TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI JOHOR

 

TEKS UCAPAN  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI JOHOR

 

18 APRIL 2024

 

PADANG BEGONIA

PLAZA ANGSANA, JOHOR BAHRU

JOHOR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi,

Menteri Besar Johor;

 

YB Dato’Khaled Nordin,

Menteri Pertahanan;

 

Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor;

 

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; dan

 

Semua yang terlibat dalam menjayakan penganjuran sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Johor ini.

 

Jadi saya ucap terima kasih atas kehadiran Menteri-menteri, Timbalan Menteri, Panglima Angkatan Tentera dan semua pegawai kanan yang hadir dan yang penting wakil-wakil dan rakyat dari seluruh pelusuk negeri Johor.

 

 

  1. Memang saya maklum bahawa tahun-tahun kebelakangan ini memang merupakan tahun yang hebat bagi bangsa Johor. Bukan sahaja kerana Yang Dipertuan Agong dari Johor, tetapi kerana Johor di bawah pemimpin muda, telah terus memacu pertumbuhan dan mencatat kemajuan dan pembangunan di antara yang terbaik di Malaysia. Saya ucap tahniah kepada bangsa Johor.

 

  1. Saya datang awal tadi kerana ada mesyuarat dengan Menteri-menteri, Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti beberapa projek. Masih terdapat jumlah sekitar tidak sampai 2000 orang dalam kategori kemiskinan tegar. Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dengan kerjasama ICU, insyaa-Allah kita boleh dan mampu selesaikan dalam masa singkat untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri Johor Darul Takzim.

 

  1. Selain itu, terdapat pelbagai upaya lain dalam memajukan negeri Johor ini selain daripada memacu pertumbuhan yang membanggakan, catat pelaburan yang kian meningkat, kita sekarang telah wujudkan zon ekonomi khas yang boleh menjalin hubungan dengan lebih akrab bersama Singapura. Kita adakan zon kewangan khas di sekitar Forest City. Ini semua petanda-petanda di mana negeri Johor akan mencatat pertumbuhan yang sangat pesat.

 

  1. Di samping itu, kita perlu beri keutamaan kepada program tebatan banjir kerana kita tidak boleh catat pembangunan pesat, sekiranya banjir pun pesat. Saya telah minta rakan-rakan terutama pegawai pastikan kita pantau projek itu berjalan dengan cepat supaya dapat meredakan masalah dihadapi oleh rakyat.

 

  1. Begitu juga projek prasarana lain yang telah disebut tadi oleh saudara Menteri Besar. Untuk apa kita bangunkan negeri ini? Sekarang kita sambut Aidilfitri, maknanya kemenangan, setelah berpuasa di bulan Ramadhan selama satu bulan. Sebab itu semua fitrah, bila menang kembali sifat semula jadi insan, fitrah insaniah. Fitrah ini bermakna hasrat kita untuk sentiasa bawa perubahan.

 

  1. Apa erti pembangunan pesat, kalau kita tidak pedulikan nasib rakyat yang paling miskin dan yang tidak punyai kemampuan sama ada orang Melayu, Cina, India atau orang Asli, semua itu rakyat Johor dan rakyat Malaysia yang mesti diberi tempat dan mesti dibela dengan sebaiknya. Justeru, semangat Aidilfitri ini adalah fitrah insaniah, sifat mulia manusia, kasih sesama manusia, ini disebut dalam MADANI, ihsan, rahmah di antara sesama manusia. Apa dia manusia? bila Allah angkat darjat manusia ini karamah insaniah, Allah angkat darjat manusia itu sebaiknya. Bagaimana?, yang punya integriti, yang punyai prinsip, yang punyai nilai yang baik, yang kasih sesama manusia, yang benci dengan kezaliman, yang benci dengan rasuah dan benci dengan penyalahgunaan kuasa. Ini yang kita hendak angkat.

 

  1. Rentetan itu, pada hari ini saya ada majlis kecil-kecilan untuk meraikan salah seorang tokoh besar Johor yang pernah berjasa dalam negara kita serangkai dengan Datuk Onn Jaafar, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn. Beliau ada bersama kita, YBhg Tun Musa Hitam bersama isteri yang tercinta, Zulaikha. Kita ucap terima kasih buat Tun Musa dan Zulaikha kerana hadir menyerikan majlis ini, bagi semangat dan dorongan kepada anak muda, supaya kenal sejarah, kenal tokoh-tokoh yang berjasa kepada kita.

 

  1. Pada tahun lalu saya adakan majlis khas di Dataran Merdeka untuk meraikan dan mengenang jasa salah seorang lagi pejuang kebangsaan ulung negarawan yang telah berjasa kepada negara kita. Saya anjurkan satu majlis yang besar dan meraikan Almarhum Tun Dr. Ismail sebagai salah seorang negarawan yang harus dikenali oleh rakyat Malaysia.

 

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

 

  1. Sayugia saya sebut sebentar tadi tentang erti pembangunan. Kita jangan bina gedung, industri dan lebuh raya, tetapi manusia diremehkan. Jadi kita hendak bangunkan bersama dengan pembangunan manusia. Allah angkat darjat kita yang mulia kerana keinsafan kita, kerana keimanan kita, kerana akhlak dan nilai kita dan sama ada saudara itu penjawat awam, guru di sekolah, tentera ataupun polis, petani atau nelayan kita hendak angkat darjat kemanusiaan kita.

 

  1. Sebab itu bila kita bicara soal pembangunan jangan kita lupa bahawa pembangunan itu bererti kita beri peluang kepada semua. Dari kawasan bandar ke kota sehingga kawasan pelusuk pedalaman barulah kita katakan kita punyai cita-cita untuk bangkitkan negara hebat Malaysia.

 

Saudara-Saudara,

 

  1. Akhirul kalam, Negeri Johor hari ini memang tercatat di antara negeri yang berjaya mencatat pertumbuhan yang membanggakan sebab itu amanah kepada pimpinannya. Pastikan ia berjalan dengan pantas, pastikan pentadbiran itu bersih, pastikan jangan ada saki baki orang menyakau dan rasuah. Pastikan kepentingan rakyat jelata di bawah itu diberikan pembelaan sama ada dia pemandu teksi atau pekerja buruh semua itu adalah rakyat yang kita harus berikan perhatian.

 

  1. Jadi semangat Aidilfitri ini semangat silaturrahim, nilai kasih sayang, bila kita salam kita renung muka dengan penuh ikhlas maaf zahir batin.

 

  1. Justeru, mari kita angkat martabat negeri ini, mari kita angkat martabat negara Malaysia supaya Malaysia bangkit sebagai negara hebat di rantau kita insya-Allah.

 

  1. Saya yakin bermula di Johor Darul Takzim dan di negeri lain di seluruh Malaysia kita mampu mencatat perubahan baharu, melakar peta dan sejarah baharu sambil meninggalkan budaya lama.

 

  1. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada saudara Onn Hafiz, Menteri Besar dan pimpinan negeri Johor, Dato Khalid Nordin, Menteri Pertahanan dan seluruh rakan-rakan dari kementerian yang membantu. Kepada rakyat Johor mari kita bangkit dan majukan negara kita bersama.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.