TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SIDANG KEMUNCAK ANTI-RASUAH KEBANGSAAN
(NAC SUMMIT) 2024
16 FEBRUARI 2024 (JUMAAT)
BERJAYA HOTEL TIMES SQUARE
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah
Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem
YB Steven Sim Chee Keong,
Menteri Sumber Manusia;
YB Nga Kor Ming,
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;
YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad,
Menteri Kesihatan;
YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki,
Ketua Pesuruhjaya SPRM;
Datuk Abu Huraira Abu Yazid,
Pengerusi HRD Corp;
Keluarga SPRM dan HRD Corp yang hadir;
Tetamu-tetamu yang saya muliakan; dan
Rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
- Hadir saya pada hari ini untuk memberikan penegasan dan dukungan terhadap usaha yang telah dilakukan. SPRM mengemudi gerakan pembanterasan rasuah dan semua jentera harus menyambut ini. Oleh itu, langkah dan sambutan oleh HRD Corp saya ucapkan penghargaan terima kasih dan saya telah beritahu kepada saudara Tan Sri Azam Baki, sepatutnya gerakan ini menjalar ke seluruh negara. Biar negara ini digegarkan dengan kebencian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
- Saudara lihat gerakan ini nampak memuncak atas ketegasan, ketangkasan dan keberanian keluarga SPRM. Hal seumpama ini bukan sesuatu yang popular, lihat sahaja mana-mana negara yang menggagaskan perubahan, juga dalam konteks MADANI itu sendiri turut menghadapi risiko apatah lagi negara yang biasa dengan budaya rasuah ini. Dari atas sampai ke bawah menganggap ini satu budaya. Rasuah sudah jadi sistemik dalam negara, jadi jangan anggap ini mudah. Jangan anggap kerja Tan Sri Azam atau keluarga di SPRM itu suatu perkara yang mudah kerana musuhnya besar dan musuhnya bukan kerdil.
- Musuhnya itu gergasi, orang-orang yang maha kaya, malah di antara yang paling kaya dalam negara. Mereka tidak akan berdiam, mereka menguasai media, mereka menguasai ahli-ahli parlimen malah pengaruh parti. Ada di antara mereka mengasaskan parti semata-mata untuk mengekang semangat perubahan ini dan kerana mereka terdidik dan mempunyai dana yang besar. Mereka punyai kecanggihan, kepintaran, kuasa dan pengaruh. Sebab itu waspada, kita ada pilihan dalam negara MADANI untuk berundur atau melangkah terus membujur lalu melintang patah. Saya pilih membujur lalu melintang patah kerana ini sahaja jaminan masa depan.
- Saudara lihat masalah tata kelola, integriti, anti rasuah. Ini bukan slogan, ini bukan soal agenda politik, ini agenda menyelamatkan bangsa. Negara ini sudah selesa, sudah mangli dengan budaya begini selama puluhan tahun. Ada tokoh-tokoh besar penyakau yang dibiarkan mengambil harta puluhan tahun, tak pernah dan tak berani disinggung, disentuh kerana pihak penguasa di atas itu mendukung, melindungi mereka. Saudara, apa akibatnya? Negara akan miskin, rakyat di bawah tidak terbela, gaji penjawat awam, upah menanam padi, pekebun kecil getah, pekerja-pekerja, tidak mungkin dapat dibela kerana ketirisan terlalu besar.
- Kalau satu kontrak itu RM1.6 bilion terpaksa diangkat jadi RM1.8 – RM1.9 bilion, RM300 juta tambahan itu untuk beberapa tokoh atau kroni mereka dan dari mana wang itu? Dari dana dan tabung pemerintah. Kalau satu kontrak RM300 juta, kita ada 1,000 kontrak, jadi puluhan bilion hilang di tangan puak tertentu. Di parlimen dalam beberapa hari ini ada yang seolah-olah menggelupur, marah terus. Saya pun tidak faham. Marah, benci dan tidak ada satu suara dalam kalangan pembangkang yang hendak menyokong langkah pembanterasan rasuah. Bagi saya aneh. Saya semasa pembangkang, bila ada cadangan pemerintah pada ketika itu mengusulkan penubuhan SPRM, saya dukung. Antara langkah yang berani saya dukung malah saya kata mengapa belum cukup berani? Kalau saudara lihat dalam media sosial, istilah penyakau itu paling ditakuti, dimarah dan digeruni oleh sesetengah puak. Saya hairan padahal amalan penyakau itu menyeluruh.
- Baru-baru ini ada tindakan SPRM terhadap salah satu tokoh besar yang dianggap dalam kalangan paling maha kaya. Belum ada suara dari pembangkang yang menyokong malah ada yang membela. Dia kata Anwar ini belum habis dengan dendam kesumatnya. Ini cerita lama. Saya nak tanya saudara, kalau hari ini saya kumpul RM10 bilion masuk poket saya dan saya gunakan untuk memperkayakan diri, keluarga dan harta seluruh dunia, 7 tahun kemudian setelah saya bersara atau lebih awal saya tidak boleh disentuh kerana kalau disentuh, ini dendam, “sudahlah dia pun dah tua”. Inilah penyakit yang akan menjalar dan akan melemah longlaikan semangat bangsa. Kita harus beri mesej yang jelas. Kamu rompak harta negara, kamu curi wang rakyat, tak dapat tangkap hari ini, esok kami tangkap. Tak dapat esok, bulan depan. Tak dapat bulan depan, tahun depan. Tak dapat tahun depan, 10 tahun depan. Tangkap pasti tangkap, barulah boleh negara diselamatkan.
- Saudara, kita hari ini menanggung hutang RM1.5 trilion. Kalau kita lihat kontrak tersebut sahaja, Jana Wibawa tiris, Spanco tiris, projek tebatan banjir tiris, minyak mentah, minyak masak ini pun disakau juga, diesel bocor, jadi negara apa ini? Oleh itu pimpinan tidak ada keberanian, semua kontrak teruskan sahaja. Saya beritahu rakan-rakan saya Menteri ramai di sini, saya kata kerja Menteri ini bukan meneruskan, tetapi perlu menilai, mengkaji, menelurusi secara terperinci apakah proses itu telus, apakah bersih, apakah tidak boleh dijimatkan. Dari semua, beli mesin, beli kereta, beli ubat, apa sahaja teliti, supaya wang rakyat selamat dan pulang kepada rakyat. Bukan untuk pulang memperkayakan kita, tidak, pulang kepada rakyat. Sebab itu saya kata pelarasan gaji tidak dikaji 10 tahun, 12 tahun tetapi pemimpin-pemimpin terdiri daripada maha kaya belaka. Penjawat awam itu setia dan sokong serta kerja bertungkus-lumus. Ada sebahagian kecil yang kurang, ya betul itu kita akan teliti, tetapi majoritinya kerja dengan baik namun tiada pelarasan gaji. Tidak ada jawatankuasa mengkaji seperti mana lazim berlaku setiap 10 tahun.
- Saya warisi sistem hutang berlonggok, defisit masa itu 5.6%. Alhamdulillah dalam satu tahun kita turunkan defisit kepada 5%. Tetapi dalam kita mengurangkan defisit, tangguhkan beberapa projek raksasa, saya masih bersama KSN, KPPA dan Jemaah Menteri memutuskan akan terus melaksanakan pelarasan gaji tahun ini juga kepada penjawat awam. Tetapi saudara harus bekerjasama, tolong selamatkan negara ini, halang agensi-agensi, jabatan-jabatan dari meneruskan kebocoran, lapor sesiapa yang melanggar. Baru boleh kita serahkan kepada SPRM untuk bertindak. Ini bukan kerja SPRM sahaja, ini kerja kita bersama. Dengar, lapor, jangan fitnah, jangan khianat.
- Sebentar tadi saudara Steven Sim beri pengajaran dari leluhur bangsa era Kesultanan Melayu Melaka yang agung dan hebat kemudian hancur lebur menjadi A Famosa, kota yang usang. Ya banyak faktor, tetapi saya setuju dengan beliau, kalau kita kaji fiil Raja Mendeliar dengan Si Kitol itu, adalah kerana tamak haloba, cemburu dan akhirnya khianat. Pintu pagar tembok istana dan kawasan benteng pertahanan Melaka itu perlahan-lahan pengkhianat ini buka, kerja Si Kitol arahan Raja Mendeliar kerana cemburu buta, khianat, nafsu serakah dan tamak haloba. Pengajaran kepada kita.
- Sebelum itu, Ibnu Khaldun beri pengajaran dalam mukadimah generasi awal dengan semangat esprit de corps, kekitaan, idealisme, assabiyah yang positif mengangkat darjat kemanusiaan, bina negara MADANI dengan idealisme. Dua generasi berlalu, idealisme mula terhakis, generasi penerus matlamatnya kuasa dan kekayaan. Nawaitun bukan ikhlas kerana Allah SWT tetapi untuk memperkayakan diri, makan rasuah, penyalahgunaan kuasa, bermegah-megah dengan kehebatan dunia Hubbud Duny’a maka terhakis, akhirnya luntur semangat idealisme dan runtuh tamadun.
- Di barat juga ada kisah-kisah begitu, ‘The Decline and Fall of the Roman Empire’ bagi gambaran yang sama. Idea Ibnu Khaldun itu mempengaruhi sejarawan Amerika, Arnold Tonybee yang menulis tentang ‘Cyclical Ferry of Civilizations’. Civilizations grow achieve its height with splendour and glamour success, most fields but would degenerate and fall due to arrogance of power, endemic corruption and moral decadence. Kita kena belajar itu saudara dan saya sengaja singgung hal-hal ini sebagai satu pengajaran kepada kita dengan menyatakan bahawa ini bukan suatu perkara yang mudah.
- Seorang ahli ekonomi politikal terkemuka dari Sweden, Gunnar Myrdal mula menulis Asian Drama, karya yang menggemparkan pimpinan Asia dan sarjana Asia pada ketika itu. Gunnar Myrdal, Asian Drama dan menyinggung pada peringkat itu tahun 60-an, bibit-bibit rasuah mula menular di kalangan pemimpin-pemimpin negara yang baru mencapai kemerdekaan. Pimpinan generasi awal yang hidup sederhana mula terpukau dengan harta dan rasuah mulai menular. Semasa itu ahli-ahli ekonomi tempatan di Asia banyak yang marah, apa sebab orang Eropah mahu mengajar kita seolah-olah Eropah dan Amerika itu tidak rasuah, hanya Asia yang rasuah. Saya merenung, betul juga telaah tersebut. Saya baru belajar di universiti ketika itu, baru belajar membaca Gunnar Myrdal tetapi alhamdulillah di kalangan kita yang mengupas buku itu kita panggil masa itu study circle atau usrah. Bila kita bicara buku itu kita kata betul juga. Satu, mengapa orang Eropah mengajar kita. Kedua, benar juga walaupun beliau orang Eropah ada kenyataan beliau yang betul. Ini membantu kita untuk sekurang-kurang menilai secara lebih objektif berdasarkan fakta.
- Tetapi sekitar 10 tahun selepas itu, muncul sarjana tempatan, sarjana sosiologi yang terkemuka, terangkat namanya di dunia, iaitu Profesor Syed Hussein Alatas yang menulis tentang ‘The Problem of Corruption, ‘The Sociology of Corruption’, ‘The Myth of The Lazy Native’ kemudian ‘Intellectuals In Developing Countries’ dan menyinggung soal rasuah itu secara hebat. Walaupun ketika itu beliau tidak menyebut rasuah itu masalah yang sistemik, tetapi mula menyelar, menyerang pimpinan kerana mula toleransi terhadap rasuah.
- Jadi saudara-saudara saya harap semua ini menjadi pengajaran kepada kita. Beliau menulis lebih 40 tahun yang lalu tapi kalau saudara baca semula, peringatan yang diberikan sangat relevan kepada kita. Pertama, ramai di kalangan elit sama ada politik, korporat atau pengurusan kerajaan itu agak tidak senang dengan wacana mengenai rasuah. Sebab mereka hidup dan bergelumang dengan perkara tersebut. Kedua, yang terpalit dengan rasuah akan melawan dengan kencang, dengan hebat dan dengan seluruh kekuatan. Yang penting apa? Kita harus sedar dan harus berikan dukungan yang penuh kepada SPRM dan Kerajaan dalam usaha ini. Jangan sekali-kali merasa lemah. Kalau kita mulai lemah, negara ini akan hancur. Bila saya sebut puluhan bilion ringgit disakau, it is not an exaggeration, it’s based from my personal understanding as Finance Minister before and now, this rot must stop and must end that now.
Saudara-saudari,
- Sebab itu saya cadangkan kepada SPRM, saya tidak pasti sama ada HRD Corp boleh bersama-sama untuk mengadakan juga acara yang sedemikian di seluruh negara dan membicarakan apa dia rasuah. Kadang-kadang dia kata ‘tak apalah rasuah’, katalah 1MDB ke, Spanco ke, ‘iyalah biasalah’. ‘Dah jadi Menteri Kewangan tak rasuah, bodoh lah’. ‘Jadi Perdana Menteri tak kaya, tak cerdik’. Tapi apa kesan dia? Tak ada apa-apa. Maknanya kefahaman dan rasuah itu sangat mendatar dan dangkal. Mereka lupa berpuluh bilion yang disampaikan kepada 4-5 orang itu sepatutnya hak mereka. Disconnect ini yang kena diberi faham. Kalau kita beritahu konsep-konsep kita tak dapat tangkap, tapi kena beritahu berapa hilang, RM2 bilion hilang, sepatutnya sampai ke elaun penjawat awam, baru dia faham. Kalau kita selamat RM10 bilion, peratus pelarasan gaji akan meningkat, tetapi kalau rugi terus RM10 bilion daripada patut naik katalah 10% turun jadi 5% baru dia faham. Termasuklah projek-projek orang miskin, biasiswa universiti dan sebagainya.
- Jadi saya harap menerusi program National Anti-Corruption Summit, it must render a strong message and meaning that this country and this MADANI government will pursue this agenda without fear or favour.
- Sudah setahun lebih kita perintah, banyak diserang tapi saya tanya di parlimen dan di luar parlimen. Beri satu bukti Menteri, Perdana Menteri sekarang dalam tindakan mereka. Kalau ada yang rasuah, tanya Tan Sri Azam. Saya kata kalau ada, kita siasat, dakwa dan ikut badan kehakiman, hukum. Tapi tidak ada. Saya salute kepada rakan-rakan, kita dapat berikan imej pimpinan yang bersih dari rasuah. Tetapi peringatan itu jelas. SPRM tidak mungkin mengecualikan siasatan ke atas pimpinan yang ada sekarang atau memantau setiap tender atau keputusan yang dibuat. Kalau ada saya katakan jangan tanya saya, dipersilakan ambil tindakan dan orang-orang yang berkenaan wajib digugurkan, baru boleh negara ini selamat.
- Jadi sekali lagi ucap terima kasih kepada SPRM dan HRD Corp, Menteri dan rakan-rakan. Oleh kerana Menteri-menteri lain perlu ada, saya percaya hal ini dapat digerakkan di kalangan Kementerian lain dan di kalangan masyarakat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG