
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN
PROJEK PEMBANGUNAN KOTA MADANI
PRESINT 19 PUTRAJAYA
26 JUN 2025 | KHAMIS | 9.30 PAGI
TAPAK PROJEK PEMBANGUNAN
KOTA MADANI PRESINT 19
WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillahi rabbil alamin,
Nahmahduhu wa nusalli ala rasoolilah kareem,
Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.
Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan);
Yang Berhormat Ahli Jemaah Menteri;
Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Datuk Sr. Ts. Mohd Salem Kailany,
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC Holdings Sdn Bhd;
Yang Berbahagia Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli M Ibrahim,
Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings;
Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan;
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
- Kepada semuanya yang bertanggungjawab bersama dengan Ketua Pengarah, Persekutuan menjayakan satu projek yang bagi saya sangat bermakna. Berbulan yang lalu, dalam salah satu acara di Putrajaya, saya tengah minum teh, kita utarakan konsep ini. Dan saya sangat bangga kerana rakan-rakan baik Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holdings cepat menangkap idea ini, perkemaskan dan saya selalu percepatkan peluncurannya. Kalau siap 3 bulan, saya kata mengapa tidak boleh sebulan? Jadi mereka telah tunjukkan rencana awal, kita berikan pandangan dan diubah suai. Maknanya dihadam betul konsep dan falsafah MADANI. Jadi saya sangat terkesan dan terharu dan terima kasih.
- Apakah pengajarannya? Maknanya, negara ini memang punyai keupayaan. Kita tidak panggil umpamanya konsultan antarabangsa. Kita manfaatkan kekuatan dalaman. Kecerdikan, kepantasan anak-anak bangsa memikir bagaimana kita boleh hidupkan satu kota baharu berkonsepkan MADANI yang boleh memenuhi beberapa keperluan, tentunya perumahan tetapi perumahan yang munasabah untuk didiami oleh semua peringkat pegawai atau penjawat awam.
- Kemudian mengambil kira pemikiran semasa harus moden, teknologi baharu, memenuhi keperluan digital dan AI, kelestarian, hijau dan menyelesaikan beberapa masalah semasa. Kos pengangkutan, keselamatan anak-anak tentunya tunggaknya, kekuatan iman dan kerohanian, Masjidun ussisa ‘ala at-taqwa – masjid yang boleh menangkap dan menarik jamaah.
- Dan saya terpegun walaupun bunyi kadang-kadang nampak memberi teguran sana, teguran sini tapi saya pulang dengan rasa sangat bahagia bahawa rupanya ada keupayaan anak-anak kita dari Perbadanan, dari Putrajaya Holding dan tentunya dengan kerjasama Ketua Setiausaha Negara dan semua Jabatan-jabatan Kerajaan mempercepatkan, mengurangkan kerenah birokrasi dan projek yang mencecah RM4 bilion, tidak dengar masalah komisen untuk Perdana Menteri ke, Menteri Kewangan danMenteri-menteri. Ini suatu hal yang sangat mengesankan dan saya bangga, Alhamdulillah.
- Baik, apa ini secara terperincinya? Umpamanya, sekolah di kota, tak perlu jauh. Dia sebahagian daripada komuniti. Tadika itu di bawah, ibu bapa di atas , tadikanya di bawah. Sekolah di samping, masjid di depan. Jadi konsep MADANI ini, seperti mana yang kita tahu memenuhi semua aspek manusiawi keihsanan. Dengan persekitarannya, man and nature, barulah disebut ummatan wasatan. Umat yang mempertahankan keseimbangan kerana umat yang seimbang ini janji al Quran, litakūnū syuhadā’a ‘alan-nās. Boleh jadi contoh kepada yang lain. Saya mahu Kota MADANI ini contoh bagi pembangunan bandar di semua kota-kota di negara kita.
- Saya minta Majlis-majlis Pembandaran, Kerajaan-kerajaan Negeri lihat apa yang boleh kita lakukan. Jangan hanya tunduk kepada pemaju. Kita yang merancang. Pemaju itu hanya langkah untuk memberikan pandangan perbaiki. Jangan projek itu ditentukan oleh syarikat semata-mata dan pemaju. Kerana kalau mereka tentukan tentunya diberikan pandangan dan saranan yang hanya melihat kepada keuntungan. Kita tidak nafikan, tidak ada pemaju yang akan bangunkan projek RM4 bilion tanpa keuntungan. Tetapi mesti memenuhi konsep ini saudara-saudara. Boleh, tahap kelajuan, kepesatan, kecepatan sehingga bawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri projek ini sebab dia tahu projek melibatkan milik tanah Kerajaan dan Unit Kerajaan Awam Swasta (UKAS). Tapi dengan semua kerana ini boleh dipercepatkan.
- Dan saya pastikan di dalam Jemaah Menteri menerangkan dan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam masih kita bincang Kota MADANI ini, kerana kalau kita lihat secara terperinci. Pertama, keperluan penjawat awam. Kita mahu mereka kerja. Biarlah kerja dengan selesa. Biar jaminan perumahan ada. Ada yang kritik. Katanya mengapa bangunkan projek baru? Yang lama banyak tersadai maka KSN melihat sendiri dan Perbadanan Putrajaya memastikan projek-projek itu diselesaikan. 98 peratus, 96 peratus, tapi kalau dengar gah di luar, biasalah. Itu pun yang 4 peratus, 2 peratus itu boleh kita selesaikan lah tahun ini kerana dapat memenuhi keperluan segera.
- Tetapi untuk projek yang akan datang, itu fasa pertama 3000, fasa kedua pun saya dah bagi tahu pada YBhg. Dato’ Tpr. Fadlun bin Mak Ujud, cepatkan janganlah sampai 4, 5 tahun lagi. Penjawat awam pun tidak sabar, Perdana Menteri pun tidak sabar. Jadi kalau boleh, kalau nampak kelajuannya, kemajuannya dan sambutannya baik kita boleh percepatkan proses.
- Tapi saudara-saudari yang kena faham ini konsep. Abd al-Rahman Ibn Khaldun dalam Mukadimah, catatan dia tentang konsep sejarah itu bicarakan tamadun. Dia sebut istilahnya Umran Hadhari itu pangkalannya, kota. Negara boleh dibangunkan dari Nomadic Culture Umran Badawi. Budaya pindah randah dan tidak ada tahap ilmu dan kebudayaan yang kukuh itu akhirnya berkembang menjadikan kota sebagai pusat. Jadi konsep kota ini dalam sejarah umat manusia termasuk sejarah Islam itu penting. Tapi corak kota itu yang boleh merosakkan atau nilai manusia atau melemahkan semangat yang disebut asabiyyah, kekitaan atau esprit de corps
- Apa yang mengikat kita dalam Kota MADANI? Kalau kita kekalkan dengan semangat MADANI, maknanya keimanan dan ikhlas kita, kemampanan kita, ihsan kita, inovasi dan daya cipta kita. Bagaimana harus kita rangkul ini semua? Maknanya aspek keselesaan hidup, budaya masyarakat, kemudahan asasnya. Tidak perlu kita mengejar kota-kota seperti New York atau London sebagai Modern City kerana ada juga kelemahannya.
- Saya popularkan dengan pandangan Mark Twain, city can be modern, may have impressive structures, but culturally barren. Ia tidak ada menampakkan satu seni bina dan keindahan yang mengikat, melambangkan kekuatan budaya sejarah hebat bangsa itu sendiri. Itu yang disebut culturally barren, gersang budayanya, hebat teknologinya. Bagaimana kita hendak imbangkan di antara kekuatan akidah, keimanan, keyakinan dan teknologi baru dan budaya yang segar? Itu hanya dengan perancangan yang teliti. Apa yang menarik dari segi konsep Kota MADANI ini? Ia lestari, maknanya kenderaan itu di tingkat bawah dan di mudahkan supaya kota itu kurang dari segi pengangkutannya atau beberapa bahagian hampir tidak ada. Dan semuanya mudah dengan laluan berjalan ke sekolah, ke masjid, ke tadika di bawah, ke gimnasium, ke dewan.
- Baik, bagaimana nak mudahkan supaya jangan kita terik panas dan hujan? Itu perancangan arkitek punya kerja jangan suruh Perdana Menteri jawab semua soalan. Tapi konsep itu amat menarik saudara-saudara. Bayangkan seorang ibu bapa ada 3 anak, sekolah rendah di sana, sekolah Menengah di sini, bayar kos bulanannya kos pengangkutan, ada yang mencecah RM 400 ada 600 daripada kajian dibuat. Boleh tak kita kurangkan? Boleh, kerana tadikanya di bawah, sekolah rendahnya di samping, sekolah menengah mungkin berjalan jauh sikit. Jadi ini dan faktor keselamatan anak-anak juga dikawal.
- Apakah kita tidak boleh fikirkan masalah ini? Boleh. Siapa yang fikirkan? Inilah kita minta penjawat awam, profesional kita yang boleh fikir outside the box, bukan nak melihat gedung-gedung dan mercu tanda yang hebat. Saya sudah sebut dari awal bila saya ke Kuala Lumpur. Cukup kita dengan mercu tanda, kita ada Merdeka 118, kita ada Kuala Lumpur Twin Tower, cukup, cukup, cukup. Kalau tanya saya, saya nak gerai dan warung yang bersih. Kerana warung dan gerai itu disantuni oleh 80% rakyat. Restoran yang gagah besar itu 20%. Biar, dia boleh diadakan. Tapi fokus Kerajaan mestilah memenuhi ini. Tetapi kalau tengok gerai, kita mampu bangunkan Twin Tower, Merdeka 118, gerai kita itu tidak wajar di kembangkan, dibangunkan di sekitar Kuala Lumpur, ini yang berlaku.
- Sebab itu kalau saudara lihat umpamanya setiap hari Jumaat, saya pergi makan di warung dahulu atau di gerai dahulu untuk 15-20 minit sebelum ke solat Jumaat. Kerana ini sahaja cara kita melihat tahap kebersihan dan kemudahan, kerana ini menyentuh kepentingan 80% rakyat.
- Saya tidak mahu umpamanya pergi hanya 2 bulan sebelum pilihan raya. Kerana dua bulan sebelum pilihan raya, semua orang politik akan cium baby, akan jalan ke warung, akan tanya khabar di rumah. Saya ingat kena hentikan budaya itu. Maka, Perdana Menteri MADANI ini dari awal bulan Disember 2022 tiap minggu hari Jumaat tanpa terkecuali santuni. Pertamanya di warung dan gerai sebelum ke solat Jumaat. Ini saudara-saudara budaya, supaya kita tahu keutamaannya. Bukanlah saya nak kata saya nak ceritakan ini, tetapi ada mesejnya, apa salahnya? apa ruginya? Saya ingat lagi bila mula-mula, awal-awal dahulu saya kita nak pergi ke warung, pada ketika itu ada juga penjawat awam, dia jagalah, protokol dia jaga. Dia sayang Perdana Menteri dia. Boleh ke? Eh, okey ke? Bukan KSN ini. Dan niatnya baik, kerana ini bukan budaya kita.
- Sebab itu di Kota MADANI ini, hal-hal ini semua harus diperhatikan. Ada restoran yang peringkat sederhana, ada restoran yang lumayan, ada food court yang memenuhi keperluan ramai. Ini semua difikirkan cara teliti, dicerakin sebelum kita lulus dan bangunkan.
- Begitu juga seperti mana saya sebut tadi, sekolah, kita ada peringkat-peringkatnya dan saya ucap terima kasih Yang Berhormat Fadlina Sidek, Kementerian Pendidikan yang segera memberikan dukungan dan kelulusan tentang konsep ini. Bukan mudah menjadi Menteri Pendidikan. Saya pernah jadi Menteri Pendidikan, pendidikan itu macam kementerian-kementerian, dia ada terma dia, tak boleh sekolah itu mesti begini, mesti begini, begini, begini. Aduhai, tapi Alhamdulillah kita sedia kerana selalunya sekolah itu dibangunkan oleh Kementerian.
- Bagaimana kita serahkan kepada pemaju dalam konsep ini? Dan bagaimana pula ada rundingan? Supaya sebahagian kos itu ditanggung oleh Kerajaan tetapi kos dia haruslah lebih murah daripada kos sekolah biasa. Ini termasuk apa yang kita bicarakan tentang Vertical School. Di kota-kota yang sesak, saya tidak desak sangat tentang Vertical School di bangunan perumahan itu sendiri, kerana tanah ini agak lumayan ya 100 ekar. Cukuplah buat sekolah bagi selesa. Tapi kalau tengok design sekolah Datuk Fadlun Mak Ujud itu luar biasa. Saya ingat kalau design sekolah di Putrajaya ini mungkin design sekolah terbaik yang saya lihat di Malaysia ini. Saya sebut design nya, siapnya belum tentu (nada seloroh). Saya percaya insya- Allah bila siap dia akan memenuhi design.
- Maknanya detail must be there. Harus selesa, kalau tengok tingkat tinggi saya terlihat design itu maknanya anak-anak itu lebih selesa, tingkat 1-2 itu tidak payah guna lif. Hal-hal seperti itu saya kagum, maknanya kita kena fikir sehinggakan begitu terperinci supaya benar-benar kita memenuhi semangat MADANI.
- Saya bangkitkan tadi tentang Teori Ibnu Khaldun, seorang sejarawan, sosiologi utama yang mempengaruhi banyak kajian sosial sains selepas itu. Dia katakan, kalau mahu bangunkan masyarakat, mesti berpusat kepada kota. Kota itu tentunya terikat dengan idealisme, keinginan untuk membangun, mengindahkan dengan keyakinan untuk mengangkat martabat, harakat darjat bangsa dan negara. Itu yang boleh mengikat.
- Tetapi bagaimana kita nak penuhi syarat- syarat ini? Pendidikannya, kegiatan masyarakatnya, kegiatan pengawalan anak-nak mudanya, semua harus difikirkan dan ini yang kemudian lahir sebagai satu tamadun. Kemudian, dia kata teori dia tentang pembangunan tamadun. Dari kota, teknologinya, idealismenya, nilai yang baiknya semua bekerja untuk bangunkan. Bukan kerja untuk sakau, bukan kerja ada projek besar 4 billion, berapa komisyen dia, berapa sumbangan hadiahnya? Tak bolehkah reserve daripada 100 ekar itu satu projek khas untuk apartment Perdana Menteri? Kalau kita hentikan pemikiran sebegini, kita boleh tumpu untuk jadikan ini Umran Hadhari – tamadun berdasarkan prinsip-prinsip luhur.
- Tetapi teori ini tidak selesai di situ. Ibnu khaldun kemudian menyebut baik bila luntur semangat ini, luntur nilainya orang bekerja untuk kepentingan dia, berapa gaji aku? berapa elaun aku? berapa faedah aku? berapa komisen aku? berapa pangkat aku? kemudian timbul tamak haloba. Ini yang meruntuhkan tamadun itu.
- Jadi teori yang hebat Ibnu Khaldun ini, bagaimana kita bangkitkan kota, Kemudian bagaimana setelah generasi-generasi berikutnya runtuhkan idealism itu, kerana soal kelunturan akhlak, dan sahsiah, kerana hilangnya nilai dan senangnya dengan budaya fitnah dan rasuah yang menyebabkan luntur budaya itu.
- Apakah ini kota MADANI ini satu yang luhur sampai ke situ? Tidak ada salah untuk kita ada cita-cita itu. Saya nak dari pengarahnya, perbadanannya memikirkan satu kota yang boleh memenuhi semangat ini. Mudah-mudahan Allah merestui usaha kita bersama. Dan saya sudah tanya tadi, supaya percepatkan. Semalam dalam Mesyuarat Jemaah Menteri kita putuskan harus menyegerakan apa saja yang perlu segerakan, tentunya ikut peraturan. Tetapi kalau lulus 2 bulan, mengapa tidak boleh lulus dalam 2 minggu. Dulu kalau nak minta umpamanya daftar syarikat minima 3 bulan – 6 bulan, sekarang online boleh satu hari, boleh 3 hari. Kalau ada masalah, ada soalan lain mungkin ambil masa seminggu. Jadi samalah dengan konsep ini. Saya insya-Allah akan pantau, Fadlun akan berikan saya laporan kemajuan setiap bulan. Lambat, siap! Saya cadangkan kerana saya yakin Fadlun mampu memantau dan menjalankan.
- Dan keselesaan penjawat awam itu penting. Kita tidak mahu ada kota baru di Putrajaya. Kita perlukan penjawat awam sekian jumlah. Tetapi, dengan jauh daripada kota-kota yang berdekatan, perumahan tidak mencukupi. Jadi, hal-hal ini mesti ditangani. Mudah-mudahan projek ini dengan fasa 3000, fasa pertama, dan yang berikutnya itu 7000 yang akan dipercepatkan. Saya memang orang yang kurang sabar dalam hal-hal ini. Saudara fikir, kalau saudara seorang yang menunggu senarai nak masuk ke rumah. Rumah siap bulan depan, lega. Rumah siap bulan Januari akan datang, itu tentu mengesankan. Rumah siap dua tahun lagi, jadi bayangkan kalau saudara dalam kedudukan seorang yang menunggu giliran. Jadi selalunya kita mesti fikir yang di bawah.
- Boleh tentang Kota Madani? saya agak excited Minta maaf Peguam Negara, this is not legal just a philosophical dan conception dan physical development dan kalau kita jadi betul-betul memenuhi ini ya Fadlun, ini jadi contoh yang luar biasa. Bukan jadi di negara kita, di rantau kita. Saya belum tahu ada beberapa kota di negara China yang mereka cuba buat begini. Saya minta saudara Fahmi lihat dari segi digital supaya bila masuk sahaja Kota Madani ini, dia punya connectivity itu memang first class 5G, itu kemudian nanti 6G. Semua jadi balance kan? Kalau ini dapat dilakukan dengan konsep yang kita kemukakan ini, ia mungkin menjadi tanda aras baru apa erti pembangunan.
- Masjid tersergam, gagah bukan kerana fiziknya. Tapi kerana kegiatan dalam masjid itu sendiri semua harus diteliti. Dan saya mempunyai harapan agar Kota MADANI ini menjadi contoh terbaik. Tak apalah tentang singgungan orang-orang yang lelah dan bebal di luar. Semua tak kena. Dia kata ini konsep projek mega. Apa benda meganya? Rumah 10,000 unit, rumah penjawat awam, masjid, gimnasium, sekolah, kalau tengok konsep itu sahaja. Dia bukan mercu tanda yang besar, yang gagah. Betul kos akhirnya RM4 bilion. Tetapi kalau RM4 bilion untuk 10,000 penduduk, dengan dua sekolah rendah dan menengah. Dengan semua kemudahan yang ada pada Kerajaan, kita sediakan. Saya bangga. Ini projek rakyat, projek perumahan rakyat. Projek pembangunan Kota MADANI yang baru, yang indah, jadi kita tumpu pada permasalahan itu dan kembangkan.
- Dan kita dengar, umpamanya semalam dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya beritahu soal yang lain, SST. Saya berpandangan buah-buahan tempatan umpamanya, tidak payahlah makan buah import. Saya tengok tadi avokado pun sekarang ini ada ditanam di Sabah. Tapi saya tengok, ada banyak keresahan? Ada orang miskin, ada B40 masih makan epal dan oren import yang lebih murah. Selalunya Menteri Kewangan, kalau sudah buat keputusan kena tetap, tidak ubah-ubah sebenarnya. Tapi saya sebut pada rakan-rakan Jemaah Menteri, dengar, dengar ada munasabah juga. Pada peringkat awal bila saya dengar oren, epal, saya tak makan oren, epal, tak apalah makan betik, makan buah jambu. Banyak buah-buah lagi ada, buah langsat ikut musim, duku, durian.
- Tamu saya semalam Presiden Kyrgyzstan, pertama kali makan durian. Banyak pula tu, dia minta bawa balik. Dan minta bawa balik yang itu. Dia kata nak minta buah itu, saya kata buah boleh Presiden, but you know how to peel? It’s not e No, we can just use the knife and.. No, no, no, you can’t. You have to use the skill of following yang ruas dia. Oh dia beritahu, I never seen a fruit like that. Yes, it is only durian and the best durian is found in Malaysia.
- Tetapi masih ada orang mengeluh. Katanya orang-orang kampung miskin nak juga epal. Dia kata ini pengaruh dulu-dulu ni. An apple a day, keeps the doctor away. Tak betul. A banana a day Banana tu potassium tinggi, kata doktor kepada saya. Tapi tak apalah. Oleh kerana ramai yang mengeluh, jadi semalam kita beri kelonggaran import buah-buahan memang ada sedikit cukai tetapi dikecualikan epal dan oren.
- Kemudian katanya threshold untuk peniaga-peniaga kecil, katanya setengah juta terlalu rendah, maka kita naikkan RM1 juta. Sebab yang kita nak, rakyat mesti sokong langkah ini. Sebab kalau tidak, ini nak buat sekolah. Saya pergi setiap Jumaat tanya anak-anak sekolah, semalam yang sambut Presiden, sekolah kat Presint mana tak tahu. “Berapa tandas rosak? Tiga.” Padahal kita sudah belanja RM1 bilion sejak 2023 untuk baiki tandas- tandas, ada rosak. Jadi saya, ya betul saya Perdana Menteri, tapi saya begitu saya kata kalau anak saya, cucu saya ke sekolah, tandas rosak. Saya pun tak suka. Jadi anak orang lain macam anak saya juga. Jadi kita kena baiki.
- Jadi setiap hari Jumaat, bila selepas sahaja sembahyang Jumaat, Fadlina tunggu teks saya. Sekolah mana yang bumbung ke? Fan tak jalan ke? Ada fans dia kata rosak. Itu sebab apa rosak? Ada budak tu kata, dia main bola, dia campak ke fan. Saya panggil cikgu tu, panggil budak tu, main bola jangan dalam kelas, rosak fans. Jadi feedback ni dan anak-anak ni dia tak ada tapisan. Dia tanya dia jawab lurus. Cikgu siapa tak datang? Ada cikgu, Cikgu Fadzilah. Tak datang berapa lama? Sebulan lebih. Saya tanya sebab apa tak datang? Dia bersalin. Jadi feedback itu penting.
- Jadi maknanya, yang saya nak tekankan di sini ialah kesediaan kita untuk cuba baiki. Saya tengok ada kekangan wang tak cukup. Peruntukan untuk pendidikan, tertinggi dalam sejarah dan paling tinggi dalam Belanjawan. Cukup? Tak cukup. Peruntukan untuk kesihatan, kedua tertinggi. Cukup? Tak cukup. Jadi sekarang ini yang baiknya, kita buat dua konsep. Kita panggil semua syarikat-syarikat Kerajaan. Syarikat-syarikat swasta, dia dah pilih 1000 sekolah untuk adopt. Jadi saya kata tolonglah pergi tengok. Kamu untung tinggi, pergilah tengok. Sekolah tu perlu RM30 ribu, RM50 ribu, RM100 ribu, boleh selesaikan dengan baik.
- Kemudian kita ada KKM – Kementerian Kesihatan tentang skim yang melibatkan masyarakat tempatan untuk pantau dan jalankan. Ini langkah-langkah yang diambil kerana kita akui kelemahan-kelemahan ini. Tapi kalau setiap kali kita naikkan cukai itu jadi beban, Kerajaan ini tidak santuni, Kerajaan ini zalim, membebankan rakyat. Saya nak tanya, sekolah nak baiki tak? Rumah baru rakyat kena ada tak? Jalan kena baiki ke? Jawabnya, ya. Jadi cukai daripada orang atasan, jangan bebankan yang bawah. Ini yang kita cuba lakukan dan saya minta rakan-rakan faham. Tak ada pilihan. Kalau ada pilihan, tentu kita buat.
- Yang kita lakukan ialah kita elak penyalahgunaan kuasa, komisien-komisien Menteri dan Perdana Menteri simpan duit banyak-banyak. Itu kita cuba elakkan sedaya upaya. Tanyalah ini Kementerian Kewangan, KSP dan bahagian kontrak kita cukup strict dan jaga tentang proses tender ini. Dan kita minta semua faham. Maknanya kita boleh selamatkan dana rakyat. Tetapi perlu kita tingkatkan mutu sekolah kita, mutu pendidikan kita, kesihatan kita, kemudahan asas.
- Dan di sini dengan Perbadanan dan Putrajaya Holdings, sekurang-kurangnya elakkan dari beban langsung Kerajaan untuk bangunkan Kota MADANI ini. Cuma keperluan Kerajaan untuk sekolah dan sebagainya kita tampung bayar kadar yang munasabah supaya mengurangkan beban Kerajaan dari segi infrastruktur yang besar.
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih. Terima kasih banyak Jazakallahu Khairan Katsiran kepada semua yang menjayakan projek Kota MADANI ini.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA