TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN PELAN TEMPATAN KUALA LUMPUR 2040

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN PELAN TEMPATAN KUALA LUMPUR 2040

 

  

24 JUN 2025 (SELASA) | 9.30 PAGI

 

DEWAN PERDANA MESTIKA

INSTITUT LATIHAN DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR KUALA LUMPUR

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillahi rabbil alamin.

Nahmaduhu wa nussalli ‘ala rasulillah al-karim,

Wa ‘ala alihi waasahbihi ajma’in.

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan);

Yang Berhormat Ahli Jemaah Menteri;

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

Yang Berbahagia Dato’ Seri Townplanner Maimunah binti Mohd Sharif,

Datuk Bandar Kuala Lumpur;

Mantan-mantan pimpinan Dewan Bandaraya dan keluarga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, khususnya;

Ahli-ahli Parlimen, rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Hari ini tentunya bersejarah bagi Dewan Bandaraya. Kita meluncurkan pelan yang paling lengkap dalam sejarah pertumbuhan pembangunan Dewan Bandaraya. Pelan ini tertangguh bertahun. Pertama tentunya alasan COVID-19 sebelumnya. Tapi bila Kerajaan MADANI ambil alih, kita mengusulkan rombakan besar-besaran supaya pembangunan seutuhnya.
  1. Pembangunan kota ini sebenarnya pembangunan manusia. Jadi dalam konsep manusiawi ini, kita pastikan supaya ia lebih terangkum, inklusif. Dia lebih mengambil kira beberapa pemikiran baru seperti digital, AI, dan keperluan-keperluan baru termasuk pembangunan perumahan rakyat, keselesaan peniaga-peniaga kecil, kerana pendekatan kita harus menyantuni majoriti rakyat Dewan Bandaraya. Dan majoriti itu masih B40, M40, rata-rata.
  1. Selalunya pembangunan bandar itu meletakkan pembangunan rakyat hanya satu kelompok terasing, dan semua kemudahan dan keselesaan itu bertumpu atau tertumpu pada kelompok yang lebih selesa. Tidak ada salahnya, tetapi pendekatan itu harus lebih terangkum. Barulah ada makna pembangunan manusiawi mengikut falsafah MADANI. Ini harus dimengerti, difahami, dan saya percaya selepas kita luncurkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040, bukan sahaja pegawai-pegawai, pimpinan politik, tetapi korporat dan juga pengusaha-pengusaha utama dalam membangunkan harus mengambil kira ini.
  1. Kita tidak bergerak dari satu lompongan, bukan satu vakum untuk kita bangunkan kota baru seperti Putrajaya, tidak. Kita bangunkan dalam keadaan yang sudah terikat dengan beberapa struktur lama yang tidak mungkin dipinda, jadi agak lebih jauh lebih sukar. Jadi jangan kita andaikan peluncuran ini bermakna membangunkan satu imej baru Kuala Lumpur. Ya, sedaya upaya terbatas kepada kerangka yang lama yang tidak semestinya memenuhi maksud dan keperluan kita. Kerana Kuala Lumpur ini dibangunkan tidak sebagai kota yang tersusun dan moden. Dia mengikut masa, dan pelan-pelan itu kadang-kadang cacamarba. Perumahan-perumahan kadang dibangunkan tanpa mengambil kira soal keselesaan, soal hijau, soal padang. Bangunan-bangunan didirikan tanpa mengira kesesakan yang menghimpit jalan-jalan.
  1. Saya tahu, saya pernah duduk di Segambut. Saya tidak mengerti mengapa kelulusan boleh diberikan dengan cara yang sedemikian. Maknanya tidak ambil kira langsung. Ini melibatkan apa yang kita bicarakan sebagai isu tadbir urus (tatakelola). Kita boleh adakan pelan struktur, pelan itu harus membantu mengatur, meletakkan asas-asas yang penting tetapi terikat pada pengurusan yang baik, tidak melanggar peraturan-peraturan yang dikenalkan. Kalau tidak, kita ulangi kecelaruan yang lalu.

Saudara-saudari,

  1. Itu yang pertama yang saya sebutkan tentang kita warisi satu keadaan, dan untuk memperbaiki—bukan semua yang berlaku dulu itu salah. Tidak. Kerana dirancang ikut perkembangan masa. Tidak ada rancang seperti mana satu pelan struktur yang tersusun. Jadi itu kita ambil kira.
  1. Keduanya, yang menyebabkan kita mengambil masa ialah kerana kita harus menyantuni semua. Saya sendiri, umpamanya, sepanjang perbicaraan soal pelan struktur, tidak kurang lima kali atau lebih, hanya perbicaraan langsung DBKL dengan saya tentang pelan ini. Dan saya mengarahkan supaya bincang semua pihak, pengusaha, ahli Parlimen, dan tokoh-tokoh masyarakat, tokoh berkepentingan, itulah yang menyebabkan ribuan atau puluhan ribu pandangan dikemukakan. Dan apabila kita muktamadkan pelan ini tentunya ia tidak akan memenuhi hasrat semua pihak. Tetapi yang saya tekankan ialah keperluan menyantuni golongan yang kurang pengaruhnya kepada kita, iaitu golongan berpendapatan rendah, golongan pekerja, peniaga-peniaga kecil, yang juga mahu hidup agak selesa.
  1. Sebab itu saya agak berkeras dalam soal ini tentang Perumahan Rakyat. Dan apabila kita perkenalkan Perumahan Rakyat dalam keadaan yang kekangan yang ada, kita hadapi juga masalah kerana elit yang sudah selesa hidup dalam keadaan yang tersendiri dan mewah, dia tidak mahu diganggu. Dia lupa bahawa bila kita mengambil tanah dahulu peringkat awal itu, kita tidak mengambil kira kedudukan rakyat bawahan, tetapi sekarang apabila dengan keadaan terbatas begitu, dia rasa ada tekanan.
  1. Tentunya kita harus bincang dan santuni tetapi saya nak tekankan di sini kerana ada pengalaman. Kita bangunkan beberapa-beberapa projek perumahan MADANI di mana bantahan itu dari golongan elit. Saya minta mereka faham dan kerjasama kita. Tentunya kita mengambil kira supaya jangan tergugat, terganggu sangat kedudukan mereka. Tetapi mereka harus fikir, di mana hendak letak orang-orang ini? Di mana kita nak pastikan orang-orang yang berpendapatan rendah hidup dengan agak sedikit selesa? Kita kena bangunkan semula. Kita kena mahu mereka merasakan mereka ini juga warga Kuala Lumpur, bukan warga terpinggir di Kuala Lumpur.
  1. Jadi sebab itu saya usulkan supaya Datuk Bandar, Menteri dan Pengarah terus menyantuni perbincangan yang agak teliti, walaupun pada akhirnya kita mungkin tidak bersetuju tetapi harus dengar semua pihak. Dan percayalah, pihak yang paling rendah darjatnya dalam mana-mana kawasan itu, paling kecil pengaruhnya, dan di situlah peranan kita, pimpinan politik dan pengurus untuk memastikan ada keadilan terhadap mereka. Itu perkara yang kedua saya nak tekankan.
  1. Berikutnya ialah, kita juga bernasib baik kerana bila kita berikan pendekatan begini, sambutannya oleh keluarga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu sangat positif. Jadi saya ambil kesempatan ini juga untuk ucap terima kasih dan penghargaan kepada semua keluarga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Kerana saudara-saudara tahu, tahun pertama itu, setelah kita ambil alih, saya bertanggungjawab sebagai Menterinya. Dan kalau saya datang untuk bermesyuarat, pegawai-pegawai kanan itu akan rasa melelahkan mereka. Tetapi seperti mana saudara-saudara, saya mahu keadaan dan keputusan dan pembaharuan yang lebih positif.
  1. Saya selalu ungkapkan, umpamanya, pembangunan ini pembangunan manusiawi. Maknanya mengambil kira kalangan yang terpinggir. Siapa yang peduli sangat soal gerai-gerai, melainkan dekat pilihan raya? Kita kena mula daripada awal. Gerai, warung, restoran kecil itu mendapat sambutan dari 80% lebih rakyat, tetapi perhatian kita kadang-kadang sekadar 20%. Sebab tu kita harus ada sedikit anjakan dan kita berbincang supaya pendekatan itu berubah, itu saja maksudnya.
  1. Satu aspek lagi, ini kota, kota ini kota manusiawi. Sebab itu saya selalu teringatkan apa yang digesa oleh Mark Twain tentang hebatnya gedung-gedung raksasa, tetapi culturally barren – gersang budayanya, tidak ada seninya, tidak ada keindahannya. Itu sebab mengapa perbincangan yang lebih terangkum, menyeluruh, komprehensif perlu diadakan.
  1. Dan kita juga bernasib baik saya katakan tadi. Kita ada ahli-ahli Parlimen yang senior, itu yang mudah ikuti perkembangan Kuala Lumpur sudah 40-50 tahun. Jadi patut mereka juga disantuni. Bagaimana boleh ada anjakan ini. Kita ada Maimunah yang pernah di UN Habitat, daripada UN duduk Kuala Lumpur, nampak Kuala Lumpur macam itu juga, dia belajar apa di UN?, kalau tak ada perubahan.
  1. Sebab tu saya ucap terima kasih kepada beliau kerana menggunakan maklumat, pengalaman yang lalu itu untuk membawa, memberikan sedikit sebanyak penyesuaian dan rombakan. Tidak selalu kita dapat seorang tokoh yang ada pendedahan antarabangsa, benda baru ini.
  1. Kemudian baru-baru ini, Nga Kor Ming sekarang jadi Presiden UN Habitat satu dunia. Bila orang tengok datang, “Oh you are the president, very good, very good but how come your city very dirty?” ataupun, “Your city dirty, don’t manage housing policies and development.”
  1. Jadi ada cabaran juga pada kita memanfaatkan pendedahan itu dan diterjemahkan di peringkat akar umbi, khususnya Kuala Lumpur. Banyak yang telah dibicarakan tadi, saya tidak bermaksud mengulangi apa yang ditekankan soal pembangunan Kuala Lumpur. Tetapi ada beberapa perubahan, umpamanya yang kita tekankan sekarang, sekolah vertikal dalam keadaan terbatas, dulu ada, tetapi sekolah vertikal bagi kita penting. Tapi sekolah vertikal tu bukan nak asak supaya sesak. Tidak, yang selesa, yang baik walaupun di kawasan perumahan.
  1. Dan saya lihat umpamanya, terima kasih Aminuddin, Putrajaya dah mulakan konsep ini. Kemudian dengan kerjasama Menteri KPKT, kita laksanakan di Pulau Pinang, sekolah yang selesa, yang mengambil kira kekangan tanah, tetapi tidak korbankan keselamatan, keindahan, keselesaan pelajar-pelajar.
  1. Maknanya kalau pun sekolah itu di bangunan tinggi, tetapi lif itu harus dikhaskan kepada pelajar-pelajar supaya tidak ganggu keselamatan dan keselesaan mereka. Kemudian bangunan-bangunan tinggi harus ada semua keperluan yang lain, di bawah bukan saja kedai untuk disewa, harus ada tadika. Kalau boleh sekolah, dan klinik Kerajaan. Jadi kemudian kerana itu akan mengurangkan kos. Sebab itu kita melihat dari segi yang lebih komprehensif, terangkum. Dia nak hantar anak dia di sekolah itu, tidak memerlukan kenderaan, tidak memerlukan masa, ganggu soal kerja dia. Jadi sekolah itu berhampiran ataupun di bawah rumah dia.
  1. Itu hal-hal yang kita harus fikirkan outside the box dan ini akan mengurangkan bukan sahaja kos rumah itu, yang penting juga kos perjalanan. Kalau anak dia tiga, saya lihat umpamanya kos perjalanan, sewa bas, ada yang mencecah sehingga RM280 sebulan, atau ada yang lebih. Kalau sekolah tu jauh sedikit, tetapi kalau di kawasan yang sama, ia akan mengurang kos.
  1. Semuanya harus difikirkan kerana soal kos sara hidup itu satu masalah bagi mana-mana negara, mana-mana masyarakat, cari jalan dan saya syukur Alhamdulillah kerana bila kita usulkan hal ini, ia cepat. Sebab itu, segera siapkan di Putrajaya, Pulau Pinang, di Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru dan beberapa parameter itu telah diputuskan oleh perbandaran dan diawasi oleh Kementerian KPKT, tetapi juga Pendidikan kalau melibatkan Pendidikan.
  1. Kos akan jauh lebih rendah, sekolah lebih indah dan selesa, siap lebih cepat. Kalau tidak, bangunan sudah ada, sekolah belum siap. Tapi ini sekolah sekali dengan bangunan itu. Saya juga usulkan kawasan-kawasan yang luas, stesen-stesen MRT umpamanya, boleh dibangunkan. Walaupun adalah cemuhan-cemuhan dan sebagainya. Tapi dalam keadaan kekangan tanah, dengan syarat-syarat yang ketat, keselesaan, kemudahan, itu kan mudah orang turun terus ada tempat kenderaannya.
  1. Jadi ini akan mengurangkan juga isu-isu masalah pengangkutan yang kita hadapi di mana-mana kota besar. Jadi selain daripada apa yang disebutkan, saya berterima kasih kerana beberapa isu utama digariskan dalam PTKL2040 ini termasuk perumahan mampu milik dan kehidupan bandar yang seimbang.
  1. Semalam tatkala kita bincang soal hala tuju Rancangan Malaysia ke-13, YB Nga Kor Ming dia cadangkan jumlah yang agak besar. Saya ingatkan bahawa beberapa puluh tahun yang lalu saya ikuti politik ini, setiap menteri KPKT dia kata akan bangun 200,000 – 300,000, orang bertepuk tangan. Yang siapnya 20,000. Tapi saya ucap terima kasih kerana dengan Kerajaan MADANI ini, dia (YB Nga Kor Ming) sebut 97% (sudah siap), cuba check tengok betul atau tak (nada seloroh). Tapi maknanya memang rumah terbengkalai, rumah yang baru, ini rekod kalau saudara baca dan teliti pembangunan kita sejak puluhan tahun yang lalu, kali ini sudah mencatat rekod. Tetapi seperti mana kita tahu dalam media ini bukan berita menarik. Berita sensasi itu yang penting.
  1. Umpamanya perumahan, rekod dalam sejarah kita dari segi jumlah perumahan mampu milik sejak merdeka belum pernah ada perumahan sebanyak yang telah dibangunkan dalam beberapa tahun yang lalu. Keduanya, soal pengangkutan awam. Jadi dengan kesesakan dan masalah keutamaan yang dijelaskan dalam PTKL ini keutamaan Dewan Bandaraya bukan kenderaan perseorangan tetapi pengangkutan awam. Kita akan ambil keputusan yang memihak kepada majoriti. Sebab itu saya katakan beberapa projek baru dikenal pasti di bawah Kementerian Pengangkutan, MRT dan lain-lain untuk memastikan ia menjadi tulang belakang bandar raya yang boleh memberikan jaminan keselesaan.
  1. Kemudian kita juga bicarakan soal peralihan tenaga. Di mana yang perlu, rumah-rumah baru, perumahan baru mesti menggunakan solar sebahagian besar daripadanya. Itu syarat-syarat baru yang tidak ada dalam peraturan dan perundangan kita dan ini akan menjamin kelestarian bandar raya.
  1. Saya percaya, Bandaraya akan pastikan seperti mana disebut tadi, kawasan lapang. Kawasan lapang kalau di sekolah itu tidak semestinya padang. Ada di satu tingkat di bangunan juga akan memenuhi keperluan pelajar-pelajar. Jadi dia kurang tekanan untuk menggunakan padang walaupun kawasan lapang itu diletakkan sebagai syarat.
  1. Suatu hal yang baru yang belum kita luncurkan secara besar-besaran ialah soal Warisan Kuala Lumpur. Yang memberikan karakter, identiti daripada Bangunan Sultan Abdul Samad ke Keretapi Tanah Melayu, dari Dayabumi sehingga ke Carcosa Seni Negara hujungnya. Itu dibangunkan dan mula dikerjakan di Bangunan Sultan Abdul Samad supaya Kuala Lumpur ini juga kekal dengan watak karakter yang tersendiri. Bukan sahaja dari segi mercu tanda yang tinggi tetapi dari segi keselesaan hijaunya, sejarahnya, warisannya, kawasan yang selesa bagi rakyat biasa berjalan kaki atau naik basikal. Itu akan ditekankan.

Saudara-saudara yang dihormati sekalian

  1. Kita sudah ada sekarang satu projek peluncuran yang moden. Maknanya harus kuat dengan penggunaan digital dan AI, dan Bandaraya telah diarah supaya memenuhi keperluan-keperluan ini. Jadi, sekali lagi saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan, Menteri, Pengarah, Dewan Bandaraya, pegawai-pegawai keseluruhannya termasuk pegawai pusat. Terutamanya keluarga Dewan Bandaraya, saya akui hebatnya dokumen ini, tidak tercapai seandainya keluarga Dewan Bandaraya itu tidak penuh komited untuk menyiapkan.
  1. Jadi dengan lafaz bismillahirrahmanir rahim saya luncurkan PTKL2040.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.