. Yang tingkat? Benci. Orang atas hasut, orang bawah benci, timbul ketegangan, tapi orang atas guna Melayu. Tapi tengok pemimpin Melayu, semua kaya-raya. Anak 1 bilion ringgit, keluarga 4 bilion ringgit, meninggal ada 2 bilion ringgit. Itu pemimpin-pemimpin. Bila berucap, “kekuatan kaum”, “hidup Melayu”, tapi harta, dia kaut untuk dia. Sebab itu saya senang saja jawab, betul nak bawa perpaduan, betul nak jaga orang Melayu, harta yang 1 bilion, 3/4 bagi balik kepada rakyat. 4 bilion kalau sah cara diambil itu tidak teratur kembalikan. Yang penting kita ada program.
- Ada tak masalah orang Melayu di Pulau Pinang dari segi perubahan? Ada. Cari jalan penyelesaian. Hari ini kita luncur Teratai MADANI, perumahan yang ditaja oleh Jawatankuasa Pembangunan Bumiputera dengan kerjasama Kerajaan Negeri mempercepatkan proses kelulusan. Ini saya salute Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran satu-satunya yang paling cekap memberi kelulusan projek-projek pembangunan perumahan dan lain-lain. Rekod. Dan petang ini kita ada umpamanya projek swasta Skyworld Perumahan MADANI, Bakat MADANI di Batu Kawan, di Seberang Jaya. Di perumahan itu kita letakkan syarat supaya rakyat boleh hidup dengan harmoni, ada tempat bagi semua kaum dan kalau ada kaum yang tertinggal, yang relatively miskin, yang ramai Melayu dan India, kita pastikan ada kuota peluang perumahan bagi orang Melayu, atau India atau Cina dalam kategori yang miskin supaya tidak rasa terasing daripada arus pembangunan. Ini konsep perpaduan kita.
- Boleh kita hasut bagi orang marah, tapi selesai tidak juga. Bila ada kuasa kita sibuk cari harta, bila tak ada kuasa kita merengek sepanjang masa. Cadangan saya, sementara ada kuasa, manfaatkan untuk jaga. Tapi kalau mahu negara ini aman dan stabil, kita mesti bersatu, mesti harmoni. Ini bukan soal kemestian tetapi soal juga survival Malaysia sebagai satu negara. Jadi saya harap kita kemukakan masalah kita dengan maksud menyelesaikan. Saya pergi ke Jabatan, Kementerian, Kerajaan Negeri dari Perlis sampai Sabah, Sarawak, Johor, Selangor, Pulau Pinang, semua akan timbulkan masalah. Semua akan minta peruntukan yang lebih, semua yang menyatakan bahawa ada masalah kelompok-kelompok yang terpinggir. Kita cari jalan menyelesaikan melalui perbincangan dan rundingan.
- Ingat, minggu lalu di Kuala Lumpur ada persidangan Menteri-menteri Luar ASEAN. Kuala Lumpur sekarang diiktiraf, kerana negara aman. Negara aman ini kerana apa? Jasa tentera, jasa polis, jasa perkhidmatan penjawat awam. Negara aman sebab apa? Sebab rakyat itu lebih matang. Dia tak terima hasutan, dia tak terima sogokan untuk menimbulkan perpecahan. Bila negara itu aman, politiknya stabil. Bila politiknya stabil, dia tarik pelaburan, negara kian harum. Bila pelaburan menyebabkan politik dan ekonomi itu baik berkembang, perhatian dunia. Baru-baru ini pertama kali rundingan peringkat tertinggi setelah Donald Trump mengambil alih sebagai Presiden, ada rundingan di antara Marco Rubio, Menteri Luar Amerika Syarikat dan Menteri Luar China, Wang Yi. Dua-dua juga ambil kesempatan jumpa dan bincang dengan saya. Tetapi yang penting itu dia beri ruang kepada Malaysia.
- Kemudian, pertama kali peringkat tertinggi Sergey Lavrov, Menteri Luar Rusia berunding dengan Menteri Luar Amerika Syarikat. Di mana? Di Kuala Lumpur. Ada masalah sempadan Kemboja dengan Thailand, Menteri Luar runding di Kuala Lumpur. Adalah masalah Myanmar, Menteri Luar runding dengan Menteri Luar Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan. Di mana? Di Kuala Lumpur. Saudara, orang mula iktiraf kerana keupayaan, bukan Anwar Ibrahim seorang, tidak. Menteri-menterinya, Ketua-ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Kementerian-kementeriannya, dapat membawa satu mesej yang baik.
- Jadi saudara-saudara harus ingat, jangan anggap ini semua mudah, tidak. Membangun itu mengambil waktu, merobohkan itu senang sekali. Saya percaya usaha-usaha orang yang khianat dan dengki itu ada. Siapa kata tidak boleh tukar Kerajaan? Boleh. Tadi Speaker YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari sebut, bawa usul di Parlimen, hilang sokongan kepada Perdana Menteri, Perdana Menteri harus letak jawatan. Bawa lah di Parlimen, tetapi tidak boleh. Sebab apa? Tidak ada sokongan. Tunggu pilihan raya, sebab apa? Tidak sabar. Kemudian, nak buat apa? Saudara ingat dengan tunjuk perasaan, Perdana Menteri boleh letak jawatan?
- Saudara, saya tidak mahu halang kerana kita negara demokrasi. Tetapi alasan apa? Dia bicara di mana-mana, termasuk kadang-kadang orang yang berjubah, ustaz-ustaz tetapi tidak semua, banyak yang baik. Semalam saya jumpa Tok-tok Guru dari Lubnan, dari Syria, dari Indonesia, dari Maghribi, ulama dari India, ulama-ulama terkemuka. Bukan maknanya kita nak menolak, ada. Malam ini, dari Pulau Pinang, selesai di Teluk Kumbar petang nanti, saya ke Masjid Putra di Putrajaya bagi perhimpunan semua tuan-tuan guru pondok. Saya nak dengar nasihat mereka, apa lagi yang perlu kita buat. Itu cara kita, mendengar, cuba memperbaiki dan menyelesaikan.
- Ini tidak, dengki dan hasut. Inilah dia kata, yalah tetapi nak marah pun tidak boleh juga lah, orang itu pun dah 100 tahun dah. Ini Perdana Menteri yang paling zalim, menekan rakyat, hendak bercakap pun tidak boleh. Yang kamu bercakap di stadium boleh pula? Maknanya yang saya nak sebut dan yang ditekankan “Melayu terancam”, jadi buatlah! Kamu Perdana Menteri 22 tahun campur dua (2) tahun, 24 tahun, tolonglah Melayu tiada siapa larang. Jaga negara ini dan tolong. Dan kalau tanya saya, ya, saya akan tolong tetapi saya kena tahu juga orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan itu rakyat kita, mana boleh kita pinggirkan. Tidak ada dunia yang selamat kalau kita ambil pendekatan untuk menghasut dan timbul kebencian kepada satu kaum. Oleh kerana kita majoriti, mesti benci orang lain? Tidak ada. Kita buat perumahan untuk Bumiputera di kawasan yang sesuai. Orang Cina nak bangunkan perumahan dia, kita bagi dukungan, percepatkan. Itu cara kita membangunkan negara saudara-saudara.
- Saya tekankan perkara ini, saya nak bagi satu ingatan kepada rakyat Malaysia dan ini tanggungjawab bersama. Kalau nak pilih, nak selamatkan negara ini, kita mesti jaga perpaduan negara kita. Ini kekuatan kita. Tanyalah mana-mana pemimpin di dunia, tanya mana-mana rakyat luar, “Apa hebatnya Malaysia?” Memang Melayu Islam, Bumiputera majoriti tetapi kita kalau tidak santuni semua, jaga orang Melayu, jaga orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan. Kalau jaga ini semua, negara kita akan selamat. Saya pergi Sarawak, masalahnya lain daripada negeri Pulau Pinang. Penekanannya hub for gas energy in South Asia. Pulau Pinang, new technology, lain. Tetapi pendekatan kita, masalah masing-masing harus ditangani dengan baik. Jadi saya sebut tadi tentang masa depan kita yang baik.
- Dua bulan lalu, kita anjur pertama kali dalam sejarah ASEAN ini, semua Ketua-ketua negara ASEAN datang. Kemudian kita bawa Ketua-ketua negara Teluk, negara Arab kali pertama di rantau ini. Arab Saudi, Raja Qatar, Perdana Menteri Kuwait, Perdana Menteri Bahrain berkumpul. Malaysia dengan Negara-negara Teluk – Gulf countries (GCC) dan negara China, Premier Li Qiang untuk bincang bersama kerjasama ekonomi, bagaimana kita manfaatkan kekayaan dan energy, tenaga yang ada di Teluk dengan hebat. Malaysia dan ASEAN, kawasan yang aman, yang stabil, yang laju ekonominya dan negara China, jiran kita, yang punyai potensi yang besar. Alhamdulillah.
- Bulan Oktober, sambutan luar biasa. Saya pergi Itali, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni kata beliau hendak hadir ASEAN. Saya sampai ke Brazil. Presiden Lula da Silva berucap kepada ribuan orang, kata, “my friend Perdana Menteri Anwar, saya, insya-Allah dia tak kata insya-Allah (dengan nada berseloroh), I will, God willing, attend the ASEAN Conference in Kuala Lumpur in October.” Siapa dia? negara Brazil, negara terkuat dan terbesar ialah di Latin Amerika. Saya jumpa Presiden Ramaphosa, Cyril Ramaphosa yang menggantikan Mandela yang pernah menjadi Presiden. Dia kata, “Saya, Anwar, yes, saya akan datang.” Kita bercakap ASEAN, Asia Tenggara, yang datang Afrika, Latin Amerika. Marco Rubio bagi tahu yes, dia percaya. Dia telah maklumkan kalau tak ada, orang Kedah kata orang Penang, kita tak ada aral melintang, Presiden Donald Trump juga akan datang ke Kuala Lumpur.
- Saudara, Dan kita, Presiden China datang dua bulan lalu. Bulan lalu, Perdana Menteri Premier Li Qiang, jadi jagalah negara ini. Esok giliran saya, sekarang gilir saya. Selepas itu orang lain, orang lainlah. Tapi jaga negara ini supaya aman dan stabil dan jaga pekerjaan. Kita guna kuasa untuk apa? Ada orang kata Kerajaan ini tak buat apa. Tidak buat apa, berjalan sahaja. Saudara penjawat awam ada tolong jawablah, 12 tahun tidak di ambil perhatian tentang elaun persaraan mereka. Jadi bila buat, saya tak mahu buat cincai-cincai, lebih kurang sahaja, tidak. Sudah 12 tahun tidak buat, saya beritahu KSN, bagi tahu KPPA, saya nak skim really important, really big. Saya cadangkan yang lebih baik daripada yang dicadangkan oleh JPA sebelum itu. Sebab apa? Sebab saya rasa saya nak dia kerja kuat. Saya nak negeri ini laju kerja dia. Tapi saya kena hargai orang yang bekerja. Dan skim ini pun berbeza daripada dulu. Yang pendapatan rendah naik lagi tinggi sampai 30 hingga 35%.
- Kemudian gaji minima RM1,700. Yang GLIC, syarikat-syarikat kerajaan, minima RM3,000. Kemudian kita ada TVET, tahun ini yang masuk TVET 160,000 kerana peluang pekerjaan banyak. Baik, ada tak masalah? Ada. Ada tak masalah kos sara hidup? Ya. Ada tak masalah-masalah rakyat? banyak lagi. Ada masalah perumahan di Pulau Pinang? Ya. ada masalah perumahan di Kuala Lumpur? Ya. Kita cubalah selesai dengan ikhlas, dengan syarat pimpinan itu tidak teruskan amalan menyakau duit negara.
- Jadi saya harap, insya-Allah, saudara berikan kerjasama untuk menjayakan ini. Sebab itu saya kata, orang kata dah betul Anwar dia dah buat, tapi ada lagi masalah. Kita nak tolong selesaikan ni harga barang. Okey, saya kata saya dengar. Pergi mana-mana pun, dengar dia kata bagus, dah buat, dah bagus dah. Tetapi ada lagi masalah. Saya kata okey, kena teliti lagi, tidak apa. Saya sekarang dengan Kementerian Kewangan dan Jemaah Menteri, saya kata, Baik, sabar sekejap. Kita kaji dan insya-Allah dalam masa singkat ini, tak tahu 2 hari, 3 hari, 4 hari, ialah 4–5 hari ini saya akan bagilah pengumuman, sedaya upaya saya untuk melegakan sedikit rakyat Malaysia ini. Tapi sabarlah, janganlah cerca, kecam, hina seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang.
- Baik, ini kepada Perpaduan, Aaron. Aaron dalam keadaan duduk-duduk tu saya baru letih-letih ini. Dia kata “Datuk Seri kita nak buat banyak ni, ada tak peruntukan lagi?”. Amboi, menteri pun minta peruntukan kepada saya. Cuma Chow dia kesian kat saya. Dia orang Pulau Pinang, dia tak minta hari ini dia dah dapat banyak dah. LRT kita lulu, airport kita lulus. Ini Juru, Juru daripada orang Pulau Pinang, orang Kedah, orang Perlis semua saya tak larat dengar dah, itu sepanjang jumpa, persimpangan-persimpangan Juru. Dia sesak, sesak, sesak. Saya mana tahu saya mana sesak. Saya pakai “wewoo, wewoo, wewooo” (dengan nada berseloroh) saya dah lepas dah. Tapi saya dengar, ada orang kata, “Anwar mana dia tahu, PMX dia lalu wewoo, wewoo, wewooo lepas. Yang kami ni tunggu, tak jalan. Tak, saya dengar, tengok kos tinggi. Satu juta? Tidak. Bilion. Bincang balik dengan PLUS dan insya-Allah kita akan luluskan. Saya akan umum dalam masa singkat. Bila lulus, maknanya tahun ini juga, 2025 mesti jalan. Nanti bila sah semua, dalam seminggu, dua minggu, saya akan umumkan. Dan kalau saudara Chow tak jemu, saya datang sekali lagi untuk lancarkan projek itu. Yang itu setuju kan jalan dia lebih mahal.
- Baik, ini dia pencapaian program-program yang disebut tadi. Saudara tahu sebab apa Aaron anak Dagang tadi baca projek ini, kita buat ini, kita buat ini dan saudara tahu sebab apa? dia minta peruntukan. Jadi memikirkan soal perpaduan dan prestasi Kementerian Perpaduan membanggakan, saya berilah peruntukan segera tambahan RM 10 juta ringgit.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
