TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : ISTIADAT PERTABALAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII

TEKS UCAPAN

YAB PERDANA MENTERI

DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

SEMPENA

ISTIADAT PERTABALAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA

SERI PADUKA BAGINDA

YANG DI-PERTUAN AGONG XVII

PADA

SABTU, 20 JULAI 2024

BERSAMAAN 14 MUHARRAM 1446 HIJRIAH

BERTEMPAT DI

ISTANA NEGARA

KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa bihi Nastai’n,

Selawat dan Salam ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat-sahabat Baginda sekalian,

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, TYT Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

1.     Dengan penuh hormat dan takzimnya, Kerajaan serta sekalian rakyat jelata, mohon merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah di atas pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia SPB Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia SPB Raja Zarith Sofiah sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

2.     Sesungguhnya, pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada hari ini mencatat lembaran sejarah yang Insya-Allah akan mampu mengangkat martabat negara. Kerajaan dan seluruh rakyat jelata berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia SPB Tuanku Berdua serta kerabat, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya, kekal karar di atas singgahsana pemerintahan, juga beroleh ‘afiyah dan penuh kedaulatan.

3.     Seyogia dikenang juga jasa dan khidmat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang telah menaungi pemerintahan dengan amanah dan secara bijaksana.

Ampun Tuanku,

4.     Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tonggak kekuatan negara dan rakyat pelbagai kaum selain berperanan sebagai penaung agama Islam, sebagai agama Persekutuan, pengukuh kedudukan bahasa Melayu dan pembela hak dan keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera, di samping menjamin kesaksamaan dan keadilan bagi semua warga dalam memaknai prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

5.     Tuanku turut berperanan dalam menjamin jalinan erat di antara negara di peringkat ASEAN, negara-negara Islam dan di peringkat antarabangsa.

Ampuan Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

6.     Di bawah naungan Tuanku, Kerajaan dan rakyat akan mengharungi liku gelora ekonomi dunia melalui prakarsa baharu yang mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Langkah-langkah tegas seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI telah mencetus kadar pertumbuhan yang memberangsangkan dengan tercatatnya 5.8 peratus bagi suku kedua tahun ini. Momentum segar ini diperkukuh dengan angka nilai perdagangan bernilai RM1.396 trilion, sementara nilai pelaburan baharu yang diluluskan adalah sebanyak RM83.7 bilion untuk suku pertama tahun ini, yakni 13 peratus lebih tinggi ketimbang RM74.1 bilion pada tahun lalu.

7.     Arakian, ikhtiar diteruskan dengan pendekatan yang menekankan reformasi pendidikan dan kesihatan melalui peningkatan tahap dan kualiti prasarana, aspek penguasaan bahasa Inggeris serta penerokaan bidang-bidang baharu seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI), transformasi digital dan transisi tenaga.

8.     Selain itu, berkat kerjasama semua agensi dan jabatan-jabatan Kerajaan, kita bersyukur kerana usaha menoktahkan kemiskinan tegar akan terjelma pada akhir bulan ini di samping Kerajaan terus akan memberikan penekanan kepada isu perumahan rakyat dan permasalahan kos sara hidup.

Ampun Tuanku.

9.     Dalam usaha mewujudkan reformasi dan transformasi dewasa ini, Kerajaan akan terus konsisten dalam menekankan nilai-nilai murni, pemantapan akhlak dan pengukuhan jati diri bangsa selain tumpuan diberikan kepada aspek meningkatkan kecintaan dan kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Ampun Tuanku.

10.     Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah mahkota negara dan rakyat yang mampu mengikat semangat kesatuan dan perpaduan dan dimuliakan sebagai mercu keihsanan. Justeru, Patik bagi pihak Kerajaan serta rakyat sekalian juga berikrar akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada Tuanku serta berdoa semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala melimpahkan KDYM SPB Berdua inayah dan rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum.

Warahmatullahi Wabarakatuh. Ampun Tuanku.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.