TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PERASMIAN RESTU GLOBAL QURANIC ARTS FESTIVAL (ReQAF)

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN RESTU GLOBAL QURANIC ARTS FESTIVAL (ReQAF)

 

24 FEBRUARI 2024 (SABTU)

KOMPLEKS NASYRUL QURAN, PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh


Alhamdulillahi qoil
Yaa aiyyuhallazi na amanu istajibu lillaahi wa lir Rasul

Idzaa da’aakum limaa yuhyikum

Wa usolli wassallim ‘ala saiyidina Muhammad

Wa ‘ala alihi wasohbihi ajma’in

YBhg. Datuk Abdul Latiff Mirassa,
Pengarah Eksekutif Yayasan Restu;

 

YB Datuk Seri Ahmad Maslan,

Timbalan Menteri Kewangan;

 

Yang saya muliakan Duta-duta Perwakilan Asing;

 

Syeikh Dr Syed Afeefuddin Al-Jailani; dan

rakan-rakan yang dihormati.

 

  1. Hari ini, sepertimana yang kita dengar tadi dari ucapan saudara Abdul Latiff, kita meneruskan satu tradisi dan budaya iaitu bukan sahaja menyalin, memperkenal, tetapi menghidupkan. Sebab itu saya mula dengan ayat “istajibu lillaahi wa lir Rasul, idzaa da’aakum limaa yuhyikum”, sentiasa mengingat dan diperingatkan oleh Allah SWT yang berpaksi Quran dan Rasulullah SAW, tetapi menyampaikan “idzaa da’aakum limaa yuhyikum” dengan semangat penghayatannya.
  1. Apa yang digesa supaya ada proses catatan itu saya saksikan. Kerana generasi saya, umumnya mahasiswa anak muda sebelum ada smartphone terutama dalam budaya saya dalam ABIM dahulu, kita wajibkan anak-anak ada buku catatan yang disebut adab MADANI ini. Supaya bila kita dengar dalam majlis ilmu, kita dengar Syeikh-syeikh besar, ada gesaan, ada pandangan, ada kupasan Al-Quran dan syarahnya dan tafsirnya, ada hadis dan syarahnya kita catat. Tetapi budaya ini kian hilang. Kita boleh guna smartphone tentunya tapi catatan itu bagi saya penting kerana tidak mungkin seseorang itu hebat seperti mana jua pun mampu mengingat semuanya, melainkan ada buku catatan. Jadi saya ucap terima kasih kepada saudara Abdul Latiff, terus menghidupkan budaya ini.
  1. Kita semua tahu Islam itu tegak dengan budaya ‘Iqra’ tetapi amalannya itu kurang. Sebab itu bila saya baca, saya pilih dengar tadi Syeikh berdoa, saya ingat tentang “idzaa da’aakum limaa yuhyikum” menghidup, menghayati dari yang sekecil-kecilnya kepada tentunya isu-isu pemerintahan, peraturan, hukum, undang-undang.

Saudara-saudara yang dihormati sekalian,

  1. Yayasan Restu ini tentunya atas ikhtiar saudara Abdul Latiff bin Hasan. Tetapi, ada hubungan di peringkat antarabangsa, sebab pada tahun 1994, saya telah dijemput oleh rakan-rakan di Indonesia semasa pemerintahan Presiden Seoharto hadir dalam Festival Istiqlal iaitu di Masjid Istiqlal. Sambutan yang hebat luar biasa dan ini satu perubahan kerana sebelumnya, pemerintah itu tidak menganjurkan sangat isu-isu dan program Islamik. In the past before that Festival Istiqlal, leaders don’t even encourage people to say ‘Assalamualaikum’ or whatever. But this was a turning point in the modern history of Indonesia when President Seoharto himself and some of my younger colleagues organize this Festival Istiqlal.
  1. Saya diminta untuk menjadi salah seorang tetamu yang berbicara dalam ucaptama dan di situlah saya kemukakan konsep MADANI. “Mujtamak al madani”, masyarakat MADANI yang kemudian sekarang kita rangka dengan lebih kemas dengan sumbangan teman-teman, pakar-pakar, muallim untuk menjadi dasar MADANI di Malaysia.
  1. Tetapi yang saya terkesan ialah tentang mashaf sempena anjuran Festival Istiqlal. Bila diterangkan pada saya, tiap halaman itu dari budaya tempatan. Al-Quran tentunya tidak ada perubahan tetapi halaman pertama dari motif Minang, halaman kedua motif Palembang, halaman ketiga motif Betawi, Solo dan Sunda. Jadi saya kata ini maknanya menghidupkan Islam yang tegak, dengan mesej dan universal tetapi menghormati, menyantuni, memuliakan leluhur bangsa hasil yang disampaikan oleh nenek moyang.
  1. Jadi bila saya lihat begitu, saya pun balik terus panggil Latif, “Baik buat Quran, tapi boleh tak kita ambil motif Kelantan, Terengganu, Sabah, suku-suku kaum, Kedah, Pulau Pinang semua itu supaya dalam Quran itu Quran, tetapi aspek seni dan budaya itu diterapkan untuk keindahan.
  1. Kerana sebenarnya dalam agama dan dalam kehidupan kita boleh disebut MADANI iaitu memperkasa ekonomi. Walaupun kita ada masalah ringgit, tetapi pelaburan tahun lalu adalah yang paling tinggi dalam sejarah. Saudara, kalau dunia tidak ada keyakinan pelaburan akan tentunya di tahap yang perlahan. Dunia dan pelabur ada keyakinan maka kita catat pelaburan tertinggi dalam sejarah Malaysia. Inflasi menurun, kadar pengangguran menurun, pertumbuhan dapat kita pertahankan dalam keadaan dunia lembab dari segi pertumbuhan ekonomi.
  1. Saya sebut hal ini kerana penting untuk kita faham. Kita harus tangani masalah ringgit yang ditentukan oleh Amerika Syarikat. Sebab itu antara langkah kita ialah menjalankan perdagangan dengan negara China. Dengan negara China hari ini 25% maknanya RM250 bilion minimum adalah menggunakan Ringgit dan mata wang China, Dolar tidak digunakan. Dengan Indonesia sekitar 18%, dengan Thailand 20% dari perdagangan gula Ringgit dan Bhat. Kalau kita guna Ringgit dan mata wang China Renmibi, maka isu Dolar tidak ada kesan. Kita bimbang kalau bila Ringgit jatuh kemudian inflasi naik, pertumbuhan terbantut, pelaburan tidak datang, itu kita bimbang. Tetapi sekarang ini, semua angka dan data ekonomi menunjukkan kita di landasan yang betul. Justeru, kita dengar dan cari jalan untuk perbaiki, janganlah jadikan ini sebagai satu sepak terajang politik sehingga tidak bersandarkan kepada fakta.
  1. Sebab tu dalam negara, memperkasa budaya penting, memperkasa seni itu penting, dan dalam MADANI ini nilai dan akhlak yang diterapkan. Apa erti pembangunan mencakar langit, rakyat di bawah tertekan tidak dipedulikan. Apa erti kilang-kilang dan gedung-gedung hebat tetapi pekerja di dalamnya itu ditekan dengan gaji yang sangat rendah. Ini yang pernah disebut oleh Bapak Muhammad Natsir, “jangan sambil kita membangun, kita robohkan”. Yang kita bangunkan itu gedung besar-besar, industri hebat, tetapi dalam masa yang sama kita robohkan akhlak, nilai kemanusiaan, kita ketepikan sisihkan keadilan. Gedung dan syarikat untungnya berbilion ringgit, pekerja gaji terlalu rendah sukar untuk makan dan untuk menjaga keluarga. Gedung hebat pendapatan tinggi tetapi akhlak pekerja itu kian meleset. Ini yang disebut ‘jangan sambil membangun kita robohkan’.
  1. Apa kaitannya ini dengan Al-Quran? Dalam Al-Quran meletakkan soal akhlak, soal nilai, kalau tidak ada akhlak dan nilai maka pertimbangannya hanya gedung. Tapi kita berbeza. Kita tidak ikut teori-teori ekonomi barat. Kita masih tekankan apa yang disebut ‘value, ethics, morality in development’. Jadi saya harap kita cuba hayati ini. Ini bukan hal yang mudah tetapi soal nilai. Orang kata dia tak nak nilai, dia nak wang, dia tak nak cakap soal moral dan akhlak dia nak gaji naik. Itu salah saudara-saudara. Kita kena imbangi. Kalau kita kata rujuk Nabi Muhammad SAW dan juga bicara soal Al-Quran, tidak boleh ketepikan soal akhlak. “Wa innaka la’alaa khuluqin ‘adzeem”, itu yang kita harus tekankan.
  1. Hari ini juga sesuatu yang istimewa atas inisiatif Yayasan Restu iaitu pelancaran Restu Global Quranic Arts Festival (ReQAF) untuk tahun 2024. Saya fikir dan saya sebut tadi kepada saudara Ahmad Maslan dan saudara Abdul Latiff, kita kena perluaskan. Ini kesempatan kita tingkatkan dakwah, tingkatkan kefahaman dan jangan guna Islam itu sewenang-wenangnya. Belajar satu dua ayat terus kecam orang, hina orang, ketepikan dan fakta entah ke mana. Sebab itu dalam Kerajaan hari ini di antara kitab awal yang saya minta JAKIM terbitkan ialah ‘Adabul Ikhtilafil Islam’, Ethics of disagreement in Islam. Ada cara dan kaedahnya. Yes of course you can disagree, but must be based on certain ethical principles. You don’t condemn unnecessarily. You must get the correct facts. You must show in a compassion and understanding.
  1. Untuk tahun ini juga, saya telah minta Kementerian Pendidikan untuk memastikan semua pelajar Islam di negara ini membaca kitab 40 Hadith Matan Arbain Imam Nawawi. Matannya, terjemahannya dan syarah. Ini Hadith 40 yang semua kita lazim tahu, jadi kita ada terjemahannya, ada syarahnya. Saya telah diberikan oleh JAKIM proofreadnya, saya akan minta mereka untuk perkemaskan, tanya lagi authority lain supaya penafsiran itu tepat dan mendalam. Apa maksudnya? Mesti ada peningkatan ilmu, kecerdasan ilmu, kecelikan tentang Al-Quran.
  1. Seorang sheikh saya berasal dari Iraq, Dr. Syeikh Taha Jabir al-Alwani, dia sebut tentang ‘Manhaj Al-Quran’. Bahawa Al-Quran itu ada manhajnya, kefahamannya. Dia tidak boleh ambil cebisan dan hukum sewenang-wenang. Ini yang disebut semalam di Seri Perdana, saya undang Dr. Jasser Auda bicara tentang ‘Maqasid Syariah’. Syariah ini bukan soal hukum sahaja tapi ada matlamat dia, keamanan, keadilan. Itu semua apa yang disebut dalam Maqasid Syariah.

Saudara-saudara,

  1. Setakat ini usaha yang dilakukan oleh saudara-saudara itu sangat membanggakan. Setakat ini kita tahu di rantau ini, ini yang terbesar dan mungkin satu, dua di dunia Arab atau Iraq, Iran, Arab Saudi atau Turki, tetapi nampak kita telah maju, Alhamdulillah dan ini kebanyakannya daripada Nasyrul Quran dan Yayasan Restu ini atas inisiatif saudara-saudara di sini. Saya ingat dengan adanya saudara Ahmad Maslan bersama, kita boleh pertahankan jaringan. Bila saya lambat bagi kelulusan, dia akan bagi nota kepada saya.
  1. Jadi saudara, jadikan ini satu budaya. Bukan sahaja catatan adab MADANI tetapi perluaskan imam, anak-anak muda, pimpinan mahasiswa, pegawai-pegawai kerajaan. Ada pendekatan supaya membaca Quran, memahaminya dan menghayatinya.
  1. Apa istimewa generasi Quran? Generasi Quran itu dia baca, dia faham dan diamalkan. Kalau tidak kita ada apa yang dikatakan kesenjangan atau perbezaan. Kita bicarakan tentang indah, keadilan, tapi kita tolak ansur dengan penyelewengan, kezaliman, rasuah yang menekan. Sebab itu saudara Ahmad Maslan tahu pendirian saya dalam kerajaan MADANI ini, saya tidak mahu tolak ansur lagi tentang prinsip tata kelola dan bersihkan negara daripada rasuah di mana pemimpin bila naik jadi pemimpin, dia kira bagaimana nak kaut habuan dan tidak untuk memikirkan nasib rakyat. Jadi ini bagi saya Manhaj al-Quran.
  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih, tahniah dan dengan lafaz Bismillahirahmannirrahim, saya melancarkan Restu Global Quranik Arts Festival 2024 dan buku ADAB MADANI.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.