TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERHIMPUNAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB DATO’SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN BAGI BULAN FEBRUARI 2024

TEKS UCAPAN  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PERHIMPUNAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

PERDANA MENTERI DAN MENTERI

KEWANGAN BAGI BULAN FEBRUARI 2024

 

5 FEBRUARI 2024

 

KEMENTERIAN KEWANGAN, PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillaah

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem Wa ‘ala alihi Wasahbihi Ajma’in

 

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,

Menteri Kewangan II;

 

YB Lim Hui Ying,

Timbalan Menteri Kewangan;

 

YBhg. Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP); dan

 

Rakan-rakan Kementerian Kewangan serta keluarga Perbendaharaan.

 

  1. Sekali lagi kita nyatakan penghargaan atas pencapaian rakan-rakan dari keluarga Kementerian Kewangan. Terlintas difikiran saya kisah Sultan Salahuddin Al-Ayyubi yang dikenali sebagai ‘Saladin the Great’. Salahuddin ini Sultan di wilayah Iraq, asal Kurdi disebut Kurdistan dan seperti yang saudara sedia maklum terkenal kerana kejayaannya menawan semula Jerusalem Baitulmaqdis.

 

  1. Salahuddin itu seorang pimpinan yang berhemah, berakhlak baik, mulia serta cinta dan kasih kepada rakyatnya. Sepuluh tahun pertama beliau fokus isu domestik, mengimarahkan masjid-masjid dengan majlis ilmu, pencerahan dan peningkatan kefahaman rakyat tentang tanggungjawab peribadi, keluarga, dan masyarakat. Itu yang beliau hidupkan, segarkan, dan semarakkan.

 

  1. Sebab itu kalau kita lihat umpamanya dalam sejarah perbarisan menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW itu tidak dilakukan sebelumnya, tetapi dihidupkan untuk menyemarakkan semangat rakyat, semangat kesatuan, semangat kecintaan kepada Islam dan negara serta disiplin dan tradisi rakyat yang harus dibanggakan.

 

  1. Kemudian dalam konteks dasar luar, hubungannya baik dengan negara-negara berdekatan. Beliau mengambil pendekatan yang pragmatik. Sama ada negara itu Kristian, ataupun Muslim, dia adakan hubungan yang baik supaya tidak ada ketegangan yang menyebabkan peperangan berlaku.

 

  1. Jadi tradisi agama seperti menyempurnakan solat berjemaah di masjid, meningkatkan akhlak, tingkat kefahaman dan ilmu dalam pelbagai bidang disemarakkan. Itu adalah kemahiran beliau dalam bidang pembangunan masyarakat. Dalam masa yang sama beliau telah mempertingkatkan prasarana yang lebih baik, kebajikan yang diberikan kepada rakyat dan keupayaan ketenteraan yang lebih kukuh dan mantap.

 

  1. 10 tahun dia tidak terkenal sebagai seorang tokoh hebat yang boleh menyaingi kekuatan Eropah. Seharusnya juga faham bahawa kekuatan di Jerusalem Baitulmaqdis ketika itu dikuasai keseluruhan oleh kekuatan Eropah.

 

  1. Maknanya itu yang disebutkandalam sejarah, the Crusades – Perang Sabil. Seluruh, bukan satu negara Eropah, seluruh kekuatan dan juga dipimpin oleh Maharaja Richard yang dikatakan berhati singa, ‘Richard the lion heart’. Jadi 2 tokoh ini bertembung, itu sahaja yang dihebahkan, yang tidak dihebahkan ialah tradisi ilmu, nilai akhlak, tatakelola, fokus kepada pembangunan rakyat, kebajikan rakyat dan hubungan baik dengan semua sama ada negara itu Islam atau Kristian. Hanya setelah kukuh, baru dia menebus maruah apabila kawasan umat Islam dijajah.

 

  1. Apa pengajaran? Pertama, kefahaman kita tentang sejarah tu kadang-kadang tempang. Kerana kita hanya menganggap bahawa Islam, kekuatan tentera boleh melawan, tetapi dia tidak faham bahawa ada prasyaratnya disiplinnya, ilmunya, dan perpaduannya.

 

  1. Contohnya dalam konteks menyemarakkan masjid, innamā ya’muru masājidallāhi man āmana billāhi wal-yaumil-ākhiri wa aqāmaṣ-ṣalāta wa ātaz-zakāta wa lam yakhsya illallāh, fa ‘asā ulā`ika ay yakụnụ minal-muhtadīn, maknanya mendirikan masjid itu satu ketentuan satu tuntutan. Mengimarahkan, untuk apa, untuk beriman kepada Allah dan dengan menyempurnakan solat dan membayar zakat. Apa sebab solat selalu dikaitkan dengan zakat? Solat itu kita dengan Allah, zakat itu kebajikan menjamin sebagai tunggak ekonomi, menjamin kebajikan rakyat.

 

 

  1. Kalau kita tidak beri penekanan yang cukup, tidak boleh. Kalau begitu barulah hilang rasa “tidak ada takut melainkan kepada Allah”. Soal kebenaran, soal keadilan, soal yang harus dipupuk dalam semangat kita.

 

  1. Jadi itulah pengajarannya, Dato’ KSP. Cerita Salahuddin ini amat relevan dalam konteks Kementerian Kewangan. Iaitu, domestik polisi itu sangat kritikal dalam membangunkan negara, bukan soal luar. Jadi untuk keluarga Kementerian Kewangan, kita tidak boleh lari daripada fokus yang sedemikian iaitu untuk menumpukan perhatian sepenuhnya, tahu tentang masalah yang kita hadapi, tetapi tugas kita ialah fokus tentang pengurusan ekonomi yang baik. Mengelak ketirisan dan percepatkan proses kelulusan. Soal-soal lain saya akan sentuh di sidang yang lain.

 

  1. Saya hendak sebut di sini mengenai beberapa dasar domestik, iaitu keperluan memberi keyakinan baru dan mengiktiraf kebajikan rakyat termasuklah penjawat awam. Saya minta mulakan mesyuarat pelarasan gaji penjawat awam dan KSN serta KPPA setuju untuk percepatkan.

 

 

  1. Sudah 12 tahun tunggu committee (jawatankuasa), pelbagai jawatankuasa, jawatankuasa penyelaras (coordinating committee), super coordinating committee, kemudian cabinet committee, kemudian jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, jadi 15 committee baru hendak putus, tidak, kita ambil fast track. Perdana Menteri mempengerusikan dan kita muktamadkan. Jangkaan paling lewat dalam dua bulan kita bentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan muktamad, insya-Allah.

 

  1. Sepertimana kita sebut, bayaran insentif awal RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuklah kontrak, RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam dan RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen, akan dibayar sekaligus pada 23 Februari 2024.

 

  1. Saya hendak sebut juga tentang beberapa pengumuman. Kadang-kadang kita salah faham bila bincang umpamanya ada penambahan, saya tidak mahu orang kata kita hanya menumpukan penjawat awam, itu tidak benar. Dasar kita di Kementerian Kewangan, kita ambil kira setiap sektor daripada OKU, pekebun kecil getah, nelayan, peneroka, semua kita ambil kira.
  2. Umpamanya kita tahu orang bising tentang harga ataupun insentif pengeluaran getah. Kita tahu bahawa dulu bertahun-tahun dia kekal setakat RM2.50, 2023 saya naikkan RM2.70, tahun ini kita naikkan RM3.00. Jadi belanja peruntukan itu sekarang sudah sampai mencecah RM400 juta yang khusus untuk tambahan selain daripada STR dan lain lain. Jadi sekarang ini kita umum sekali supaya tidak mengelirukan, kerana saya dengar kadang-kadang dalam ceramah politik, ada yang berkata tidak ada makna dia kerja setahun dapat RM400 sahaja. Padahal RM400 itu suntikan tambahan kerajaan.

 

  1. Pesawah padi pula kita sudah mula bayar bantuan pesawah pada tahun 2023. Kadar skim subsidi padi pada tahun 2022, RM360, sementara tahun 2023 kita tambah jadi RM500. Harga lantai belian padi 2022, RM1,200, tahun 2023 kita naikkan RM1,300.

 

  1. Kemudian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) itu juga kita tingkatkan dan bayaran fasa satu sehingga RM500 bagi penerima isi rumah telah disempurnakan pada hujung Januari lalu dengan peruntukan bantuan tunai kepada 9 juta rakyat.

 

  1. Tahun 2023 kita sudah naikkan jadi RM8 bilion. Tahun 2024 jumlah STR yang diberi kepada 9 juta rakyat adalah sebanyak RM10 bilion. Jadi saya jelaskan supaya jangan ada pandangan tidak ada keprihatinan kita. Di dalam keadaan kekangan ekonomi, rakyat hendak hidup, harga barang jadi cabaran, perbelanjaan anak hendak pergi ke sekolah, masalah bebanan, belanja kesihatan dan lain lain, semua itu diambil kira.

 

  1. Selain itu, kadar maksimum STR isi rumah tahun 2023, kadar maksimumnya RM3,100, sementara tahun 2024 suntikan daripada kerajaan RM3,700. Kadar minimum bagi yang bujang ini saya ingatkan juga cerita Umar Abdul Aziz berhubung soal zakat. Umar Abdul Aziz perintah 2 tahun 3 bulan. Kalau dilihat dalam sejarah selain daripada Khulafa Ar Rashidin ini tokoh yang luar biasa hebat dan peribadi serta akhlak dan pengurusan ekonominya. Dalam 2 tahun 3 bulan, beliau dengan wang zakat dan pengurusan yang cekap itu dia boleh selamatkan rakyat bebaskan daripada kemiskinan tegar. Seluruh wilayah-wilayah Islam pada masa itu ialah Arab Saudi sekarang ini, Mesir, Syria, Iraq sebahagian daripada Asia Tengah sampai Azerbaijan, itu wilayahnya.

 

  1. Maka gabenor Azerbajian tanya, “saya dah periksa, sudah tidak ada orang miskin dan miskin tegar dalam wilayah saya, jadinya hendak buat apa dengan wang zakat ini”. Kata Umar Abdul Aziz, “pastikan betul atau tidak betul kerana kita akan menjawab dan bertanggungjawab kepada Allah SWT”. Kalau betul, wang itu boleh subsidi untuk anak bujang yang hendak kahwin. Dari satu segi walaupun tidak sepenuhnya kita tolonglah dengan RM500.

 

  1. Kadar bayaran pertama untuk 2023, kita bayar RM300 tapi untuk 2024, RM500. Kemudian SARA 2024, mula disalurkan pada Januari 2024 dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion.

 

  1. Pada tahun 2023, bayaran kepada golongan miskin diberi melalui MyKad untuk membeli barang keperluan asas. Saya pergi pasar raya sekitar Tambun di Ipoh, saya lihat dan sememangnya saya ucap tahniah kerana pengurusannya. Saya tanya orang OKU dan orang tua bagaimana cara pengendalian atau cara mereka memilih harga di bawah skim SARA, mereka maklum bahawa ada had pembelian. Saya lihat pelaksanaan SARA ini dan saya hormat cara pelaksanaan yang sangat baik oleh penjawat awam.

 

  1. Kadang-kadang usaha penjawat awam bila begitu baik dan berkesan tidak dihargai hanya diceritakan berita-berita negatif sahaja. Memang ada baru-baru ini Ketua Polis Negara buat kenyataan tentang isu kurang disiplin di kalangan Polis, ya betul golongan kecil itu dihebahkan sementara yang 95% atau 90% yang baik itu tidak dihebahkan. Begitu juga KASTAM atau LHDN, yang positifnya itu tidak menjadi berita menarik, sebaliknya berita sensasi contohnya ada seorang pegawai kastam pukul seseorang, itu mesti akan jadi headline news hari esok. Kalau KASTAM kutip hasil sehingga pecah rekod itu tidak akan jadi headline news. Jadi kita perlu bersabar, justeru, saudara-saudara perlu ingat bahawa kerja itu dengan niat lillahi taala, insya-Allah ia akan memberikan kepuasan (satisfaction), you are happy with what you have done your level best.

 

  1. Bercakap mengenai SARA, jumlah penerima bukan kecil, jumlah penerima untuk tahun 2023 – 210,000 orang. Tahun ini kita perluaskan, yang mendapat skim yang dimaksudkan golongan miskin melalui mykad itu 700,000 penerima, bukan kecil dan jumlahnya itu melonjak dari tahun 2023 peruntukan SARA RM130 juta, manakala tahun 2024, RM700 juta itu untuk rakyat berkelayakan. Jadi kadar SARA untuk isi rumah RM600 – 2023, dan RM1,200 – 2024.
  2. Kemudian baru-baru ini Menteri Pendidikan umumkan tentang Bantuan Awal Persekolahan (BAP), penerima telah diperluas dari Darjah Satu sehingga Tingkatan 5 dan telah mula diagihkan pada bulan Januari. Peruntukan BAP tahun 2022, sebanyak RM450 juta untuk 3 juta penerima, tahun 2023 sudah mencecah RM800 juta ringgit untuk 5 juta penerima dengan kadar BAP sebanyak RM150. Kriteria penerima BAP sebelumnya ditetapkan kepada murid daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah, tetapi sekarang kita bagi peluang kepada semua murid.

 

  1. Walaubagaimanapun, ini tidak termasuk beberapa langkah-langkah lain yang dibuat oleh kementerian-kementerian seperti Kementerian Pertanian, Kementerian Wilayah dan Desa, Kementerian Ekonomi dan juga beberapa kerajaan negeri, berkaitan zakat fitrah dan sebagainya.

 

  1. Kita juga sedang membincangkan soal yang penting berkaitan fiscal responsibility, pengurusan ekonomi yang baik, sistem tender yang lebih kemas, dan lain-lain pendekatan. Tetapi kita tidak meninggalkan masalah kebajikan rakyat kerana betapa pun kita cuba tangani masalah umpamanya kos sara hidup, masih ada yang mengeluh kerana terdapat barang keperluan yang memang diperlukan.

 

  1. Saya lihat Kementerian Pertanian sekarang lebih cergas cuba menyelesaikan beberapa masalah termasuk soal bawang. Jadi saya dengar Mat Sabu sekarang setiap hari dia pergi tengok bawang, jadi orang panggil dia menteri bawang pula sekarang (nada berseloroh). Ini tidak apalah, asalkan kerja berjalan dengan begitu baik.

 

  1. Sebelum saya akhiri perjumpaan pagi ini, saya ingin menyeru rakan-rakan agar teruskan kerja anda, kalau ada berita-berita negatif sikit, itu biasa, kita minta terus bersabar tetapi kita pantau dari dekat dan kita tahu tentang kesungguhan rakan-rakan semua dalam menjalankan tugas dan tidak boleh 1-2 kes yang negatif ini merosakkan susu satu belanga.

 

  1. Walaupun kita cuba tangani, mengikis unsur yang merosakkan ini tetapi kita harus berlaku adil secara keseluruhannya seperti mana saya umumkan peningkatan yang mendadak dari segi sumbangan kepada rakyat dan ini hanya dilakukan kerana kejayaan-kejayaan keseluruhannya kerajaan untuk mengurangkan kos yang kita anggap tiris atau membazir dan kejayaan melaksanakan beberapa program termasuk penyasaran subsidi elektrik, pengapungan harga ayam. Dan ini semua membantu untuk kita mendapatkan hasil yang lebih baik.

 

  1. Kemudian juga khidmat rakan-rakan dalam badan-badan penguatkuasa termasuk KASTAM, LHDN dan lain-lain yang boleh membawa hasil lebih baik. Dan hasil ini seperti yang saya tunjukkan, buktinya kita boleh tambah lonjakan besar kepada rakyat dan insya-Allah satu pengumuman yang baik akan kita buat sebaik sahaja kita selesaikan Jawatankuasa Penyelarasan Gaji Penjawat Awam.

 

Terima kasih, wassalamualaikum warahmatullahi wabaratuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.