TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI TAHUN 2025 KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII SULTAN IBRAHIM

UCAPAN YAB PERDANA MENTERI

ANWAR IBRAHIM

 

SEMPENA

ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI TAHUN 2025

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA

SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII

SULTAN IBRAHIM

 

 

PADA

2 JUN 2025, ISNIN

 

BERTEMPAT DI

ISTANA NEGARA

KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa bihi Nastai’n,

Selawat dan Salam ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad

SAW serta keluarga dan sahabat-sahabat Baginda sekalian,

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka

Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka

Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon

diampun.

  1. Dengan lafaz syukur kehadrat Allah SWT, atas limpah kurnia dan inayahnya, Kerajaan serta sekalian rakyat jelata, mohon merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Tuanku pada hari yang berbahagia ini.
  1. Patik dan sekalian rakyat merafakkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh keluarga dilimpahi rahmat dan hidayahNya serta terus diberi keafiatan dan penuh kedaulatan, memayungi negara dan menaungi kesejahteraan rakyat.
  1. Sesungguhnya, titah-titah Baginda sentiasa menjadi panduan luhur bagi Kerajaan dalam membentuk serta melakar dasar dan melaksanakan tanggungjawab, menjunjung aspirasi rakyat serta memastikan kesejahteraan menyeluruh dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
  1. Alhamdulillah, meski dunia sedang dirundung pelbagai cabaran—termasuk ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan, Malaysia kekal teguh terpasak. Sementalahan, Malaysia telah menjadi antara negara yang terawal dan tangkas bertindak melindungi kepentingan industri, perniagaan dan kebajikan rakyat. Langkah-langkah strategik telah diambil secara menyeluruh dan terangkum, dengan penglibatan pelbagai pihak demi memastikan kestabilan ekonomi dan daya saing negara terus terpelihara.
  1. Keutuhan negara tidak hanya terletak pada angka pertumbuhan semata, tetapi juga pada kekuatan daya tahan (resilience) rakyat terbanyak. Peningkatan hasil agro-tani, produk tempatan dan ketahanan industri domestik terus menjadi tonggak yang memperkukuh ekonomi. Dukungan tidak berbelah bahagi rakyat terhadap inisiatif ini memperlihatkan semangat kebangsaan yang tinggi dan kesedaran terhadap peri penting sikap kemandirian dalam cabaran global yang tidak menentu ini.
  1. Kepengerusian Malaysia untuk ASEAN pada tahun ini memperkukuh kedudukan negara sebagai pemangkin dan peneraju diplomasi serantau. Pendekatan tuntas dan terangkum diambil membuka ruang kerjasama pelbagai bidang, termasuk perdagangan, teknologi hijau, keterjaminan makanan dan keamanan serantau. Sidang Kemuncak ASEAN pada kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah ASEAN tatkala buat julung kalinya Malaysia—sebagai Pengerusi—berjaya mempertemukan tiga benua gergasi yakni Negara-negara Teluk atau Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN dalam usaha dan upaya kita menjamin kelangsungan tamadun dan menyemarak ekonomi rakyat dan negara, selain merapat hubungan antara negara dalam pelbagai bidang yang punyai kepentingan bersama. Sidang Kemuncak yang baru selesai tersebut serta penganjuran LIMA di Langkawi membuktikan betapa semangat kerja berpasukan adalah kunci utama dalam usaha kita menterjemahkan hasrat dan cita negara. Kecemerlangan Angkatan Tentera Malaysia di Langkawi dan kehebatan PDRM dan seluruh jentera kerajaan serta swasta di Putrajaya dan Kuala Lumpur  sungguh mengagumkan.
  1. Insya-Allah, Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan percambahan peluang pekerjaan. Ia bukan sekadar agenda pelancongan, tetapi juga merupakan manifestasi kecintaan terhadap tanah air, budaya dan warisan. Negara akan bersedia menerima kehadiran dunia—dengan senyuman, keramahan, dan semangat kekitaan yang tulus dari setiap rakyat.
  1. Kerajaan di bawah naungan dan titah pandu Seri Paduka Baginda akan terus komited melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip-prinsip yang madani. Pembangunan kebendaan semata tentunya tidak mencukupi. Malah, ia mesti diseimbangkan dengan nilai-nilai manusiawi, keadilan sosial dan karamah insaniah.
  1. Pembangunan prasarana dan infrastruktur tidak terbatas pada ECRL dan JSEZ. Kemudahan awam dan perkhidmatan rakyat terus diberi perhatian. Malah, sekolah-sekolah diperbaiki, hospital dinaik taraf, jaringan pengangkutan ditingkatkan. Rakyat tidak hanya dijanjikan harapan, tetapi juga dibela secara nyata dan berterusan.
  1. Strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat terus digerakkan melalui reformasi struktur ekonomi, kemasukan pelaburan-pelaburan berkualiti tinggi, pemerkasaan usahawan kecil dan sederhana, serta pengukuhan ekosistem teknologi dan inovasi. Setiap anak watan harus berpeluang untuk maju, tanpa mengira latar belakang kaum atau budaya.
  1. Kestabilan dan perpaduan nasional adalah syarat asas kepada segala kemajuan. Dalam dunia yang cepat berubah dan sarat cabaran, perpaduan bukan pilihan—ia adalah keperluan. Justeru, segala usaha memperkukuh integrasi nasional akan terus diperkasa, demi memastikan tiada sesiapa pun terpinggir dalam perjalanan menuju masa depan yang lebih baik.
  1. Akhirul kalam, Patik sekalian menjunjung kasih atas pemerintahan Seri Paduka Baginda yang bijaksana, dan yang sentiasa menjadi lambang penyatuan dan keluhuran negara. Semoga Allah SWT terus memberkati pemerintahan Tuanku, menganugerahkan keteguhan dan kesihatan berpanjangan kepada Duli Yang Maha Mulia.
  1. Seluruh rakyat menzahirkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda, serta memperteguh ikhtiar bersama demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.