TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS MAKAN MALAM JUBLI EMAS 50 TAHUN PERSATUAN BOLA SEPAK KUALA LUMPUR

12 Julai 2025

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

MAJLIS MAKAN MALAM JUBLI EMAS 50 TAHUN PERSATUAN BOLA SEPAK KUALA LUMPUR

 

 

12 JULAI 2025 (SABTU) | 8.00 MALAM

CONNEXION CONFERENCE & EVENT CENTRE

BANGSAR SOUTH, KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

 

Terima kasih saudara YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, malam ni sebagai penaung;

 

YBrs Tuan Syed Yazid Syed Omar,

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA);

 

YBhg. Dato’ Seri Wong Yeon Chai,

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA); dan

 

Semua tetamu yang hadir terutamanya jawatankuasa Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), pemain lagenda, tahniah!

 

  1. Saya masih ingat masa tu saya follow final football Saya masa itu neutral, saya masa itu Pulau Pinang.

 

  1. Seperti kita tahu, bola sepak ini memang sukan rakyat. Popular, diminati, disertai oleh terlalu ramai. Dan sekarang kita terus galakkan seperti mana saudara-saudara tahu di peringkat kebangsaan, team Harimau Malaya, memang saya pantau secara sendirinya. Dia orang kata kalau Harimau Malaya boleh pantau, kenapa tidak boleh KLFA? Perlahan-perlahan.

 

  1. Baik, tetapi kerana kita lihat ini satu kesempatan bagi kita mengangkat martabat bola sepak tanah air tetapi dia bermula daripada asas. Sebab itu apa yang dibincang, diutarakan tadi tentang kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi atau institut-institut latihan yang lain itu penting. Tetapi seperti kita tahu, ia agak membebankan pimpinan, jawatankuasa, kerana memerlukan prasarana dan kos. Sebab itu saya telah minta dan akan terus mengingatkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Raya Kuala Lumpur untuk berbincang dengan KLFA dan memastikan prasarana yang perlu.

 

  1. Ia bukan soal dana sahaja, tetapi prasarana mesti cukup, kemudahan padang, tempat latihan, akademi latihan dan ini akan memberikan kesempatan bagi anak-anak kita dilatih dengan baik dan dengan selesa. Dan kemudian, persatuan akan tampung dengan beberapa dana kemudahan yang lain. Tapi prasarana itu, insya-Allah, Dewan Bandaraya, saya akan pastikan menyediakan dengan yang secukupnya untuk kemudahan pemain-pemain.

 

  1. Kemudian saya juga harap supaya budaya sukan ini segar kerana kadang-kadang kita lihat maksudnya itu baik. Semangat perpaduan, pemain dari mana-mana kaum tidak difikir dari sudut kaum, tetapi dari segi pasukan, sama ada Kuala Lumpur ataupun Malaysia, tetapi semangat itu ada. Cuma kadang-kadang, gerombolan penyokong-penyokong itu kadang tidak terkawal. Dan ini melanggar tatasusila, yang apa di sebut kesopanan, kesusilaan dalam Rukun Negara atau dalam negara MADANI itu bertentangan.

 

  1. Jadi saya pertanggungjawaban juga kepada persatuan-persatuan seperti KLFA untuk menentukan supaya semangat ini dijaja. Kita lawan betul, tadi dia sebut mesti menang tetapi kalau kalah, tidak semestinya dicerca kalau yang memang bertarung itu bekerja sedaya upaya mereka. Kerana dalam pasukan, ada menang ada kalah. Kita harus menang, kita mesti menang tetapi jangan cerca orang yang kalah, atau yang cerca pemain-pemain kita yang kalah.

 

  1. Ini budaya yang sebenarnya bukan dari budaya bangsa kita, bukan budaya dari negara kita. Ini budaya yang diimport makna sukan atau bola sepak dikaitkan dengan ‘hooliganism’. Sebab itu saya telah beritahu kepada pasukan PDRM, untuk hal ini kita kawal kerana matlamat itu baik. Sukan, riadah, kesihatan, semangat, perpaduan, kecintaan kepada negeri dan negara. Matlamat itu baik, tapi kadang-kadang tindakan dan amalan itu bertentangan dengan matlamat itu.

 

  1. Berbalik kepada KLFA, saya percaya dalam kesempatan ini, langkah-langkah diambil satu permulaan yang baik. KLFA seperti benda dah tahu memang nak kata merundum, belum. Tapi mereka sedang dibangun semula dari asas yang agak lemah, dan saya yakin dengan semangat yang ditunjukkan oleh Presiden dan KLFA, dan juga penaungnya. Cuma saya beritahu menteri-menteri jangan bagi tumpu banyak masalah sangat dengan sukan ini, itu urusan orang lain. Tetapi saya percaya dengan dukungan ini, terutama dari segi prasarana, kita boleh angkat martabat sukan negara kita, terutama bola sepak.

 

  1. Bola sepak ni ada kelainannya sedikit. Ia menjadi suatu sukan yang melibatkan terlalu ramai orang dan diminati oleh terlalu ramai juga penduduk Malaysia. Jadi sebab itu, kita sebagai kerajaan harus beri perhatian.

 

  1. Saya bernasib baik, inilah satu-satunya majlis saya hadir siapa pun tak minta dana. Luar biasa. Terima kasih. Pagi tadi di Kenyir, di Kuala Berang, Terengganu, sebelah pagi minta dana. Kemudian tengah hari MADANI Rakyat minta dana. Kemudian lepas tu jumpa perwakilan-perwakilan parti, pun perlu bantuan. Tapi datang di sini, dia tahu saya letih, jadi semua tak ada sebut langsung dana. Jadi saya ucap terima kasih (nada seloroh).

 

  1. Oleh kerana saya fikir untuk meraikan saudara, saya pun hadir, walaupun saya ada jadual awal. Tapi oleh kerana saya ingat, ialah penaung pun ada, Presiden pun ada, Wong pun ada yang membantu. Jadi saya kata okey lah, saya hadir sekejap. Untuk menunjukkan keserasian saya. Padahal Kuala Lumpur ini juga merupakan basis perjuangan kita, tapak kita, universiti kami dulu.

 

  1. Jadi oleh itu, saya oleh kerana tak mohon saya bagilah RM 1 juta ringgit. Cukup dulu.

 

Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: