TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2024
21 JULAI 2024 (AHAD)
CYBER EVENT HALL,
CYBERJAYA, SELANGOR
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.
Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem.
Saudara YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil,
Selaku Pengerusi Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia;
Saudara YAB Dato’ Seri Amirudin Shari,
Menteri Besar Selangor;
Rakan-rakan Menteri;
Saudara YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
Timbalan-timbalan Menteri;
Pegawai-pegawai; dan
Saudara-saudari termasuk Komuniti MADANI dari seluruh negara.
- Merdeka ini hanya difahami, mampu dimengerti dan dimaknai sekiranya kita menyingkap lembaran sejarah. Tidak ada negara yang merdeka secara tidak semena-mena, ia memerlukan pengorbanan, visi dan wawasan pemimpin-pemimpin terdahulu dengan keringat, darah dan air mata. Ia menuntut pengorbanan tentera, polis yang pada masa itu dipanggil homeguard, pejuang-pejuang kebangsaan dan ramai rakyat dalam mempertahankan negara.
- Dalam perjuangan, ratusan malah ribuan yang dipenjara di Singapura dan di Pudu. Ramai yang disingkir dari jabatan, dari pegawai dan majistret, kemudiannya hidup sebagai seorang penulis.
- Jangan kita lupa, anak-anak muda harus mengerti kemerdekaan itu dibayar dengan darah, air mata dan keringat. Kemerdekaan itu tercapai dengan pengorbanan. Generasi tidak dituntut pengorbanan sebegitu, tidak dituntut pengorbanan darah tetapi kita tugaskan kepada pasukan keselamatan jauh di perbatasan, lautan dan belantara untuk menjaga keselamatan dan mempertahankan negara.
- Apa erti kemerdekaan jika jenis pimpinan yang kita pilih itu sama dengan penjajah? Guna kuasa, merampok kekayaan dalam negara dan kalau pun diambil adalah untuk kepentingan mereka atau untuk negara mereka. Seluruh kemegahan di United Kingdom, seluruh kemegahan Raja-raja Inggeris itu dari harta kita, pengorbanan bapa-bapa dan ibu-ibu kita, dan dari harta negara-negara yang dijajah seperti India dan Pakistan.
- Dimanakah harta kekayaan di Perancis? Dari penjajahan yang mereka rompak dari negara-negara Afrika dan Asia. Satu bilion, dua bilion dan puluhan bilion. Itu harga kemerdekaan. Kita mengajar kemerdekaan dari segi tarikh. Apabila ada rundingan, ada yang bercerita kisah Mat Kilau, ada yang di Perak yang membunuh J.W.W Birch, ada perjanjian 1824, itu hanya catatan tarikh-tarikh dan sejarah.
- Namun bagi rakyat, rakyat yang terbanyak yang memastikan wujud dan tercapainya kemerdekaan kerana pengorbanan ramai rakyat. Apa yang boleh sang raja atau ketua atau pemimpin lakukan kalau tidak dengan dukungan rakyatnya? Pada masa itu saudara-saudara, rakyatnya juga mempunyai kesedaran. Apakah mereka ini pandai? Tidak. Sekolah Menengah pun tidak ada. Adakah mereka pintar dengan ilmu dengan kepakaran dan kemahiran? tidak ada. Berapa orang yang sampai ke universiti? Berapa orang yang dianggap alim? tidak ada, tetapi yang ada ialah semangat dan daya juang, keikhlasan, dan cita-cita murni. Mereka mahu negara ini pada masa itu Tanah Melayu menjadi negara merdeka, hebat dipimpin oleh anak-anak bangsa yang cinta kepada negara mereka. Itu sahaja yang ada.
- Jadi saudara-saudara, sebab itu kita tekankan dalam tema Malaysia MADANI ini, jiwa merdeka kerana kalau jiwa dan semangat itu tidak digilap, ia akan pudar. Dan yang menjamin hebat jati diri Malaysia ini, jiwa kita. Ada yang telah berjuang. Saya tegaskan bukan untuk diganti dengan orang yang guna kuasa yang tolak ansur. Sehingga sekarang ada yang diberi amanah, diberi amanah untuk menjaga jabatan, menjaga kementerian, menjaga negara tetapi digunakan untuk memperkayakan diri mereka, keluarga mereka atau kroni mereka. Apa bezanya dengan pegawai penjajah? Apa bezanya? Mana akhlak Islamnya? Mana kecintaan kebangsaan negaranya?
- Sebab itu saudara-saudara, apabila kita sebut jiwa merdeka, kita nak tanam semangat di kalangan rakyat bahawa negara ini tidak mungkin tercapai kemerdekaan kalau tidak dengan pengorbanan dan tidak dengan kekuatan semua di negara ini.
- Kemerdekaan dicapai dengan kekuatan induk orang-orang Melayu dan perjuangan kebangsaan dengan penyertaan orang Cina dan India yang memilih untuk bersama menjadikan Malaya ini satu kekuatan baharu, menyingkir Inggeris dan merdeka bersama. Kemudian bersama dengan suku-suku kaum Sabah dan Sarawak menjadikan Malaysia iaitu negeri hebat dan gemilang. Oleh itu, mari kita pupuk perpaduan ini, kita kekal dan kuatkan tunggak-tunggak yang utama.
- Semalam, negara menyaksikan satu detik sejarah yang unik di dunia iaitu peralihan jawatan Yang di-Pertuan Agong dilakukan melalui proses yang ditetapkan dalam perlembagaan dan kita memperoleh seorang tokoh raja berdaulat, Tuanku Sultan Ibrahim yang telah dinobatkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi negara Malaysia tercinta. Berlaku dengan penuh istiadat, penuh kehebatan dan kemegahan. Payung untuk mempertahankan perlembagaan negara, mengikat perpaduan, menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, memartabatkan Bahasa Melayu dan menjamin hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera. Ini dilakukan dengan jaminan yang saya sebut dalam ucapan taat setia semalam untuk mempertahankan hak setiap warganegara dari semua kaum, semua kawasan dan negeri di Malaysia tercinta ini. Ini saudara-saudara yang harus kita lakukan.
- Jadi kalau dulu pengorbanannya besar, apalah sukarnya bagi kita kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda hebat dan taat setia kita kepada negara gagah Malaysia ini. Jadi mulai hari ini, Komuniti MADANI, setiap jabatan, setiap kedai, setiap warung, kaya miskin kota dan desa, setiap rakyat, kita nak pastikan tunjuk kamu itu bersama jiwa merdeka, hebatkan Malaysia!
- Saya percaya, kita bagi mesej yang jelas. Apa yang sukarnya kalau ketimbang orang dahulu mengorbankan segala-galanya, ibu-ibu di kampung memberikan rantai dan perhiasan mereka, jadi tabung untuk perjuangan dan pada tahun 1955, menjadi tabung untuk penerbangan pemimpin-pemimpin ke London dan pulang kerana kos terlalu tinggi. Itu pengorbanan mereka. Dahulu bagi cincin untuk perjuangan, sekarang saya tidak sambung (nada seloroh).
- Kena ingat supaya jangan ada keterlanjuran. Kita tidak minta cincin, yang hadir sini jangan bimbang. Saya tidak minta jam, tidak minta cincin. Yang saya minta hanya kibarkan Jalur Gemilang. Boleh? Boleh? Jadi kita kena pastikan dan kalau orang yang enggan, kirim salam kepada mereka.
- Ini bukan isu kaum, parti, kedudukan atau pekerjaan? Ini soal jati diri, soal maruah, soal harga diri. Ini satu negara apabila merdeka kibaran bendera itu meluas di seluruh negara, dipasang di setiap gerai, warung, rumah dan pondok, di setiap sekolah, masjid, kuil, gereja dan tiap jabatan. Jadi pastikan kita menjadikan tahun ini sebagai tahun kita mempamerkan kemegahan rakyat dan negara kita. Tentunya ada lagi ruang sepanjang bulan ini kita kibar, Kemerdekaan Tanah Melayu, 31 Ogos dan pembentukan negara Malaysia, negeri-negeri Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak, 16 September.
Saudara dan saudari sekalian,
- Tahun ini sambutan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia akan disambut di Kota Kinabalu, Sabah. Maka dari seluruh negeri-negeri Semenanjung dari Perlis sampai Johor, Sabah dan Sarawak, pastikan tidak ada yang ketinggalan untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan saya percaya tahun ini kita berikan petanda yang baharu.
- Tan Sri KSN akan pantau di jabatan, Menteri-menteri di setiap kementerian, Komuniti MADANI di setiap komuniti dan saya pastikan kerajaan-kerajaan negeri dan pemimpin-pemimpin agama, pemimpin masyarakat, dan sektor swasta juga tidak terkecuali kerana sering kali sektor swasta ini sumbangannya besar, tidak boleh kita perkecilkan. Akan tetapi kadang-kadang, mereka anggap hal ini agak remeh. Kerja mereka hanya berniaga dan catat keuntungan. Saya hendak beritahu mereka, kalau negeri ini tidak aman, niaga mereka tidak untung. Kalau tidak ada pengorbanan tentera dan polis serta pasukan keselamatan di perbatasan, tidak ada pelaburan baharu.
- Jadi tunjukkanlah dukungan kamu termasuk sektor swasta dan kedai-kedai swasta untuk bersama dengan rakyat dan negara mengibarkan Jalur Gemilang dan kita tidak mahu ada sikap tolak ansur. Saya harap mesej ini jelas kepada mereka. Kita akan siarkan berulangan di televisyen dan media sosial kerana dalam hal ini kita bersatu.
- Saya tidak gunakan platform ini untuk menyinggung apa-apa yang berbeda pendapat tetapi satu pendirian, satu sikap dan satu matlamat untuk angkat martabat negara Malaysia sebagai negara gemilang di rantau ini, insya-Allah.
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- KEMENTERIAN, AGENSI DIGESA TINGKAT KECEKAPAN UNTUK RAKYAT
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- MALAYSIA KECAM PENINDASAN BERTERUSAN ISRAEL KE ATAS WARGA PALESTIN