TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI MELAKA

 

TEKS UCAPAN  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI MELAKA

 

22 APRIL 2024 (ISNIN)

DEWAN UTAMA PUSAT DAGANGAN ANTARABANGSA MELAKA (MITC), MELAKA

  

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,

Wasallallah hu ala saidina Muhammad,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dan Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abd. Rahman

 

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,

Ketua Menteri Melaka;

 

Mantan TYT sahabat saya Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob,

Yang juga Pahlawan Team Wawasan;

 

YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu,

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;

 

YB Steven Sim Chee Keong,

Menteri Sumber manusia;

Yang bersama-sama membantu menyelaraskan program malam ini;

 

Speaker Kerajaan Negeri; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah kita dapat bersama-sama menjayakan Majlis Aidilfitri MADANI Peringkat negeri Melaka dan bagi pihak rakan-rakan saya ucapkan sekali lagi penghargaan kepada Ketua Menteri dan juga kerajaan negeri Melaka serta Kementerian Sumber Manusia, kerana menganjurkan majlis yang permai dengan kehadiran rakyat yang cukup luar biasa. Saya acapkali melihat dalam beberapa acara di Melaka ini sambutan rakyat itu sangat membangga dan menggalakkan. Terima kasih.

Bunga cempaka, bunga seroja,

Disunting menyeri dara jelita,

ke mana libur bersama keluarga,

Mana lagi? Melaka lerr.

 

  1. Seperti mana dalam doa yang dibacakan oleh Sahibus Samahah Mufti sebentar tadi, kita tidak lupa bahawa majlis ini dikaitkan dengan Aidilfitri. Oleh yang demikian, harus kita insafi bahawa Aidilfitri itu kembali kepada fitrah insaniah. Kerana tarbiah bulan Ramadan yang disebut, sekolah Ramadan, atau madrasah Ramadan harus meningkatkan iman, amal, nilai, dan ihsan kita kepada masyarakat terutama yang kurang bernasib baik. Jadi fitrah ini kembali kepada status semula jadi yang bersih, indah, primordial, mudah-mudahan kita jangan lupa kerana ujian Ramadan itu harus mengingatkan kita tentang tanggungjawab. Dalam konsep negara MADANI, tidak boleh terlepas daripada soal nilai, kebaikan, semangat perpaduan, keadilan, ihsan dan rahmah di antara sesama kita.
  1. Pagi tadi kita meluncurkan KL20, dengan prakarsa baru, soal digital, IT, startup, mikrokomputer, dan saya terharu kerana sambutan dari luar negara sangat menakjubkan. Malaysia sekarang sudah mendapat perhatian dunia sebagai destinasi pelaburan unggul di rantau ini. Dan saya ucap tahniah kepada Ketua Menteri Melaka dalam beberapa kunjungan saya terakhir di Jerman selain bicara soal perkembangan dan pelaburan, Melaka turut dipilih sebagai pusat dan destinasi pelaburan dunia yang menggalakkan.
  1. Ini kerana politik yang stabil, dasar ekonominya jelas, dasar-dasar seperti transisi digital, peralihan tenaga (energy transition), dan pelan perindustrian baru yang membantu pelabur melihat kepada kekuatan kita.

Saudara saudari,

  1. Dalam acara ringkas ini saya ingin menyebut, rakyat harus memusatkan perhatian ke arah bidang-bidang ini. Malaysia sekarang dengan pelaburan Infineon, NVIDIA dan Aramco serta puluhan lagi, memerlukan 30,000 orang jurutera yang tidak dapat kita isi sepenuhnya.
  1. Maka tumpuan bagi ibu bapa termasuk anak-anak Melayu mestilah menjurus kepada lapangan sains matematik. Ini termasuklah TVET yang diusahakan secara gigih oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi semata-mata untuk meningkatkan keupayaan anak-anak. Harus kita pusatkan perhatian supaya kita tidak ketinggalan. Jangan kita terus dalam perbahasan hal-hal yang remeh yang tidak berkesudahan. Tumpu manfaatkan waktu mendidik anak-anak kita dengan memenuhi ruang lapang mereka dengan pendidikan dan ilmu. Kerana negara memerlukan tenaga baru, negara memerlukan anak anak yang mahir dan pakar dalam IT, digital, kejuruteraan, semikonduktor dan ini semua harus kita siapkan kerana peluang itu terlalu banyak. Jadi saya harap, kerajaan negeri Melaka bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia mendukung langkah yang telah diatur oleh TPM 1 itu dan memberi tumpuan serta perhatian dalam bidang ini.
  1. Saya benar-benar mengharapkan ada perubahan sikap dan minda. Kalau tidak kita akan ketinggalan kerana kita harus bertempur dengan hal hal yang kecik bengik berlarutan bergaduh dalam hal hal kecil meninggalkan perkara pokok dan kita akan ketinggalan bukan sahaja di kalangan kaum-kaum yang bersaing tetapi di kalangan negara-negara maju.
  1. Hari ini dan malam tadi tatkala berbincang dengan pelabur-pelabur terkemuka dalam bidang startup, serta pertemuan saya dengan beberapa menteri dan pelabur-pelabur yang jumlahnya trilion ringgit, kesemuanya menganggap Malaysia itu hub terpenting. Dalam rencana semikonduktor Malaysia, termasuk Melaka, Infineon menganggap Malaysia kawasan pelabur yang paling menarik, dilapor di Financial Times, New York Times, dilapor di Bloomberg tentang keupayaan Malaysia.
  1. Saya tidak mahu sebahagian rakyat kita tertinggal kerana bergelut dalam hal-hal remeh. Dan kita akan tewas dan kalah dalam persaingan ini. Mudah-mudahan sementara kita kukuhkan iman, kita tingkatkan tahap ilmu kita dan amal kita, jaga akhlak dan nilai kita. Harus kita tingkatkan usaha dan keupayaan. Sebab itu bila baru-baru ini saya berjumpa Ketua Menteri dan rakan-rakan EXCO Kerajaan Negeri Melaka, saya setuju dengan gesaan TPM 1 untuk menambah peruntukan bagi pendidikan TVET di Melaka termasuk dalam bidang-bidang di universiti, kolej universiti dan kolej vokasional. Dan insyaa-Allah kita akan terus memberikan dorongan supaya kita dapat penuhi keperluan yang masih kurang dalam negara kita.
  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri kerana ikhtiar beliau untuk mendapatkan pelaburan dan mengatur semua. Melaka bukan sahaja terkenal sebagai negeri bersejarah dan tarikan pelancongan, tetapi akan menjadi negeri teknologi tinggi.

Terima kasih.

Minal ‘aidin wal faizin wal maqbulin wal maghfurin wa kullu ‘am wa antum bikhair.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.