TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI
2 MEI 2024 (KHAMIS) | 8.00 MALAM
PERKARANGAN PUSAT TRANSFORMASI LUAR BANDAR (RTC) TUNJONG, KOTA BAHARU, KELANTAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitaaba
Wa lam yaj’al lahuu ‘iwajaa
Usolli Wasallim Ala Rasoolil Kareem
Wa’ala alihi wa sahbihi ajma’een
YAB Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud,
Menteri Besar Kelantan;
YB Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad’
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam;
YB Datuk Seri Mohamad Sabu,
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;
YB Datuk Seri Tiong King Sing,
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya;
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
YB Dato’ Haji Nazran bin Muhammad,
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan;
YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
YB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad bin Yakob,
Mantan Menteri Besar Kelantan;
Pegawai-pegawai Kanan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah kita dapat bersama-sama pada malam ini dan saya ucapkan terima kasih bagi pihak Kerajaan Persekutuan, Kementerian Sumber Asli, Ketua Pengarah ICU, kepada saudara Ustaz Nassuruddin Daud, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri kerana sambutan yang diberikan, kerjasama yang diberikan serta persahabatan yang kian akrab di antara kita. Terima kasih.
- Malam ini kita adakan Majlis Aidilfitri MADANI 2024 peringkat Negeri Kelantan dan kalau saudara telaah, mendengar teliti pesan Ustaz Nassuruddin, Menteri Besar, jelas peringatan kaitannya dengan madrasah Ramadan ’la’allakum tattaqun’ supaya peningkatan ketakwaan kita, akhlak kita, nilai kita dan ruah perjuangan kita itu ditingkatkan setelah melalui sekolah Ramadan selama satu bulan. Mudah-mudahan majlis kita memperingati juga keperluan umat Islam untuk memaknai erti Ramadan dari segi kerohaniannya, dari segi akhlak dan nilainya, dari semangat dan daya juangnya dan dari segi ihsan, kasih sayang kepada rakyat terutama yang memerlukan pembelaan dari kita.
Saudara-saudara yang dihormati sekalian,
- Sebentar tadi Datuk Menteri Besar bersama Ahli Majlis Kerajaan Negeri, SUK dan Pegawai-pegawai Kanan bersama dengan Menteri-menteri, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan duduk berunding. Dan saya beritahu tadi Datuk Menteri Besar, jarang sekali malah ini mungkin kali pertama di mana ada rundingan secara langsung. Bukan sahaja di antara Menteri-menteri dan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri tapi semua Pegawai Kanan, KSN, KPPA, KSP, KSU daripada beberapa Kementerian dan Jabatan yang menunjukkan bahawa masa untuk kita bekerja melaksanakan janji kita dan cuba manfaatkan waktu, kekuatan dan usaha yang kita ada untuk membela nasib rakyat termasuk rakyat negeri Kelantan.
- Perbincangan ini amat bermakna kerana harus ada kesediaan negeri mendengar dasar yang terpakai untuk seluruh negara. Di samping itu, pimpinan Kerajaan Persekutuan mendengar apa keutamaan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri untuk menjaga kepentingan rakyat. Jadi sebab itu saya setuju dengan Dato’ Ustaz Nassuruddin, kita ketepikan perbedaan-perbedaan politik dan tumpu masalah rakyat. Dan tidak benar sama sekali tohmahan yang mengatakan bahawa kita mengabaikan mana-mana negeri.
- Tahun lalu depan Dato’ Ahmad Yakob saya beritahu tentang berapa jumlah peruntukan. Kita tekankan tebatan banjir kerana itu masalah besar, bekalan air kepada rakyat masalah besar dan dengan kemarau yang berpanjangan memerlukan beberapa tindakan segera. Di antaranya ialah paip di Sungai Kelantan itu yang disediakan selama ini sudah tidak mencukupi kerana paras air telah turun. Maka dicadangkan oleh Menteri Besar dan Kerajaan Negeri supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan belanja untuk membeli paip-paip baru segera supaya membolehkan kita sedut air untuk kebaikan penggunaan rakyat Kelantan dan pertanian terutama sawah-sawah padi. Saya telah memberi arahan supaya paip yang sekitar RM20 juta satu itu segera diberikan, disediakan untuk negeri Kelantan.
- Penekanan saya termasuk menoktahkan kemiskinan tegar. Ada orang pertikai kebijaksanaan tapi saudara, bagaimana boleh saudara harapkan kita jadi pemimpin, makan dan tidur dengan selesa dan kita tahu sebahagian daripada rakyat kita bukan sekadar miskin, miskin tegar. Tak cukup makan, tak cukup beli pakaian, tak cukup persediaan untuk anak-anak ke sekolah. Maka sebab itu saya minta senarai berapa lagi yang termasuk dalam kategori miskin tegar. Maka disebut sekitar 1,000 lebih dan saya beritahu supaya Kerajaan Persekutuan terutama diselaraskan oleh ICU dengan seluruh jentera Kerajaan Kelantan menyegerakan dan saya beri tempoh 2 bulan lagi supaya seluruh jumlah 1,000 lebih itu dapat dinoktahkan supaya mereka boleh hidup sekurang-kurangnya sebagai orang miskin, dia tidak sebagai miskin tegar yang tak cukup makan. Jadi Ketua Pengarah ICU beritahu dia boleh selesaikan dalam 2 bulan bersama dengan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri.
- Jadi saya ucap terima kasih kepada SUK dan KPICU kerana kita tidak mahu ketinggalan. Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Johor ini telah dapat mencatat sebelum akhir bulan ini apa yang dikatakan noktah, sifar kemiskinan tegar.
- Saya tekankan juga tentang keperluan membina pusat-pusat perniagaan. Kita ada di Kuala Lumpur umpamanya bangunan-bangunan pencakar langit, restoran-restoran 7 bintang, 5 bintang. Kita ada hotel-hotel di Kota Bharu, tetapi majoriti rakyat masih di gerai dan di warung. Sebab itu dasar Kerajaan Persekutuan sekarang termasuk melalui KPKT dan Majlis Perbandaran ialah menjamin supaya taraf gerai itu ditingkatkan. Di Kuala Lumpur sudah 90 warung dan gerai itu kita tingkatkan taraf supaya bersih, indah dan selesa kerana ini dimanfaatkan oleh lebih 80% rakyat kita. Inilah sebabnya mengapa amanah yang kita pikul ini mesti dimanfaatkan untuk dikerjakan dan mesti bukan sahaja bil lisan, tetapi bil amal dan masalah kita itu adalah untuk melaksanakan cita-cita.
- Pagi tadi saudara-saudara, Satya Nadella, Pengurus Besar Eksekutif Microsoft, satu syarikat yang mungkin memiliki sekitar 3 trilion, 3 kali ganda lebih kaya dari Malaysia, datang jumpa saya di pejabat dan saya panggil semua Jemaah-jemaah Menteri dan Pegawai-pegawai Kanan untuk dengar bersama. Microsoft lihat Malaysia, politiknya stabil dasarnya jelas dan oleh yang demikian, beliau mengumumkan pelaburan di antara pelaburan terbesar USD2.2 bilion iaitu RM10.5 bilion untuk Malaysia. Dia akan melatih 300,000 rakyat Malaysia. Saya cadangkan dia bekerjasama sinergi dengan universiti tempatan dan TVET dan saya minta dia menjadi penasihat dalam soal digital dan AI (Artificial Intelligence).
- Saudara-saudara, ini tuntutan zaman sekarang. Kalau kita tidak tumpu dalam bidang-bidang ini, kita akan jauh ketinggalan. Tapi di depan dia tadi, di depan pimpinan negara saya sebut apa kebimbangan kita. Soal nilai, soal akhlak, soal identiti kita sebagai Malaysia, soal budaya kita. Bagaimana dengan AI ini? Maka sementara kita menggapai langit, teknologi baru ini, kita mesti juga berupaya pertahankan akidah kita, akhlak kita, kefahaman agama kita supaya yang dimasukkan dalam seluruh korpus ilmu AI itu tidak lari daripada kehendak kita. Jadi jawapannya pada kita, maknanya anak-anak kita sama ada di Maahad Tahfiz atau di TVET atau di universiti mesti diberikan kesempatan bersama menguasai ilmu baru ini agar kita tidak ketinggalan.
- Malaysia sekarang kekurangan 30,000 jurutera. Justeru, TVET kita mesti tingkatkan. Dan sebab itu saya beri jaminan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan rakyat Kelantan. Baik melalui TVET atau latihan kejuruteraan atau latihan untuk AI, kita akan beri ruang yang sama kepada anak-anak Kelantan untuk dapat menguasai bidang ilmu ini. Kalau tidak kita akan ketinggalan. Baik dari segi Kerajaan kita tengok queue orang nak daftar minta sijil tanah, nak minta masuk Imigresen atau Kastam, semua terpaksa beratur begitu panjang. Dengan AI, insya-Allah kita boleh baiki baik dari segi pemerintahan iaitu Jabatan Kerajaan dan sebagainya.
- Saudara-saudara, sekarang ini Malaysia punyai keupayaan. Dua malam yang lalu saya sampai daripada Riyadh dijemput oleh Putera Diraja Perdana Menteri Mohammad bin Salman, hadir dalam Forum Ekonomi Dunia. Tapi saya ambil kesempatan itu bincang dengan mereka tentang pelaburan. Aramco syarikat minyak terbesar Arab Saudi dan di antara syarikat minyak terbesar dunia melabur di Johor, USD8 bilion iaitu RM35 bilion. Saya berjumpa dengan Pengurus Kanan Acwa Power, syarikat tenaga terbesar, Mohammad Abunayyan yang bersetuju untuk melabur RM10 bilion bermula di Melaka dan di Kerian. Saya jumpa dengan Perdana Menteri Qatar, saya tak tinggalkan Kelantan, Dato’ Menteri Besar. Saya di Jepun, saya jumpa ROHM-Wako Electronics, saya bagi galakkan supaya dikembangkan fasa kedua pelaburan di Kelantan. Dengan Perdana Menteri Qatar, Baladna berminat untuk melabur dan saya cadangkan selain daripada mana-mana tempat yang dipilih, saya cadangkan dia ke Kelantan. Dia beritahu dia minta kerjasama Kerajaan Negeri memudahkan perolehan tanah supaya dapat dikembangkan industri pertanian besar di Kelantan.
- Saudara-saudara, ini faktanya. Kadang-kadang saudara dengar di sebaliknya. Saya tidak pun dapat mandat daripada Kerajaan Negeri Kelantan, tapi saya anggap ini tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri untuk bantu semua sedaya upaya kita. Dua hari yang lalu saya umumkan kenaikan gaji atau upah dalam Sistem Persaraan Penjawat Awam. 12 tahun tidak ada kajian yang teliti dan peningkatan pendapatan mereka. Ada orang tegur, ‘Bagaimana nelayan? Bagaimana pekebun kecil? Bagaimana pesawah?’. Saudara-saudara, sejak saya ambil alih, pesawah dari RM300 kita naikkan jadi RM500 harga padi. Pekebun kecil getah kita tingkatkan, nelayan kita tingkatkan, STR untuk rakyat Malaysia, 9 juta rakyat Malaysia mendapat peruntukan langsung tunai yang terkumpul RM10 bilion. Jadi tidak benar kalau kita katakan bahawa kita kesampingkan rakyat hanya fikir penjawat awam. Penjawat awam itu di bawah jagaan langsung Kerajaan. Kita nak laksanakan projek, nak laksanakan keputusan mesti dilaksanakan oleh penjawat awam. Oleh itu, saya ucap terima kasih kepada KSN, KPPA dan JPA yang membuat kajian teliti dan kita akan teliti dan cerakin setelah Jemaah Menteri meluluskan.
- Tapi sebenarnya saudara-saudara, saya sebut ini adalah kenaikan tertinggi dalam sejarah Malaysia, 15% kenaikan tertinggi untuk penjawat awam, polis, tentera, guru dan pegawai-pegawai Kerajaan. Ada yang mengatakan tidak benar. Patut dia tanya kita dahulu. Ada ahli Parlimen kata tak betul kerana masa dulu pernah diberikan 35%. Saudara dalam skim ini, yang (gred) atas naik sikit, yang (gred) bawah naik di antara 20% hingga 38%. Lebih baik daripada 35% dan juga keseluruhannya 15%. Kemudian ada ahli Parlimen yang sebut ini janji kosong belum tentu diluluskan oleh Parlimen. Saya nak tanya, ahli Parlimen mana yang akan membangkang usaha menaikkan gaji penjawat awam? Dalam Kerajaan Perpaduan sekarang kita ada 2/3 majoriti. Kita ada PH, kita ada BN, Abang Johari Premier Sarawak, Ketua Menteri Hajiji telah menyatakan sokongan dan tadi Dato’ Menteri Besar beritahu satu cadangan yang baik untuk mengiktiraf peranan penjawat awam. Jadi saya tidak fikir akan ada masalah Insya-Allah dalam meluluskan peruntukan tambahan untuk menaikkan gaji perkhidmatan awam.
- 1 Disember kita laksanakan. Untuk Tahun 2025, kosnya akan mencecah lebih RM10 bilion, untuk Tahun 2026 lebih daripada itu. Soalnya dari mana kita boleh perolehi wang? Ada yang kata ‘Kerajaan akan menaikkan cukai dan mendera rakyat’. Saudara, saya percaya, Almarhum Mohammad Natsir, pemimpin Masyumi, yang juga mantan Perdana Menteri, pejuang, dan Dai’e ulung Indonesia, mengatakan, saya masih ingat lagi, “Kalau kita berjaya meletakkan asas tatakelola yang baik, menghentikan kecurangan melalui ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah, kita akan ada cukup dana untuk tolong rakyat”. Dan saya mewakili pendapat itu, saya yakin kalau negara ini dapat dibersihkan dari ketirisan dan rasuah, kita boleh ganti wang puluhan bilion yang lesap itu dan pulangkan kepada rakyat, itu Insya-Allah kita akan tunaikan.
- Saya harap dengan itu kita tumpu perhatian untuk membangunkan dan membina negara ini. Saya tidak berhajat mengumumkan beberapa projek yang telah kita luluskan tadi. Ada lebuh raya, masalah air. Saya dah minta Dato’ Menteri Besar, Dato’ SUK sementara rundingan sama ada geran atau pinjaman, saya beri arahan supaya disegerakan pelaksanaan bekalan air di negeri Kelantan. Jangan lengahkan lagi dan kita ambil segala tindakan yang perlu supaya tidak membebankan rakyat dari segi air. Saya tidak mahu katakan ini projek Persekutuan atau projek Negeri, ini projek bersama Persekutuan dan Negeri untuk memberikan keselesaan kepada rakyat Kelantan.
- Selain itu, ada cadangan daripada Menteri Besar untuk memberi perhatian dalam Pendidikan Islam. Saya Insya-Allah akan berikan perhatian termasuk pembinaan Maahad Tahfiz yang baru. Selain daripada projek-projek pembangunan dan Insya-Allah, dalam masa yang singkat saya akan berikan jawapan. Tetapi percayalah saya akan lakukan sebaiknya supaya negeri Kelantan dapat diberikan perhatian dan dapat membangun bersama negeri-negeri maju yang lainnya.
- Jadi saya sekali lagi ucap terima kasih Dato’ Menteri Besar, dengan mesej yang jelas bahawa kerjasama ini memanfaatkan rakyat. Pergeseran berterusan tidak akan menguntungkan rakyat, hanya memenangkan kita dari segi suara tetapi menewaskan kebajikan rakyat. Saya diberi amanah dan Insya-Allah saya akan lakukan sebaik mungkin untuk memastikan rakyat seluruhnya termasuk Kelantan itu mendapat manfaat dari perubahan yang berlaku, sistem yang lebih telus dan projek-projek yang akan memberikan manfaat tanpa memilih negeri-negeri.
- Kita ada lapangan terbang, dah siap tadi, Alhamdulillah bukan main hebat keindahan lapangan terbang di Kota Bharu. Menteri Besar tanya minta nak tambah lagi 400 meter supaya lapangan terbang Kelantan boleh jadi lapangan terbang antarabangsa. Saya setuju dan akan kita cuba laksanakan secepat mungkin dan saya telah beritahu MAS supaya sebaik siap lapangan terbang itu, maka perjalanan Umrah dan Haji dari Kelantan boleh bergerak dari Kota Bharu langsung ke Jeddah atau ke Madinah. Ini baru yang dikatakan Kerajaan MADANI, dengar dan apa yang sebaiknya kita akan lakukan. Hanya tinggal 400 meter lagi dan saya ada minta disampaikan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Dan Anthony Loke sebagai Menteri memang di antara yang cekap dan cepat tindakan dan pelaksanaan dan Insya-Allah dia akan bantu supaya menyegerakan lapangan terbang supaya naik taraf Lapangan Terbang Kota Bharu sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa.
Sekian terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- TIDAK PERLU DARURAT BENCANA, HUJAN SEMAKIN BERKURANGAN – PM ANWAR
- KERAJAAN TIDAK BERCADANG PERKENAL GST, CUKAI KEPENGGUNAAN BERASAS LUAS TANGANI ISU HUTANG NEGARA – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA