TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERSIDANGAN ANTARABANGSA ZAKAT PULAU PINANG 2024
16 FEBRUARI 2024 | JUMAAT
DEWAN TUNKU SYED PUTRA,
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, PULAU PINANG
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba
Wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa
Usolli Wasallim Ala Rasoolil Kareem
Wa’ala alihi wa sahbihi ajma’een
YB Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid,
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir,
Menteri Pendidikan Tinggi;
Sahabat saya Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim;
KSU;
KPP; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah kita dapat bersama-sama dan ikhtiar mengadakan persidangan mengenai zakat ni bagi saya amat penting. Zakat adalah institusi unggul dalam membina kekuatan ekonomi yang juga memikirkan soal kesenjangan dan kemiskinan. Telah berlaku peperangan awal zaman Khulafa ar-Rasyidin mempertahankan institusi zakat, iaitu di bawah Abu Bakar As-Siddiq R.A.
- Dalam kupasan Almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradawi pula menyebut bahawa Islam itu tegak atas prinsip keimanan yang dikaitkan dengan solat, diperkukuh dalam jemaahnya, masyarakatnya dengan institusi zakat. Maka sebab itu kalau ikut kupasan al-Qaradawi, kali pertama dalam sejarah umat manusia peperangan pernah diisytiharkan terhadap kalangan yang ingkar menegakkan satu institusi zakat kerana kaitannya dengan pembelaan nasib rakyat miskin. Kerana sebelumnya, peperangan itu diisytiharkan atas faktor kekuasaan wilayah, meminang puteri, harta benda, intan berlian ataupun pengaruh, sebaliknya peperangan ‘Haq al-Faqir’ itu berlaku, manakala institusi yang unggul membina kekuatan umat itu terungkai.
- Kita harus bertanya kalau sesiapa yang biasa dengan ‘Fiqh al-Zakat’ di antara kaya, penting dalam memahami zakat yang dikupas oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi. Zakat tidak harus dilihat sebagai institusi biasa. Sebab tu kejam sekali bagi orang yang mengurus zakat, cuai dan khianat kerana institusi ini terlalu penting dalam membina kekuatan umat. Bayangkan peperangan diisytiharkan bagi orang yang mungkin mengaku dia solat, dia beriman, tapi enggan membayar zakat bagi sistem kerana akan melemah, melonglaikan sistem zakat ini.
- Zakat ini bukan sahaja soal pendapatan negara tetapi institusi yang dikaitkan dengan kemiskinan. Sebab itu kalau tanya saya dalam bicara soal zakat di negeri-negeri ini, walaupun bidang kuasa negeri, saya tidak boleh terima kenyataan negeri yang boleh kumpul dana zakat yang besar tetapi masih ada kelompok miskin tegar. Saya ambil alih lebih setahun yang lalu, di Wilayah Persekutuan saya arahkan bagilah teori penjelasan apa pun, selagi ada rakyat di Kuala Lumpur masuk kategori miskin tegar, selain daripada langkah-langkah lain daripada kerajaan, saya nak zakat itu dimanfaatkan sepenuhnya.
- Tunggak zakat dalam sistem Islam itu boleh terungkai kalau tidak dapat dipertahankan. Sebab itu kita kenal dengan Khalifah Umar Abdul Aziz yang juga disebut Umar ats-Tsani, kerana zuhudnya, waraknya, tetapi kerana tata kelolanya. Sebab itu bila orang meremehkan isu tata kelola dalam negara ini terutama kalau orang yang dikaitkan dengan Islam, berserban atau tidak, saya tidak peduli. Bagaimana boleh remehkan soal tata kelola? Zakat itu tegak kerana tata kelola yang baik. Umar Abdul Aziz itu mampu mengendali, mengurus ekonomi wilayah Islam yang besar. Bukan hanya di sekitar Jazirah Arab, Mesir, Syria sampai ke Azerbaijan. Itu kerana tata kelolanya yang par excellence.
- Jadi kita kenal tokoh-tokoh Islam itu dari sudut keperibadian, nilai, akhlak yang tidak tolak ansur tentang penyalahgunaan kuasa, guna kedudukan untuk memperkayakan diri dan keluarga. Aneh kalau saya fikirkan bahawa bagi kita ini tidak begitu penting. Negara kaya sebagaimanapun, kutipan zakat puluhan bilion ringgit sekali pun, tidak mungkin berhasil menyelenggara dan menyelesaikan sebahagian besar masalah kalau tidak diurus dengan baik. Pengurusan baik itu disebut tata kelola yang baik. Sebab itu ada kaitannya. Institusi zakat itu harus diurus dengan baik, maknanya prinsip tata kelola. Setiap sen yang digunakan, wang yang dikutip atas nama zakat itu mesti dipertanggungjawabkan.
- Seperti mana yang saya tegaskan tadi, apa pun alasan untuk latihan, untuk pelaburan, untuk daya cipta, peralihan teknologi dan transformasi digital yang semua perlu dikendalikan dalam negara MADANI ini, zakat ini mesti selesaikan masalah asas kemiskinan tegar di kalangan rakyat kita.
- Jadi saya harap persidangan ini selain daripada bicara soal-soal lain, mesti kembali kepada pokok pangkalnya. Zakat mesti diuruskan cara yang terbaik mungkin, iqtan fil amal, par excellence, dan keutamaannya mesti selesaikan masalah asas di kalangan orang yang tidak punyai keupayaan dan bersaing.
- Hal ini ada kaitan juga bila dalam perdebatan orang kata tentang meritokrasi. Kita pilih, kita bantu yang terbaik, anak-anak yang cemerlang dan ada perdebatan. Saya teringat Michael Sandelr, Profesor terkenal Harvard yang bicara tentang tyranny, kezaliman meritokrasi. Kerana meritokrasi itu, yang mana yang paling cemerlang itu dipilih dan umumnya 99.9% dari sekolah terbaik, dari keluarga yang pendidikan tinggi dan kedudukan yang terbaik, latihan terbaik, jadi kesenjangan itu berterusan.
- Begitu juga dengan transformasi digital, jika tidak dipastikan diperolehi oleh golongan peringkat yang miskin dan pendapatan rendah, ia akan menyebabkan kesenjangan lebih melebar. Kesenjangan yang terus melebar di bawah pengawasan kita tidak bererti kita mampu menegakkan keadilan. Menegakkan keadilan itu bererti mengurangkan kesenjangan, bukan melebarkan terus. Maknanya kalau pun institusi zakat memikirkan selain daripada membasmi atau menoktahkan kemiskinan tegar, memastikan golongan yang di peringkat rendah ini miskin, diberikan kemudahan termasuk bersaing dalam masa yang mencabar dan memerlukan kecanggihan melalui teknologi maklumat dan lain-lain.
- Sebab itu, Profesor Sandel’s argument in this tyranny of meritocracy itu mengungkit hal kesenjangan kerana tidak ada apa yang beliau sebut sebagai a conscious effort, satu tindakan yang jelas melalui tata kelola yang baik dan yang prihatin terhadap nasib orang yang tidak mampu bersaing. Dalam sistem pendidikan kita pun begitu juga.
- Saya bernasib baik kerana pergi ke Kolej Melayu Kuala Kangsar. Masa itu belum ada sekolah asrama penuh lain yang terkenal. Tetapi tidak boleh diukur dari segi itu kerana ada anak-anak dan rakan-rakan saya mungkin lebih pintar, tapi kekal di Cerok Tok Kun. Jadi mana mampu bersaing sekolah menengah di Manik Urai dan sekolah menengah di Kapit nak bersaing dengan Sekolah Kolej Melayu atau Chung Ling High School, tak mungkin. Sebab itu langkah-langkah dalam perancangan kerangka pemikiran pengurusan zakat itu harus memikirkan semua ini. Bagaimana dengan dana zakat selain daripada usaha-usaha daripada Kerajaan itu boleh mengurangkan kesenjangan yang berlaku. Sebab itu saya lihat zakat adalah institusi yang terlalu penting.
- Bayangkan pada zaman Umar Abdul Aziz seperti yang saya sebut tadi, dari Jazirah Arab sehingga ke Azerbaijan, beliau memerintah 2 tahun 3 bulan. Orang kata Anwar ni nampak kejar sangat bekerja ni dengan umur yang dah agak lewat, saya kata sebab saya rasa malu. Umar Abdul Aziz itu pemerintahannya 2 tahun 3 bulan, masalah kemiskinan tegar selesai, isu zakat itu diperkasa dengan begitu baik, inventori negara itu disusun. Hari pertama dia perintah, Mamak Bendahara bertanya kepadanya, “apa yang tuanku perlukan, silakan ya Amirul Mukminin”. Beliau kata, “ini bukan saya punya, ini negara punya”. Itu kali pertama disebut inventori. Berapa emas, berapa simpanan gandum, berapa berlian yang ada dalam simpanan inventori itu. Sebahagiannya bukan sahaja zakat, sebahagiannya itu dijual dan dibantu rakyat yang miskin dan untuk keperluan-keperluan yang lain.
- Kalau dia selesaikan 2 tahun 3 bulan, kita yang memerintah ada yang jadi Perdana Menteri 22 tahun, ada Kerajaan puluh tahun, ada yang 33 bulan, prestasinya bagaimana? Jadi ini maknanya muhasabah yang sebenar. Kita ingat yang harus muhasabah itu kamu, aku tak perlu kerana aku yang teratas. Ini masalah kita, muhasabah itu mesti daripada Ibda’ Binafsik, mesti mula daripada diri kita seperti mana yang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang saya bacakan tadi.
Saudara saudari,
- Dalam soal zakat tadi, bayangkan 2 tahun selesai masalah kemiskinan tegar di satu wilayah besar yang menembusi beberapa benua di bawah Umar Abdul Aziz. Jadi kita yang katakan ini contoh dan teladan, tak malu ke kita? Tidak terasa bersalahkah kita kalau tidak memikirkan dan berbuat sesuatu? Kalau pun tidak sampai ke tahap itu, tidaklah terlalu jauh daripada idealisme dan pelaksanaan yang dilakukan di bawah Umar Abdul Aziz. Sehinggakan yang saya turut baca, (mufti boleh betulkan kalau silap), laporan yang mengatakan Gabenor Azerbaijan menulis kepada Umar Abdul Aziz. “Ya Amirul Mukminin, masalah kemiskinan tegar selesai di wilayah saya, bagaimana mampu kita manfaatkan dana ini?” Sama ada beliau ataupun daripada Umar yang kemudian mencadangkan, “oleh kerana selesai kamu bertanggungjawab (laksanakan) kepada Allah SWT betul atau tidak?”.
- Bila saya dapat laporan daripada Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, katanya masalah kemiskinan tegar itu hampir selesai 100%. Maka saya beritahu Menteri Besar apa yang Umar Abdul Aziz beritahu kepada Gabenor Azerbaijan “Are you sure you are finally, ultimately a responsible to Allah SWT? If it is true, Alhamdulillah”. Jadi gunalah wang itu mungkin di antara cadangannya, membiaya anak-anak muda yang tak cukup wang nak kahwin. Itu sebagai contoh, tetapi ini bagi saya spectacular (hebat).
- Orang kadang-kadang bicara soal jihad, menyerang orang, pelaksanaan syariah, dia guna slogan-slogan tapi dia lupa bahawa kejayaan Islam itu termasuk dalam pelaksanaan tata kelola yang baik yang praktik ini. Jadi pengalaman ini harus kita manfaatkan dengan melihat bagaimana mampu kita melakukan seperti mana yang disebut dalam Fiqh al -Zakat yang bukan tiga dimensi tapi pelbagai dimensi. Tetapi dengan target yang jelas untuk membantu rakyat yang ketinggalan, sama ada terpinggir dan tersisih dalam arus pembangunan.
- Tadi Saudara Zambry sebut dalam zaman kami dulu kita bicara tentang Mohammad Nejatullah Siddiqi, Professor Mannan pernah menekankan bahawa zakat ini betul, it is an economic and social agenda but more importantly, it is an Islamic, religious, spiritual agenda. Jadi tuntutan itu begitu diutamakan di dalam kupasan Mannan.
- Jadi pakar-pakar yang ada di sini saya hanya bagi matannya saja, syarahnya saudara sudah lebih arif tapi dekat dengan hati nurani dan jiwa saya, harus sesuatu penambahbaikan yang harus dilakukan segera. Kerana soal negara yang makmur dan maju tapi kemiskinan tegar tu masih ada dan ada beberapa target. Sebab tu saya kata bila saya ambil alih jawatan, pengumuman pertama saya noktahkan kemiskinan tegar. Setakat ini yang saya kata berhasil 100% adalah Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor. Saya belum dapat laporan terperinci dari Pulau Pinang. Sepatutnya selesai sebab jumlah kemiskinan tegar di Pulau Pinang itu jauh lebih kecil. Jadi Timbalan Ketua Menteri dalam tempoh seminggu harus beri laporan selesai atau tidak.
- Untuk tahun lalu, saya dapati sekolah-sekolah anak-anak kita, baik Sekolah Kebangsaan, Sekolah Tamil, Sekolah Cina, Sekolah Agama, tandasnya tidak terurus, jumlahnya hampir RM1 bilion tapi kita selesaikan pembinaan tandas 8,600 lebih. Bayangkan dengan khazanah yang besar, pertumbuhan ekonomi dan hasil mahsul yang banyak, tetapi anak-anak kita ke sekolah dengan tandas yang rosak dan ini dibiarkan tahun demi tahun. Sebab itu saya beritahu kepada Menteri Pendidikan YB Fadhlina, saya tak mahu apa pun alasan, saya siapkan dana, saya kata mesti selesai. Kalau masalah tandas pun tak selesai, nak uruskan mutu pendidikan ini bagaimana? Alhamdulillah
- Tahun ini umpamanya kalau di Kuala Lumpur semasa saya jaga, saya pastikan gerai-gerai dinaiktaraf. Tadi saya pergi Seberang Jaya, saya minta pegawai daerah uruskan pembinaan gerai bagi indah. Sebab yang pergi ke hotel 5 bintang itu 5% rakyat, yang pergi ke gerai itu 60% rakyat, lebih 60% rakyat ini nak belanja RM200,000 baiki gerai pun tak mampu. Sebab tu saya kata pemikiran, keutamaan kita harus bicara soal ‘Fiqh al-Aulawiyat’, dalam ekonomi harus ada keutamaannya.
- Sebab itu tahun 2024 ini, keutamaan saya ialah pengurusan baik pulih rumah-rumah penjawat awam, rumah polis, rumah tentera, rumah guru termasuk rumah pegawai penjara. Jadi kita belanjakan dana tahun ini untuk selesaikan itu. Nak selesaikan semua perkara dalam setahun mungkin tidak boleh, kerana hutangnya besar dan permasalahan ekonomi yang besar.
- Sebab tu saudara faham mengapa saya keras sekali dalam soal tata kelola. Saya tidak izinkan orang merompak kekayaan negara ini. Dulu, sekarang saya tidak peduli. Ada kes besar, tak kira kamu Datuk, Datuk Seri atau Tun, kamu ambil wang, kami siasat, kami dakwa, kamu bagi balik wang itu kepada rakyat.
- Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih kerana ikhtiar Timbalan Ketua Menteri mengadakan Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang. Kita manfaatkan natijah daripada keputusan dengan pelaksanaan program yang lebih maknawi, semoga Allah memberikan kekuatan.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR