TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENAIKTARAFAN LAPANGAN TERBANG SULTAN AZLAN SHAH

 TEKS UCAPAN VERBATIM

  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS PERASMIAN PENAMBAHBAIKAN

DAN PENAIKTARAFAN LAPANGAN TERBANG SULTAN AZLAN SHAH

 

 

25 APRIL 2025 | JUMAAT | 12.00 TENGAHARI

LAPANGAN TERBANG SULTAN AZLAN SHAH, IPOH

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, nahmaduhu wanusolli ala rasulihil kareem.

Yang Amat Berhormat Dato’ Saarani bin Mohamad,

Menteri Besar Perak;

YB Tuan Anthony Loke Siew Fook,

Menteri Pengangkutan;

YB Tuan Nga Kor Ming,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim,

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan;

YBhg. Dato’ Mohd Izani bin Ghani,

Pengarah Urusan Malaysia Airports;

KSU dan rakan-rakan.

  1. Hari ini kita dapat menyaksikan satu lagi langkah MAHB untuk meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Ipoh menjadi lebih baik dari segi penaiktarafan dan ini tentunya akan membantu dalam banyak hal, perdagangan, perusahaan, pelancongan Ipoh. Saya ucap terima kasih kerana kalau dulu bila kita nak besarkan Lapangan Terbang Ipoh, ia tergendala kerana kita rasa pesawat dari Kuala Lumpur ke Ipoh itu tidak banyak. Orang kadang-kadang pilih untuk gunakan kenderaan biasa. Tetapi sekarang ini kita fikir lebih luas, dari Senai, dari Singapura dan mungkin diperluaskan di rantau dan di kawasan-kawasan lain, Kota Kinabalu, Kuching umpamanya. Ini akan berikan tarikan yang tersendiri untuk lapangan terbang.
  1. Lapangan terbang seperti mana ada juga industri pengangkutan umumnya adalah sangat strategik. Sebab itu ia diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan, itu dianggap utama kerana kalau tengok dari segi belanjawan negara, kos untuk pembinaan pengangkutan baik lebuh raya, ECRL, lapangan terbang, itu menelan kos yang sangat tinggi. Tetapi kita terpaksa usahakan kerana ia adalah satu yang strategik dari segi perkembangan pembangunan negara dan juga dari segi pelancongan.
  1. Dan sekarang, dengan adanya beberapa langkah dan inisiatif swasta ataupun syarikat-syarikat sendiri perundingannya, seperti mana syarikat MAHB, itu akan mengurangkan tekanan beban Kerajaan kerana rangkaian ini dapat diusahakan dengan dana, seperti mana naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak ini, dengan sendirinya memberikan ruang kepada MAHB dan tidak membebankan dana Kerajaan.
  1. Walau bagaimanapun, kerjasama yang diberikan melalui Menteri dan Kementerian Pengangkutan, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri sangat kritikal. Oleh itu, saya ambil kesempatan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kerana, seperti mana yang saudara perhatikan, Lapangan Terbang ni kebetulan dekat Tambun, Perak. Jadi saya dipaksa untuk hadir, dan saya senang untuk hadir.
  1. Jadi ini satu permulaan kepada Dato’ Mohd Izani Ghani, saya ucap terima kasih, dan seluruh staf, kerjalah dengan baik, dengan efisien kerana setiap sumbangan saudara itu ada ertinya kepada keluarga saudara, kepada keluarga seluruh negara kita.
  1. Malaysia, hari ini mencatat beberapa angka yang membanggakan dari segi pertumbuhan, dari segi pelaburan dan dari segi peningkatan jumlah pelancongan yang berlipat kali ganda, termasuk ke Perak, khususnya Ipoh dan persekitarannya.
  1. Baik, tetapi kita tidak juga mengandaikan tidak ada cabaran. Paling akhir ialah dengan pengumuman tarif oleh Presiden Donald J. Trump. Apakah kita harus mengeluh atau mengambil langkah-langkah sendiri? Dalam hubungan dan perbincangan saya dengan pemimpin-pemimpin ASEAN, dan baru-baru ini dengan Presiden Xi Jinping, esok lusa Presiden Maldives, lepas itu Presiden Kosovo, kemudian Presiden Pakistan itu akan kunjung ke Malaysia dan berunding dengan kita.
  1. Kita bersepakat bahawa yang pertama, yang paling penting ialah membina keupayaan dalaman domestik kita. Membina keyakinan rakyat bahawa kita mampu berdikari, mampu membangun dengan kekuatan kita dan jaringan yang bertambah di ASEAN, di rantau Asia dengan China, dengan India, di Australia, Jepun, Korea dan membuka pasaran-pasaran baru di Eropah, dan sekarang kita kian rapat dengan Brazil.
  1. Dua malam sudah, saya dalam talian berbincang dengan Setiausaha Agung Gutierrez, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Presiden Brazil, Presiden Turkiye di antara lain, membincangkan bagaimana kita boleh kembangkan pasaran kita, tingkatkan pelancongan dalaman, di antara hujah penting dalam ASEAN adalah bagaimana kita boleh tingkatkan pelancongan di kalangan intra-ASEAN. Sebab itu kita bersaing dengan kemudahan dan prasarana lebih baik, dan tahap kecekapan semua pegawai.
  1. Sekian dahulu, saya nak ucap terima kasih kerana Menteri Besar dah bagi isyarat — saya nak pergi sembahyang Jumaat selepas ini. Maka saya sekadar datang menghargai jasa dan khidmat saudara-saudara, dan mendoakan kepada Allah SWT mudah-mudahan cita-cita murni kita menjadikan markas di Ipoh ini sebagai pusat pembangunan dan pelancongan yang penting di Perak Darul Ridzuan.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.