
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN WARISAN KL
“WARISAN IBU KOTA MALAYSIA MADANI”
MEMAKNAKAN & MEMULIHARA PUSAT BANDAR KUALA LUMPUR SEBAGAI DAERAH KREATIF DAN KEBUDAYAAN
25 APRIL 2025 | JUMAAT | 10.00 PAGI
AUDITORIUM DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI
Alhamdulillah,
Nahmaduhu Wa Nusali Ala Rasoolilah Kareem
Waala alihi wasahbihi ajmain.
Saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan);
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
YBhg. Dato’ Seri Maimunah binti Mohd Sharif
Datuk Bandar Kuala Lumpur;
Tuan-Tuan Yang Terutama;
Rakan-rakan yang menyelenggarakan dari Khazanah Nasional dan semua agensi terlibat, Think City.
- Hari ini kita mengangkat martabat Ibu Kota kita sebagai Kota Warisan dan selalu dalam perbicaraan tentang kota pembangunan, saya selalu menukil hujah pemikir filasuf Mark Twain, tatkala beliau mula mengunjungi Washington DC kerana beliau kagum dengan pembangunan yang baharu yang hebat tetapi beliau menyebut, impressive structure but culturally barren, gersang dari segi budayanya.
- Satu kota itu harus hidup segar dengan fizikal yang menarik, menawan sesuai dengan perkembangan teknologi dan zaman, tetapi juga harus mengakar kepada tradisi dan budayanya. Sebab itu dalam falsafah pendidikan, saya selalu tekankan, memang kita tidak akan maju kalau kita tidak menggapai langit, teknologi baharu, digital, artificial intelligence (AI), bicara tentang transisi tenaga, harus dan wajib kita segerakan.
- Tetapi menggapai langit itu harus mengakar ke bumi. Mengakar ke bumi tu ertinya faham sejarah, faham budaya, faham nilai, faham akhlak dan ini mengizinkan dan membenarkan kita menjadi, mempertahankan nilai manusiawi. Mengangkat karamah insan walakad karramna bani adam dan bila Al-quran sebut insan itu karamah itu, manusia. Jangan kita cuba meremehkan kedudukan mana-mana golongan atau kaum.
- Jadi ini kalau ikut falsafah MADANI yang kita cuba terjemahkan dalam warisan. Memang ada usaha-usaha yang lalu yang kita harus iktiraf. Tetapi sejak 2 tahun yang lalu dengan mula memberikan satu arahan, pandangan kepada Khazanah untuk menerajui projek ini dan kita rasa kalau benar kita serius untuk menekankan identiti supaya Kuala Lumpur itu unik. Keunikannya bukan kerana bangunannya Twin Tower sahaja, keunikannya itu kerana identitinya moden, technologically savvy dan bergerak mengikut tuntutan zaman dengan ainya, tetapi ada kelainannya, orang kenangnya kerana dia pertahankan sejarah budaya, nilai, kepelbagaiannya akarnya tentu seperti Kuala Lumpur saudara tahu dalam di kalangan pengkaji sejarah itu kita tahu ada percubaan zaman penjajah, apa yang disebut menulis sejarah mengikut pandangan mereka bahawa sejarah itu hanya bermakna, moden, membangun dengan kehadiran penjajah.
- Kita tidak mewakili pandangan begitu, sebab itu perlu umpamanya seperti mana yang pernah dikupas oleh sarjana kaji masyarakat Profesor Hussein Alatas yang menyebut tentang deconstruction of Malaysian history. Maka kita rangka semula melihat faktanya, peranan Raja Abdullah buka Kuala Lumpur kemudian disertai oleh tokoh-tokoh pembesar bangsawan lainnya dan kemudian diikuti dengan kehadiran yang Yap Ah Loy kemudiannya dan berikutnya kehadiran masyarakat India bersama. Jadi kita tidak lihat sejarah ini sebagai sejarah yang terpencil ataupun sejarah satu kaum. Tapi tidak harus memadam atau memungkiri kenyataan bahawa pertumbuhan asalnya itu yang diterokai oleh Raja Abdullah kemudian dihebatkan dengan gedung Bangunan Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor ketika itu. Ini semua harus menjadi suatu bahan yang membanggakan kita. Kemudian dengan tokoh-tokoh peniaga seperti Yap Ah Loy yang juga membantu kemudian menyemarakkan dan menyegarkan dari segi kota dengan kegiatan dagang yang mula pesat.
- Oleh itu, warisan ni harus diteliti. Sebab itu, saya telah mengangkat supaya jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh YB Datuk Seri Dr. Zaleha, Menteri Wilayah Persekutuan dan YB Datuk Seri Amir Hamzah, Menteri Kewangan Kedua. Jadi dia suatu fokus nasional dan penglibatan besarnya tentu Khazanah dan saya ucap terima kasih kepada YBhg. Dato’ Amirul Faisal dan seluruh pasukan Khazanah kerana telah melabur dengan besar hampir RM700 juta untuk sekitar yang dipertanggungjawabkan kepada Khazanah yang tentunya bukan elemen komersial dari sudut kepentingan Khazanah terbatas tetapi komersial akhirnya kerana ia akan menarik pelancongan dan sebagainya. Tetapi ini adalah satu khidmat yang boleh membantu mengangkat martabat dan negara kita sebagai Warisan Kuala Lumpur.
- Kemudian sepertimana saudara tahu dia saya harus akui kerana saya telah kembangkan projek itu saya umpamanya stesen keretaapi. Maknanya kita perlukan kerjasama Khazanah tadi termasukkan Carcosa Seri Negara dan orang yang ikuti Carcosa itu saya agak ada sentimental sikit, kerana masa saya muda, Ketua Pemuda UMNO ketika itu, saya telah menuntut supaya pihak Inggeris menyerah semula Carcosa itu kepada negara Malaysia dan sedikit sumbangan.
- Jadi saya terima kasih kerana Khazanah telah dapat merangka satu projek yang agak menarik bukan sahaja Carcosa Seri Negara tetapi persekitaran dengan mempertahankan kehijauannya persekitaran dan harmoni di antara keperluan fizikal dengan alam sekitar.
- Dari segi Kerajaan dan KTMB saya katakan akan masukkan program ini dalam KTMB dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur itu dalam kerangka besar kita maknanya bukan lagi terikat kepada satu kawasan yang terbatas, tapi laluannya itu jauh lebih besar.
- Kemudian saudara tahu juga kalau kita minta umpamanya PNB, Merdeka 118, walaupun ada perancangan yang lama tetapi ada beberapa perubahan yang kita harus lakukan untuk memungkinkan ia berkembang selari dan sinergi dengan kerangka besar kita tentang Kota Warisan ini. Tentunya Daya Bumi teringkat dan Daya Bumi itu milik Petronas yang memerlukan penyertaan Petronas untuk memastikan Daya Bumi diperindah dan diubahsuai di mana perlu untuk memastikan ia mengekalkan semangat warisan ini.
- Saya ucap sekali lagi terima kasih kerana rakan-rakan menyegerakan pelaksanaannya selalu kalau unjuran Khazanah kalau dia kata hendak siap Jun 2026 saya kata mengapa tidak boleh siap Disember 2025. Itu dia kata ada masalah, itu masalah dia (nada berseloroh). Jadi saya ucap terima kasih kerana mereka ambil berat dan saya sudah minta diberikan ruang kepada Pengerusi bersama Datuk Bandar dan rakan-rakan termasuk Khazanah, PNB, KTMB untuk menjadikan ini program segera. Kita mahu Malaysia itu memulakan suatu kerangka perancangan yang moden yang teknologi baharu tetapi mengakar ke bumi dengan warisan dan budayanya, nilainya, yang memberi kemudahan kepada rakyat terbanyak. Perancangan-perancangan kita ini selalunya di atas di kalangan golongan elit, kita fikirkan gedung-gedung besar dan rakyat bangga tapi kemudahan kepada rakyat apa ya? dia melancong? dia melihat, oh hebat tingginya. Tetapi restoran kecilnya, warung-warungnya, gerai gerainya, perumahannya, tempat permainan anak anaknya, kemudahan perpustakaannya, gedung-gedung sejarah yang boleh dikaji dan digali itu hampir tidak ada.
- Maka, sebab itu perancangan kita ini mesti perancangan yang secara langsung dan tuntas, memusatkan kepada keperluan negara moden tetapi tidak boleh meminggirkan rakyat. Sebab itu seperti saya tekankan kepada bandar raya, saya tidak boleh terima projek hebat megah dengan gedung-gedung besar dan perkasa itu pandangan orang lain. Saya mahu gedung-gedung kecil termasuk gerai-gerai dan warung-warung yang bersih tetapi mematuhi syarat-syarat ketat, indah dan memuliakan rakyat yang 75%, 80% gunakan.
- Bayangkan ya, dan kita tidak menolak bahawa untuk Malaysia menarik atau Kuala Lumpur menarik penyertaan pelancong dan juga rakyat umumnya termasuk golongan elit atasan. Dia perlukan hotel bintang tujuh biarlah atau kita rasa restoran yang megah dan hebat tak ada masalah. Dia makan dia bayar, itu soal dia. Tetapi jangan kita fikir pembangunan ini bererti pemusatan ke arah itu, padahal 80% rakyat itu di gerai, di warung, di restoran kecil. Jadi ini diberi perhatian tapi ala kadar. Padahal kalau dilihat staf kita kebanyakan dari golongan itu. Kalau pun tidak terlalu rendah peringkat menengah. Sebab itu saya kata kita tukar mind set. Ya dan ini harus dilakukan dan saya ucap terima kasih kerana tekanan ini memberi kesan dan ada perubahan-perubahan yang dilakukan.
- Kalau orang tanya saya nak bangga Kuala Lumpur dengan apa? Gedung besar? Ya, tetapi saya akan lebih bangga kerana majoriti rakyat itu boleh mendapat rumah yang selesa, majoriti rakyat akan mendapat peluang makan dengan kadar yang lebih murah dengan gerai-gerai yang disewa murah tetapi bersih dan indah. Ini baru memaknai MADANI. Saya tidak mahu jadi MADANI itu sebagai slogan lunak tapi tidak memberi bekas.
- Jadi kalau saya tanya nilai saya tentang prestasi bandaraya Kuala Lumpur saya lihat ini dulu apa faedah langsung kepada rakyat? Maka itulah sebabnya maka Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini mengusulkan pindaan akta pembaharuan perumahan yang menimbulkan kontroversi yang saya kurang mengerti. Mengapa harus dibantah? Orang yang biasa di Kuala Lumpur bukan saya kena hotel-hotel bintang 5 dan 7 tetapi dengan kawasan perumahan rakyat akan tahu bahawa sebahagian besar rakyat kita hidup sangat sederhana dan ada yang telah di flat PPR yang berusia sudah 50 tahun. Ada yang flat, saya tahu kawan-kawan di PDRM punya masalah kerana kawasan sesak, tidak selesa, masalah sosial yang berat, dadah dan disiplin dan pelbagai kerana tekanan begitu rupa.
- Tanggungjawab kita dengan keselesaan yang ada dengan masalah yang ada tetapi mesti ada tumpuan mesti bangunkan semula perumahan itu. Itukan dijadikan bahan politik, caci, mencaci, merampas tanah Melayu, agenda Cina untuk mengusir Melayu dari kota.
- Saya tidak mengerti politik begini kerana yang status tanah tidak berubah. Apakah itu tanah rizab Melayu kekal? Bukan tanah itu rizab emas Malaysia, Malay agricultural settlement, kekal terhadap kekal. Tetapi perlulah flat Sri Perlis yang paling pada pandangan saya paling melemaskan, saya tidak bangga sebagai seorang Perdana Menteri. Kalau tidak dapat melakukan apa-apa untuk bangunkan semula flat Seri Perlis. Jadi saya ambil sikap yang sedemikian.
- Bila dibangunkan 1961, ya ada baiknya keadaan itu. Itulah upaya negara pada masa itu. Kemudian sekarang 2025 satu kamar, satu bilik, satu bilik mandi, satu tandas. Anak enam, kadang-kadang lebih dan hidup dalam keadaan tidak ada kemudahan-kemudahan asas di bawah. Jadi saudari-saudari sebab itu kita kena pinda untuk menjamin mereka ini mendapat rumah baru di tempat yang sama atau lebih kurang kawasan yang sekitar dengan minima tiga kamar, tiga bilik, minima 2 dua bilik air, tandas. Apa dia masalahnya, harganya maknanya daripada RM70,000 – RM80,000 sekarang sampai RM300,000 banyak perubahan. Tentu dalam transisi itu Bandar Raya dan harus pastikan rumah sementara itu ada kemudahan-kemudahan yang baik lebih kurang seperti hidup dalam 2 tahun sebelum dibangunkan dan ini kebijaksanaan tentang tahap kelulusan sebaik sahaja kita luluskan.
- Kita harus ambil tindakan yang segera, menyegerakan, melewatkan pelaksanaan tiga bulan bermakna sengsara keluarga itu tiga bulan. Bayangkan kalau kita di situ rumah tidak siap, tiga bulan Tangguh, enam bulan tangguh. Saya kalau ada pegawai-pegawai yang terlibat, saya hendak hantar pegawai itu hidup di rumah sementara itu baru dia tahu bagaimana sengsara dan seksa orang terpaksa menunggu. Jadi ini sebabnya mengapa kita ambil tindakan yang tegas. Apa kita tidak boleh? Boleh. Apa kita tidak mampu percepatkan? Mampu kita percepatkan.
- Saya bagi contoh umpamanya baru-baru ini Dr. Zaleha Dato’ Maimumah tahu kita laksanakan Projek Perumahan MADANI. Saya tahu kalau biasanya lapan bulan kaji situ, so ada sahaja alasannya. Kena tengok itu, pelan itu tengok dan macam-macamlah ha. Tapi saya tahu cara dia. Saya kata PM akan laksanakan pada tarikh sekian. 46 hari daripada jadual saya bagi. Boleh siap pula, kelulusan dapat, kecekapan semua pantas wah, luar biasa (nada berseloroh). Saya salute kerana mampu kita lakukan sesuatu yang belum dapat dilakukan sebelum ini. Tapi mengapa harus projek yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri sahaja boleh disiapkan begitu cepat? Saya bukan ada saham dalam projek itu tapi saya fikirkan kemudahan kepada pengguna. Di Pulau Pinang. ada projek perumahan MADANI yang saya akan luncurkan awal Jun, Insya-Allah.
- Saya beritahu pada mulanya saya akan luncurkann pada pertengahan Mei dan memang saya tahu tidak akan pertengahan Mei saya boleh lakukan awal Jun. Saudara, Majlis Perbandaran Seberang Perai siapkan semua kelulusan dalam tempoh 36 hari. Apa maknanya? Kita mampu lakukan. Tahap kepantasan ini kerana ini bererti kita memenuhi tanggungjawab. Ya, tetapi tentu syarat-syarat disiapkan kerana kalau kita terlalu luntur, pemaju-pemaju pun ada agenda dia.
- Jadi kita harus tegas. Kalau kamu siapkan dengan semua pelan dan syarat-syarat dipenuhi, kita boleh persiapkan cepat dan ini bermakna kos akan dikurangkan dan tidak dibebankan penghuni. Jadi saya harap rakan-rakan dalam Khazanah, PNB, KTMB, Datuk Bandar, Pengerusi faham maksud saya bila saya bagi contoh-contoh ini dalam konteks Warisan Kuala Lumpur. Bukan sahaja kita hendak Indah tapi it can be done fast. Dengan indah, tetapi dengan kepesatan, kerana kita dah ketinggalan lama.
- Ada projek kalau kita lihat umpamanya ya bertahun-tahun dah jalan tapi tepi sikit, tepi situ, jadi bila siap tahun 2055. Hampir kiamat sudah masa itu. Jadi sebab itu saya minta kerjasama rakan- rakan untuk menyegerakan dan saya betul-betul sangat hargai usaha telah dilakukan. Satu perancangan yang indah kita harus sentiasa melihat perbaiki tapi jangan lupa nilai kita. Sebab itu soal nilai ini penting, kita ada kelainan kita bukan kerana gedung. Kelainan kita kerana kefahaman kita tentang apa erti teknologi baru, apa erti budaya dan erti nilai dalam kehidupan.
- Keselesaan sebenar ialah keselesaan kepada majoriti rakyat. Bangunan ini atau warisan ini mesti menjamin keselesaan kepada majoriti rakyat, kawasan hijau, keselamatan mereka, keindahannya, padangnya dan berkesempatan orang berjalan yang berbasikal. Ini bagi kita satu kota yang moden, baru dan bukan untuk memenuhi mana-mana kelas tapi memenuhi keperluan semua rakyat.
- Jadi, bagi saya ini satu detik bersejarah walaupun sudah kita angkat ke kedudukan dia yang dipengerusikan oleh dua Menteri dan penglibatan besar Dewan Bandaraya, PNB, Khazanah, KTM. Bayangkan ini sebahagian yang lain, saya dah berulang kali, saya bawa hal ini dalam Jemaah Menteri kerana kalau ini berhasil betul dan ini menjadi mercu tanda dan contoh model terbaik pembangunan semua kota di negara kita.
Terima kasih, Assalamualaikum warahmatullah.
Similar Posts:
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA