TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (PBAKL) 2025

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (PBAKL) 2025

 

 

1 JUN 2025 | AHAD | 10.00 PAGI

PUSAT DAGANGAN DUNIA (WTC) KUALA LUMPUR

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin.

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulillah al-Karim,

Wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

YB Puan Fadhlina Sidek,

Menteri Pendidikan;

YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir,

Menteri Pendidikan Tinggi;

Dato’ Seri Aminuddin bin Shari,

Menteri Besar Selangor;

dan semua keluarga pembukuan Sasterawan Negara;

Cikgu A. Samad Said,  Muhammad Haji Salleh, Zurinah Hassan,  Rahman Shaari;

Tokoh bahasa sasterawan Anuar Ridzuan pun ada;

Aziz Deraman ada, ya memang memberi kekuatan luar biasa.

Terima kasih.

  1. Kita masih ada di sini, keupayaan meraikan tokoh-tokoh sastera, Sasterawan Negara besar. Jadi pengunjung-pengunjung harus memanfaatkan kesempatan ini untuk menimba ilmu.
  2. Tugas kita ialah memakmurkan, menyemarakkan budaya membaca. Sebab itu, saya ucap tahniah kerana penganjuran Pesta Buku Antarabangsa kali ke-42 pada tahun 2025 ini nampak lebih mendapat sambutan anak-anak dari seluruh negara datang dan kalau saya sebagai bapa atau atuk, saya nak nasihat begini, “tumpu kepada semua, pergi ke semua tingkat, dapat gambaran tentang ilmu yang bercambah ini. Pilih tentunya bidang-bidang yang kita minati, tapi untuk menjadi manusia yang mengangkat martabat insan itu, tentulah dari segi keyakinan kita.”
  3. Maknanya asas keyakinan agama, budaya kita yang juga melibatkan seni, sastera, ekonomi, teknologi baharu, sejarah negara kita. Jadi ini disebutkan gedung ilmu. Sebab itu, pesta buku ini saya lihat di Malaysia sedang mendapat sambutan oleh keluarga, seperti yang disebut oleh YB Fadhlina Sidek sebentar tadi. Maknanya menjadi suatu budaya yang boleh disambut oleh ibu bapa bersama anak-anak mereka.
  4. Membaca ini belum menjadi budaya di negara kita. Saya ini agak melelahkan, bila kita sebut negara MADANI ini negara yang berpaksikan keyakinan dan mencintai ilmu. Bagaimana boleh kita cintai ilmu, sekadar dengar syarahan, lontaran idea, kadang-kadang ada maki hamun tapi tidak berteraskan ilmu. Baca empat ayat, atau dengar celoteh dua minit dalam media sosial, kita buat keputusan. Yang bicara pun baca dua buku, yang dengar baca satu buku.
  5. Saudara, dunia ini mencabar. Dunia ini memerlukan manusia yang mendalam ilmu mereka. Lihat negara yang maju, tidak ada negara yang maju yang dangkal ilmunya secara menyeluruh. Kadang-kadang pandangan kita itu meleset. Saya beri contoh dalam beberapa pertemuan. Pertama dari buku Gore Vidal, seorang penulis terkenal, sejarawan, novelis sejarah mengenai Lincoln, dan lain-lain. Ada karyanya, Armageddon and Other Assays. Gore Vidal ini, setelah bersara, tidak mahu hidup di Amerika. Dia tidak senang dengan budaya di Amerika, dia bersara di Itali, di Rom. Pada masa itu, salah seorang pengarang, novelis terkenal Itali meninggal dunia. Saya terlupa nama dia, sasterawan terkenal. Pak Samad harus ingat ini. Selalu saya boleh berunding dengan dia, Sasterawan Negara.
  6. Tak apa, jadi dia pun turun, nak pergi ziarah jenazah sasterawan yang meninggal. Dia nak tunjukkan budaya ini. Turun beli bunga di bawah apartment dia, dia kata, “Saya nak pergi” oh, jenazah mana ya Levi tak salah Namanya. saya tak ingat. Orang itu kenal dan sebut karya-karya ini tukang jual bunga bukan pensyarah, bukan Sasterawan Negara. Kemudian naik teksi masa itu belum ada Grab. Naik teksi, dia kata, “Mahu ke mana?” “Mahu ziarah jenazah,.” “ohh pengarang ini.” Terus dia kata, “Oh saya dah baca buku ini”. Dia tunjukkan bahawa dia dan satu negara mengikuti perkembangan pemikiran termasuk bidang sastera.
  7. Saya kembali ke Vladivostok menemui Presiden Putin bukan baru-baru ini, tahun lalu. Dan disambut tentunya. Tapi yang ada yang siapkan minum pagi, yang jaga keamanan dan sebagainya, jadi saya hanya bicara tentang beberapa karya sasterawan Rusia: Boris Pasternak, Leo Tolstoy, Chekhov, Dostoevsky dan dalam puisi terkenal Anna Akhmatova. Yang kerja itu, tukang cuci dan tukang layan kita itu tanpa kecuali boleh ulas dalam bahasa Rusia dan bagi terjemahan kepada saya tentang keupayaan mengikuti.
  8. Saya ke negara China nak berucap depan Premier Li Qiang, Perdana Menteri. Jadi saya ada ungkapan daripada salah seorang leluhur bangsa terkenal dan filasuf, dan saya gagahkan nak baca dalam bahasa Cina. Saya tanya ADC, pegawai Cina itu. Saya cuba baca, kemudian bagi kepada dia, dia hafal kebetulan ungkapan itu. Kemudian saya tanya, bagaimana driver, driver pun hafal? Jadi saya rasa kagum. Malam itu makan malam dengan Presiden Xi Jinping. Jadi saya cerita ini. Dia senang, dia kata negara China ini harus maju dalam teknologi Baharu, digital, automotive industry, namakan. Kami mahu anak-anak Cina bersaing, tetapi kami tidak mahu tinggalan dan dipadam sejarah dan jati diri kami. Jadi di sekolah, pendidikan kami, kami kuatkan penguasaan bahasa kami, sastera kami, budaya kami, jati diri kami. Sejarah Cina walaupun tidak mewakili fahaman kami dari zaman dinasti-dinasti Ming dan sebagainya, tetapi itu warisan kami yang kami banggakan.
  9. Saudara, untuk negara maju begitu. Kalau di Inggeris, budaya dia begitu, tentunya Shakespeare dan karya-karya sastera yang lain. Dan saya nak terangkan di sini, kadang-kadang dalam kita bersaing dan mengejar kejayaan, ada pemikir kita, pimpinan politik kita, profesional kita, teknokrat kita. Dia tidak menganggap perkembangan budaya yang lebih luas itu penting. Tidak akan jadi MADANI. Kerana MADANI bukan sahaja bersaing untuk mengangkat martabat kita dari segi ekonomi, tetapi juga dari segi budaya dan jati diri.
  10. Sebab itu, saya harap pelajar-pelajar, anak-anak, ibu bapa ambil berat, fikir, hadam hal ini yang penting. Dan kita nak angkat martabat ini bukan nak kekalkan Malaysia pada tahap ini dalam 4 tahun, 5 tahun, 10 tahun. Kita nak angkat Malaysia ini sebagai negara hebat di rantau kita. Dan untuk itu, kita kena bersiap, bersaing, bekerja dan membaca sesungguhnya dengan lebih teliti dan erat lagi.
  11. Lihat sahaja polemik politik dan ekonomi negara kita, tidak asaskan ilmu, tidak membaca, hanya sentimen marah, benci, hukum agama pun dijadikan gelanggang begitu. Tak setuju, “munafik, kafir”. Kalau setuju, “bodoh.” Seperti mana pun, baik. jadi tidak ada asas ilmu di situ. Zurinah dengan Rahman Shaari tadi baca tentang kehebatan dengan kekuatan ilmu. Jadi saya harap ini betul-betul lah.
  12. Saya minta maaf, memang saya dari segi ini, orang kata passionate. Saya mahu anak Melayu, anak Cina, India, Iban, Kadazan Malaysia ini. Ini semangat Kaamatan dan Gawai juga kita harus fikir cara baru. Ada orang kata “politik baru”, “politik baru” tapi tidak ada ilmu. Ada katakan “reformasi”, “reformasi” pun tidak ada dasar ilmu. Dia tidak menang dengan jeritan, dia tidak menang dengan pengaruh, satu dua berpengaruh dalam media sosial. Dia mesti berdasarkan ilmu, ini cabaran kepada mahasiswa, kepada anak, kepada ibu bapa. Kepada pempengaruh setiap orang akan dipertanggungjawabkan, mula daripada diri kita, ‘Ibda’ binafsik’, kata hadis Rasulullah SAW – mula pada diri. Dan kita dipertanggungjawabkan, anak-anak di sekolah pun tahu – kullukum ra‘in wa kullukum mas’ūlun ‘an ra‘iyyatihi.
  13. Tetapi apabila kita bicara, kita tidak fikir kita kena bertanggungjawab kepada Allah SWT. Bila kita menulis, kita tidak fikir pun tanggungjawab kepada Allah SWT. Bila kita berpidato, tidak fikir bahawa tiap perkataan itu akan dipertanggungjawabkan. Kita ikut nafsu serakah dan ini menjadi masalah kerana tidak ada asas ilmu yang kukuh. Sebab itu saya minta rakan-rakan, gerakan satu ini barulah dikatakan pembaharuan dan ‘islah mastata’tu’ yang sesungguhnya ada hasrat begini.
  14. Memang saya sudah hamper tiga tahun menjadi Perdana Menteri. Apakah saya usahakan? Ya, saya usahakan. Buku-buku percuma, soal Islam jangan dangkal, jangan hukum. Sebarkan buku ‘adabullah Ikhtilaf fil Islam’ – beda pendapat boleh tapi ada etikanya. Anak-anak membaca itu, tengok bapa-bapa dia bercakap, memang merendah akal budinya dan tidak peduli tentang benar dan palsu.
  15. Kita sebarkan hadis 40, kerana ‘matan arbain’ itu asas penguasaan ilmu. Kita galakkan pembacaan. Apabila kita sebut budaya dan sastera, bagaimana boleh kita bangga perjuangan Melayu, hidup Melayu tetapi kalau tanya dia, karya Melayu mana yang kamu baca? Karya Melayu mana yang kamu hebahkan? Dari karya-karya klasik kamu tidak baca. Bukan semuanya kita pertahankan, tetapi budaya dan warisan kita. Tidak semuanya landasan akhlak seperti mana yang kita renungkan sekarang, tetapi harus kita tahu, baik sejarah Melayu atau hikayat Hang Tuah, yang Tuan Haji Salleh kupas, ya. Ini saya mohon kefahaman, belum baca tak tahu budayanya. Kemudian karya-karya sastera besar kita, Muhammad Haji Salleh, pengembaraan Si Tanggang, Pak A. Samad Said dari ‘Salina’ ke ‘Wira Bukit’ ke ‘Daerah Zeni dan Anwar tentunya (apa Khair, yang seniman itu yang hari-hari akhir lepas tu).

Saudara-saudari, terutama anak-anak,

  1. Saya bukan mahu gunakan Majlis ini untuk orang kata meluahkan rasa kesal, tidak, saya optimis. Tetapi saya fikir budaya yang boleh angkat kita kalau kita kata teknologi baru dan digital, ini dengan kefahaman dan asas budaya. Budaya yang cinta pada ilmu. Budaya yang galakkan membaca. Anak muda biasa tidak salah minat lagu sedikit, tidak salah nonton filem, tidak salah menonton karya-karya tragedi sedih Korea, atau gelek-gelek Hindustan atau filem hindi, Bollywood. Tetapi budaya membaca itu harus kekal dan kita tidak akan menang dan tidak jadi hebat kalau kita tidak kuasai ilmu dan menguasai ilmu secara menyeluruh.
  2. Kalau baca karya-karya dulu, Khalifah yang mahu mengangkat seorang Perdana Menteri (Wazeer) dari daerah Uzbekistan dan Kyrgystan di Asia Tengah. Kalau kita ditanya berapa gaji? Kenderaan bagaimana? Pejabat di mana? Wazeer ini, ulama ini dia kata, saya mahu kemudahan, saya nak angkut buku-buku saya. Jadi unta dia itu penuh dengan buku-buku. Dia angkut dari Uzbekistan sana, sampai ke Baghdad. Maknanya bukan suatu perkara baharu atau asing. Itu yang menyebabkan Baghdad itu menjadi tamadun besar dunia kerana yang memimpin, yang mengikut itu punyai kecintaan kepada ilmu. Bukan kerana kekayaan dan pangkat mereka, rupa mereka yang boleh mempengaruhi kita, tetapi kerana ilmu mereka yang kemudian membentuk sahsiah dan ma’nawiyyah yang sebenar. Sahsiah atau keperibadian yang baik.
  3. Jadi sebab itu saya sokong dan saya ucap terima kasih bukan sahaja kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, dan Kementerian Pendidikan, YB Puan Fadhlina binti Sidek tetapi juga ikhtiar oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari. Satu-satunya negeri di Malaysia yang paling banyak menerbitkan karya-karya ilmu. Cuma beliau tunggu pesta buku, baru beliau hantar kepada saya. Apalah Menteri Besar ni – beliau terbit, terbit, terbit, sekali bagi enam. Mana nak boleh baca enam sekali? Siap, hantar lah satu, baru kita boleh hadam. Dan paling baik, hantar semasa saya di Sungai Buloh dulu, habis saya baca. (nada gurau)
  4. Sekarang, kadang-kadang tak sempat. Semalam pagi-pagi ke Singapura, balik hampir malam. Sebelum itu pagi untuk Pesta Kaamatan di Sabah, balik malam. Ya, harini baru bagi buku tetapi tidak, masa saya di Sungai Buloh memang beliau hantar buku-buku termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka, Terima kasih.
  5. Jadi cukuplah setakat ini saya nak sampaikan. Terima kasih kepada Encik Mohd Khair bin Ngadiron dan rakan-rakannya kerana ini satu hal, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tersenarai sebagai “12 World Best Literature Festivals” yang ini diumumkan oleh oleh Zicasso.com yang mengiktiraf. Dan kehadirannya kalau tahun lalu rekod 1.8 juta orang yang ziarah, tahun ini melepasi 1.8 juta dan mungkin hampir 2 juta orang yang lihat keseluruhannya. Dan kepada ibu bapa, terima kasih. Guru-guru yang bawa anak-anak, saya tengok dari Pulau Pinang, dari Perak yang bawa.
  6. Jadi tahun lalu, kita pergi baucar untuk pelajar-pelajar. Tahun ini kita tidak beri baucar. Tahun ini kita bagi baucar kepada semua guru-guru pula, jadi kita bagi. Tahun depan tengok keadaan ekonomi. Ini kita sekarang bertarung dengan tarif Presiden Donald Trump ni. Itu kena baca kerana pendirian kita, ASEAN, ASEAN GCC – China itu akan menentukan kekuatan kita menangani masalah tarif Presiden Donald Trump dan sama ada dapat dikukuhkan kekuatan ekonomi kita atau tidak. Jadi ada hubungannya. Jadi untuk tahun depan kita lihat keadaan.
  7. Tetapi untuk tahun ini, semua guru. Berapa ratus ribu guru? 400 ribu, Ya Allah ramai. Ini saya umum ini belum lagi tanya Kementerian Kewangan. Bila saya umum ini, dia tengok malam ini kan dia kata ‘Allah’ (sambil tepuk dahi), kerana nak cari dana yang cukup. Untuk university, itu YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry jawablah, untuk universiti itu biar dia. Kita jaga sekolah, kita jaga guru.
  8. Untuk universiti kita akan kekalkan peruntukan yang tahun lalu dan minta KPT ubah suai, tetapi saya berdasarkan pengalaman tahun lalu. Kita tak cadangkan. Harus ada juga garis panduan buku-buku yang harus dibeli kerana buku tidak semuanya bermutu. Buku tidak semuanya yang menggalakkan penjanaan ilmu.
  9. Sebab tu selalu saya sebut di antara, apabila Saidina Ali ditanya minat beliau, beliau kata ‘lazat tul ma’rifah’. Beliau guna istilah ma’rifah, sudah sampai ke tahap ilmu yang tinggi. Kalau TS. Eliot, beliau bicarakan di antara information, knowledge, wisdom — maklumat yang bercambah. Buka sahaja Google, apa saja ilmu ada – yang sesat, yang karut, yang lucah, yang baik, yang tinggi ilmunya — semua ada. Itu disebutkan information. Tidak semua maklumat itu menjadi ilmu. Apa yang dikatakan yang ilmu yang ada asas. Dan bukan semua ilmu itu yang disebut ada wisdom – hikmah, untuk yang ma’rifah. Sebab itu Saidina Ali, beliau sebut ‘lazat tul’ – saya ini cinta ilmu, lazat, yang melazatkan. Seperti nikmat makanan yang paling lazat. ‘Lazat tul ma’rifah’, siapa kata? Saidina Ali bin Abi Talib RA. Dan TS. Eliot, beliau categorize awal-awal di antara information – ilmu dan hikmah – wisdom. Kita nak cari wisdom, kita nak cari bistari.
  10. Dan oleh itu, saya harap dengan pembantuan baucar ini, guru-guru jalankan tanggungjawab mereka. Harapan kita semua, dan menggalakkan anak-anak membaca. Jadi sekali lagi ucap terima kasih kepada kepada Encik Mohd Khair bin Ngadiron dan keluarga yang membantu, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.