TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN HARI KRAF KEBANGSAAN 2024
24 FEBRUARI 2024 | SABTU
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah nahmaduhu wa nusolli ala rasulihil kareem
YB Datuk Seri Tiong King Sing,
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya;
YB Khairul Firdaus Akbar Khan,
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya;
YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya;
YBhg. Datuk `Ainu Sham binti Haji Ramli,
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia;
Tuan-tuan Yang Terutama Duta-duta Perwakilan Asing;
Serta semua yang hadir.
- Saya ucap kasih kerana sekali lagi dapat bersama dalam menyantuni dan meraikan usaha saudara-saudara terutama dalam meningkatkan industri kraf tangan negara kita.
- Ada beberapa perkara yang kita harus renungkan. Pertama, ada kaitan dengan pelancongan dan kementerian ini seperti mana yang kita tahu sudah menjadi di antara fokus utama kerana negara ASEAN dapat menarik pelancongan bukan sahaja dari negara China, India tetapi Eropah dan Amerika. Oleh yang demikian, peranan kita dari segi memacu pertumbuhan ekonomi itu sangat penting. Jadi saya ucap terima kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Tiong serta seluruh keluarga Kementerian Pelancongan kerana lebih agresif untuk menarik para pelancong dari luar negara.
- Ini bermakna ada sinergi, kaitan iaitu yang pertama bila pelancong datang, lapangan terbang dan pelabuhan harus efisyen, harus diperbaiki. Aerotrain KLIA itu harapnya siap secepat mungkin. Kemudian bukan sahaja di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Bharu, dan sekarang sampai ke Tawau. Jumlah pelancong yang ke Tawau dan sepertimana kita tahu lapangan terbang Tawau itu kecil, tidak dirangka untuk memenuhi pelancongan dari luar negara. Sekarang ada, jadi maknanya dari Kementerian Pelancongan ke Kementerian Pengangkutan dan seterusnya Kementerian Kewangan, perlu menyegerakan tindakan. Ini yang selalu saya tekankan. Asalkan kita ikut prosedur yang baik dan elak daripada amalan lama, mencari keuntungan dan ambil habuan.
- Kalau kita dipertanggungjawabkan dalam bidang itu, kita harus percepatkan. Tak boleh nak siap baiki airport seperti biasa 3-4 tahun, tak boleh. Jadi sebab itu saya dah minta saudara Anthony Loke menyegerakan hal yang berkaitan. Lapangan Terbang Tawau, Pulau Pinang yang sudah sesak itu harus diperluaskan untuk memudahkan. KLIA umpamanya, sudah menjadi tekanan kerana jumlah pelancong yang sangat tinggi. Selain itu, terkait juga Imigresen dan Kastam dalam perkara ini, jadi mereka juga perlu lebih cepat dan efisyen. Kalau tidak tiada guna kita galakkan pelancongan tetapi tersangkut di kaunter Imigresen dan Kastam, orang tak suka tunggu berjam-jam. Kalau di New York orang boleh terima kerana whatever it is, people will still go to New York tetapi untuk negara kita, kita perlu elak kelembapan sedemikian.
- Apa kaitannya? Kalau mereka datang ke sini, kita kena perkenalkan industri tempatan dengan mempromosi hasil-hasil tempatan dan kraf tangan seperti batik, songket dan pelbagai lagi hasil kraf. Kita juga harus sensitif dengan hasil keluaran kraf tangan setiap negeri, apa yang dihasilkan di Perlis, apa yang di Kelantan, apa batik di Terengganu, apa di Sabah dan di Sarawak. Jadi setiap negeri akan merasakan peranan mereka dan tidak merasa tersisih. Sebab itu saya katakan kementerian ini penting. Apa kaitannya lagi dengan kraf tangan? Kraf tangan boleh mengangkat martabat hidup rakyat miskin, umpamanya suku kaum Rungus di Sabah, mereka hasilkan beads (rantai), tetapi kebetulan mereka dapat jualan tempahan daripada Itali, jadi ekonomi dan pendapatan masyarakat itu dengan sendirinya dapat ditingkatkan. Ini saya beri sebagai contoh, tetapi dari segi Kerajaan dan kementerian kita akan terus jalankan promosi.
- Tahun depan kita akan mempengerusikan ASEAN, jadi ini satu acara yang besar kerana delegasi ASEAN dalam mesyuarat-mesyuarat termasuk China, India, Australia, Eropah dan Amerika akan datang ke Malaysia. Saya arahkan hadiah-hadiah untuk acara tersebut dari kraf tangan. Bayangkan dan kalau kita nak pastikan mutu itu baik, kita harus kenal pasti sekarang di mana. Kalau di Lawas, Sarawak apa yang boleh dihasilkan? Jadi kita selaraskan dengan latihannya TVET, dananya TEKUN atau MARA, kita selaraskan. Bukan saya tak nak luluskan dana, tidak boleh umpamanya ‘penny wise, pound foolish’. Kalau betul ada keperluan, saya rasa tidak ada masalah tetapi kita kena selaraskan. Maknanya kalau tahun depan kita perlukan bahan-bahan ini dan kementerian akan tempah untuk keperluan.
- Kita perlu merancang, jenis-jenis hadiah yang kita hendak sampaikan seperti mana mereka sampaikan kepada kita. Tidak terlalu mahal, tetapi kalau kita tempah sekarang bahan-bahan asas dibeli oleh syarikat, jadi kita pantau. Dengan cara sedemikian, ribuan industri kraf tangan kecil dan miskin dapat kita tingkatkan. Inilah sebab mengapa saya kata kita tidak boleh bekerja secara silo. Kerajaan ini mesti melihat keseluruhannya, seluruh jentera kerajaan itu harus disatukan. Oleh itu KSU harus memanfaatkan semua institusi yang ada seperti PNB, Khazanah, Tekun dan MARA.
- Jadi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang, Datuk Seri Tiong boleh sebut bahawa harus ada sedikit sinergi di mana peruntukan untuk industri kraf tangan itu harus disediakan. Jadi kita lihat umpamanya dari pelancongan ke isu pengangkutan termasuk pelabuhan dan lapangan terbang sehingga kepada industri dan kraf tangan. Ini kali pertama di mana negara akan sambut majlis antarabangsa yang agak besar. Jadi saya ingat kalau mesyuarat peringkat menteri kalau tak salah saya untuk setahun depan mungkin mencecah ratusan mesyuarat. Untuk ASEAN, ASEAN India, ASEAN Australia, ASEAN China, ASEAN Europe, ASEAN Amerika dan sekarang ada lagi ASEAN GCC di negara-negara Arab. Putera Mahkota Mohammed bin Salman dalam keputusan akhir mesyuarat berkata dia tidak akan mengadakan mesyuarat ASEAN GCC tahun ini tetapi akan adakan tahun depan bila saya pengerusikan mesyuarat di Kuala Lumpur. Jadi rugi kalau kita tak manfaatkan kedudukan itu.
- Kalau mutu kraf tangan yang kita hasilkan itu betul-betul indah, betul-betul ada kecanggihannya, sophistication-nya, saya percaya dia akan kekal dalam usaha perniagaan. Usaha Kerajaan untuk tahun depan hanya mungkin memperkenalkan bahan-bahan itu. Sekali lagi saya harap saudara-saudara ambil perhatian dalam hal ini. Saya sudah mempengerusikan mesyuarat pertama hari ini untuk menerangkan keperluan untuk tahun depan. Belanja itu tinggi, jadi saya nak manfaat belanja itu bukan hanya hotel 5 bintang tetapi juga industri kraf tangan di kawasan pedalaman, Sabah Sarawak dan desa. Kalau tidak, semua faedah ini hanya dibolot di kalangan elit di bandar, sementara orang-orang di luar bandar itu tersisih dan tidak memperolehi peluang yang sama.
- Saya dimaklumkan bahawa sehingga Disember 2023, 2,413 orang komuniti kraf baru telah dilahirkan. Nilai jualan RM6.83 juta. Maknanya untuk kementerian ini dan industri kraf tangan ada permulaan yang baik. Tapi saya percaya boleh ditingkatkan kerana produk kraf tangan ini kadang-kadang boleh mencecah harga yang mahal. Saya dimaklumkan terdapat sektor korporat yang memesan barang-barang, mungkin yang lebih mahal seperti keris dan sebagainya sehingga mencecah RM200,000 untuk satu pesanan.
Saudara-saudari,
- Tahun lalu saya telah umumkan satu program raksasa yang pertama kali berlaku dalam sejarah. Setiap kampung, setiap kawasan bandar atau perumahan akan diberi di antara RM50,000 hingga RM100,000 setiap kampung. Bukan untuk perbaiki jalan ataupun untuk perbaiki surau, itu peruntukan lain. Yang ini minimum RM50,000, maksimum RM100,000 diberi setiap kampung hanya untuk menggalakkan mereka melibatkan diri dalam program ekonomi. Selama ini kita, Ketua Pengarah, Menteri, KSU, dia yang menentukan. Kali ini saya nak jawatankuasa kampung itu sendiri bermesyuarat untuk putuskan apa yang nak dibuat dengan dana itu. Kita pantau supaya wang itu dibelanjakan mengikut kaedah dan di antara yang kita tekankan adalah dari dana RM50,000 sehingga RM100,000 yang akan diputuskan oleh orang kampung sendiri ialah industri kraf tangan. Jadi satu modul dan keterangan yang lebih lengkap harus disediakan kerana hal ini sudah mahu digerakkan sekarang.
- Dana Komuniti MADANI ini menelan belanja RM1 bilion. Kemudian ada lain-lain yang saya nak sebut di sini, iaitu geran pendigitalan. Kita bicara tentang transformasi digital, tetapi untuk orang kampung ini apa? Untuk orang miskin ini digital apa? Kita belanja berbilion-bilion. Kita boleh sebut tentang transisi tenaga, transformasi digital, tapi untuk rakyat biasa ini apa dia? Apa faedahnya? Sebab itu beberapa langkah termasuk dalam kraf tangan, memanfaatkan kemudahan digital itu penting. Maknanya sekali lagi, KSU, KP harus selaras dengan Kementerian-kementerian lain kerana dana dan geran pendigitalan untuk membantu usahawan kecil menaik taraf jualan, inventori, perakaunan digital itu disediakan RM5,000 kepada setiap usahawan kecil termasuk industri kraf tangan. Belanjanya yang perlu diperuntukkan adalah RM100 juta.
- Pusat Ekonomi Digital di setiap Dewan Undangan Negeri itu sekali lagi mendukung usaha pengusaha kecil di peringkat komuniti berniaga dalam talian, maknanya bila kita sebut kraf tangan, berniaga dalam talian. Untuk ini RM25 juta disediakan. e-Usahawan Desa, RM10 juta. Sekali lagi keupayaan digital. Saya bimbang kalau umpamanya kementerian ini bekerja secara silo, digital untuk Kementerian Digital, pelancongan dan kraf tangan dibidangnya, jadi ini akan menyebabkan kemudahan yang saya sebutkan ini tidak dimanfaatkan oleh kalangan yang memerlukan. Sebab itu tadi saya sebut pada KSU tentang TVET, bahawa peluang melatih anak-anak kita dalam bidang ini perlu ditingkatkan.
- Sesungguhnya, peranan Kementerian Pelancongan bagi tahun hadapan terutamanya sangat penting. Kerana kita dapat jangka jumlah peningkatan pelancongan sangat tinggi. Program-program kita anjurkan itu sangat banyak dan ia memerlukan kerjasama sepenuhnya dari rakan-rakan dan bersama mencari jalan menyelesaikannya.
- Ada satu perkara yang saya hendak sebut sebelum saya akhiri. Kita bicara soal pembangunan. Dalam pembangunan MADANI ini ada beberapa prinsip. Tidak ada erti pembangunan kalau kita terus menyebabkan lebarnya kesenjangan di antara golongan maha kaya dengan yang miskin. Tidak ada ertinya pembangunan kalau umpamanya soal nilai tidak diterapkan, soal peluang dan kesempatan orang bawah tidak diberi penekanan, dan soal seni dan budaya tidak ditekankan. Semalam sewaktu merasmikan International Financial Centre (TRX), saya sebut jangan dalam keghairahan kita membina gedung, ia akan menjadi gersang budaya, ‘Culturally barren’. Budaya dan seni bagi kita ini termasuk nilai, akhlak, penguasaan bahasa yang baik dan budi pekerti. Ini yang kita harus tekankan supaya pembangunan kita mengambil kira dan seiring dengan semua aspek tersebut.
- Sekali lagi saya ucap terima kasih dan tahniah kepada rakan-rakan di kementerian. Tahniah kepada pemenang Anugerah Kraftangan Negara dan marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga usaha kita mendapat restu dan keberkatan daripadaNya.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM