TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2025 PERINGKAT NEGERI PERLIS

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2025

PERINGKAT NEGERI PERLIS

27 APRIL 2025 | AHAD| 4.00 PETANG

DATARAN LOK 9, KUALA PERLIS

KANGAR, PERLIS

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillahilladzi arsala rasulahu bil huda wadinil haqq, Liyudzhirahu ’aladdini kullihi,

Wakafa billahi syahiidaa,

Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim,

Wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen.

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis,

Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra

Jamalulail;

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis,

Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid;

Mengadap Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis,

Tuanku Syed Fai-zud-din Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin;

Mengadap Duli Yang Teramat Raja Puan Muda Perlis,

Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil;

Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh takzimnya menjunjung kasih di atas perkenan Duli-Duli Tuanku berangkat bercemar duli ke Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri Perlis. Dan bagi patik satu penghormatan besar bukan sahaja bagi Negeri Perlis tapi bagi negara Malaysia menunjukkan kesediaan Tuanku bersama sama.

Ampun Tuanku,

Izinkan patik memulakan ucapan dan mengalu-alukan dif-dif yang hadir.

Ampun Tuanku,

Yang Amat Berhormat Tuan Mohd Shukri bin Ramli,

Menteri Besar Perlis dan Yang Amat Berbahagia Puan Najwa binti Othman;

Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail,

Menteri Dalam Negeri;

Speaker; dan

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Perlis;

Yang Berhormat Ahli Jemaah Menteri;

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

  1. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana bukan sahaja majlis ini permai, dihadiri begitu ramai sekali rakyat Perlis. Saya salute semangat dan persahabatan dan ukhuwah rakyat Perlis. Kalau macam ini, saya buat banyak kali dah di Perlis.
  2. Izinkan saya untuk menyampaikan sedikit keadaan perkembangan ekonomi dalam negara seperti kita tahu dalam laporan terkini, pertumbuhan ekonomi negara menggalakkan mencecah 5.1 peratus. Pelaburan kita capai tertinggi yang pernah kita capai dalam sejarah. Inflasi terkawal walaupun kita faham masalah kos sara hidup yang mesti diselesaikan cara yang bijak mengikut keupayaan kita.
  1. Sebab itu peruntukan terbesar dalam Belanjawan MADANI dua tahun atau tiga tahun berturut-turut ialah pertama, dalam dunia pendidikan dan kedua kesihatan. Pendidikan yang harus melakukan beberapa perubahan dan anjakan. Orang gunakan istilah paradigm shift atau anjakan, tapi kadang-kadang dia kurang mengerti, bahawa anjakan ini bermakna perubahan. Kata Einstein “kalau kita tidak bersedia berubah dan anggap kita akan lebih maju, mutu pendidikan lebih tinggi, ia tidak menjadi kenyataan.” Mustahil kita berlaku perubahan atau mengharapkan sesuatu yang lebih baik kalau kita tidak melakukan anjakan besar dalam cara kita mengendali, mentadbir negara lebih efisien elak dari penyelewengan dan rasuah, dan cekap dalam pentadbiran.
  1. Sebab itu Tuanku, patik dalam pembentangan dan perbincangan dengan YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri menggesa supaya tahap kelulusan lebih cepat, pentadbiran dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri dan Persekutuan lebih pantas kerana sementara saya sebut ada kemajuan dalam ekonomi, kita dikejutkan dengan tarif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Dia kenakan kita kenaikkan tarif. Tarif maknanya barang Malaysia yang nak bawa ke Amerika itu jadi mahal. Jadi ini menjadi suatu masalah kepada ekonomi negara.
  1. Syukur alhamdulillah setakat ini diberi, ditangguhkan 90 hari supaya kita boleh bernafas sebentar. Ada negara-negara jiran, Thailand, Cambodia, Vietnam, Indonesia itu ditekan dengan tarif yang jauh lebih tinggi. Kita negara yang mengeluarkan semikonduktor yang besar. Malaysia negara kedua di dunia yang menghasilkan semikonduktor paling tinggi di dunia. Dan eksport kita 60 peratus ke Amerika Syarikat. RM140 bilion ringgit lebih. Jadi sebab itu hubungan antarabangsa dengan Amerika Syarikat dan dengan negara-negara lain harus kekal sederhana supaya jangan menjejaskan kehidupan rakyat, pekerjaan mereka dan pertumbuhan ekonomi.
  1. Untuk apa perkembangan ekonomi ini? Untuk pastikan keselesaan kepada rakyat. Ini kita lakukan. Dalam menangani masalah ini kita ada dua Menteri yang diangkat, kita kirim ke Amerika Syarikat berunding dengan Menteri Perdagangan, Menteri MITI mereka agar Amerika juga faham apa yang kita lakukan dan supaya ada satu tindakan dan keputusan yang lebih adil.
  1. Kita perlu tanya, apakah kita setuju dengan tarif? kita tidak setuju. Malaysia adalah negara dagang, tidak ada negara waima Amerika yang harus menetapkan kadar sewenang-wenang ikut unilateral pendirian mereka. Kita terikat dengan WTO, dengan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, ini apa yang disebut multilateral, kita gabung dengan banyak negara. Tetapi kita terpaksa terima kenyataan dan tangani dengan bijaksana.
  1. Sebab itu saya telah ambil keputusan memanggil sidang khas Parlimen pada 5 Mei ini. Supaya dapat kita terangkan apa langkah-langkah kita ambil, agar dapat dibincang dan ada pandangan daripada ahli-ahli Parlimen bagaimana untuk memperbaiki.
  1. Inilah masa semua parti, semua rakyat fokus ke arah pertumbuhan negara angkat martabat negara ini. Malaysia negara hebat mampu jadi negara contoh di antara negara terbaik di Asia dengan syarat kita bersatu dan bekerja kuat untuk mengangkat martabat ekonomi kita.
  1. Jadi insya-Allah kita bina apa yang disebut domestic economic resilience. Apa maknanya? maknanya kekuatan dalaman harus ada, latihan harus dirobah, anak-anak mesti kuasai STEM, mesti tingkatkan keupayaan TVET, mesti masuk lapangan kejuruteraan, AI (artificial intelligence), digital, dan mesti ikuti perkembangan ekonomi dan jangan diheret atau bincang isu-isu yang boleh memecah dan melemahkan kita.
  1. Kalau asyik dengar ceramah, gaduh sahaja, benci sahaja, padahal kita ada kekuatan. Bangunkan kekuatan kita, bina negara ini, dan fikir masa depan negara ini, 10 tahun lagi, 20 tahun lagi ke mana nak dibawa rakyat dan anak muda kita. Nak kekal tahap ini, gaduh soal-soal kaum, soal tafsiran ataupun angkat martabat supaya sama-sama kita menjadi sebahagian daripada negara yang maju dan sanggup menangani ujian semasa.
  1. Rakan-rakan di muliakan, untuk Perlis, Tuanku Raja Muda tanya apa hendak umum katanya? Saya dah umum tadi dalam mesyuarat. Tapi saya nak sebut faktanya. Terima kasihlah kerana Menteri Besar Muhammad Syukri bagi kerjasama yang baik. Kadang-kadang disesetengah tempat itu dikecam kita seolah-olah kita meminggirkan negeri. Apa faedah saya meminggirkan mana-mana negeri. Sebab itu saya ambil kesempatan ini untuk berikan angka. Ini tidak boleh didusta sampailah ke mana ceramah mana kampung pun jangan ubah angka ini, kerana angka ini bukti kita jaga semua negeri Johor, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang kita bantu.
  1. Jadi, untuk apa yang disebut pemberian tahunan Negeri Perlis, saya bagi contoh tahun 2022 sebelum Kerajaan MADANI ambil alih. Berapa peruntukannya? RM168.4 juta ringgit. Berapa pertambahan pada tahun 2023 bila kita ambil alih, RM182.3 juta ringgit. Tahun 2024, peningkatan 25%. Memang Perlis secara relatif peruntukannya tidak besar kerana jumlah penduduknya juga terbatas. Tetapi pertambahan ataupun penambahan dari segi peratus, Perlis ialah di antara tertinggi 25% bagi tahun 2024 berjumlah RM210.6 juta ringgit.
  1. Baik, pembangunan, kerana ini Tuanku dengan pengalaman di peringkat Persekutuan dan Negeri memang memantau kemajuan bukan di Perlis, dan di peringkat negara dan kearifan, kebijaksanaan Tuanku itu tidak boleh kita pertikai kerana pengalamannya panjang. Dan oleh itu, beliau lebih arif bila kita beri angka-angka ini. Umpamanya, peruntukan pembangunan, tahun 2022, RM391.91 juta ringgit sebelum saya ambil. Bila saya ambil alih, dalam tempoh satu tahun, saya naikkan peruntukan untuk negeri Perlis dari RM391 juta ringgit kepada RM596.82 juta ringgit. Dan untuk 2024 lonjakan tertinggi dari segi peratus. Berapa jumlah peruntukan kepada Perlis? RM645.58 juta, kenaikan 65%.
  1. Jadi, apakah ini mencukupi? Jawapannya tidak. Apakah tidak ada masalah? Ada. Tengah bersantap dengan Tuanku, sebut pasal sekolah sukan. Lemas saya nak jawab. Kerana dah berbelas tahun dah, sukan tak dak, sekolah pun tak dak. Jadi akhirnya saya putuskan, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) ada. Kita batalkan semua langkah yang sekarang. Kita lantik syarikat yang di bawah syarikat Kerajaan, Khazanah atau PNB, yang punyai kewibawaan, dan bagi arahan untuk menyegerakan tahun ini juga memulakan pelaksanaan projek ini dengan kadar segera, dengan peruntukan apa yang perlu untuk menyiapkan Sekolah Sukan di Negeri Perlis.
  1. Saya ingat bila santap dengan Tuanku ini, rupanya ada dia bagi tugas-tugas tambahan. Baik. Selain daripada itu, kita ada program SARA, Sumbangan Asas Rahmah. Ramai yang di sini tadi saya tanya, dia dapat. Iaitu peruntukan tambahan untuk negara RM3 bilion, tahun ini untuk rakyat miskin RM13 bilion. Jadi jangan kata tidak ada.
  1. Untuk kenaikan sistem saraan gaji pegawai-pegawai yang telah berkhidmat dan kita minta dia kerja lebih kuat, lebih efisien. Tambahan gaji tahun ini RM10 bilion ringgit, tahun depan tambahan Sistem Saraan RM18 bilion. Ada orang kata, belum ada buat apa-apa. Saya nak beritahu gaji dan kenaikan ini adalah kenaikan tertinggi dalam sejarah untuk pegawai-pegawai kerajaan, guru, tentera, polis dan semuanya.
  1. Baik, kemudian, kita ada projek apa yang disebut i-SARA kita tambah mulai 1 April 2025, setiap isi rumah dapat RM100 sebulan. Betul tak? Terima kasih. Syukur alhamdulillah dan kita kena juga kena ingat, terima kasih sahaja tak apa, tetapi, “la’in shakartum, la azeedannakum, wa la’in kafartum, inn’azaabee lashadeed”. Maknanya mesti syukur kehadrat Allah Taala, kerja dengan kuat dengan ikhlas jaga keluarga, anak-anak dengan begitu baik.
  1. Baik, untuk Perlis, tambahan itu ketara sekali. Kalau tahun 2024, yang dapat bantuan i-SARA ini adalah seramai 25,682 orang. Tahun ini daripada 25,000 naik 62,292 orang. Maknanya di Perlis ini, yang dapat RM100 sebulan ini, 62,000 orang. Saya sebutkan ini supaya rakyat tahu kita ikhtiar lagi, kerja lagi, dapat hasil lebih baik, kerja dengan cekap, baik penjawat awam, pekerja kilang, pesawah, nelayan supaya hasil itu akan memberi pulangan kepada rakyat.
  1. Tentang projek-projek tambahan, tadi kita bincang termasuk Pelaburan Sanglang yang menjadi fokus kita, ia tergendala kerana kajian itu mengambil masa lebih panjang, itu tentu. Dan Perlis Inland Port (PIP) itu semua berjalan mengikut jadual. Saya ucap terima kasih kepada semua Kementerian dan Jabatan berkenaan termasuk Kerajaan Negeri.
  2. Jadi, sekian saya nak sampaikan penghargaan kepada semua dan tentunya satu pengiktirafan dan terima kasih atas kehadiran ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda.

Terima kasih banyak.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.