TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: SEMINAR KENEGARAAN MALAYSIA MADANI “GURU PEMANGKIN PATRIOTISME NEGARA”

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

 

SESI BERSAMA PESARA GURU SEMPENA

HARI GURU TAHUN 2025

 

SEMINAR KENEGARAAN MALAYSIA MADANI

“GURU PEMANGKIN PATRIOTISME NEGARA”

 

 

18 JUN 2025 (RABU) | 4.30 PETANG

DEWAN AUDITORIUM TUN AZIZAN ZAINUL ABIDIN, KOMPLEKS PERBADANAN PUTRAJAYA

PRESINT 3, PUTRAJAYA

 

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Alhamdu lillahi llazee anzala ala abdihil kitaba walam yaj’hal lahu iwaja,

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin,

Nahmaduhu wa nusalli ala rasool kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Roslan bin Hussin,

Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM);

Yang Berbahagia Presiden Perbadanan Putrajaya;

Yang Berbahagia Datuk Jemale bin Paimen,

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia;

Yang Berusaha Tuan Haji Juhari bin Mohamad Nor,

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMM);

Tuan-tuan dan Puan-puan, hadirin sekalian yang saya muliakan.

  1. Saya tak berapa senang nak cakap pesara ini. Sebab sebenarnya penerus agenda perjuangan. Dalam perjuangan mana ada persaraan? Rasulullah SAW itu diutuskan, Innama buistu mualliman itu sebagai seorang pengajar, pendidik. Jadi, pendidik itu tugasnya mendidik dan tidak ada batas waktunya.
  1. Saya percaya semangat itu ada cuma secara teknisnya, istilah itu disebut bersara, tapi melihat kepada semangat dan kegigihan rakan-rakan menyambut ini saya tidak nampak pun muka-muka pesara. Alhamdulillah.
  1. Orang tanya, Anwar dah jadi PM ini dia lupa ke tak? Saya tak pernah lupa ikhtiar yang dimulakan oleh Kak Nik Safiah untuk menyemarakkan semangat penguasaan Bahasa Melayu yang baik. Semasa Profesor Emeritus Nik Safiah memimpin Persatuan Linguistik Malaysia bersama Awang Sariyan dan beberapa orang lain, diusulkan kepada saya untuk hidupkan hadiah bahasa supaya anak-anak di sekolah rendah, sekolah menengah cinta kepada bahasa, dukung usaha menerbitkan karya-karya ilmu, memantapkan penguasaan bahasa yang lebih baik. Jadi, pada masa itu kita mulakan usaha bersama, hadiah bersama Persatuan Linguistik dan ditaja oleh Public Bank. Kemudian bila 1998 berakhir, berakhirlah cerita hadiah bahasa itu.
  1. Alhamdulillah, bila jadi Perdana Menteri, saya telefon kepada Ketua Pengurus Public Bank dan kata dulu pernah diadakan. Boleh tak kita hidupkan? Tentunyalah jawapan ya. Dan baru-baru ini kita luncurkan semula lebih hebat lagi hadiah bahasa. Kerana dalam negara MADANI seperti mana Nahdah Asia atau kebangkitan Asia, memang matlamat negara-negara tidak boleh tinggalkan tonggak pertumbuhan ekonomi sebagai asas kekuatan. Ekonomi harus dipacu dengan lebih segar, lebih pesat dan kita menggapai disiplin dan ilmu baru termasuk digital, transisi tenaga dan artificial intelligence. Jika tidak, kita akan ketinggalan. Itu saya sebut dalam dunia ilmu, menggapai yang di langit, tapi tidak pernah dan tidak seharusnya kita lupa, harus mengakar ke bumi. Kitakan manusia? Kitakan anak Malaysia dan kita akan dari perkembangan budaya dan tamadun Melayu dan Islam yang gagah. Jadi, jati diri itu harus dipertahankan. Sebab itu, menggapai di langit tapi mengakar di bumi. Dan di antara kekuatan asas dalam mengakar ke bumi itu ialah penguasaan bahasa yang baik. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya dan tamadun yang ada nilai dan etika.
  1. Apa erti memperkasa ekonomi kalau manusia diterbit itu rakus, tamak haloba? Jadi, pegang jawatan-jawatan penting, Perdana Menteri, Menteri Kewangan diukur dari sumber kekayaan peribadinya dan keluarganya, dan ini pernah berlaku. Jadi, sementara kita ini bicara soal kehebatan Melayu tetapi tidak menonjolkan contoh. Betapa Melayu itu asas dan juga nilai, akhlak dan budaya, di samping penguasaan teknologi dan ekonomi. Jadi, sebab itu saya harap rakan-rakan doakan, insya-Allah supaya kita kekal di landasan ini. Kadang-kadang kuasa itu merabunkan mata, kuasa itu terpukau dengan kilauan harta dan ujian ini tidak boleh dinafikan. Cuma kita berdoa ke Allah SWT dengan menggabung, merangkul kekuatan rakan-rakan yang punyai semangat, yang tahu apa ertinya hidup dan nilai yang baik. Kita saling menasihati, Addinu an Nasihat – agama itu adalah nasihat.
  1. Saudara-saudara, jangan lupa bila kita bicara soal pendidikan dulu, tak pernah kita lepas dalam soal falsafah Pendidikan, selain daripada tentunya bahasa, penguasaan bahasa-bahasa lain, juga saya tidak pernah mewakili pandangan untuk meremehkan kepentingan penguasaan bahasa-bahasa lain. Tapi dia bukan zero sum game, bukan bermakna bila kita bicara soal bahasa-bahasa lain kita harus kesampingkan. Jadi, kita peringatkan kadang-kadang dalam Kerajaan sendiri pun, kalau majlis itu majlis yang dihadiri oleh semua rakyat Malaysia, tak perlu kita tonjolkan penguasaan bahasa lain. Dan ini kita cuba betulkan sekarang. Sebab itu, kalau sudah lihat saya dalam apa juga sidang international semalam, dua hari sudah, Energy Asia oleh Petronas, semua syarikat minyak antarabangsa, saya tetap mula, selain daripada Alhamdulillah, beberapa minit dalam Bahasa Melayu, kerana bagi saya itu jati diri orang Melayu yang tak boleh kita lupakan.
  1. Kemudian tentunya sebagai persidangan antarabangsa dikembangkan dalam Bahasa Inggeris. Tapi maknanya apa ya? Maknanya sementara kita berlumba mengejar dan bersaing untuk menjana perubahan, pembaharuan, kekuatan ekonomi baharu, teknologi baharu, tidak boleh meninggalkan soal nilai dan akhlak dalam dunia pendidikan.
  1. Saudara saudari sedia maklum tentang penekanan kita berdasarkan hadis dan Nabi Muhammad SAW, “Addabani Rabbi fa ahsana ta’dibi”, maknanya kita doa apa dia? tentunya Ilmu tetapi ilmu itu dengan adab dan minta Allah SWT sempurnakan adab bila kita bicara. Baik dunia pendidikan, politik, perniagaan semua bertarung. Kadang-kadang dorongannya itu kebendaan dan tamak haloba. Mengisi tembolok peribadi. Tak peduli jiran yang terlantar. Syarikat-syarikat yang kadang-kadang catat kekayaan berbilion ringgit, tetapi nasib pekerja masih kekal di tahap yang lama.
  1. Saya dalam perbincangan dengan tokoh-tokoh korporat besar dalam majlis seperti ini, saya tanya mereka, ada pernah tak saudara tanya pemandu itu selain daripada gaji, rumahnya bagaimana? Kediamannya di mana? Bagaimana sekolah anak- anak? Kedudukan ataupun ibu bapanya di mana? ada tak yang sakit, dirawat di mana dan kosnya berapa? Jarangnya bertanya begitu. Padahal syarikat mencatat keuntungan yang sangat besar.
  1. Ini yang menyebabkan saya selalu menukil pandangan bapa Mohammad Natsir. “Jangan, jangan, jangan, jangan kita sambil membangunkan kita robohkan.” Sambil membangun gedung kita robohkan manusia di dalamnya. Kita tindas mereka. Kita tidak pedulikan nasib mereka kita hiraukan nilai dan hidup mereka dan moral mereka. Dan kadang-kadang mereka terbiar. Ini ertinya sambil membangun kita robohkan, yang kita bangunkan itu gedung, mercu tanda yang gagah. Yang kita robohkan itu, nilai kemanusiaan. Sebab itu dalam Islam itu, nilai kemanusiaan sangat penting. Kemanusiaan Allah angkat darjat manusia – walaqad karramna bani adam. Karamah itu di mana? Peribadinya, nilainya. Di mana pada akhlaknya, pada keadilannya, pada kemanusiaannya. Sebab tu saya tidak anggap satu permasalahan.
  1. Hidup di Malaysia walaupun Melayu majoriti dengan kehadiran Cina, India, Iban dan kadazan sekiranya prinsip-prinsip ini kita pertahankan. Bagi saya ini yang MADANI, tentu kita ungkapkan soal kemampanan, soal daya cipta atau kreativiti, soal ehsan, kerana dalam membina negara tetapi saudara jangan lupa ya atau kita harus jangan lalai bahawa dalam melihat kerangka ini, ini yang kita pelajari, didikan asuhan guru- guru kita yang sentiasa mengingatkan tentang roh dalam budaya itu. Jati diri kita. Kebanggaan kita itu bukan kerana gedung yang hebat, tapi nilai kemanusiaan yang ada. Kalau kita ada upaya kita mahu juga masjid gagah, gedung indah tak ada salah, tapi nilai kemanusiaan harus ada.
  1. Sebab tu saya lihat dalam negara MADANI walaupun tidak disenangi sesetengah pihak. Saya faham, saya nak betulkan dulu. Kalau jadi pimpinan dan pemimpin, harus jadi contoh, harus cuba mengurangkan nafsu untuk memunggah kekayaan berlebihan. Ini yang saya nampak tanda yang berlaku di mana-mana orang kaitkan. Takkanlah pula jadi menteri mestilah kaya, yang Perdana Menteri mestilah kaya. Maknanya di mana nilai kita? Menaruh kehidupan dan perjuangan kita. Sebab itu saya sengaja mengatakan, sementara baru-baru ini gaji SSPA kita naikkan kerana 12 tahun tak naik, sudah tahu sudah bekerja dan sekarang sudah bersara. Jadi saya kata harus naikkan, kena naikkan. Tentunya ada kesan pada pencen. Tetapi, kita naikkan itu kerana mengiktiraf peranan mereka dan kerana 12 tahun tidak dibuat kajian.
  1. Apakah negara kita punya kekayaan cukup? Belum. Tetapi saya bincang dengan KSN, KPPA kita kata kita harus naikkan yang kadar yang munasabah, ikut keupayaan kita. Tapi menteri masih kekal potongan 20% dan Perdana Menteri memang sampai sekarang memilih untuk tidak mengambil gaji. Itu tidak menyebabkan saya miskin, cuma saya tidak menjadi kaya. Masih mempunyai kemudahan banyak jalan sana sendiri. Kereta, kalau terbang pesawat ada, helikopter hak Kerajaan tentunya elaun ahli Parlimen saya masih ambil. Rumah ada, Seri Perdana yang besar. Jadi tak perlu. Kita bertarung kalau saudara tahu ikut liku-liku hidup saya puluhan tahun. Memang sengsara banyak juga. Dan terima kasih kerana ramai yang ada juga mendoakan.
  1. Tapi setelah menjalani liku-liku itu, apa kita harus mengeluh ceritakan suka duka-duka dulu. Tidak. Anak -anak kita mahu sekolah yang lebih baik. Sistem pendidikan yang bermutu. Ibu bapa, anak -anak dan kita mahu layanan perubatan yang jauh lebih baik. Jalan-jalan yang kita balik kampung tidak boleh berlubang- lubang. Itu semua harus dikendali dengan baik, yang juga memerlukan dana. Sebab itu saya kata saya mula dengan tatakelola. Pimpinan harus tunjuk contoh untuk menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan tidak mengizinkan salah guna kuasa untuk mengumpul kekayaan.
  1. Ada orang bangkit ya, tapi yang dulu-dulu? Yang dulu banyak, bukan kerja saya untuk betulkan sekarang. Tetapi kalau nyata bilion ringgit yang dipunggah saudara, itu bukan dana saya, bukan dana dia, ini dana rakyat. Kita ambil untuk apa? untuk kembalikan kepada rakyat. Saudara ingat saya bangga dan gembira kerana jadi Perdana Menteri ya, saya syukur, tetapi saya juga tahu saya belum dapat selesaikan masalah kemiskinan rakyat. Saya belum lagi dapat menentukan mutu pendidikan itu meningkat. Saya belum lagi berhasil untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang cemerlang. Saya belum dapat mengembangkan dakwah Islamiah dan kesedaran Islam di kalangan pelajar-pelajar walaupun kita mula, tapi harus kita mulakan sebab itu di sekolah-sekolah umpamanya selain daripada pengedaran buku “Adab al-Ikhtilaf fil Islam” buku Sheikh Taha Jabir al `Alwani tentang cara dakwah yang bijaksana, jangan terlalu keras, jangan terlalu hukum, jangan terlalu cepat menghina orang, jangan cepat mengkafirkan orang, itu kita mulakan supaya anak-anak bila dia minat Islam dia bukan minat untuk kejar orang dan maki hamun orang dan fitnah orang. Itu pertama.
  1. Kemudian kita perkenalkan umpamanya 40 hadis – Matan Arbain, kerana ulama-ulama silam semuanya jumhur ulama itu seolah-olah sudah konsensus bahawa ini menjadi gedung ilmu yang merupakan asas yang harus dikuasai dengan terjemahan dan tafsir yang baik. Jadi kita kembangkan agar setiap pelajar Islam dapat menguasai. Ya, diserang oleh golongan yang tidak senang dengan agama termasuk di kalangan orang Melayu dan kemudian ditanya oleh rakan-rakan kita sama ada Kristian atau Hindu atau Buddha, tapi saya jawab kita bukan paksa orang lain, tapi kita mahu anak-anak Melayu yang beragama Islam ini memahaminya supaya Islam itu tidak jadi alat untuk diperkotak-katikkan di antara satu sama lain, dijadikan medan membangkitkan perseteruan, itu tujuan dia.
  1. Jadi, ini beberapa langkah yang kita ambillah, ya. Saya bukan bermaksud saya nak terangkan semua, tapi saya hendak jelaskan, itu dia MADANI sebenarnya, membangun negara berdasarkan kerangka falsafah pembangunan yang memberi keseimbangan di antara iman dan ilmu, akal dan qalbu, rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi. Yang mencapai cita-cita yang disebut dalam al-Quran sebagai ummatan wasata. “Wa kazaalika ja’alnaakum ummatan wasatan li takunū shuhadaa’a ‘alan-nāsi wa yakūnar-rasūlu ‘alaikum shahidan.” (Surah Al Baqarah ayat 143). Janji Allah, hidupkan kita ini sebagai umat yang seimbang – ‘Ummatan wasata’. Yang dapat kukuh imannya, kuat ilmunya. Yang tahu perkembangan kepentingan duniawi dan ukhrawi. Kebendaan dan kerohanian. Kerana kalau kita capai ini dengan sederhana dan seimbang, Allah menjanjikan dalam al-Quran akan menjadi syuhada ‘ala an-nas, baru jadi contoh kepada manusia.
  1. Yang terlihat orang Melayu ini, dadahnya berat. Tadi mesyuarat Jemaah Menteri berbincang masalah dadah dan vape di kalangan anak-anak kita. Ya, tolonglah bincang, carilah jalan, kaedah mana lagi? Apakah perlu dana dan keperluan kaunseling? Ada perlu dakwah? Beritahulah kerana puluh tahun kita fikir, belum selesai. Betul ada anak Cina, ada India, banyak juga di kalangan anak India, tapi lebih parah di kalangan anak Melayu. Membunuh jiwa mereka dari kecil. Kena lakukan sesuatu, kita bincang. Bagaimana hendak jadi contoh? Bagaimana? contoh banyak dadah? contoh banyak rasuah? Tidak boleh. Jadi, saya harap saudara-saudara faham mengapa saya kadang ambil satu sikap yang agak keras? Berapa lama kita rugi dan tiap kali saya percaya, oh sibuk 1–2 soal kecil-kecil, huh, satu parlimen dan negara. Tapi soal tindakan kita bersihkan negara, tolak rasuah, tidak ada suara? Menyokong? Ini apa penyakit manusia begini kita. Saya tidak ambil gaji, disindir. Rasulullah SAW pun ambil gaji. Saya tidak faham di mana dia baca. Ya. Tak payah. Saya tidak minta pujian. Tidak ada orang minta. Malah ramai juga kata apa salah? Tidak ada salah saya ambil gaji. This just apa yang dikatakan saya concern. Soal hati nurani saya. Dan saya tegaskan saya tidak miskin. Tetapi kita hendak cuba angkat martabat rakyat kita ini supaya mereka yakin.
  1. Kalau saudara tanya dengan semua masalah ini, kita cuba hadapi, kelembapan, budaya yang lemah dan jelik, amalan dadah, pimpinan dan penjawat awam yang dirasuk dengan rasuah ini. Kalau kita dapat selesaikan sebahagian, kita tumpu angkat martabat negara kita. Masalah kita bukan masalah perseteruan kaum, percayalah. Masalah kita ini, masalah kita. Kalau kita dapat kuatkan semangat kita dan jati diri kita. Ya, macam masalah bahasa ini Kak Nik, dia bukan masalah orang lain. Masalah kita. Siapa yang menghalang kita untuk beri peruntukan tambahan untuk terjemahan, untuk menerbit buku, menjadi karya-karya yang lebih baik, untuk mengajak anak-anak supaya minat baca, minat tentang buku-buku. Saya kadang-kadang bertanya, dia kata, ya, bagilah dekat pelajar-pelajar ini wang beli buku. Tahun sudah saya bagi, sudah dekat setengah bilion. Tahun ini pula, saya kata, tahun sudah sudah bagi kepada pelajar-pelajar, tahun ini kepada guru-guru dan pensyarah dan mahasiswa. Bagi juga, RM100. Bukan makna kita senang. Tidak seperti 90-an dulu memang wang banyak. Sekarang sukar. Hutang banyak. Tapi bila saya kata kepada guru-guru, pensyarah-pensyarah, saya kata, “anak-anak sekarang tidak seperti dulu. Minat membaca sudah kurang.” Jadi, kalau ada buku satu, kalau kita sebut, “buka muka surat 24, baca. Jelaskan.” Bagi dia tertarik, kemudian baru dia sambung baca. Tidak boleh lagi sekadar bagi buku, sesudah itu disimpan dia. Kerana dia lebih minat tentang media sosial. Dan ini bukan perkara baru. Sudah sejak 80-an salah seorang pengkritik sosial Amerika Syarikat, Allan Bloom, dia menulis dalam The Closing of the American Mind, minat membaca sudah mula terhakis.
  1. Jadi kita tidak boleh bersaing, perbaiki mutu penguasaan bahasa, ilmu, teknologi tanpa menimba ilmu sebaik mungkin. Jadi kalau ditanya dengan semua masalah yang kita harus tangani tiap hari dan petang dan malam, umur saya kadang lebih tua daripada pesara-pesara yang ada. Tetapi saya berasa, kita harus gagah kerja terus tanpa rasa mahu bersara untuk mengangkat martabat rakyat dan negara kita.
  1. Kalau tanya saya, sebagai akhirul kalam ini, saya kata: Kita mewarisi satu budaya dan tamadun yang gagah dan hebat. Dan generasi kita dan anak-anak kita punyai tanggungjawab untuk menimba ilmu sebaik mungkin, membentuk peribadi, akhlak dan sahsiah sebaik mungkin, dan mengangkat semula martabat bangsa dan rakyat Malaysia ini ke satu mercu yang lebih tinggi.
  1. Saya yakin, insya-Allah, kita mampu angkat martabat sekiranya kita bekerja, bersatu sebagai satu pasukan dan kekalkan landasan dan idealisme perjuangan.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.