TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PENGHARGAAN UNTUK RAKYAT MALAYSIA
UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
PENGHARGAAN UNTUK RAKYAT MALAYSIA
23 JULAI 2025 (RABU) | 10:30 PAGI
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
PENCAPAIAN EKONOMI NEGARA
- Sejak 2023, negara di ambang peralihan besar—berpandukan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat. Ia lahir daripada kesedaran mendalam untuk memperbetul kepincangan struktur dengan menaikkan siling dan lantai berteraskan tatakelola baik dalam pentadbiran.
- Di sebalik segala keresahan dan kekangan, izinkan saya membuka lembaran ini dengan satu keyakinan teguh bahawa Ekonomi Malaysia berada di landasan kukuh dan meyakinkan. Prestasi kita bukan sahaja diakui di dalam negara, malah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
- Pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) suku pertama tahun ini mencatat pertumbuhan 4.4% dan berdasarkan unjuran awal, suku kedua bakal mencecah 4.5%.
- Dunia turut mengiktiraf kebangkitan negara. Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan 23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025. Tahun sebelumnya, kita mencatat pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM384 bilion—peningkatan 17% ketimbang 2023—dan pencapaian ini diunjur terus melonjak pada tahun 2025.
- Lebih penting, Ringgit Malaysia turut mencerminkan keyakinan yang kian pulih. Setakat pertengahan tahun ini, ringgit mengukuh lebih 5% ketimbang Dolar Amerika Syarikat, iaitu terkini mencatat paras RM4.23 — prestasi yang meletakkan Ringgit sebagai antara lima mata wang terbaik Asia tahun ini.
PENGUKUHAN EKONOMI BERMAKNA LIMPAHAN HASIL LEBIH BESAR UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT
- Segala pencapaian data dan angka ini, seberapa membanggakan sekalipun, tidak membawa makna sekiranya rakyat di bawah masih bergelut dengan kos sara hidup. Pertumbuhan ekonomi meyakinkan membolehkan pelbagai ikhtiar meningkatkan darjat hidup rakyat dilaksanakan.
- Pengangguran turun, pendapatan rakyat naik:
a) Pasaran buruh terus menunjukkan prestasi memberangsangkan. Pengangguran yang pernah mencecah paras membimbangkan berjaya diturunkan daripada 9% (2022) kepada 3.0% (Mei 2025), terendah bagi tempoh lebih sedekad. Sepanjang 2023 dan 2024, lebih 250 ribu pekerjaan baharu diwujudkan.
b) Kita telah meningkatkan Kadar Gaji Minimum kepada RM1,700 ketimbang RM1,500 bermula 1 Februari 2025 dan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
c) Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga memastikan 153 ribu pekerja menerima sekurang-kurangnya gaji kehidupan wajar (living wage) sebanyak RM3,100 sebulan.
d) Kerajaan telah menambah bilangan jawatan doktor dan pegawai perubatan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat. Kementerian Kesihatan akan menyegerakan usaha mengisi lebih 4,352 perjawatan di fasiliti kesihatan terutama doktor kontrak seluruh negara menjelang hujung tahun 2025.
- Ikhtiar Menoktahkan Kemiskinan Tegar ialah keutamaan saya sejak awal. Hampir 150 ribu isi rumah miskin tegar pada tahun 2023 telah keluar daripada kelompok miskin tegar pada akhir 2024. Esok, saya akan meluncurkan Sejahtera MADANI iaitu ikhtiar untuk terus memastikan kumpulan miskin tegar dan miskin dibantu sewajarnya melalui usaha sama Kerajaan dan sektor korporat.
- Kerajaan sejak awal terus menambah baik pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban sara hidup rakyat.
a) STR dan SARA menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu RM13 bilion.
b) Peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditingkatkan kepada RM2.9 bilion antaranya bagi menaikkan kadar bantuan kebajikan bulanan warga emas dan kanak-kanak keluarga miskin.
c) Kerajaan MADANI membela nasib pesawah padi:
- Harga Lantai Belian Padi ditingkatkan kepada RM1,500 (2025). (dua kali 2022,2023)
- Kadar Skim Subsidi Harga Padi juga ditingkatkan kepada RM500 (2023).
d) Kerajaan ini juga menaikkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3.00 (2024). (dua kali 2022,2023)
- Memperhebat Ikhtiar MADANI di Peringkat Akar Umbi
a) Sejak tahun lalu, Kerajaan menekankan kepentingan pemimpin untuk turun ke akar umbi dan menumpukan kepada ikhtiar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat komuniti.
b) Sejati MADANI dilaksanakan dengan menyalurkan sehingga RM100 ribu kepada komuniti dan memberi mereka bebas tentukan aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan. Setakat ini Sejati MADANI berjaya membenih lebih 8,600 kegiatan ekonomi komuniti di peringkat kampung.
c) Kampung Angkat MADANI juga telah memberi manfaat kepada rakyat di peringkat komuniti. Tahun ini, kita tingkatkan penglibatan daripada 40 buah kampung kepada 200 buah kampung.
d) Kerajaan juga meluncurkan Sekolah Angkat MADANI atas rasa tanggungjawab memastikan pendidikan anak-anak pada tahap terbaik. Dengan sambutan luar biasa yang diterima terutamanya daripada sektor korporat, Kerajaan menetapkan sasaran untuk mencapai 1,000 buah sekolah angkat menjelang akhir tahun ini.
- Kerajaan akan terus menumpukan kepada usaha yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat komuniti. Malahan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang bakal dibentangkan pada 31 Julai 2025 juga mengambil kira keutamaan semua negeri tanpa mengira fahaman politik.
LANGKAH SEGERA MEREDAKAN KOS SARA HIDUP
- Kos sara hidup kekal sebagai tantangan yang mesti ditangani dengan bijaksana dan segera. Diakui bahawa meskipun kadar inflasi keseluruhan Jun 2025 adalah pada 1.1% — iaitu terendah dalam tempoh 52 bulan, namun kenaikan harga makan minum terus melebihi purata inflasi.
- Justeru, dengan penuh rasa tanggungjawab, saya mengumumkan beberapa ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup serta sebagai penghargaan dan meraikan rakyat.
- PERTAMA: SARA untuk SEMUA
a) Sukacita diumumkan bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima 100 ringgit secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
b) Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
c) Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400.
d) Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion. Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025 – dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.
e) Mungkin ada dalam kalangan kita yang punyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini. Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan.
- KEDUA: PENGHARGAAN SEMPENA HARI MALAYSIA
a) Sukacita diumumkan bahawa 15 September 2025, Isnin diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
b) Hari kelepasan ini bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia. Ini juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara.
- KETIGA: MEMPERBANYAK JUALAN RAHMAH MADANI
a) Jualan Rahmah MADANI 2025 telah disediakan RM300 juta. Bagi memperbanyak capaian program, peruntukan tahun ini ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta.
b) Peruntukan tambahan ini antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 dewan undangan negeri, selain memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat.
KEEMPAT: KADAR TOL KEKAL
a) Tahun ini, 10 lebuh raya dijadual untuk kenaikan kadar tol sepertimana perjanjian. Kerajaan bersetuju menangguh kenaikan tersebut supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama. Susulan itu, Kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta. Ini antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).
KELIMA: SUBSIDI PETROL RON95
a) Kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak.
b) Penstrukturan tarif elektrik telah berkuat kuasa mulai Julai 2025. Kendatipun ada pihak tidak bertanggungjawab mendakwa bil elektrik rakyat naik susulan penstrukturan ini, hakikatnya, 85% pengguna domestik menikmati penurunan bil elektrik Julai 2025 bagi penggunaan yang sama ketimbang separuh tahun pertama 2025 iaitu sehingga 14%.
c) Seterusnya, Kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September 2025.
d) Apa yang pasti, sepertimana pendekatan penyasaran subsidi elektrik, Kerajaan beri jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas; bahkan, sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat.
e) Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter. Ini tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
f) Pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar Kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat, dan mengurangkan pembaziran subsidi. Bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun—sungguhpun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat.
g) Pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar pada harga pasaran tanpa subsidi.
PENUTUP
Saudara-saudari yang saya muliakan,
- Sejak hari pertama Kerajaan MADANI mengemudi pentadbiran negara, saya tegaskan keutamaan saya tidak pernah berubah: rakyat, rakyat dan rakyat. Segala dasar, segala keputusan, segala ikhtiar yang kita usahakan semalam, hari ini mahupun esok, semuanya berbalik kepada maslahat rakyat—agar punyai darjat hidup lebih terjamin, lebih sejahtera, lebih bermaruah.
- Saya yakin, dengan izin Allah SWT, dengan niat dan tekad yang tidak pernah luntur, dan dengan iltizam untuk sentiasa meletakkan rakyat sebagai nadi segala tindakan.
- Ikhtiar yang saya umumkan hari ini sebagai tanda penghargaan kepada rakyat atas kecekalan bersama-sama dalam perjalanan pembaharuan MADANI untuk negara serta sebagai bantuan segera bagi tahun 2025. Selanjutnya, untuk tahun hadapan, Kerajaan akan terus menambah baik ikhtiar menerusi Belanjawan MADANI Keempat (2026) Oktober nanti—sebagai kesinambungan kepada ikhtiar kita untuk meringankan beban rakyat.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
