TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS MEMPERINGATI PERISTIWA PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
20 FEBRUARI 2024 (SELASA) | 8.00 MALAM
PERKARANGAN MEMORIAL PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN, BANDAR HILIR, MELAKA
Assalammualaikum Warahatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem
Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Rustam dan Toh Puan,
Tuan Yang Terutama Negeri Melaka;
YB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Datin Seri,
Ketua Menteri;
Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob,
Mantan Tuan Yang Terutama Melaka;
Menteri-menteri;
Speaker Dewan Udangan Negeri Melaka;
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; dan
Tetamu-tetamu yang saya muliakan.
- Malam ini atas ikhtiar Ketua Menteri, kita telah dapat berhimpun untuk mengimbau satu detik sejarah yang bermakna di Bandar Hilir, Melaka. Mengenang semangat perjuangan, pengorbanan dan detik penting dalam sejarah kemerdekaan tanah air. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama Tun Ghafar Baba, pemimpin-pemimpin MCA, MIC bersama pemimpin UMNO dan rakyat jelata telah dapat manfaatkan rundingan di London dan istimewanya Bandar Hilir, Melaka telah dipilih. Tidak kota-kota lain, tidak di ibu negara kerana di sinilah seperti mana yang rakyat Melaka sedia maklum, detik permulaan sejarah negara kita Tanah Melayu dijajah. Kesultanan Melayu yang gagah perkasa dan megah terkenal seantero dunia telah rebah jatuh ke tangan penjajah Portugis dan berlarutan selama 400 tahun. Tetapi di sini jugalah dipilih sebagai tempat pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.
- Mengenang jasa dan perjuangan rakyat Melaka dan rakyat Tanah Melayu pada ketika itu untuk menebus kembali hak pusaka tanah yang dijajah. Maka diisytiharkan 31 Ogos 1957 di kota bersejarah Kota Melaka yang pernah dirobohkan dan dibangun semula dan sekarang di bawah pimpinan Datuk Seri Ab Rauf Ketua Menteri gagah perkasa, insya-Allah.
Saudara-saudari,
- Apa ertinya kemerdekaan? Apa ertinya mengimbau sejarah, melakar sejarah mengenang jasa-jasa pejuang-pejuang bangsa ketika itu? Ianya merupakan sebuah pengajaran kepada anak-anak sekarang, pengajaran kepada generasi sekarang dan generasi akan datang. Apa maknanya? Maknanya negara ini yang gagah merdeka berdaulat dengan sistem pemerintahan yang ulung pada ketika itu pernah rebah dijajah. Kekayaan dipunggah oleh penguasa dibawa ke Portugal, ke Belanda dan kemudian ke Inggeris. Rakyat dimiskinkan papa kedana. Gedung-gedung besar ini yang kita lihat sebagai legasi sejarah tidak lebih daripada gedung-gedung untuk diduduki oleh pemimpin-pemimpin ketika itu pegawai-pegawai penjajah.
- Itu ertinya penjajahan. Lebih dari itu, rupa mereka, jiwa mereka dijajah. Tidak ada lagi keyakinan kepada jati diri bangsa. Hancur lebur semangat rakyat. Tidak mungkin berjaya, moden dan membangun tanpa tunduk kepada kekuatan penjajah termasuk Inggeris. Itu ertinya penjajahan. Kita terpukau dengan kekuasaan mereka, kita menjadi hamba di negara kita sendiri dan Alhamdulillah, berkat pejuang-pejuang bangsa, Dato’ Onn Jaafar dan sebelum itu lagi pahlawan-pahlawan bangsa dan kemudiannya di bawah Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ketika itu merupakan dipertua UMNO dan pengerusi Perikatan bersama dengan rakan-rakan MCA, MIC dan rakyat umumnya dapat menebus maruah bangsa kita.
- Soalnya sekarang apa erti kemerdekaan? Membebaskan kita daripada belenggu penjajahan? Kini, rakyat tidak lagi ketakutan, harus rasa bebas menyuarakan pandangan mereka, memberikan pandangan membina negara. Rakyat harus tahu, merdeka itu dengan kekuatan orang-orang Melayu. Benar. Tetapi merdeka itu juga dengan kerjasama rakan-rakan kita, masyarakat Cina dan India yang bersatu-padu menebus maruah yang telah dikuasai dan dihina oleh penguasa asing. Kekuatan induk masih lagi Melayu, terasnya masih Melayu. Sebab itu dalam melakar perlembagaan negara oleh pemimpin-pemimpin ketika itu, ditetapkan kedudukan Bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Tetapi tidak pernah disebut, meremehkan hak orang lain, merendahkan darjat orang lain atau menghina mereka kerana mereka diiktiraf sebagai warganegara yang sah, bersama-sama dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Ini pengajaran yang penting bagi negara kita.
- Mengimbau kemerdekaan, amalan pemimpin-pemimpin ketika itu, pemimpin-pemimpin penjajah yang memunggah kekayaan memiskinkan rakyat memperkayakan diri mereka dan keluarga, mereka mesti dan wajib dihentikan oleh negara merdeka. Itu pengajaran pertama. Sistem kita harus berubah. Tidak lagi amalan keangkuhan kuasa oleh pemimpin-pemimpin tetapi untuk dapat bersama-sama memerdekakan rupa dan jiwa rakyat. Dan kita perlu bersama seluruh rakyat, semua kaum harus mengerti prinsip perlembagaan, dipertahankan, jiwa dan semangat perpaduan itu harus dipupuk. Ada orang mengatakan hanya sekarang kita bicarakan soal perpaduan kaum. Tidak benar. Dengar pidato Tunku Abdul Rahman, dengar orang-orang yang bersama dalam rombongan beliau, teliti perisytiharan kemerdekaan 31 Ogos. Selalu disebut Persekutuan Tanah Melayu, disebut kedaulatan Melayu, disebut bersamanya kerukunan hidup pelbagai kaum, pelbagai agama dan ini wajib kita pertahankan di negara merdeka yang tercinta Tanah Melayu dan sekarang Malaysia.
Tuan Yang Terutama Tun, Datuk Seri, Ketua Menteri dan rakan-rakan yang dimuliakan,
- Saya memang rasa terharu. Ini bukan upacara biasa. Biasanya kita buat sambutan dan kita adakan acara, tetapi malam ini luar biasa. Malam ini mengetuk pintu hati dan hati nurani kita, bahawa di sini tempat kita diperhambakan selama 400 tahun. Di sini pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan, datang untuk mengumumkan kepada rakyat Tanah Melayu dan khususnya di Melaka bahawa saudara-saudari percayalah keadaan sudah berubah dan wajib berubah. Peranan kita ialah untuk memperkasa rakyat sebagai negara merdeka seperti mana disebut dalam Al-Quran in ‘uridu illal islah mastata’tu’. Kita sekarang generasi penerus yang harus berusaha sedaya upaya kita mengangkat martabat negara, membangun ekonomi, meluruskan mutu pendidikan, kemudahan kesihatan, membawa pelancong dan industri, supaya rakyat boleh hidup dengan lebih selesa. Inilah komitmen kita.
- Sementara kita merasa terharu dan tersentuh hati nurani kita, kerana kita adalah generasi yang mengenang jasa pejuang-pejuang. Kita tahu kita tidak akan ada di sini mengecapi nikmat merdeka kalau tidak kerana tokoh-tokoh besar negara kita dulu sanggup menggadai nyawa, harta benda untuk mencapai kemerdekaan bagi negara kita. Ini juga peringatan kepada pemimpin-pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri yang positif dan baik daripada mereka dan tidak terheret dengan amalan kerakusan, keangkuhan, kegelojohan pegawai-pegawai penjajah. Sebab itu Datuk Seri Ab Rauf, saya ucap terima kasih. Hebat Melaka pada malam ini. Kita ada sambutan di merata tempat, tapi tidak semua sambutan yang boleh mengetuk hati nurani, minta kita merenung semula apa erti sejarah perjuangan kemerdekaan.
Patah tangan patah kaki,
Biar bertongkat berjalan juga,
Bumi Melaka menjadi saksi,
Laungan keramat Merdeka Merdeka Merdeka.
Hanya Malaysia negara tercinta,
Pejuang bersusah untuk merdeka,
Jangan persiakan apa yang ada,
Sayangilah tumpah darah kita.
Terima kasih.
Assalamualaikummualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Similar Posts:
- MA63: PERJANJIAN HARUS DIPEGANG, MESTI DITUNAIKAN – PM ANWAR
- KEMENTERIAN, AGENSI DIGESA TINGKAT KECEKAPAN UNTUK RAKYAT
- MALAYSIA KECAM PENINDASAN BERTERUSAN ISRAEL KE ATAS WARGA PALESTIN
- KEHADIRAN PM KE JOHOR DIHARAP TINGKATKAN HUBUNGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN, NEGERI
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR