
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MADANI RAKYAT 2025
PERAK DARUL RIDZUAN
“PENDIDIKAN TINGGI PEMACU NEGARA MADANI”
15 JUN 2025 (AHAD) | 3.00 PETANG
LUMUT WATERFRONT, LUMUT PERAK
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulillahil Karim wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in
Saudara Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul;
Saudara saya Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad;
Menteri-menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Senator Dato’Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir yang menjadi peneraju program hari ini;
Saudara Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu yang sibuk tanam bawang dan sayur;
Dan saudara Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, yang tadi beri jaminan connectivity alhamdulillah selesai di Pusat Pengajian Tinggi selesai. Tadi kita jamin supaya connectivity juga sampai ke Pangkalan Tentera Laut di Lumut ini;
Ketua Setiausaha Negara, Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, al-Haji Mabrur insha-Allah wasai masykuran wa amalan solehan, watija-rotan lantabur baru balik Mekah;
dan Timbalan-timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Ketua-ketua Setiausaha (KSU), Setiausaha Kerajaan Negeri dan rakan-rakan saya muliakan.
- Terima kasih kerana kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri serta Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menyelenggarakan Majlis Penutupan MADANI Rakyat bagi Negeri Perak yang berpangkalan di Lumut.
- Dan seperti mana rakan-rakan tahu juga, kita masih lagi di tahap kesedihan kerana kemalangan menimpa anak-anak kita dan juga polis Federal Reserve Unit (FRU) dan kita telah sampaikan mesej ini melalui rektor dan Menteri. Semalam Datuk Seri Wan Azizah (isteri Perdana Menteri) sendiri ke Taiping, sebelum itu DYMM Tuanku Sultan Perak sendiri turun menunjukkan keprihatinan dan ramai Menteri-menteri turun menunjukkan keprihatinan kita. Kita doakan Allah SWT supaya mencucuri rahmat atas roh mereka.
- Seperti mana yang disebut oleh Menteri Besar Perak sebentar tadi, Program MADANI Rakyat ini memberi kesempatan kepada rakyat menilai sendiri program-program diadakan. Kadang-kadang kita umum secara dasarnya sama ada di Parlimen atau di ibu kota, tetapi orang mahu melihat apa angkanya? Di mana projeknya?
- Jadi sebab itu, untuk Menteri-menteri, Menteri Besar dan EXCO Kerajaan Negeri, malah penjawat awam kanan pun kita minta turun ke bawah. Sebab itu kita ada Sejati MADANI, Kampung Angkat MADANI di mana pegawai-pegawai tinggi termasuk Menteri tahu, dia ada disconnect – perbezaan daripada ungkapan dasar dengan apa yang kita laksanakan di peringkat bawah.
- Saya umpamanya ambil Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam sebagai Kampung Angkat MADANI saya. Setiap Menteri ditugaskan, apabila kita turun ke bawah, kita bincang soal pendidikan, pengangguran, dadah, kemudahan kesihatan, projek ekonomi, berapa yang menganggur. Jadi semua isu itu cuba ditangani dengan baik kerana apabila kita ada di situ, kita dengar. Dia lain kalau kita lihat di peringkat pusat atau di Ipoh. Inilah kebijaksanaan kita, apabila kita ada projek, kita turun ke bawah dan faham dan di situ kita dengar teguran lain macam.
- Untuk negeri Perak, dibincang soal lebuh raya. YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry sibuk soal Hospital Manjung, tadi sempat bisik dengan Dr. Hatta. Kerana kita kalau di Putrajaya, kita bincang nanti 50 60 buah hospital lagi ada masalah yang boleh dikembangkan. Sebab itu bila turun ke bawah ada manfaatnya. Jadi kalau untuk Hospital Manjung kerana terlalu sesak dan tiap kali saya ke Perak ini dibangkitkan, takkan nak cakap soal Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) sahaja, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) sahaja, kota untuk kenderaan di Tanjung Malim ini Geely-Proton sahaja, bagaimana kawasan-kawasan lain yang memerlukan? Maka untuk itu, saya tadi bisik juga dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), insha-Allah kita berikan keutamaan untuk pembesaran dan kelengkapan Hospital Manjung mulai tahun depan. Baik, yang ini untuk diselesaikan. Orang kata dah mari jauh-jauh janganlah tidak selesai, bab ini akan dibangkitkan dan kita terima kasihlah kerana diperingatkan oleh rakan-rakan saya.
- Baik, rakyat terutama ibu bapa, anak-anak lihat apa kemajuan dan apa yang mahu dicadangkan diperbaiki, teguran. Di mana saya dapat maklumat tentang sekolah-sekolah yang kita hebahkan tetapi perkara asas tandas rosak? Itu dari majlis seperti ini. Setiap kali sebelum solat Jumaat, saya makan di warung. Selepas di warung, pergi masjid. Apabila nampak anak-anak sekolah, saya tanya “sekolah mana, apa masalah?” Tandas rosak. Hampir pada ketika itu saya ingat tahun 2022, awal 2023 hampir semua yang beritahu saya tandas sekolah tidak diperbaiki.
- Walaupun ada ahli-ahli parlimen pembangkang panggil saya “Perdana Menteri Tandas”, tidak apa lah ini biasa, tetapi kenyataan itu benar. Bagaimana kita nak didik anak kita? Kita hantar dari tujuh pagi, kadang sampai petang, kadang sampai pukul dua petang tetapi tandas rosak, bau, tidak di selenggara dengan baik. Jadi itu kita selenggarakan dan menelan belanja RM1 bilion. Ada lagi dikritik, “Mana ada tandas satu bilion ringgit? Tandas emas ke?” Nasib baik saya Perdana Menteri kalau saya dulu, saya bedal habis dah. 863 tandas diperbaiki termasuk 200 lain di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan sekolah-sekolah tambahan. Jadi 1,000 fasiliti ini yang kita perbaiki.
- Selepas itu kita lihat lagi masalah-masalah lain. YB Datuk Ahmad Fahmi diberitahu, universiti termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak ada connectivity. Kadang-kadang Naib Canselor yang ada di sini, maklumlah Naib Canselor ini dia orang pandai-pandai belaka. Jadi pandai-pandai dia kata “Tidak-tidak”, kami ada cara begini saya jawab “Iyalah, cara begini”. Tetapi fulus mafi. Kamu tidak ada wang, jadi kita tugaskan MCMC selenggarakan. Yang penting nak atau tidak connectivity? Kalau nak, ikutlah sikit peraturan dia, tetapi jawab “tidak tidak, kami tahu”. Kalau tahu tunggulah sampai dua tahun lagi, tidak sampai, tidak dapat. Jadi, alhamdulillah, keseluruhannya dah setuju ya YB Senator Dato’Seri Diraja Dr. Zambry. Perdana Menteri lambat, bukan dia orang. Jadi selesai masalah itu.
- Jadi sebab itu saya kata dialog ini penting. MADANI Rakyat ini kesempatan untuk kita adakan wacana. Dialog antara pembuat dasar, pelaksana dan rakyat. Anak-anak di universiti bila kita pergi mana-mana, mereka mengeluh tidak ada connectivity – ada dewan kuliah, tapi tidak ada di asrama. Jadi nak ulang kaji, nak belajar tidak ada kemudahan itu. Kita sudah selesaikan alhamdulillah.
- Kita cakap soal digital, Artificial Intelligence (AI), bawa masuk syarikat Infineon, NVIDIA, AMD, Microsoft, Google, tetapi sekolah dan universiti connectivity pun tidak ada. Jadi ada percanggahan begitu. Bagaimana nak latih anak-anak kita kalau kemudahan asas pun tiada? Ini sebab kita lakukan tetapi kita harus cermat dan berhemah kerana belanjanya tinggi. Peruntukan untuk pendidikan itu yang tertinggi. Yang kedua, kesihatan. Yang ketiga, pertahanan RM 21.5 bilion.
- Dari mana kita dapat wang itu? Dari hasil pelaburan, pekerjaan, pembangunan ekonomi, dari cukai, kastam, cukai pendapatan dan juga cukai barangan. Datang ke sini, Menteri Besar Perak minta berapa? Senaraikan 11 projek, bisik dengan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi, lagi 12 projek. Sempat dua minit dengan Unit Harta sudah lima projek. Tetapi cukai tidak mahu beri. Kalau boleh tidak payah kutip cukai, nak free Dari mana wang itu? Dari cukai. Kita nak cukai, ini kita buat keputusan. Nak cukai orang miskin yang seperti mana sekarang dicadangkan iaitu GST. Saya nak bagi faham, kadang-kadang rakan-rakan pembangkang mereka kata, “Oh, GST lebih baik.” Tetapi kena fahamlah ekonomi sikit. GST ini maknanya broad-based tax, semua kena cukai walaupun rendah – cukai gula, cukai tepung, cukai makanan semua rakyat kena bayar. Itu GST.
- Tanya saya, ya itu sistem memang baik, senang cukai semua. Tetapi saya hendak tanya: nelayan, pekebun kecil, pekerja peringkat bawah, tukang cuci jalan, nak kena cukai juga? Jadi sebab itu kita kata belum sedia untuk GST ini. Kalau esok ekonomi kita sudah meningkat, gaji minimum semua RM4,000 ke atas, ya cukailah GST pun. Sekarang ini belum. Kadang Ahli Parlimen pembangkang ini kena pergi kursus sikit. Boleh Menteri Besar bagi kursus sedikit? Dia nak sedap sahaja, sebut “SST tak bagus”. Kamu faham ke GST? Goods and Services, you tax everybody. Walaupun ya ia efisien. Tanya Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi. Ketua Setiausaha Ekonomi ada, KSP ada. Ya, GST itu memang lebih baik, lebih mudah, tidak payah pening-pening kepala, senang sahaja 6% semua bayar tetapi saya nak tanya kalau 6% semua, semua kena bayar. Mengapa orang miskin kena bayar? Mengapa orang menganggur, pergi makan pun kena bayar? Jadi saya minta faham, tangguh dulu. Ini yang nak jadikan bahan politik tidak tentu hala sekarang ini. Tidak ada benda hendak kutuk, kutuk itu.
- Jadi kita kenakan SST. SST ini maknanya, kita cukai barang-barang import. Baru-baru ini masuk dalam barang import cukai iaitu buah pisang, dah mengamuk. Buah pisang pun import. Kita tanam susah payah di Lumut ini kemudian kena import pisang. Pisang import, bukan pisang mas, pisang awak, pisang rastali, pisang berangan – pisang yang di sini itu tidak dicukai. Bacalah dulu jangan bedal dulu.
- Yang lain buah-buahan, yang nak makan avocado. Avocado ini KSN makan saya dengar. Ia mahal dan import. Awak orang ada pendapatan tinggi, orang kaya, dia nak makan avocado, makanlah. Tetapi bayarlah sikit lebih, kita cukailah avocado. Cod fish. Cod fish dari mana? Alaska ke, mana? YB Datuk Seri Haji Mat Sabu tahu cod fish dari mana? YB Datuk Seri Haji Mat Sabu selain daripada ikan terubuk dengan ikan keli, beliau tidak tahu. Cod fish ini import dan mahal jadi kita cukailah SST untuk Cod Fish, ikan yang mahal itu.
- Tapi kalau tidak cukai, nak ambil wang dari mana nak buat Hospital Manjung? Tidak ada. Hendak buat jalan, saya nak bagi tadi puluh juta untuk sekolah-sekolah, tentera, kem tentera. Ya, untuk baiki sekolah-sekolah mereka. Kita nak buat kapal baru, nak beli pesawat baru untuk pertahanan negara kita, dari mana wang itu? Dari hasil cukai. Cukai kepada siapa? Cukai orang miskin? cukai orang sederhana? atau cukai orang kaya? Cukai orang kaya.
- Macam elektrik, tarif elektrik 85% tidak perlu bayar. Jadi orang yang duduk gagah nak pejuang Melayu, pejuang Islam, nak pertahankan ini siapa dia? Kamu pertahan orang kaya. Orang kampung tidak naik bil elektriknya. Yang naik, orang kaya.
- Kalau ada beberapa kelonggaran, silap sikit kita boleh betulkan, saya tidak ada masalah. Saya tidak katakan cadangan kita ini 100% baik. Ada kelemahan kita. Baik, macam SST, apabila buat, orang kata oh perniagaan begini ada sikit-sikit, kita bincang, kita tengok, kita perbaiki. Tetapi kena faham mengapa cukai dikenakan. Saya ambil kesempatan di Perak ini untuk jelaskan, kerana kalau tidak, ia jadi amalan politik yang tidak akan menguntungkan.
- Saya nak tanya, hospital kita harus diperbaiki atau tidak? Kita nak tanya, sekolah-sekolah kita harus dipertingkatkan keupayaannya. Sekarang ini AI, computer, digital, artificial intelligence nak tambah atau tidak? Semuanya jawab ya. Jalan-jalan yang berlubang nak baiki atau tidak? Ya. Jadi kalau semua nak baiki, wang dari mana? Itu Perdana Menteri carilah.
- Jadi sebab itu kita usaha, bawa pelaburan, dapat pekerjaan dan tahun lalu, tahun ini kita naikkan gaji Skim Perkhidmatan dan Perjawatan (SSPA), penjawat awam. Itu pun ada yang kritik. Saya tidak setuju kalau kita minta orang kerja kuat 12 tahun tetapi tidak naikkan gaji dia. Sebab itu kita mula dengan penjawat awam. Ini bawah tanggungjawab Kerajaan secara langsung. Dia kerja dengan kita, gaji dibayar oleh Kementerian Kewangan. Jadi kita mula dengan yang itu dahulu. Berapa tambahan? Tahun ini, RM13 bilion ringgit. Tahun depan tambahan RM18 bilion ringgit. Perlu atau tidak naik gaji? Perlu. Dari mana kita bayar? Dari hasil negara dan cukai negara. Tahun depan RM18 bilion ringgit tambahan untuk gaji sahaja.
- Kita bayar Sumbangan Tunai Rahmah (STR), ini tiap yang dapat, berapa orang yang dapat di sini? Setiap bulan dapat. Berapa jumlah STR tahun ini? RM13 bilion ringgit. STR yang dapat, RM13 bilion ringgit tidak termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Sebab apa kita bagi? Sebab kita tahu dia susah. Sebab apa kita bagi? Sebab kita nak ringankan beban dia, kos sara hidup meningkat.
- Jadi saya minta kawan-kawan faham hal ini. Yang penting apa dalam Kerajaan ini? yang saya tidak tolak ansur? Tatakelola kena betul. Bagi projek tanpa tender kena berhenti. Yang sakau sana, sakau sini itu tidak boleh. Biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) geledah habis, tangkap hari-hari saya tidak peduli, saya tidak halang. Ini kata nak tangkap Sabah lagi, tangkaplah. Orang Kerajaan MADANI, tangkaplah. Orang pembangkang, tangkaplah. Yang dah pencen yang cakap banyak, kalau betul dia curi, tangkaplah. Kalau betul dia curi. Ini Menteri-menteri, mantan-mantan Menteri, berbilion ringgit – ‘Oh, kesian dekat dia. Dia sudah tua.’ Saya kesian tetapi wang yang diambil oleh rakyat, bagi baliklah. Kalau tidak bagaimana saya nak baiki sekolah? Kalau hak dia, meniaga dengan baik, jangan zalim tetapi kalau bukan hak dia, dia rampas, saya ingat lagi dari dahulu saya cakap – kamu terajang aku, kamu pukul aku separuh mati, kamu penjarakan aku, kamu hina aku dan keluarga aku. Sudahlah. Sekarang saya Perdana Menteri, “aku maafkan semua”. Tetapi kamu curi harta rakyat negara aku, itu bukan hak aku. Kamu bagi balik. Saya nak kutip balik siapa sahaja yang curi daripada negara ini. Itu dasar kita saudara-saudara.
- Jadi saya harap, berilah kerjasama supaya kita dapat teruskan kerja kita dengan baik. Negara kita harum sekarang. Kita buat 46th ASEAN Summit baru-baru ini. ASEAN negara-negara Arab Teluk (GCC), Raja-raja datang. Kemudian negara China, satu bulan sebelumnya, Presiden Xi Jinping. Lepas itu Perdana Menteri dia, Premier Li Qiang. Tidak banyak negara dapat kesempatan itu.
- Tetapi tengok kerja, ini bukan sebab Perdana Menteri. Ini sebab seluruh pimpinan – penjawat awam. polis, tentera, imigresen, kastam, tukang cuci, tukang bersih, semua sekali kerja sehinggakan kebanyakan pemimpin-pemimpin dunia yang hadir mengatakan mereka kagum dengan keupayaan Malaysia menguruskan projek ini. Penghargaannya kepada rakyat yang bekerja. Berapa orang? Polis sahaja 6,000 orang. Penjawat awam – Kementerian Luar Negeri, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi sebutlah semua kementerian. Tengah malam saya habis mesyuarat hampir pukul 12 tengah malam di tempat persidangan, saya lihat polis penuh lagi, bagi taklimat siap pagi esok untuk siapa akan jaga di hotel dan lain-lain. Saudara, berilah penghargaan. Ini hebatnya. Kalau kita fokus, minta anak-anak kita tumpu kerja, tumpu bidang pendidikan, tumpu, kita boleh buat. Kalau tidak, kita jadi lemah dan miskin. Kerana apa? Bergaduh, cemburu, ada peluang bercakap maki orang, fitnah orang, caci orang dan dia bangga kerana penyokong-penyokong dia itu suka dengan cara sedemikian.
- Belajarlah pengalaman kita dan pengalaman dunia Islam, negara kaya. Yang kaya pun tidak berani bercakap. Yang miskin, apa lagi mengemis. Sebab itu Gaza itu dikecam, dihina, dijajah, dibunuh sesuka hati. Jadi macam padang pasir, padang jarak padang tekukur. Hancur lebur kota, tidak terangkat kita usaha untuk berjuang. Sebab tu saya kata jaga negeri kita, kuatkan ekonomi negeri kita, kuatkan ketenteraan negara kita, tingkatkan keupayaan anak kita dalam semua bidang teknologi, AI, dan kuatkan iman dan akhlak dan moral mereka. Baru boleh kita bertapak.
- Beberapa hari yang lalu, Iran diserang oleh Israel. Senang-senang. Target bunuh semua saintis, jana-jana tentera. Mana ada negara boleh biadap, khianat, gila seperti Israel? Orang Islam ada satu bilion lebih. Negara Islam kaya tetapi tidak berupaya. Nak bercakap dan pertahankan Iran pun tidak ramai. Sebab tu saya bagi tahu kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri, Malaysia ini biarlah ada keupayaan. Kita negara Merdeka, kita berdaulat, dan kita mesti pertahankan hak sahabat-sahabat kita termasuk Iran yang telah dizalimi dan kita pertahankan hak Iran untuk serang balas mempertahankan maruah negara mereka.
- Jadi saudara-saudara, tadi saya bercakap orang kata nampak puji, bukan saya puji Iran. Kita ada beberapa perbezaan dengan mereka tetapi dia, ditekan demikian lama. Sanction ekonomi begitu lama, tetapi dia dapat bertahan. Daya tahan dia – buat penyelidikan, disiplin anak-anak dia, belajar AI. Orang tidak bagi kerjasama, tidak ada syarikat-syarikat macam di negara kita – Infineon, Google, Microsoft, AMD semua masuk. Dia tidak ada yang masuk tetapi dia mampu belajar. Anti-Ballistic Missile dia boleh sampai ke Tel Aviv. Tetapi kemudian diserang, dia serang balas. Banyak negara-negara Eropah serang dan marah Iran. Apabila Israel serang, kamu diam. Bila Iran jawab balik, kamu serang. Saya tidak mewakili pandangan begitu. Kita, alhamdulillah, pimpinan Kerajaan MADANI ini tetap pegang prinsip membela hak dan pertahankan hak semua negara.
- Jadi saudara-saudara, saya ambil kesempatan ini kerana di Perak, kita kena faham dan saya harap kawan-kawan membantu menjelaskan. Saya ucap tahniah kepada saudara YB Senator Dato’Seri Diraja Dr. Zambry dan Kementerian Pendidikan Tinggi kerana usaha mereka cuba bawa perubahan, tingkatkan mutu. Kepada rektor dan profesor, saya juga salute dan terima kasih, cepat menangkap keperluan perubahan yang diperlukan. Dan sekarang ini AI hampir di semua universiti. Kerana ini keperluan semasa.
- Tahniah kepada Menteri Besar Perak kerana inisiatif, ikhtiar Yayasan Perak, termasuk Insentif Siswa Yayasan Perak (INSISYP) yang membantu begitu ramai pelajar, Bantuan Sara Diri. Ini contoh Menteri Besar yang kita mahu. Beliau tidak cakap banyak saja, beliau buat kerja. Walaupun beliau minta saya banyak tetapi nak buat macam mana. Bila kalau saya kata, “eh Saarani, aku ni kena jaga semua.” Beliau kata pula “tetapi jangan lupa kamu itu Ahli Parlimen Tambun.” Itulah modal depa. (nada berseloroh)
- Ada juga beberapa usaha lain selain daripada Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Hala Industrial Park (HIP) dan Automotive High Tech Valley (AHTV), betul yang disebut oleh Menteri Besar Perak tadi, saya tidak ambil ringan. Tiap kali jumpa Presiden Xi Jinping, tekankan keperluan menyokong Geely-Proton supaya jadi kota automotif yang besar. Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), yang di Kerian ini, kawasan di antara yang paling miskin di Perak. Kita masukkan di situ. Dikendalikan semuanya oleh syarikat bumiputera – Sime Darby, PNB itu Bumiputera, Syarikat Melayu. Ada orang-orang yang nak attack kita sebut, tetapi carilah yang sejak merdeka, mana ada satu industrial park yang ditaja oleh orang Melayu sendiri.
- Jadi kita kena faham. Jangan duk jerit hidup Melayu, tolong Melayu, tolong Melayu – sakau segala Tanah Melayu semua. Dan ini kita lakukan dan alhamdulillah ada kejayaannya. Tetapi ada juga projek-projek macam Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) dan Inisiatif Pendapatan Rakyat dan di Perak sahaja RM8.3 juta, ya YB Datuk Seri Haji Mat Sabu. Jadi pendapatan bertambah. Beberapa projek yang diluluskan di negeri Perak, 789 projek bernilai RM75.09 juta ringgit.
- Saya juga ucap tahniah kerana miskin tegar, setiap kali dikaji dapat diselesaikan. Ada yang kata ‘tidak’, ini tidak betul. Rekod kita katalah sampai bulan Jun, telah selesai. Bulan Ogos naik sikit lagi, selesailah. Bukanlah makna selesai sekali gus semua.
- Jadi saya harap, kita beri kerjasama. Yang penting, biar negeri ini aman. Masalah negara kita ini bukan masalah kaum. Kita nak galakkan rakyat faham bahawa apabila orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan itu berpakat, saling membantu, jangan sabotaj masing-masing. Ada kawasan Cina nak bangun, kita bagi kerjasama. Ada keperluan bantu orang Melayu dan Bumiputera, kita terus. Kalau begini pendekatannya, Perak benar-benar akan maju dan Malaysia akan terangkat sebagai negara hebat di rantau kita. Saya yakin, insha-Allah.
- Jadi sekali lagi, saya ucap terima kasih kepada semua turun menyelenggarakan majlis pada hari ini dan doakan kepada Allah SWT, mudah-mudahan negara kita kekal aman, dan politik kita stabil, dasar ekonomi kita jelas dan kita angkat martabat rakyat keseluruhannya.
Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM