TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MADANI RAKYAT ZON TENGAH
25 FEBRUARI 2024 (AHAD)
KOMPLEKS SUKAN KUALA SELANGOR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem.
YAB Dato Seri Saarani Mohamad,
Menteri Besar Perak;
YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu,
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;
YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
Menteri-Menteri;
YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA);
Ketua-ketua Setiausaha;
Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Ahli-ahli Yang berhormat dan saudara-saudara yang dimuliakan.
- Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama dan ini penerusan daripada program MADANI yang kita telah luncurkan tahun lalu dan kita telah ambil keputusan untuk meneruskan program ini di beberapa zon. Oleh kerana komitmen dan jasa baik Saudara Menteri Besar Amirudin, kita mulakan di Selangor.
- Saudara-saudari yang dihormati sekalian, konsep MADANI ini bertepatan, ada asas kepada keyakinan kita. Ada penekanan tentang keperluan negara dikembangkan, dimajukan, dipacu pertumbuhan, sebab ada kemampanan. Tetapi ada keistimewaan di situ kerana MADANI adalah salah satu jalur untuk mengangkat martabat insan, untuk membina tamadun. Sebab itu dikaitkan tadi dengan Ibnu Khaldun.
- Membina tamadun itu bermakna ada keyakinan, ada ehsan, ada kemanusiaan, ada sistem kenegaraan, dia bukan kelompok, kerana satu kelompok, satu wilayah, satu kaum, satu suku tidak boleh membina tamadun bangsa. Tamadun itu dibina dengan kekuatan raksasa semuanya, asasnya keyakinan, agama, dan nilai yang baik.
- Pertimbangan kemanusiaan, tidak ada masyarakat yang dipinggirkan, diketepikan tetapi mengangkat martabat dan darjat kemanusiaan itu. Kerana itu juga jaminan Allah SWT dalam al-Quran, Allah angkatkan darjat kemanusiaan walaqod karamna bani adam, jadi saya harap kita faham hal ini. Walau bagaimanapun, tidak boleh Malaysia ini terangkat kalau kita tidak maju dari segi ekonomi.
- Tidak mungkin meningkatnya ekonomi kalau diurus dengan cacamarba. Meletakkan orang-orang yang bertugas untuka mengaut harta kekayaan rakyat. Penentuan sesuatu nilai itu bermula dari pimpinan. Dalam konteks pimpinan ini bukan pada Menteri sahaja, tetapi sampai ke Pegawai Daerah, Penghulu, barulah boleh kita bangunkan negara.
- Saya harap dengan semangat dan konsep ini kita bawa suatu natijah kefahaman baru bahawa tidak ada sebab mengapa Malaysia ni tidak boleh terkenal hebat semula. Tidak ada sebab mengapa anak cucu kita macam Aafiyah tidak lebih terjamin masa depan mereka.
- Bagaimana boleh terjamin? kalau negara kita itu mendatar puluhan tahun. Kalah dari segi persaingan negara-negara baru. Ini menuntut adanya anjakan perubahan, cara kita kerja, dasar yang kita tentukan dan sikap kita. Ini kita harus sedia ubah dulu.
- Dahulu kita pernah bicara soal revolusi mental, tidak ada salahnya, tetapi seringkali pimpinan bila bercakap revolusi, tukar sikap, suruh orang lain berubah tetapi pemimpin kekal cara yang sama. Sakau, guna kedudukan untuk mengaut kekayaan. Jadi sebab itu saya kata kalau hendak jamin perubahan, hendak tentukan ada perubahan pimpinan di semua peringkat itu mesti tunjuk teladan yang baik.
- Sebab itu baik di peringkat Jemaah Menteri atau peringkat penjawat awam, KSN tahu bahawa sekarang bila kita minta laporan dia tidak tunggu laporan 6 bulan sekali atau setahun sekali. Kalau kita umum apa-apa projek termasuk yang dekat di hati Saudara Shaarani Menteri Besar Perak, Kerian Hi-Tech umpamanya, mesti ada laporan setiap bulan. Bila ada laporan setiap bulan, barulah kita boleh jalankan.
- Saya bawa bersama-sama saya tadi beberapa projek. Kalau datang Kuala Selangor, Pejabat Daerah, 5-6 projek tadi saya teliti. Jadi baiknya bila kita turun ke bawah macam ini, laporan daripada melalui ICU ada dan Pejabat Daerah, Pegawai Kemajuan Negeri, Menteri Besar, EXCO beri update, supaya kita dapat tengok di peringkat mana projek-projek tersebut. Ini kita harus lakukan setiap bulan.
- Jadi saya harap bila pimpinan turun ke bawah, dia tidak hanya check pada masa itu, dia bagi notis supaya diangkat laporan semasa. Memang tugas itu bertambah sikit untuk Menteri ataupun Menteri Besar ataupun Pejabat Daerah.
- Teatpi ini saja cara orang yakin bila kita umum kita laksanakan. Kalau kita umum projek dia tunggu pelancarannya sebelum pilihan raya. Jadi tidak ada kesungguhan. Jadi saya harap tradisi ini kita amalkan dan laporan bulanan dari penjawat awam ke jabatan-jabatan kerajaan dan juga ke kementerian di bawah Menteri itu dapat kita lihat supaya dapat dipantau dengan baik.
- Kita ambil umpamanya isu besar beberapa tahun yang lalu mengenai tebatan banjir, mengambil masa yang panjang. Tetapi kalau kita tidak pantau secara bulanan, pelaksanaan itu akan terbantut. Pemantauan ini juga termasuk projek-projek kecil.
- Contoh terdekat adalah Menteri Mat Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, bila dia datang di sini beliau update tentang mutu produktiviti padi. Jadi saya banyak laporan, tentang kedudukan tanah dan acidity.
- Kalau kita sudah faham, maka apa tindakan-tindakan yang perlu diambil? itu kebijaksanaan bila Kementerian atau Menteri datang terus ada laporan kerana arahan Menteri ialah memastikan kadar produktiviti, pengeluaran hasil padi itu meningkat berlipat kali ganda.
- Jadi saudara-saudara, kita ada soal nilai, contoh yang baik dan pelaksanaan dan saya faham saudara terutama di daerah tahu bahawa kalau tidak ada pemantauan, projek itu akan terbantut. Kadang-kadang kita tidak tahu ada tanah yang telah kita ambil 40 tahun yang lalu untuk bina katalah klinik, tetapi oleh kerana tidak dipantau secara teliti, kita dapat kesan klinik itu tidak dibangunkan.
- Ada alasan yang munasabah bukan semuanya sebab cuai. Alasannya kadang tanah itu tanah gambut kurang sesuai ataupun peruntukan diberikan peringkat awal itu tidak cukup. Tapi kalau kita tidak pantau secara bulanan kita tunggu 40 tahun untuk kenal pasti projek itu tidak dijalankan, rakyat di bawah mengeluh. Ini saya harap di teliti betul-betul dan insya-Allah dan Tan Sri KSN serta ICU dan pihak-pihak pelaksana yang lain akan dapat teliti dengan baik.
- Perkara lain dalam usaha kita adalah meningkatkan soal keupayaan latihan. Memang kita sedang tangani beberapa masalah ekonomi dunia. Saya bukan hendak bagi alasan ini kenyataannya.
- Di Indonesia, ada sedikit persoalan mengenai harga beras yang melambung naik. Di beberapa tempat, harga gula melambung, harga minyak meningkat dan ini akibat sebahagiannya kesan perang Rusia-Ukraine dan sebagainya, sekatan di Suez Canal dan kawasan berdekatan dengan dunia arab yang akibat kezaliman penjajahan Zionis Israel terhadap Gaza.
- Tapi itu kenyataannya, sebagai pemerintah kita tidak boleh lagi hanya alasan. Rakyat hendak tahu apa tindakan kita lakukan untuk meringankan dan meredakan. Ini yang kita cuba lakukan. Tapi Alhamdulillah walaupun kadang-kadang kita hanya diberitakan yang negatif sahaja tetapi yang positif tidak.
- Malaysia di ASEAN mencatat di antara kadar inflasi yang paling rendah 1.5%, juga kadar pengangguran yang menurun 35% dan dalam sejarah Malaysia pelaburan domestik dan asing tertinggi sejak merdeka.
- Pasaran saham kian segar, jadi ini yang positif. Kita hadapi masalah kejatuhan nilai ringgit yang juga menimpa yen Jepun, renminbi China dan semua currency mata wang negara ASEAN melainkan Singapura.
- Apa langkah yang kita ambil. Kita ada pilihan, orang yang tegur kita soal nilai ringgit, dia minta kita selesaikan. Adalah cara selesaikan yang ditentukan oleh semua pakar-pakar kewangan antarabangsa. Bila ringgit atau mata wang jatuh kita naik kadar faedah.
- Tapi kita bincang juga, walaupun ini bidang kuasa Bank Negara. Kalau naik kadar faedah yang pinjam pinjaman untuk kenderaan, pinjaman rumah, peniaga-peniaga kecil yang pinjam dari bank semua naik jumlah hutang mereka.
- Jadi kadang-kadang untuk saya apa lagi untuk Bank Negara, mereka kena fikir sama ada hendak kuatkan ringgit dengan naik OPR kadar faedah ataupun hendak imbangi supaya ringgit jangan terlalu jatuh dan peniaga-peniaga dan peminjam tidak terbeban dengan hutang yang bertambah.
- Dalam satu keadaan sepertimana kita hadapi dulu tahun 1998, ringgit jatuh, inflasi mencongak naik ke atas, pelaburan terhenti dalam keadaan begitu, apa pilihan? naiklah kadar faedah.
- Tapi sekarang ini, ringgit turun, inflasi turun, pelaburan naik besar, fikirkan tengok tahun 2023 pelaburan tertinggi dalam sejarah Malaysia. Ini suatu keadaan pencapaian luar biasa.
- Ini bukan kerja Anwar, ini kerja seluruh pasukan kita. Bukan sahaja Menteri-menteri, termasuk Menteri MITI, tetapi juga pegawai. Ada orang kata pelaburan ini maknanya MITI, MATRADE, betul dan juga Kementerian Luar Negeri.
- Kerana semua ini menyebabkan orang yakin politik Malaysia stabil, dasarnya jelas dan bila politik itu stabil, dasar kita jelas, dasar ekonomi apa? Ekonomi MADANI ini apa dia? Transformasi Digital, penekanan tentang sekuriti makanan, Transisi Tenaga.
- Bila kita sebut ini semua orang hendak melabur, dia tahu dasar kita dan dia tahu dasar ini kekal, insya-Allah, sekurang-kurangnya untuk 4 tahun lagi sehingga pilihan raya akan datang dan ini menyebabkan pelabur menaruh keyakinan.
- Tadi ada keluar rencana di Financial Times, London. Mereka temu bual saya, mereka kata sekarang ini Malaysia nampak mirip sikit ke Negara China. Saya jawab Malaysia mesti buat keputusan dasar yang mementingkan kepentingan negara dan rakyat Malaysia.
- Kita berkawan dengan semua, dengan barat, dengan timur, dengan Amerika dengan China. Tetapi jangan mana-mana negara hendak arah kita. Kamu boleh kawan dengan orang ini, jangan kawan dengan itu. Negara ini merdeka dan berdaulat dan bebas untuk menentukan dasar dia. Itu jawapan saya kepada mereka dan di terbitkan dalam Financial Times.
- Jadi, apa lagi masalah yang dibangkitkan oleh rakyat. Kos sara hidup, barang makanan, beras, sayur, ikan, daging, ada langkah-langkah yang diambil. Yang pertama tentunya pengeluaran itu yang diusahakan secara sungguh-sungguh terutama oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
- Saya tengok YB Mat Sabu ini dia menjelaskan seluruh, mengerahkan, menekan supaya ada usaha yang lebih daripada dulu. Tapi tindakan segera, orang merungut, jadi kita kena cari kaedah-kaedah bagaimana, sebab itu ada Agro MADANI, ada Jualan Rahmah, ada program Jualan MADANI, ini semua usaha asalkan boleh kurangkan harga barang.
- Kadang-kadang mungkin disebabkan masalah pemasaran, jadi itu yang kita lakukan sedaya upaya dan saya ucap terima kasih kepada semua jentera, kerajaan, pegawai dan pengusaha serta peniaga-peniaga kecil yang bantu untuk menjayakan program-program membantu masyarakat.
- Minggu lalu saya telah minta supaya Dato’ Armizan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memastikan Jualan Rahmah juga ditingkatkan lebih daripada biasa.
- Kemudian kita juga ada Agro MADANI, kerana ia jaringan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu besar. Hubungan dengan nelayan dengan peladang dan sebagainya kalau boleh kurangkan pemasaran, kita boleh kurangkan harga.
- Begitu juga inisiatif Ahli Parlimen Syed Abu Hussin itu kita teruskan saya tidak ada masalah. Cuma bila main soal dasar, hendak tetapkan dasar, harga padi umpamanya itu kita haruslah sabar sekejap, ikut proses sebelum kita muktamadkan. Saya juga telah bercakap sendiri dengan pengurusan BERNAS dalam mesyuarat Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru baru ini supaya mencari jalan import beras dan juga pengeluaran tempatan dinaikkan.
- Dia ada masalah. Naik beban kepada pengguna, tidak naik beban kepada pesawah. Bagaimana hendak imbangi keduanya? pesawah padi ini di antara kelompok yang miskin di negara kita. Rakyat umumnya mahu harga beras turun atau terkawal? pesawah padi mahu supaya hasil mereka itu dinilai.
- Kerana ini dikatakan security crop maknanya kalau semua tidak mahu tanam padi ditukar lain untuk mendapat pendapatan yang lebih. Negara menghadapi risiko keselamatan. Jadi keselamatan makanan itu bergantung kepada pesawah-pesawah padi. Jadi kerajaan harus imbangi dan saya bagi tempoh kepada kementerian dan NACCOL untuk memuktamadkan isu terutama harga padi pada 20 Mac.
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,
- Saya cuma harap majlis seperti ini terus dibantu semua jentera kerajaan seperti PDRM, KOPERASI, KUSKOP, JPJ menyebabkan rakyat bukan sahaja di Kuala Selangor tapi di seluruh Selangor, di Negeri Sembilan dan terutama di Perak datang berkunjung kerana dia lihat semangat MADANI itu wujud di peringkat bawah iaitu memudahkan pendaftaran, memudahkan pembayaran, dan meringankan beban rakyat.
- Saya ucap setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang terlibat. Ini telah menambah meyakinkan saya bahawa sekiranya kita bagi jalur yang baik, peningkatan yang baik, termasuk bonus semalam yang baik, maka semangat kerja pun meningkat. Jadi sebab itu penjawat awam ini sangat penting untuk kita. Dan kalau inilah prestasi mereka Tan Sri KSN, kalau inilah kita tengok prestasi penjawat-penjawat awam di peringkat tinggi sehingga serendah-rendahnya, tidak ada sebab mengapa tidak boleh kita kaji sistem persaraan tahun ini.
- Walaupun saudara tahu ada kekangan kewangan, ada masalah ekonomi tapi kita mesti cari jalan, kerana sudah lebih 10 tahun tidak ada perubahan, kajian semula dan peningkatan sistem saraan kerajaan ini kepada penjawat awam.
- Maka insya-Allah kawan-kawan di JPA, dan KSN, saya akan bentangkan kepada Jemaah Menteri. Kita sangat prihatin dan dengan prestasi ini tidak ada sebab mengapa tidak dapat kita segerakan pelaksanaannya, insya-Allah.
- Sekali lagi terima kasih dan saya dengan lafaz bismillahirahmanirahim merasmikan Program MADANI Rakyat bersama-sama dengan Aafiyah. Aafiyah sebut, dengan ini saya dengan Tok Anuar merasmikan Program MADANI Rakyat Zon Tengah.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR