TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN PECAH TANAH PROJEK PERUMAHAN MAMPU MILIK & PERUMAHAN BELIA MADANI OLEH SYARIKAT BMG GLOBAL SDN BHD

 

 

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN PECAH TANAH
PROJEK PERUMAHAN MAMPU MILIK &

PERUMAHAN BELIA MADANI

OLEH SYARIKAT BMG GLOBAL SDN BHD

 

 

29 APRIL 2025 | SELASA | 2.30 PETANG

TAPAK PEMBANGUNAN RUMAH MAMPU MILIK

DI MUKIM BATU, KUALA LUMPUR

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera.

Alhamdulillah,

Nahmaduhu wausolli ala rasulillah karim

Waala alihi wasahbihi ajmain.

Saudara Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming,

YB Datuk Seri Dr. Zaleha, Menteri Wilayah Persekutuan,

YBhg. Dato’ Seri TPr. (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur,

Ketua Setiausaha, Ahli Parlimen dan rakan-rakan dimuliakan.

Terutama juga tetamu Kehormat kita Panglima Angkatan Tentera. Jarang Panglima Angkatan Tentera datang ini, tetapi di Batu istimewa sikit, terima kasih. 

  1. Datuk Mohd Nizam ini jadi kepala dan di antara permintaan ialah supaya menjaga kepentingan anggota tentera di bawah. Kita kadang-kadang dalam mesyuarat dan perbincangan, kita bincang kepentingan-kepentingan di atas. Sebab itu, untuk Polis, Tentera, Pegawai-pegawai Dewan Bandaraya, masyarakat bawahan ini, inilah projek yang kita luncurkan hari ini.
  1. Dalam beberapa majlis sebelum ini setiap kali berbicara soal pembangunan kota, saya tekankan pembangunan ini, bukan dengan mercu tanda yang tinggi, bukan dengan projek-projek gagah dan mega, pembangunan itu harus memberi erti kepada rakyat. Sebab itu, dalam usaha kita membangun dalam negara MADANI ini kita tekankan kepentingan pembangunan manusia yang disebut pembangunan insan, manusiawi.
  1. Kalau lihat umpamanya di Kuala Lumpur, berapa peratus yang makan di restoran 5 bintang? berapa peratus yang makan di gerai dan warung, jawabnya lebih 80% di gerai, warung dan restoran-restoran kecil. Kalau begitu, mengapa dalam perancangan pembangunan kita kurang beri penekanan kepada projek yang memberikan faedah kepada majoriti rakyat.
  1. Perumahan, orang yang ada wang dia mahu duduki rumah harga RM5 juta, RM10 juta itu hak dia. Negara kita memberi ruang yang secukupnya. Tetapi tanggungjawab Kerajaan dan Dewan Bandaraya dalam mengendali projek-projek seperti yang diusahakan oleh YB Ng Kor Ming, mesti beri penekanan kerana jumlah yang tunggu hendak dapat rumah yang munasabah, yang mampu milik, yang memenuhi selera dan kepentingan rakyat itu sangat sedikit. Sebab itulah dalam dasar Kerajaan MADANI sejak lebih dua (2) tahun yang lalu, saya katakan mana-mana projek rumah swasta nak dibangunkan jangan kita halang. Kerja kita percepatkan, siapa mampu dia beli, mahal pun mahal.
  1. Tetapi harus ada dasar yang jelas dari kalangan pemerintah dan pegawai, penjawat awam untuk memberi penekanan hal ini, kalau tidak apa erti pembangunan. Pembangunan kalau tidak akan menyebabkan kelompok yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana. Pandai maknanya orang ini dengar ceramah saya dulu di Batu ini, (nada seloroh). Jadi yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana. Jadi dia kata ada kesenjangan di antara kelompok yang terus mendapat faedah dan golongan yang ramai itu tersisih.
  1. Sebab itu pendekatan seperti ini sangat penting. Tidak selesai dengan rumah di Batu dan di Kepong. Tidak selesai dengan 1 – 2 projek Rumah MADANI, mesti ada perancangan yang jelas. Ini yang disebut oleh Saudara Nga Kor Ming sebentar tadi. Kalau kita umum 20 tahun yang lalu, 400,000, 500,000 tidak pernah tercapai kerana dia memerlukan pimpinan yang ada tekad politik yang jelas. Bangunkan rumah orang kaya, kadang-kadang komisen yang lebih tinggi, bangunkan rumah-rumah kos rendah, komisyennya sangat kecil. Jadi hendak pilih apa? hendak pilih komisen atau nak pilih hendak jaga rakyat. Saya katakan Kerajaan ini mesti jaga supaya kepentingan rakyat mendapat pembelaan.
  1. Ada orang tanya dan katakan kita tidak berbuat apa-apa. Tidak benar. Kita rancang, penjawat awam yang peringkat rendah ramai di sini. Bertugas di Dewan Bandaraya, penguatkuasa, anggota Tentera di peringkat bawah, Polis. Saudara tahu, bila kita buat sistem saraan yang baru ini, belum pernah begitu, sudah 12 tahun pegawai-pegawai kita tunggu, tidak naik gaji, kita buat, ambil keputusan yang besar. Tapi dalam buat kajian ini kita tentukan gaji naik. Tapi saya kata menteri tidak boleh, tidak termasuk, potong 20% lagi. Pegawai-pegawai yang tinggi naik sedikit, jadi Tuan Haji Nizam, Panglima Angkatan Tentera jangan marah saya, memang naik sedikit saja. Tetapi yang di bawah naik banyak. Datuk Bandar pun naik sikit sahaja, tapi yang bawah naik sampai ada 15%, 20%%, 30%. Sebab apa? sebab gaji mereka terlalu rendah. Hidup Kuala Lumpur dengan masalah pelbagai.
  1. Sebab itu saya kata pemimpin, wakil rakyat, menteri, pegawai-pegawai kanan mesti sekali sekala turun ke bawah. Apa yang kita lakukan? tiap pemimpin, tiap pegawai tinggi, kita minta dia ambil satu Kampung Angkat. Balik ke kampung, balik kawasan bandar yang miskin, perhati masalah dia, masalah sekolah, masjid, parit, pendidikan anak-anak yang gagal, masalah dadah, masalah jenayah semua harus difikirkan. Barulah boleh kita angkat martabat rakyat ini. Kerana pemimpin dan wakil itu bukan sahaja prihatin tetapi faham.
  1. Jadi balik kepada soal perumahan, begitu juga, saya dengar sudah berpuluh tahun. Masa saya Menteri Kewangan dahulu, 25 tahun yang lalu, apa yang kita lakukan? di Kerinci, di Wangsa Maju, di Gombak perumahan rakyat. Lepas itu ada dilakukan tetapi sedikit, sedikit. Jadi saya kata 20 tahun 25 tahun tidak ada perkembangan, masa saya Menteri Kewangan dulu rumah-rumah untuk Polis dan Tentera ditingkatkan, belum cukup tapi itu permulaan beberapa projek. Saya ingat lagi untuk Polis, RM600 juta itu diluluskan pada satu tahun semasa saya Menteri Kewangan. Kemudian dia jadi malap. Sebab itu dalam Jemaah Menteri saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yang bangkitkan isu ini kalau di bandar, di Kuala Lumpur, Dr. Zaleha sering membangkitkan, KPKT Menteri ini gagah sikit. Jadi, dia tekankan hal ini dan kita beri seluruh sokongan.
  1. Tidak akan ada ketenangan sosial, masalah kegelisahan orang, makan mahal, tempat gerai hendak cari makan tidam ada, kalau ada tidak bersih, sebab apa? namanya gerai, jadi gerai harus buruk. harus bumbungnya bocor, harus kerusinya goyang-goyang. Rumah tidak cukup kalau ada macam Pangsapuri Sri Perlis sejak tahun 60-an sampai sekarang begitulah keadaannya. Bila kita hendak ubah, perbaiki kehidupan mereka, biar tiap rumah minima tiga (3) bilik, dua (2) kamar mandi, tandas, wah, ada yang bantah, ada yang hendak jadi pejuang-pejuang, masa inilah, hendak jadi pejuang Melayu. Masa orang itu rumah duduk dalam keadaan teruk tidak terawas kamu tidak perjuangkan. Sekarang kita hendak buat sesuatu, kamu bising, kita hendak bantu rakyat yang susah. Memang saya marah sedikit. Tidak banyaklah, marah sikit, Perdana Menteri tidak boleh garang macam dulu (nada berseloroh).
  1. Baik dulu saya sampai ke warung-warung ini, sampai ke Batu cakap soal perumahan rakyat. Sekarang saya Perdana Menteri, tengok keadaan macam itu juga. Tahun bila siap? tahun 60-an, berapa bilik? satu bilik, berapa tandas? satu tandas. Kemudian hendak suruh saya duduk diam? tidak buat apa-apa, hendak buat kena ada undang-undang. Bukan kita rampas tanah Melayu, bukan kita rampas rizab Melayu. Kita jaga kepentingan mereka, saya tidak boleh lari mana, ini darah memang darah Melayu. Tetapi kita sebagai rakyat Malaysia, jaga Melayu, jaga Cina jaga India, jaga orang Sabah, Sarawak apa masalah dia? jaga semua, supaya aman damai.
  1. Jadi, saya ambil kesempatan ini, Nasir ya, sabar kejap, Nasir kata bila hendak cakap pasal BMG dengan nasir ini? nanti ok, ok don’t worry, sudah lulus pun cuma hendak kena cepat ini, lambat hang jaga nasir. (nada berseloroh). Saya ada beritahu Datuk Bandar kalau lambat jaga! kita letak dia di padang. Panglima Tentera ada, saya tidak apa. Panglima Angkatan Tentera ada, denda lari keliling 100 kali.
  1. Baik balik pada soal ini, penting, jadi orang kita janganlah semua nak dipolitik. Tak buat apa! Anwar tak buat apa! Cakap bohong! tak jaga rakyat! Nak buat dia maki hamun dan cuba dihalang! Tanya dia, ini rumah orang miskin nak buat apa? Ada dia cadang? Tak ada! Ada dia kemukakan cadangan alternatif? Tidak ada! Jadi saudara-saudara kena fikir. Apa erti duduk dengan jawatan tinggi begini? Tapi tidak mempunyai upaya untuk berbuat sesuatu untuk perbaiki kehidupan rakyat. Dengar kita dengar.
  1. Jadi saya harap bagi kerjasama. Bagi kerjasama untuk bangunkan. Gunakan ruang yang baik dan ini memerlukan belanja besar. Kita belanja besar untuk pendidikan. Fikir dan tengok. Sekolah-sekolah kita daif, tandas rosak. Siapa peduli puluh tahun ini? Setiap sekolah ada tandas bocor, tandas tak boleh guna. Siapa belajar? Anak kita! Cucu kita! Jadi saya kata mesti berbuat sesuatu.
  1. Pada tahun 2023, Kementerian Pendidikan sahaja belanja dekat RM 1 bilion. Campur dengan KPKT jadi RM 1.23 bilion, hanya untuk baiki tandas sekolah. Kemudian gerai, saya beritahu Datuk Bandar, sebelumnya dan sekarang, saya tak mahu satu gerai dalam 2, 3 bulan. Bersihkan, baiki bumbung. Ini orang bawah nak makan. Orang ramai nak guna. Biar bersih! Biar ada air! Biar tempatnya ada bumbung yang selesa! Dicat dengan cantik! Ini yang saya kata perubahan yang harus berlaku di Kuala Lumpur. Tak apa tidak ada mercu tanda. Orang kata Anwar tak ada bangunan. Saya tak peduli imej bangunan apa. Saya nak bangga kalau masa Anwar Perdana Menteri, rumah rakyat naik! Gerai-gerai diperbaiki! Itulah tanda yang lebih baik.
  1. Saya ambil kesempatan ini menjelaskan, kerana saya tidak fikir wajar kita layan pandangan-pandangan meleset ini. Kita harus tumpu perhatian kita untuk bangunkan negara ini. Bukan mudah! Tahun lalu kita catat baik. Pertumbuhan yang agak baik. Pelaburan terbaik dalam sejarah kita. Tetapi, mari pula tarif Trump! Dia kenakan cukai tinggi untuk barang-barang kita. Kita runding. Ada masalah tidak mudah. Saya akan jelaskan soal tarif ini di Parlimen pada 5 haribulan.
  1. Tapi saya nak tunjukkan maknanya kita kena bersatu. Orang melayu, ini ramai orang Melayu di sini saya hendak sebut, kita tak gagah dengan mencaci orang lain. Kita tak akan berjaya, tidak akan dapat rumah baik hanya kerana kita caci orang Cina, hina orang India. Tidak! Kita mampu angkat darjat kita kalau kita istiqamah pendirian kita. Betulkan akidah kita. Perbaiki akhlak kita. Jaga supaya pemimpin-pemimpin, menteri-menteri, pegawai-pegawai jangan kerja sakau wang rakyat. Bagi projek sikit nak sapu diri sendiri dulu. Ini yang merosakkan orang Melayu. Ada sedikit peluang, kaya raya. Nak lulus plot ratio satu, ini sekian jumlah dia RM 500,000! RM 200,000! Jahanam negara ini!
  1. Jadi saudara-saudara faham mengapa saya ambil sikap yang keras dalam hal ni. Tapi yang penting projek jalan. Setiap bulan mesti ada projek besar perumahan yang saya minta diselaraskan oleh YB Nga Kor Ming, Menteri KPKT. Baik di bandar raya sini ataupun Kuala Lumpur, di Pulau Pinang, di Johor Bahru, di Kuching atau Kota Kinabalu mesti naik. Barulah kita tengok rakyat.
  1. Kemudian dari semasa ke semasa, Datuk Bandar jelaskan. Kelulusan mesti cepat. Pegawai mesti lebih efisyen. Penguatkuasa mesti bersih. Jangan duduk curi duit rakyat. Jaga kepentingan negara kita dari peringkat rendah sampai ke atas. Kalau ini kita lakukan sebagai satu pasukan, Insya-Allah, negara ini baru boleh jadi baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur. Kalau tidak kita jadi slogan, kerja malas, kerja maki orang sana, maki sini. Cadangan tidak ada. Jadi sebab. itu kita kena ubah.
  1. Jadi balik kepada projek perumahan yang kita pecah tanah hari ini. Nasir ya, jangan bimbang. Kerana BMG ini syarikat bumiputera. Tender dia menang. Ini hampir 9 ekar tanah, ada kawasan masjid, dewan, ada perumahan, ada kawasan hijau dan ada tapak permainan. Kerana rumah-rumah ni boleh buat rumah, tapi rumah itu orang kita duduk. Biarlah selesa sikit. Mentang-mentanglah dia itu kelompok miskin, duduk rumah macam sarang burung. Kemudian, tempat main tak ada, padang tidak ada, apa pun tidak ada. Jadi sebab itu kita kena buat perubahan ini. Betullah, tidak ada taman idah, tak adalah. Bayar sikit untuk taman macam Taman Istana itu tidak boleh lah! Tapi ada perhatian.
  1. Bahkan di beberapa tempat macam di Pulau Pinang kerana unit itu besar, dia bagi kesemua kemudahan. Kolam, anak-anak boleh belajar berenang, tempat permainan. Jadi kita fikir semua sedaya-upaya. Mengapa boleh kita lakukan? Kerana kita tak fikir komisyen. Kita tak fikir dan izinkan wang itu dicuri. Ada wang untuk pulang kepada rakyat. Untung biar munasabah.
  1. Jadi ini yang saya nak gesa dan hari ini kita pecah tanah. Saya nak supaya projek ini dijalankan segera. Apa-apa peraturan dan kelulusan, Nasir kena cepat. Saya tidak setuju nak lancar-lancar rumah, orang datang tepuk tangan semua, selepas itu hilang 2, 3 bulan. No! Jadi Datuk bandar terang kepada saya minggu depan, apa dia peringkat pelaksanaan projek ini? Boleh ya?
  1. Dia kata, apa datang sekali-sekali di Batu, dia marah. Bukan! Saya nak satu kejayaan dan sekurang-kurangnya keluarga tentera yang peringkat bawah dia pun tahu lah kita ambil tahu sikit. Nak bagi banyak sangat tak boleh. 10-15% tentera, 10% polis, pegawai Bandaraya yang di bawah. Kalau bagi semua benda ini, jadi rakyat yang lain yang bukan anak polis, bukan tentera nak dapat apa? Jadi kita kena jaga supaya dapat dibangunkan dan memberikan faedah kepada semua. 
  1. Dan yang lain, perancangan itu seperti yang diluluskan, harus dibangunkan sebagai suatu konsep yang menyeluruh. Saya ambil berat sangat pelaksanaan. Kalau boleh lulus dalam masa 2 minggu semua siap, tidak perlu ambil masa 2 bulan. Biar pegawai yang berkenaan dan jangan sangat leceh dengan karenah tak tentu arah. Kemudian buat appointment minggu ini, tangguh minggu depan, minggu 2 lagi! Tak boleh kerja macam itu lagi! Sebab itu, kalau saya luncurkan seperti projek hari ini ataupun yang saya bersama macam di Pulau Pinang, saya nak pastikan kita tahu bila diluncurkan, bila mula dilaksanakan, apa progres, apa masalah dihadapi dan yang penting juga keselesaan penduduk.
  1. Macam di sini, 3 bilik dan 2 bilik mandi, itu memang minima. Sebab kalau macam Seri Perlis. Seri Perlis itu saya ada sebut banyak kali dan saya pernah pergi, ada terbakar sekali dulu saya pergi. Allahu Rabbi, teruknya! Masa itu saya belum Perdana Menteri. Jadi saya terfikir, ish! apa nak jadi kalau bila saya jadi Perdana Menteri. Takkan nak biar macam itu. Itulah yang menyebabkan saya minta supaya KPKT buat pindaan undang-undang, kita bangunkan. Orang yang duduk di situ dapat rumah balik. Bukan kita nak usir dia. Dan untuk percepatkan saya minta YB Nga Kor Meng, Menteri KPKT selaraskan program ini.
  1. Jadi projek Seri Perlis ini diselaraskan bersama dengan Menteri Wilayah, Datuk Bandar, dan ICU supaya pelaksanaan projek Seri Perlis dapat dipercepatkan. Itu lebih besar dan sebagai contoh bagaimana kita boleh bangunkan semula! Tapi di sini Nasir, saya harap dan doa insya-Allah masjid Salahuddin al-Ayyubi, kita ikut prosesnya, dan setelah dipersetujui Majlis Agama Wilayah Persekutuan, saya akan angkat untuk pertimbangan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertua Agong untuk menamakan masjid kenangan sahabat kita Salahuddin. Salahuddin itu nama ‘salah’ – kemenangan, kejayaan dan ‘din’ – Salahuddin al-Ayyubi. Jadi, insya-Allah kita akan kemukakan.
  1. Tapi saya tekankan sekali lagi keperluan memastikan projek jalan lancar ikut jadual, kerana orang nak tunggu rumah dan belum ada rumah itu tak sabar lagi dah tunggu. Jadi, sekian dengan doa kepada Allah SWT mudah-mudahan dapat restu, hidayah dari Allah SWT.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.