TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI SABAH

 

TEKS UCAPAN  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI SABAH

 

20 APRIL 2024

 

SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SICC), KOTA KINABALU, SABAH

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin,

Yang di-Pertua Negeri Sabah serta isteri;

 

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah Binti Datuk R.M. Jasni;

 

YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,

Ketua Menteri Sabah;

 

YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Haji Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Speaker-Speaker, Menteri-Menteri serta rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Izinkan saya menyatakan penghargaan khusus kepada Tuan Yang Terutama kerana sudi menyerikan majlis yang permai ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Saudara Hajiji kerana sudi mengadakan majlis yang dapat menghimpunkan rakyat daripada pelbagai suku kaum untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri serta saudara Menteri Perpaduan yang membantu menyelenggarakan majlis ini bersama dengan kerajaan negeri Sabah. Selamat Hari Raya ‘Aidilfitri minal ‘aidin wal faizin wal maqbulin wal maghfurin wa kullu ‘am wa antum bikhair, maaf zahir batin.

 

  1. Saudara-saudara, kita bersyukur, alhamdulillah kerana negara kita dapat menyambut hari kebesaran ini. Dalam tradisi Islam, Hari Raya Fitrah ini disebut Hari Raya Aidilfitri. Maknanya ujian madrasah Ramadan harus dijadikan kesempatan membersihkan jiwa, meningkatkan amal, menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat, terutama yang susah. Itulah sebabnya hari ini disebut fitrah kerana kita dapat bersihkan, iaitu rakyat umumnya terutama yang menjalani bulan Ramadan, menjadikan Ramadan itu kesempatan untuk kita memulihkan kekuatan, meningkatkan keupayaan, integriti dan amal.

 

  1. Dalam konteks negara, bila kita bicarakan soal tatakelola. Ia juga ada relevannya. Kerana sebaik kita amalkan Ramadan, bermakna tingkat kerohanian, amal, integriti, penyucian akhlak dan nilai, menolak kemungkaran dan rasuah serta penyelewengan Itu harus lebih kukuh daripada sebelumnya. Itu sebab mengapa kita kembali kepada sekolah Ramadan ataupun dikatakan tarbiah ruhiyah atau madrasah Ramadan. Dan mudah-mudahan kita yang menyempurnakan dengan maksud yang sedemikian.

 

  1. Pagi tadi kita adakan majlis mesyuarat kerja di antara Menteri Kerajaan Persekutuan, Tan Sri Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi dan Kementerian-Kementerian lain. Turut bersama Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri-Menteri, serta Pegawai Kerajaan Negeri Sabah. Ini saya jadikan amalan dalam setiap kali berkunjung ke negeri. Kerana untuk menjamin projek rakyat itu dijalankan, ia tidak boleh hanya dikendali, dipantau dari Putrajaya. Harus mendapat maklumat dan taklimat seperti disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri sebentar tadi.

 

  1. Kita kenal pasti masalah banjir, masalah air, masalah jalan berlubang, masalah Pan Borneo, masalah bekalan elektrik, masalah kekurangan sekolah di Kota Kinabalu. Semua ini dapat diluahkan dan kita ambil perhatian. Inilah semangat Kerajaan MADANI, mendengar dan insya-Allah melaksanakan dengan sebaiknya.

 

  1. Saya ucapkan khusus kepada Ketua Menteri kerana menunjukkan kesungguhan, tidak menggunakan majlis sekadar menceritakan yang baik, kebajikan, kemajuan, tetapi menceritakan secara terang apa masalah pelaksanaan, mengapa lewat, mengapa pelaksanaan projek yang diluluskan tidak dilaksana ikut jadual dan apa keperluan-keperluan baru yang perlu peringkat persekutuan harus dengar dan cari jalan penyelesaian. Apakah langkah berikutnya.

 

  1. Umpamanya kemiskinan tegar yang menjadikan fokus utama dalam pentadbiran Kerajaan MADANI, alhamdulillah dalam tempoh 1 tahun jumlah kemiskinan tegar daripada 25 ribu orang tinggal sekitar 11 ribu orang. Dalam tempoh sebulan ini, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah, Unit Penyelarasan ICU, Jabatan Perdana Menteri bersama kerajaan negeri dan semua agensi berkenaan agar bermesyuarat, supaya jumlah kemiskinan tegar 11,000 ini dapat dikurangkan dengan sebanyak mungkin dalam masa sesingkat mungkin.

 

  1. Kita pacu pertumbuhan, kita mahu pelaburan datang, hotel-hotel kita penuh dengan pelancong. Tetapi, kita punya tanggungjawab moral yang besar, miskin tegar harus dinoktahkan di seluruh negara termasuk negeri Sabah. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri kerana jumlah itu dicapai dengan meyakinkan dalam masa singkat. Saya juga percaya insya-Allah dalam masa singkat ini kita dapat mengurangkan dan kalau mampu pada tahun ini juga menoktahkannya.

 

  1. Di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang, alhamdulillah kemiskinan tegar telah dapat dinoktahkan. Jadi dengan beberapa langkah lain, saya percaya di Sabah, walaupun masalah di Sabah lebih rumit kerana kedatangan pencerobohan dan penerobosan di kawasan sempadan, tetapi saya percaya dan saya berikan dukungan penuh kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan sahabat saya, Datuk Seri Hajiji untuk menerajui dan menyelesaikan masalah-masalah bersama dengan kerajaan persekutuan.

 

  1. Hubungan baik ini memberi manfaat kepada negeri dan utamanya kepada rakyat. Umpamanya kita tambah beberapa peruntukan termasuk pembangunan sosioekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak. Dalam program ICU JPM sebanyak RM36.91 juta program khas anak negeri Sabah dan RM34.63 juta program khas Bumiputera Sarawak untuk tahun 2024.

 

  1. Saya hendak ambil kesempatan ini juga untuk mengumumkan, selain daripada hal yang telah diluluskan sebelum ini, beberapa projek untuk keselesaan rakyat terbanyak sedang kita upayakan. Contohnya, kita duduk di dalam dewan serba indah ini, kita siapkan hotel-hotel lima bintang untuk pelancong, tetapi majoriti rakyat kita masih menggunakan warung, gerai dan restoran kecil. Maka keutamaan Kerajaan Madani ialah meningkatkan mutu gerai dan warung di semua bandar-bandar negara kita. Bermula dengan Kuala Lumpur, kita sudah lihat sekarang lebih daripada 80 gerai dan warung ditingkatkan dari segi kebersihan, keindahan kerana itu digunakan oleh lebih 80% rakyat kita. Jumlah kecil sahaja akan guna restoran-restoran besar dan mereka mampu dengan kos yang lebih tinggi.

 

  1. Selain itu, untuk maksud perjumpaan hari ini tentunya Ketua Menteri mengharapkan saya umumkan projek-projek baru. Tadi saya telahpun luluskan beberapa projek termasuk perumahan rakyat dan percepatkan pembaikan gerai-gerai. Selain itu, saya juga ambil peduli dengan masalah kesihatan rakyat. Ramai di Sabah apabila ada masalah jantung tentunya terpaksa terpaksa terbang ke Kuala Lumpur kerana kapasiti perubatan jantung di negeri ini adalah terhad. Jadi, kita hendak cari penyelesaian segera.

 

  1. Di Sarawak, atas cadangan kerajaan negeri Sarawak dan Ketua Menteri Premier Abang Johari, kita setuju dengan dana awal oleh kerajaan negeri Sarawak menubuhkan Pusat Kanser Negara di Kuching, Sarawak. Bagaimana pula untuk negeri Sabah?, hari ini saya hendak umumkan. Perkhidmatan kardiologi jantung di Hospital Besar Kota Kinabalu setakat ini, ada klinik pakar tentunya, ada makmal non invasive, categorization laboratory, ada dewan bedah kardiotoraksik, ada 3 pakar, ada 120 jururawat terlatih. Tetapi saya tidak fikir ini mencukupi untuk keperluan rakyat Sabah. Maka dengan ini saya umumkan bertempat di Kompleks Hospital Besar, Kota Kinabalu, saya umumkan blok khas untuk jantung yang disebut sebagai Pusat Jantung Negara, Sabah.

 

  1. Dengan ini kita akan tambah segera 3 orang pakar, sokongan terlatih dan peruntukan segera sebanyak RM80 juta untuk memulakan projek tersebut. Jadi kesempatan hadir di sini bagi pihak Timbalan Perdana Menteri dan Menteri yang hadir saya ucap terima kasih kerana kita dapat tubuhkan selain daripada IJN ada pusat jantung yang penting yang kedua terbesar di negara kita yang berpusat di Hospital Besar Kota Kinabalu. Terima kasih dan tahniah kepada rakyat Sabah.

 

  1. Kalau boleh elak pergi ke pusat jantung, makan makanan yang sederhana, senaman yang lebih, kurang gula, kurang lemak tapi hari ini terkecuali (berseloroh).

 

  1. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.