TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PROGRAM MADANI RAKYAT – KENDURI RAKYAT

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

PROGRAM MADANI RAKYAT – KENDURI RAKYAT

 

 

15 JUN 2025 (AHAD) | 11.00 PAGI

DEWAN SHARIFF, PANGKALAN TLDM LUMUT

 

 

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillahilladzi arsal rasulahu bilhuda wa dinil-haqq liyuzhirahu ‘ala ad-dini kullihi wakafa billahi shahida. Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem, Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak;

 

YB Ahli-ahli Jemaah Menteri; Yang Berhormat Senator Dato’Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi;

 

Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi; kalau ada masalah connectivity dan Wi-Fi, beliau akan selesaikan. Kalau Perdana Menteri datang beliau umum, bulan depan selesai;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Panglima Angkatan Tentera;

 

Yang Berhormat Tuan Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan;

 

Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Zulhelmy bin Ithnain, Panglima Tentera Laut;  Komander dan terima kasih kepada semua rakan-rakan dan anak-anak yang turut hadir menyerikan Majlis MADANI di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada hari ini.

 

Saudara saudari,

 

  1. Saya hadir untuk mewakili pandangan dan sikap Kerajaan MADANI, bukan sekadar menghargai tetapi meletakkan peranan Angkatan Bersenjata sebagai suatu yang integral. Kita belajar dari pengalaman di luar. Memang kawasan Malaysia dan ASEAN ini di antara rantau yang paling aman di dunia. Pertumbuhan ekonomi itu rancak dan segar, tetapi peranan kita tetap utuh.
  1. Pertahanan negara tetap tidak boleh diremehkan kerana kita tidak tahu kadang-kadang musuh muncul tanpa dikesan awal. Negara Malaysia ini negara Maritim, meletakkan peranan Angkatan Tentera Laut itu sebagai benteng yang agak utama. Perairan kita tidak terlepas daripada pelbagai kegiatan. Kemungkinan terrorisme, kemungkinan serangan dengan negara lain, kemungkinan penyeludupan. Bukan kemungkinan lagi, memang berlaku.
  1. Sebab itu saya setuju untuk meneruskan Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan di bawah Kementerian Kewangan untuk mengawasi kerana pengalaman lalu itu memang melelahkan. Pengamalan lalu sebab pengurusannya, sebab tatakelolanya, sebab rasuahnya. Sebab itu saudara lihat kadang-kadang saya keras bab begini. Bagaimana nak jaga keselamatan negara kalau pengurusan itu lemah? Bagaimana terjamin maritim ini selamat kalau kapal dibina itu lingkup kerana kegelojohan dan tamak haloba?
  1. Sebab itu kita tidak boleh lari daripada persiapan tentang apa yang disebut good governance. Mesti ada proses tender, proses penelitian kewangan, kemajuan projek dan saya ucapkan tahniah dan salute kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS), YBhg. Laksamana Tan Sri Zulhelmy dan Kementerian Kewangan kerana mengawasi. Setakat saya lihat sekarang kemajuan itu membanggakan. Jadi saya syukur pada Allah SWT, mudah-mudahan kita dapat benteng yang kemas.
  1. Laksamana Panglima Tan Sri Zulhelmy bin Ithnain tahu sikap saya. Setiap kali ke Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa (LIMA), I mean salute, kapal-kapal perang ditunjukkan oleh puluhan negara tetapi hati saya remuk-redam, kecewa kerana kapal-kapal kita usang dan lusuh, padahal wang dibelanjakan.
  1. Sebab itu sejak kita tubuh Kerajaan MADANI ini saya panggil semua Panglima-panglima. Saya kata berikan kepada saya keutamaan-keutamaan, apa yang harus dilakukan dan kita cari dana yang cukup untuk persiapkan jentera dan kelengkapan yang diperlukan. Jadi sengaja saya lontarkan ini supaya anak-anak harus tahu, ada perubahan. Buat perbandingan tahun-tahun sebelumnya dengan apa kita lakukan sekarang.
  1. Dan saya ambil kesempatan ini juga untuk menyatakan bahawa bila saya, Perdana Menteri berbicara dengan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled, kita mahu anak kita ini merasa lega. Angkatan Bersenjata itu diberi layanan yang baik tetapi lihat perumahan mereka, lihat sekolah-sekolah mereka, lihat kelengkapan, itu tidak dipedulikan. Rumah-rumah usang, pecah pintunya, tandas rosak dan sukar diperbaiki.
  1. Maka sejak tahun 2023, saya berikan peruntukan yang cukup kepada Kor Kejuruteraan Tentera untuk pastikan beri keutamaan baiki, beri keutamaan baiki kemudahan-kemudahan asas di pangkalan dan rumah-rumah pegawai dan staf. Ini dimulakan dan saya dapati sebahagiannya dimulakan tetapi masih belum mencukupi.
  1. Berapa peruntukan kita kepada Kementerian Pertahanan? Itu di antara tiga yang terbesar. Yang pertama Kementerian Pendidikan kerana semua kita terlibat – anak-anak kita di sekolah. Kedua, Kementerian Kesihatan kerana semua perlu rawatan yang baik untuk kita, untuk ibu bapa kita, untuk anak-anak kita. Dan ketiga Kementerian Pertahanan. Berapa peruntukan Kementerian Pertahanan? Untuk tahun 2025 sahaja sebanyak RM21.2 bilion. Bayangkan, bukan kecil bagi negara yang berkembang, kita beri peruntukan yang besar.
  1. Tetapi kita kena faham, mengapa kita boleh tetap jamin? Pertama, kerana keamanan. Yang kedua, kerana keamanan, pertumbuhan ekonomi yang rancak. Sebab Angkatan Bersenjata kita, sebab jasa khidmat dan pengorbanan termasuk rakan-rakan di Tentera Laut Diraja Malaysia. Kerana kalau tanpa pengorbanan siapa yang akan kawal keselamatan kita? Sebab itu dalam Jemaah Menteri saya selalu ingatkan, tidak kira Menteri – Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Digital, semua terlibat.
  1. Kita boleh tumpu, bawa pelaburan bicara soal digitalization, Artificial Intelligence (AI), data center, energy transition kerana negara ini aman. Jangan lupa bahawa negara ini aman kerana khidmat dan pengorbanan Angkatan Bersenjata, dan termasuk juga Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pasukan Keselamatan yang berkait sebab itu peruntukannya besar.
  1. Untuk penyelenggaraan, pembaikan dan aset baru, RM5.8 bilion. Baik, tetapi untuk khusus di Lumut, ada yang kata “iya la Bang Anwar, kami di Lumut ini dapat apa, bagaimana?” Jadi saya nak jawab, apa yang diperlukan telah dijalankan. Yang baharu, peningkatan sistem perpaipan bekalan air tawar. Jadi bekalan air sekarang ini selesai. Apabila saya cakap ini saya nak pastikan. Baik, telah mula projek tetapi belum siap.
  1. Maknanya projek sudah dimulakan dan insya-Allah bulan 9 siap. Maknanya telah mula. Pusat Anak Permata Negara (PAPN) itu juga telah dimulakan dan telah siap, bulan Januari sudah mula masuk. Cerun di Bukit Perwira pun telah siap. Pemasangan sistem perlindungan kilat di Depot Peluru dan Bahan Letupan telah siap, cuma air yang tidak siap lagi. Jadi di sini tidak mandi? Mandi air laut ke tadi? (nada berseloroh). Pembaikan menyeluruh Rumah Keluarga A33, A37, A16 dan A22. Tiga blok telah siap, cuma A37 ada kelewatan sedikit. Betul? Baik, Pengerukan jeti operasi telah siap. Jadi, boleh tahanlah semua. Jadi saya datang ini, umum banyak yang dah siap.
  1. Baik, sekarang projek baharu. Pertama, RM100 juta diperlukan. Tadi Menteri Kewangan ada, KSP dah balik? KSP ada? Ketua Setiausaha Perbendaharaan, ada ya? Baik, Johan mana Johan? Oh, dia dah pergi acara tambahan, baik. RM100 juta untuk sistem agihan bekalan voltan tinggi (33kV), itu kita akan segerakan. Penggantian tangki operasi Bulk Fuel Installation (BFI) dengan peruntukan RM23.3 juta. Naik taraf jeti operasi Tambatan Pangkalan Lumut sebanyak RM66.5 juta. Ini bermakna Perdana Menteri bukan datang dengan tangan kosong. Kalau tidak Laksamana bagitahu makan tidak sedap. (nada berseloroh) Terima kasih.
  1. Ada lagi beberapa masalah yang dibangkitkan. Umpamanya di Lumut, untuk kesejahteraan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), ada keperluan projek pembinaan kompleks klinik pakar baharu dan menaik taraf Hospital Angkatan Tentera bernilai RM65 juta. Yang ini saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri ada, tolong pantau supaya kita laksanakan segera kerana peruntukan diluluskan.
  1. Projek kita ini saudara, saya nak jelaskan sebahagian pada anak-anak tidak tahu. Saya ini dalam liku-liku hidup ini banyak susah. Jadi bila bersama dengan kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri. Saya kata, “Inilah kesempatan, buat apa buat esok? Sekarang ini jadi Perdana Menteri bila ada jawatan, tak buat, itu salah. Esok dah keluar dah, dah pencen, baru cakap Hidup! Hidup Melayu! Tegakkan Islam! Masa kamu ada kuasa dulu kamu buat apa?” Sebab itu saya belajar dari pengalaman ini. Saya nak anak-anak tahu. Kalau kita nak buat, nak tolong betul-betul Melayu dan negara kita dan termasuk Angkatan Bersenjata, buat masa kita ada kuasa sebaik mungkin! Ini yang majoritinya 90% siapa? Orang Melayu. Sekolah ini untuk siapa? Untuk anak-anak kita. Kalau ada yang bukan Melayu, silakan. Tetapi saya tidak mahu lepas itu jerit, Ketuanan Melayu! Himpunan Melayu! Tetapi yang menyebabkan Melayu dalam keadaan sekarang ini kerana kecuaian kita semua. Jadi, kita harus ada sikap berubah.
  1. Ini yang selalu kita sebutkan sebagai tema ‘In urīdu illā al-iṣlāḥa mā isṭaṭaʿtu’, doa Nabi Syuaib A.S. – “Aku akan kerja dan usahakan sedaya upaya aku untuk bawa perubahan”. Tentu tidak boleh semua diselesaikan tetapi sedaya upaya untuk bawa kepada kebaikan. Sebesar-besar projek kapal di sini, pesawat, helikopter, tank ataupun sekecil-kecilnya untuk rakyat dan untuk pasukan bersenjata.
  1. Sebab itu umpamanya di Pangkalan TLDM Lumut ini, sudah diberi peruntukan, Cendawan Urban Farming RM65,000 dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM). Ternakan Madu Kelulut diberi RM50,000 dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Bagaimana Komander, sudah? Dalam proses? Saya bila datang, dua minggu lagi kena bagi laporan. Maknanya dua minggu sampaikan laporan dan saya akan teliti kalau ada masalah tidak siap, saya bawa ke Jemaah Menteri. Saya tidak mahu nanti orang kata “datang umum-umum, apa pun tidak ada”. Jadi kita umum, mesti jalan, dua minggu ya Komander.
  1. Baik, kemudian ada Work-Based Learning (WBL) saya tidak jelaskan dengan detail, 10 program diploma untuk anggota ATM umpamanya secara menyeluruh Panglima PhD tahu itu untuk Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel dan Diploma Pendidikan Islam untuk beri ruang kepada anak-anak kita untuk meningkatkan pendidikan selain daripada latihan-latihan khusus dalam bidang AI, digital. Saya dah beritahu kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Ketua Setiausaha Negera (KSN) untuk beri dan ambil perhatian. Kita sediakan beratus juta ringgit untuk latih anak-anak kita. Tidak semestinya PhD tetapi bidang pengkhususan, sekarang ini AI untuk TLDM perlu, diperlukan. Jadi harus ada keputusan kenal pasti beberapa tokoh yang mampu diberikan latihan pengkhususan dan kita akan sediakan dana dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dana sudah diberikan dan perkara ini telah pun dimulakan.

 

  1. Sebenarnya ada beberapa projek yang melibatkan sekolah dan sebagainya yang patut saya umumkan hari ini. Tetapi saya fikir terlalu detail, umpamanya peruntukan untuk sekolah. Sekarang ini sekolah rendah dan menengah di kem atau pangkalan itu dikendali oleh Kementerian Pertahanan tetapi dana daripada Kementerian Pendidikan. Umpamanya untuk tahun ini, untuk penyelenggaraan itu dana hanya diluluskan sekitar RM700,000. Tetapi apabila pergi ke sekolah itu tandas rosak. Saya pergi ke TUDM Subang, ada tandas rosak. Saya beritahu LTAT, jadi merah padam muka dia tetapi bukan salah dia. Peruntukan terlalu kecil. Saya tanya di sini, ada berapa kelas memerlukan tambahan peruntukan dan begitu juga banyak kem-kem yang lain.
  1. Oleh itu, saya dah rujuk kepada Menteri Pendidikan dan Menteri Pertahanan dan Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan khas untuk 34 sekolah di semua kem dan pangkalan supaya dapat diperbaiki. Anak-anak kita boleh belajar dengan lebih selesa, tandas bersih, makmal disiapkan, paling minima kipas disediakan dan kawasan bilik darjah selamat. Kita telah peruntukan untuk kem di kem sahaja RM20 juta.
  1. Jadi sebab itu saya katakan maklumat ini harus sampai kerana peruntukan melalui Kementerian Pendidikan itu tinggi tetapi pengurusannya di bawah Kementerian Pertahanan. Dan saya tidak mahu anak-anak kita di kem, bapanya bertarung nyawa, di laut berminggu-minggu, berbulan-bulan ataupun pesawat udara, pelbagai. Tetapi anak-anak sekolah tidak diberi perhatian secukupnya. Jadi Kerajaan MADANI fikir pendekatan yang lebih cermat. Sebab tu saya jangka jumlah RM20 juta ringgit itu cukup atau memadai untuk memperbaiki yang dimulakan tahun ini dan insya-Allah boleh siap selewat-lewatnya tahun 2026.

Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,

 

  1. Pada awal tadi, saya jelaskan tentang kesiapsiagaan kita. Kita lihat umpamanya apa yang berlaku di Gaza. Saya tentunya sebagai Perdana Menteri dihubungi 2 (dua) minggu lalu oleh Presiden Iran, Presiden Turkiye Presiden Reccep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Pakistan dan kita hubungi beberapa negara ASEAN khususnya Tuanku Sultan Brunei dan juga Presiden Prabowo Subianto, Indonesia. Lelah kita. Resah kita. Orang dibunuh, tanah dirampas dan kawasan itu seolah-olah padang jarak padang terkukur. Tidak ada kekuatan untuk pertahankan. Negara Islam umumnya, Miskin. Tiada upaya. Tiada keberanian. Jangankan hantar bantuan, hendak bercakap dan suarakan pandangan pun ada yang tidak berani. Ini keadaan kita. Sebab itu, kita urus negara kita dengan baik. Siapkan, kesiagaan pasukan bersenjata kita. Latih anak-anak kita supaya ada semangat daya tahan dan daya juang.
  1. MADANI ini memperkasakan ekonomi? Ya. Tetapi kalau memperkasakan ekonomi tanpa nilai, tanpa akhlak tanpa semangat juang tanpa perpaduan, tidak akan ke mana. Kita tidak menang dengan menjerit, ada mengatakan kita hantar tentera sekarang ke Gaza.
  1. Pertama, dia tidak faham sama sekali tentang pertarungan senjata ini. Tetapi bila saya jawab nak hantar ke mana? Melalui mana? Kapal mana? Pesawat mana? Tidak mungkin dalam keadaan sekarang. Tetapi selain daripada itu, apa juga cara, saya bicara dengan Presiden Iran dan Presiden Turkiye, apa sahaja yang mungkin, kita harus berbincang dan lakukan sebaiknya.
  1. Walaupun tidak disenangi, Malaysia negara kecil, keupayaan pertahanan kita kecil tetapi kita harus suarakan apa dia kebenaran dan keadilan. Mana mungkin, dibiarkan orang begitu dan kita tidak cakap apa-apa. Apa erti negara Merdeka dan berdaulat? Ya, kita tidak sanggup hantar pesawat, tetapi sekurang-kurangnya beri tekanan dengan suara yang tegas. Sebab itu di mana-mana sahaja, di forum antarabangsa arahan Kerajaan MADANI ialah mesti tegas dan tidak bertolak ansur mempertahankan hak Gaza dan rakyat Palestin.
  1. Dua hari lalu, tiga hari lalu, Israel menyerang lagi. Targeted pembunuhan – tiap saintis nuklear, jeneral-jeneral. Ini berlaku kerana keangkuhannya, kezalimannya. Mana ada negara di dunia sekarang yang bersikap seperti Israel. Menceroboh negara – Syria, Iraq, Lebanon, Yaman dan sekarang Iran tanpa mempedulikan suara dunia seluruhnya. Sebab itu, sebelum ini saya call Presiden Iran. Ada yang mengatakan “Anwar jaga-jaga, Israel kuat, agen-agennya merata. Risiko pada kaum, keselamatan kaum”.Saya nak jawab “Apa guna jadi Perdana Menteri kalau setakat menyuarakan kebenaran dan keadilan mempertahankan hak rakyat Iran yang dibom begitupun tidak berani. Cari pemimpin lain. Itu sikap saya.”
  1. Ada yang kata, “Anwar, jaga negara kamu saja”, ya memang ada orang miskin di Malaysia. Jadi nak tunggu semua jadi kaya baru boleh bercakap? Ini yang saya nak jelaskan. Yang penting kita waspada. Mengapa Iran boleh bertahan? Kerana kekuatan politiknya. Kerana walaupun ditekan, ekonominya masih bertahan. Siap siaga dia, pendidikan dan ketenteraan dia kuat. Maka dia boleh bertahan dan dia berani. Kita belajar dari pengalaman itu. Anak-anak kita mesti dilatih, bersatu, tumpu pada hal-hal yang penting. Peluang kebebasan itu bukan caci maki orang, fitnah orang. Kebebasan ini untuk angkat martabat negara kita.
  1. Kita rasa kita menang dengan puaskan nafsu serakah kita, maki hamun orang setiap hari atas nama Islam, atas nama Melayu tapi negara hancur, apa ertinya? Sebab itu saya nak guna peluang ini di Pengkalan TLDM ya. Hendak luah sahaja perasaan saya. Kalau kita tiak selamatkan negara kita dengan semangatnya perpaduan. Oh perpaduan tetapi ada Cina, apa masalah dia? Saudara nak belajar pada negara lain? Biar Melayu bergaduh dengan Cina, Cina bergaduh dengan India, dengan Iban, Kadazan, saudara rasa kita selamat? Puluhan bilion ringgit akan dibelanjakan hanya untuk bertempur dengan Cina di Malaysia. Tanya saya, cara yang terbaik jaga kepentingan Melayu. Biar Melayu pimpin dengan hebat. Biar Melayu ada maruah, Melayu tidak sakau dan curi harta negara dan bekerjasama dengan mana-mana Cina, India, Iban dan Kadazan yang sepakat dan sealiran dengan kita. Itu cara terbaik untuk selamatkan negara kita.
  1. Saya ingat Panglima Angkatan Tentera pun terkejut Perdana Menteri begini hari ini. Sebab saya lihat ke depan, saya punyai cita-cita besar. Tidak ada lebih lagi sebagai Perdana Menteri, itu tertinggi sudah. Tapi cita-cita saya, saya mahu Malaysia ini, orang Melayu ini lebih baik, cermat, urus negara dengan baik, tidak curi dan tidak merosakkan, jaga keselamatan Negara. Tingkatkan supaya hebat dari segi digital, hebat dari segi AI dan boleh jadi contoh seperti mana disebut dalam Al-Quran “Wa kadzālika ja‘alnākum ummatan wasaṭan, litakūnū syuhadā’a ‘ala an-nāsi, wa yakūna ar-rasūlu ‘alaykum shahīda.”
  1. Umat Islam ini jaga keseimbangan – iman dan ilmu, akal dan kalbu, rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi. Itu harus jaga dan sederhana. Itu yang disebut ummatan wasatan. Inilah umat yang dijamin kemenangan. Sebagai contoh kepada manusia. Ini bukan kata saya. Ini janji Al-Quran Allah SWT “Syuhada’a a’alana”. Kalau kamu urus dengan baik, jadi orang baik, beriman berakhlak agar membawa perubahan, angkat martabat ekonomi, teknologi, ketahanan dan pertahanan, kamu jadi contoh syuhada’a a’alana. Contoh bukan kepada rakyat Malaysia, contoh kepada manusia semuanya. Wa yakūna ar-rasūlu ‘alaykum shahīdan. Mudah-mudahan Rasulullah SAW akan menjadi saksi kepada kita. Semoga Allah SWT berikan kekuatan. Terima kasih layanan yang begitu baik dari laksamana dan komandan dan semua anak-anak.

Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.