TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI
BAGI BULAN FEBRUARI 2024
5 FEBRUARI 2024
DEWAN DE’SERI ENDON PUSPANITAPURI, PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah
Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri I;
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;
Menteri-menteri;
Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA);
Timbalan-Timbalan Menteri dan rakan-rakan terhormat.
- Alhamdulillah, kita dapat teruskan dengan majlis penerangan, perjumpaan dengan pegawai-pegawai dan penjawat awam Jabatan Perdana Menteri. Saya hendak manfaatkan waktu yang singkat ini dengan bicarakan isu Pengampunan Diraja Datuk Seri Najib Abdul Razak mantan Perdana Menteri. Seminggu mutakhir ini telah menimbulkan sedikit perbahasan, kontroversi dan wacana meluas di kalangan rakyat mengenai perkara tersebut.
- Kita faham setiap orang mempunyai pandangan yang agak tegas dan keras dalam perkara ini, jadi kita beri laluan sedikit, tetapi setelah penjelasan dibuat harus dihentikan. Jadi izinkan saya dengan keterbatasan ini menjelaskan bahawa dalam peruntukan perlembagaan Yang Dipertuan Agong bertindak dalam banyak perkara, dan kebanyakan perkara tersebut adalah atas nasihat Perdana Menteri.
- Walau bagaimanapun, ada beberapa bidang yang diperuntukkan dalam perlembagaan yang mana wawenang budibicara sepenuhnya bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, iaitu Perkara 42 (1), menyatakan Yang Dipertuan Agong harus memutuskan perkara-perkara bersangkutan Wilayah Persekutuan dalam mesyuarat lembaga pengampunan.
- Kemudian Yang Dipertuan Agong memutuskan dan keputusannya itu muktamad. Pertimbangan yang besarnya bukan undang-undang. Undang-undang itu proses badan kehakiman sehingga mahkamah persekutuan.
- Pertimbangan utamanya adalah soal ihsan, compassion apa yang disebut Yang Dipertuan Agong itu sebagai mercu keihsanan atau ‘fountain of mercy’. Sama ada Tuanku Yang Dipertuan Agong memilih untuk memberikan penjelasan atau tidak itu wawenang Tuanku.
- Saya hendak jelaskan ini, lembaga harus beri pandangan dan apa hak mana-mana tahanan atau banduan mengemukakan pandangan itu perkara 113 dalam peraturan itu jelas tanpa kecuali sesiapa pun sebaik sahaja yang mengatakan mesti minima tiga tahun, tidak betul. Siapa sahaja kali pertama ikut prosesnya boleh mengemukakan rayuan.
- Dalam kes ini bila rayuan dikemukakan benar, Perdana Menteri memastikan bahawa rayuan itu didengar jadi saya memang akui tanggungjawab itu. Tetapi kalau ditanya mengapa Perdana Menteri mengambil sikap untuk mengemukakan cadangan rayuan daripada Datuk Seri Najib Razak begitu awal. Saya kata sebaik saya dapat mana-mana rayuan saya mohon supaya lembaga pengampunan bicarakan dan diberikan pertimbangan oleh lembaga.
- Mesyuarat lembaga yang pertama telah diadakan pada 9 Disember yang lalu, saya hadir kerana saya masih bertanggungjawab dalam isu Wilayah Persekutuan, yang berikutnya Dr Zaliha hadir kerana soal tanggungjawab Wilayah Persekutuan dia jalankan.
- Proses itu mengikut kaedahnya, saya teliti dalam satu mesyuarat yang saya hadir, pertama, apa asas rayuan. Perkara-perkara yang menjadi pertimbangan, antaranya adalah peranan dia, perjalanan hidup dia sebelum itu, keluarga dia, kehidupan dia di penjara, jasa dan khidmat dia baik kepada keluarga ataupun kepada masyarakat, dan dalam kes Datuk Seri Najib sumbangan kepada negara. Semua perkara-perkara tersebut adalah asas untuk diberi pertimbangan.
- Kemudian diberikan juga penjelasan tentang proses badan kehakiman, apa kesnya, apa hukumannya. Kemudian kalau ada kes-kes yang dalam proses semua itu dijelaskan. Kemudian masing-masing bagi pandangan dan akhirnya Yang Dipertuan Agong akan buat keputusan. Itu prosesnya.
- Perlembagaan ini merupakan bidang kuasa yang diberikan sejak merdeka kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam memutuskan. Walau bagaimanapun, view point of law tidak begitu sekarang, kes dalam perjalanan mahkamah dia mungkin atau mungkin tidak, sebab itu disebut mercy, dalam kes-kes terdahulu ada menteri, ada orang biasa, ada kes hukuman bunuh, dan pelbagai lagi kes, tetapi diberi peringkat-peringkat pengampunannya.
- Jadi saya harap dengan penjelasan ini kita dapat redakan kontroversi, kerana kita telah terima peruntukan perlembagaan. Kita tidak boleh menuntut penjelasan daripada lembaga pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong dan diputuskan oleh baginda.
- Itu kena faham bahawa ia bukan diputuskan oleh lembaga walaupun pada hakikatnya prosesnya itu mesti melalui lembaga. Jadi sesiapa yang hendak bertanya, sila buat memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.
- Isu yang dibangkitkan kononnya kita longgar terhadap permasalahan rasuah. Ini tidak benar, proses badan kehakiman diteruskan dan tidak ada sebarang ugutan. Datuk Seri Zahid, Presiden UMNO ada di sini, dia tidak pernah bagi kata dua kepada saya. Beliau dan partinya ada hak memohon supaya Perdana Menteri dan lembaga pengampunan memberi pertimbangan dengan alasan-alasan mereka. Sama ada saya suka atau tidak suka, rakan politik atau musuh politik prinsip keadilan ini dan prosesnya harus kita hormati.
- Bercakap soal tatakelola dan penegasan tentang rasuah ini adalah menyeluruh, termasuk Datuk Seri Zahid, Datuk Seri Fadillah, menteri-menteri, dan timbalan-timbalan menteri, kita tidak berganjak, tidak ada langsung pendirian kita untuk berundur daripada perkara ini. Saudara-saudara tahu di antara paling kuat saya diserang ialah kerana tindakan saya mengarahkan semua agensi tegas supaya dapat kita selamatkan negara ini daripada kecurangan pemimpin-pemimpin terutamanya daripada menggeledah dan memunggah kekayaan luar biasa.
- Jadi saya telah berikan arahan kepada SPRM, LHDN dan Polis Diraja Malaysia untuk ambil tindakan. Saya tidak peduli siapa, rakan-rakan saya dalam kabinet ada di sini, berulang kali saya tegaskan dalam pentadbiran sekarang tidak ada tolak ansur sama sekali dalam hal tatakelola dan rasuah.
- Dalam kes penggunaan kemudahan Spanco umpamanya, sikap saya keras terhadap Spanco itu sejak saya Menteri Kewangan dulu. Jadi siasat, saya tidak tahu di mana salahnya tapi saya tahu peraturan itu tidak betul. Saya tahu ia merugikan negara, saya tahu dia tidak menyenangkan penjawat awam.
- Tetapi kita lesu tidak berupaya berbuat apa-apa kerana tidak ada ketegasan dan tekad politik untuk bertindak. Tetapi sekarang ada, dan saya salute pihak penguatkuasa, sama ada SPRM, LHDN dan lain lain yang bertindak tegas dalam perkara ini.
- Jadi saudara-saudara, ini kita kena faham kalau kita hendak perangi rasuah kita kena bermula dari atas sehingga ke bawah. Apakah belum, apakah selesai semua? Tidak. Semalam Ketua Polis Negara menyergah keras beberapa kelompok di peringkat bawah atau pertengahan polis yang masih, mungkin kelompok kecil tetapi mahu di banteras.
- Kalau diambil tindakan terhadap kelompok kecil itu bagaimana kita boleh biarkan rasuah skala besar itu berlalu tanpa apa-apa tindakan. Bentuk tindakan jangan tanya saya, saya beri arahan umum kepada semua jabatan, semua badan penguatkuasa. Tegas sementara kita ada tekad politik dan konsensus dalam jemaah menteri, no compromise. Maka masa untuk bertindak, yang saya suarakan ini kerana orang-orang yang menjerit menyerang peribadi tertentu kelu, tidak langsung bersuara malah secara diam bersekongkol dengan perasuah. Jadi maknanya mereka ini bukan menentang rasuah, tetapi hanya wayang politik untuk menyerang musuh.
- Kita semua bersepakat kalau ada di kalangan rakan kita dalam barisan jemaah menteri yang terlibat dan ada kes kontrak atau apa-apa, arahan kita adalah kita tidak akan mempertahan atau melindungi.
- Saya tidak akan pertahankan, tetapi jangan guna itu untuk melindungi perasuah di antara perasuah-perasuah terbesar dalam sejarah negara ini yang menekan kita sampai sekarang. Kalau kita boleh selamatkan sepuluh dua puluh bilion ini, saudara bayangkan berapa universiti, berapa sekolah, berapa hospital, berapa elaun tambahan untuk penjawat awam kita boleh tingkatkan. Tetapi kerana kita tidak ada kekuatan dan tekad politik.
- Ada yang kata kerana hukumnya bukan hudud, oleh tu ringan, tidak, kerana dia menyeksa rakyat susah. Ini saya hendak tekankan kepada penjawat awam kerana kalau ada signal yang jelas dari badan-badan penguatkuasaan untuk bertindak keras dan tegas terhadap pimpinan, sekarang atau dulu, maka penjawat awam bukan sahaja harus bekerjasama tetapi lebih waspada.
- Kalau saudara tanya apakah ia bersih sama sekali, jawapan saya, perlu kerana masih ada di peringkat tertentu di sempadan, di pelabuhan, bahagian percukaian, dan pelbagai lagi kelompok kecil yang meneruskan kerja mereka.
- Saudara tahu, kehilangan hasil dari ketirisan minyak mentah diesel masih belum terkawal sepenuhnya. Saya hanya merayu kepada saudara-saudara memberi kerjasama sepenuhnya, biarlah ada dalam satu dua tahun ini, kita ada tekad a new spirit atau pun ‘Zeitgeist Spirit’, semangat zaman untuk kita bertekad selamatkan negara ini dari pelbagai salah guna kuasa dan pemunggahan kekayaan, sekali gus meningkatkan kembali keyakinan rakyat dan hasil mereka.
- Saudara, kalau kita dapat selamatkan sepuluh dua puluh bilion ini, bukan untuk perbaiki rumah Perdana Menteri atau elaun dia. Apa yang kita dapat adalah pulangan itu kita kembalikan kepada rakyat, noktahkan kemiskinan, beri pendidikan yang bermutu, selamatkan anak-anak, jadi semua kaum, agama, wilayah tidak lagi bergaduh soal peruntukan, peruntukan kecil. Tidak ada sebab hal ini dibolehkan, diteruskan. Jadi saya harap penekanan ini dapat memberikan manfaat. Kita faham tanggungjawab agama kita, tanggungjawab bangsa, tanggungjawab budaya, serta semua itu mesti bermula dengan tatakelola yang baik.
- Jadi saya memang tidak nafikan bahawa hari ini memang ada pelbagai tekanan dan suara tetapi rakan-rakan tahu proses mesti dihormati, proses hukum mesti dipertahankan. Kita mesti kembalikan integriti badan kehakiman, integriti badan penguatkuasaan dan umumnya integriti negara sebagai negara merdeka berdaulat dan berintegriti.
Semoga Allah taala memelihara kita dan doa dimakbulkan.
Wassalammualaikum warahmatullahi wabaratuh.
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021