TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PEMBUKAAN NATIONAL TRAINING WEEK (NTW) 2025

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PEMBUKAAN

NATIONAL TRAINING WEEK (NTW) 2025

 

14 JUN 2025 | SABTU | 10:00 PAGI

STADIUM BUKIT JALIL

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong,

MenteriSumber Manusia;

 

Yang Berbahagia Datuk Azman bin Yusof,

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia;

 

Yang Berbahagia Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Bin Hassim,

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan;

 

Yang Berusaha Dr. Rony Ambrose Gobilee,

Ketua Pegawai Strategi HRD Corporation;

dan keluarga HRDCorp,

rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Terima kasih atas undangan ini, terutama satu penghargaan kepada anak-anak yang menyantuni program ini. Terima kasih banyak.

 

  1. Kita bersyukur kepada Allah Taala kerana sambutan Minggu Latihan Pekerja diteruskan dan memberikan kesempatan bagi anak melihat sendiri perkembangan dan juga fokus dan keutamaan.

 

  1. Saudara Steven Sim beri imbauan tentang perkembangan. Negara mahu maju dan kalau mahu maju mencatat pertumbuhan yang meyakinkan, ia tak boleh kekal di tahap yang lama, latihan yang lama dan pendekatan yang lama. Sebab itu dalam Ekonomi MADANI kita dapatkan kerangka bahawa sudah sampai ke tahap di mana kaedah latihan bagi industri peringkat rendah dan pertengahan itu dirobah dan anak-anak dilatih dalam bidang-bidang baru.

 

  1. Dan kemudian, kita cerakinkan beberapa langkah dan dasar baru. Apa erti transformasi digital dan AI? Bagaimana industri semikonduktor, pembikinan cip akan memenuhi keperluan tersebut? Bagaimana kita menangani masalah transisi tenaga yang juga bergantung kepada keupayaan tenaga latihan?

 

  1. Tahun lalu, saya berbicara tentang beberapa industri besar yang masuk dalam semikonduktor dan semikonduktor di Malaysia ini bukan kecil, dianggap sebagai hab pangkalan bagi rantau ASEAN. Hampir semua syarikat semikonduktor terbesar dan AI itu berpangkalan di Malaysia.

 

  1. Dan ini akan hanya berhasil kalau jenis latihan apa yang disebut “upskilling” dan “reskilling” itu diberi penekanan. KSU tadi bicara tentang bukan sahaja kesemua dari pendidikan, kerana guru-guru harus didedahkan dengan AI. Anak-anak di sekolah harus diberikan pengetahuan yang lebih mendalam tentang AI. Kalau tidak, akan ada kelompongan “gap” di antara memenuhi keperluan semasa dengan anak-anak yang diberi latihan.

 

  1. Syarikat Infineon, syarikat Jerman terbesar, dengan pelaburan terbesar luar Jerman RM26 bilion ringgit di Kulim Hi-tech dan di Melaka umpamanya, itu memerlukan ribuan jurutera, puluhan ribu pekerja yang punyai latihan lebih daripada kemahiran teknikal yang harus di-upskill dalam bidang digital dan bidang AI.

 

  1. Di sinilah peranan KESUMA, HRDCorp dan seluruh agensi latihan dan sebab itu TVET sekarang menjadi penekanan. Dulu anak-anak yang agak separuh gagal sahaja masuk TVET. Sekarang anak-anak di TVET, dengan pelbagai Kementerian, itu sudah mencecah hampir setengah juta pelajar dan tahun ini jumlahnya bertambah. Kemasukan permohonan masuk ke TVET termasuk di kalangan anak-anak yang cemerlang bidang pendidikannya sudah mencecah 140,000 orang, maknanya ada anjakan.

 

  1. Bukan salah anak-anak. Bukan salah ibu mengandung, tetapi keperluan penggubal dasar dan pelaksana memberikan mereka peluang, kesempatan dan keyakinan. Bila dia lihat sistem latihan yang lebih kemas, dia urus dengan lebih baik, tatakelola yang lebih bertanggungjawab, elak ketirisan, elak pengamalan boros, elak rasuah dan penyelewengan, tumpu kepada keperluan anak-anak, disiplin yang baik, belajar dengan tekun. Barulah boleh kita capai dan meyakinkan.

 

  1. Kemudian, upah, kadar upah harus setimpal. Kita beri latihan tambahan, kerja lebih kuat, produktiviti lebih baik, untung lebih tinggi. Gaji di tahap yang lama, tidak boleh begitu lagi. Setakat ini, alhamdulillah, Kerajaan MADANI dengan kerjasama rakan-rakan saya Jemaah Menteri setuju dengan SSPA, meningkatkan kadar upah bagi pegawai kerajaan, penjawat awam  paling tinggi dalam sejarah, terutama yang di peringkat rendah.

 

  1. Tetapi saya kata, ini hanya permulaan dari Kerajaan. Bebannya tahun ini sahaja tambahan RM13 bilion. Tahun depan, 2026, tambahan RM18 bilion tapi kita berpuas hati kerana pengorbanan mereka, disiplin mereka, tanggungjawab mereka bertambah.

 

  1. Negara beruntung, dunia mengiktiraf Malaysia. Setiap minggu ada tetamu dari luar negara dari Afrika, dari Eropah, dari China, dari India, dari Latin Amerika datang dengan usaha niat untuk meningkat pelaburan bersama, perdagangan dan mengajak Malaysia untuk melabur di negara mereka dan utamanya, seperti mana yang disebut oleh Presiden Guinea-Bissau. Saya tanya dia, “Mengapa pilih Malaysia?” perdagangan Guinea-Bissau itu minima, hampir tidak ada, hubungan pun tidak ada, kedutaan kita pun tidak ada di sana. Presiden Umaro dia bagi tahu saya, dia pergi ke dunia Arab, ke Eropah dan bila tanya tentang Asia, bagaimana kedudukan Asia? Beberapa orang pemimpin dunia Arab dan Eropah beritahu dia “Kalau kamu mahu pengalaman terbaik, kamu pergi ke Malaysia dan lihat perkembangannya ada di sana.”

 

  1. Presiden Poland, negara Eropah yang sekarang meningkat maju dan berjaya dalam semikonduktor dan AI. Presiden Poland kali pertama dia datang ke Asia Tenggara, dia datang ke Kuala Lumpur sampai ke Putrajaya. Dia beritahu saya, dia terkejut dan kagum, dia tidak menjangka negara membangun yang ekonomi berkembang, majoriti Muslim, hidup pelbagai kaum Cina, India, Iban, Kadazan hidup dengan aman dan catat pembangunan yang bagi dia mengejutkan. Alhamdulillah.

 

  1. Apa maknanya saudara-saudara? kita ada keupayaan dan tanggungjawab anak-anak, pastikan kemudahan itu diberi baik. Apa bedanya Ekonomi MADANI yang kita utarakan sekarang itu cuba menangkap, cuba menghadam ilmu dan disiplin baru, memenuhi keperluan baru.

 

  1. Berapa eksport kita ke Amerika Syarikat? Semikonduktor? Dalam bidang E&E sahaja eksport kita ke Amerika Syarikat itu 60%. Maknanya kita bergantung juga pada pelaburan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat, dengan negara China dan banyak negara-negara lain.

 

  1. Tetapi negara MADANI ini negara merdeka dan berdaulat. Itu tidak menghindar kita dari menyatakan sikap kita dalam isu-isu hak asasi, kemanusiaan, dan keadilan. Sebab itu dalam soal Gaza, kita tegas. Tidak peduli sama ada sebahagian negara suka atau tidak, kerana itu penjajahan, penindasan, penghinaan kepada nilai manusiawi.

 

  1. Sejak semalam Israel menyerang Iran, kita mengutuk sikap Israel yang menyerang ganas negara lain. Mana ada negara di dunia boleh sewenang-wenang begitu. Mengapa boleh dilakukan begitu dan lebih mengaibkan kalau Malaysia sebagai negara merdeka mengizinkan dan tidak berani bersuara. Sebab itu Malaysia di antara negara awal yang menyuara, mengutuk serangan ganas Israel ke atas negara Iran.

 

  1. Ini makna apa yang disebut oleh YB Tuan Steven Sim Chee Keong tadi, Negara MADANI, tetapi kita ada sikap menjaga negara ini. Jangan ada penghasut, ejen-ejen mereka. Ada orang yang mahu menghancurkan, ada orang yang iri hati dengan kejayaan kita. Negara luar, ejen asing, perisikan, tidak pernah tinggal. Ingat 2 tahun lalu, ejen Mossad datang ke Malaysia, ejen risikan Israel. Ada dua orang Melayu yang terlibat, suami isteri menyokong beliau, bawa senjata dari Thailand, seludup masuk ke Malaysia. Dan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia kerana berjaya menangkap mereka dan mendakwa mereka.

 

  1. Saya sebut hal ini kerana anak-anak harus tahu. Jangan jadi leceh dan bebal. Tengok YB Tuan Steven Sim Chee Keong, pantun pun jadi masalah, saya baca itu. Apa jenis manusia dan perangai macam itu? Beliau buat kerja Sumber Manusia – tambah latihan, perjuangkan nasib pekerja tetapi pada masa yang sama, beliau anak Malaysia, bangga dengan budaya kita, dengan sejarah kita. Dan di antara seni budaya kita dan sastera termasuk pantun.

 

  1. Saya sebut pada YB Tuan Steven Sim Chee Keong sebentar tadi, salah seorang sarjana terkemuka Perancis, saya baca lama dah, nama beliau Daniel S. Lombard. Beliau pernah menulis tentang “pantoun”.  Beliau tak sebut “pantun” tetapi “pantoun”, tentang kehebatan, penguasaan bahasa, khazanah bahasa, lihat alam semesta. Dua ayat baik pertama, itu pembayang maksud, dia tidak cerita terus, mesej dia dua pada ayat berikutnya, jadi ada hukumnya. Sebab itu kalau nak cerita tentang kadang-kadang nak tegur tentang masalah tatakelola, dia boleh mula dengan “padi menguning di tengah sawah”, umpamanya. Itu pembayang maksud, barulah dia sebut mesejnya.

 

  1. Bagi saya, ini kehebatan kita kerana kadang-kadang dalam mengejar pembaharuan, pembangunan, kita padam sejarah kita. Kita ingat sejarah kita ini yang lekeh, tidak berbekas, yang hebat hanya yang asing, yang hebat hanya dari barat. Kita bicara tentang kapal tadi, masa Alfonso de Albuquerque. Kita bicara tentang globalization, tanya anak-anak muda yang belajar di sekolah, di universiti: globalization? Itu sejak barat, perdagangan barat, tidak betul.

 

  1. Admiral Zheng He (Cheng Ho), yang Muslim itu, tahun 1451 tak silap saya, “fourteen fifty-one” ya — itu sudah mengembara seluruh dunia, armada Cheng Ho di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Namun, Tomé Pires menyebut itu menjadi negara kosmopolitan, tempat negara China berlabuh, India berlabuh, Eropah, Portugis, Belanda, Inggeris berlabuh, ratusan kapal berlabuh – perdagangan. Itu sejarah kita.

 

  1. Maknanya kalau negara itu bersatu, pimpinan bertanggungjawab, dasar jelas, anak-anak bangkit dengan semangat, kita boleh jadi gagah kerana kita pernah gagah dahulunya. Kemudian khianat dari dalam, ejen Portugis ada. Ada orang-orang macam Raja Mendeliar dan Si Kitol yang khianat, pecah-belah, lemah, kerana marah soal hal dalam, soal titik-bengit, membuka pintu istana atau pintu gerbang, menyusup masuk tentera Portugis, kalah tentera Kesultanan Melayu Melaka.

 

  1. Sebab itu bagi saya, nak maju ya, upskilling ya, reskilling ya, digital ya, Artificial intelligence (AI), energy transition tetapi jangan lupa jati diri bangsa kita, budaya kita, kekuatan kita. Anak-anak muda yang punyai disiplin, yang tahu sejarah, yang cinta negara, yang bangga dengan budaya dia, tetapi masih lagi mampu untuk mencari ilmu-ilmu baru. Dalam dunia Pendidikan, Ketua Setiausaha (KSU) ada, saya selalu sebut, kita ini harus gapai — harus menggapai di langit. Apa yang di langit? AI, digital, new technology, new research — itu menggapai di langit. Tetapi harus kita mengakar ke bumi. Kita faham bahasa kita, budaya kita, jati diri kita, kekuatan kita sebagai satu negara pelbagai kaum, pelbagai agama. Jangan hasut.

 

  1. Sekarang ini masih belum selesai. Negara merdeka sudah lebih 60 tahun, masih lagi wujud hasut – Cina, India, Melayu, Iban, Kadazan. Faham negeri, faham kaum yang memecahbelahkan. Anak-anak muda ini harus mewarisi rasa kita. Lihat inisiatif ini, Kementerian Sumber Manusia, satu kementerian, lihat berapa banyak inisiatif dan saya tahu kalau di Mesyuarat Jemaah Menteri, YB Tuan Steven Sim Chee Keong ini tidak habis-habis bercakap soal nasib pekerja, latihan pekerja, perbaiki mutu dan didikan dan latihan.

 

  1. Inilah jenis Menteri yang kita mahu, tetapi Menteri begini diserang habis-habisan. Yang dipuji, dijajah orang yang sakau bilion ringgit di sini, bilion ringgit di London, bilion ringgit yang disimpan di sana sini. Ah, itu kita puja. Ini jenis kalau begini jadi, negara akan hancur. Beliau Cina. Saya tahu beliau Cina. Tengok mata pun saya tahu beliau Cina. Tetapi beliau tidak mengganggu sikap kita, penghormatan kita kepada sesiapa sahaja yang bekerja, berkhidmat, cinta kepada negara.

 

  1. Jadi saya harap anak-anak, jangan lupa pesan ini. Senang saja kita nak berkecai. Dengar satu fitnah, hambur! Habis tidak ada modal, pantun pun jadi modal. Tanya orang yang kritik itu satu pantun pun dia tidak boleh buat. Beginilah unsur-unsur yang boleh menghakis keyakinan kita atau melemahkan kita. Saya harap anak-anak tahu keperluan kita untuk terus maju dan tiap kali kita cuba cari jalan, kaedah – ada perbincangan, dengar pandangan dan bawa perubahan-perubahan yang boleh perbaiki dan tambah keyakinan.

 

  1. Jadi, sempena National Training Week (NTW) ini, ada pengumuman, selain daripada peruntukan yang sudah besar kita beri dan kalau perlu, kalau untuk latih anak-anak, untuk pendidikan, untuk sumber manusia, percayalah kita cari jalan yang terbaik. Sebab nak berjaya dengan semua pelaburan baharu, anak-anak mesti diberi latihan terbaik dan percayalah, Kerajaan MADANI akan cari kaedah dan peruntukan yang sebaiknya untuk membantu anak-anak kita.

 

  1. Hari ini, setelah banyak pandangan daripada institusi pendidikan dan latihan yang minta supaya pembayaran Levi bagi Pra Sekolah, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Pendidikan Vokasional, Institusi Pendidikan Tinggi dan Institut Latihan umumnya — dia minta kalau boleh pertama kali dalam sejarah, kerajaan hari ini mengumumkan Pengecualian Pembayaran Levi selama setahun bagi semua institusi pendidikan mulai 1 Januari 2026.

 

  1. Ini untuk membolehkan mereka beri tumpuan meningkatkan mutu dan saya minta kedua-duanya KSU Kementerian Sumber Manusia dan KSU Kementerian Pendidikan untuk tumpu dan pantau supaya institusi latihan ini berikan yang sebaiknya.

 

  1. Dan pantau juga supaya syarikat-syarikat swasta yang mencatat keuntungan yang tinggi, beri pulangan sedikit kepada pekerja. Ini yang saya gesa semasa Hari Pekerja. Saya ucap terima kasih kerana ada syarikat yang sambut. Syarikat-syarikat kerajaan GLICs telah menaikkan kadar upah lebih tinggi tetapi syarikat-syarikat swasta harus begitu kerana kemahiran dan kecekapan mereka itu jauh lebih tinggi. Dan mudah-mudahan negara kita mencatat kejayaan yang lebih baik.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.