TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS KARNIVAL PENGUKUHAN KESALINGHUBUNGAN DAN PEMBANGUNAN USAHAWAN PULAU PINANG
16 FEBRUARI 2024 (JUMAAT)
POLITEKNIK SEBERANG PERAI
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, nahmaduhu wa nusolli ala rasulihil kareem.
YB Chow Kon Yeow,
Ketua Menteri Pulau Pinang;
YB Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid,
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang;
YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil,
Menteri Komunikasi;
YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa,
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi;
YBhg. Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din,
Pengerusi Eksekutif
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM); dan
YBhg. Tan Sri Khalid bin Ramli,
Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.
- Saya ucap terima kasih atas kesediaan Kementerian Komunikasi, SKMM dan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, selain Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang untuk meneruskan dengan ikhtiar ini. Saudara saudari harus faham ikhtiar ini ikhtiar baharu. Maknanya dalam konteks negara, perjalanan, liku-liku, usaha membangunkan masyarakat negara ini, Transformasi Digital merupakan di antara agenda penting Ekonomi MADANI. Maknanya kalau negara ini nak kita pacu dengan lebih laju dan rakyat nak bersama dalam arus perubahan yang pantas dan kencang, maka tahap penguasaan ilmu dalam bidang-bidang baru harus cepat dikuasai.
- Generasi saya tidak terdedah dengan teknologi digital. Ini hanya kemudian berkembang lebih pesat di negara kita selepas reformasi industri itu timbul dengan pengenalan IT dan komputer. Tapi dalam beberapa puluhan tahun yang lalu mula secara kencang perubahan yang berlaku. Kalau kita lambat menyesuaikan diri, kita akan ketinggalan. Negara-negara kecil di Eropah yang dulunya agak ketinggalan, tetapi dengan keupayaan, merubah, memacu dengan laju, mereka telah ke hadapan. Kita pun dalam beberapa tahun lalu kerana keadaan politik yang belum stabil, fokus negara tidak mungkin ke arah pertumbuhan ekonomi apa lagi transformasi digital. Sekarang, alhamdulillah keadaan telah memungkinkan pemusatan perhatian kita sepenuhnya ke arah pembangunan ekonomi dan transformasi digital.
- Di antara langkah yang saya lihat hari ini termasuklah usaha memperluaskan soal digital. Hal ini kalau tidak kita tangani dengan baik akan terus menyebabkan berlakunya kesenjangan di antara golongan terdidik dan masyarakat bajak, di kalangan orang kaya dan elit dengan rakyat kebanyakan. Kerana ini teknologi baru dan kalau tidak ditangani, akan memerlukan kos tambahan dan kecanggihan. Kalau anak-anak nak belajar daripada ibu bapa soal transformasi digital sukar sekali, melainkan ibu bapa yang terdidik di kota dengan kemudahan-kemudahan yang ada. Maknanya jentera Kerajaan, termasuk SKMM, kalangan bumiputera dan kita tidak mahu juga ketinggalan.
- Maka, Majlis Pembangunan Bumiputera bersama SKMM dan saudara Ketua Menteri bekerjasama memberikan perhatian khas umpamanya TVET. Dulu TVET tidak dianggap penting kerana TVET ini dianggap aliran teknik tahap kedua. Sekarang tidak lagi, orang yang terdidik di TVET dan kalau diberikan kursus-kursus yang strategik akan mendapat upah dan gaji lebih tinggi. Kalau TVET umpamanya dengan PETRONAS dan termasuk dalam upaya welding maka pendapatan minimanya RM7,000, walaupun dia mungkin hanya ke politeknik tetapi tidak ke universiti. Sebab itu anak-anak harus faham pendedahan yang kita berikan ini, pertama, tentunya kerana keperluan semasa, kedua, mengelakkan kesenjangan melebar. Kemudahan yang digunakan oleh orang kaya, bila ada transformasi digital lagi melebar orang yang susah dengan orang yang senang. Langkah yang kita ambil ini untuk cuba menghalang berlakunya kesenjangan yang terus membengkak atau melebar.
- Ini bermakna anak-anak harus manfaatkan sepenuhnya. Manakala semua jentera Kerajaan, unit penyelarasan, unit ekonomi, bahagian pentadbiran, pejabat daerah, majlis perbandaran harus berikan kerjasama kerana kita ada misi yang lebih besar. Ia bukan sahaja satu program khas digital atau dikatakan kecelikan digital semata-mata. Dahulu kita katakan literasi, kecelikan dari segi ilmu. Sekarang ini ada kecelikan budaya (cultural literacy), dan kecelikan digital (digital literacy). Sebab itu ada rencana umpamanya TVET itu diperkenalkan juga di Maahad Tahfiz kerana terlalu ramai yang kata Maahad Tahfiz baik, tetapi kalau tidak diperluaskan ilmunya, tidak akan menampung keperluan mereka mendapat pekerjaan dan pendapatan yang lumayan bagi keluarga dan bagi masyarakat. Jadi sebab itu saya hargai ikhtiar yang diberikan ini dan tadi YB Fahmi ada sebut program ini juga dikendali bersama dengan PEDi yang mana rangkaiannya itu meluas.
Saudara-saudara,
- Ianya tidak mudah. Saya lihat beberapa langkah diambil oleh negara Eropah, negara ASEAN dan negara China, ia memerlukan satu dasar yang jelas, the clarity in policy dan execution, pelaksanaan yang sangat jelas. Kalau kita ikut cara kaedah pentadbiran biasa, mana sempat kita fikir soal kecelikan digital. Istilah itu pun istilah baru. Transformasi digital tidak ada dibangkitkan dalam Rancangan Malaysia ke-10 atau ke-9. Oleh kerana perkara ini baru, penjawat awam sendiri itu harus memikirkan hala tuju dan pelaksanaan yang lebih baik dan cepat, kalau tidak kita akan ketinggalan. Lebih-lebih lagi kalangan yang miskin. Miskin bandar, miskin desa, miskin di pedalaman Sabah Sarawak itu akan ketinggalan pastinya melainkan ada disebut social engineering. Ada tindakan intervensi dari pemerintah melalui jentera-jentera yang tidak hanya terikat pada birokrasi asal tapi dikembangkan.
- Jadi sebab itu saya mahu bukan sahaja peluncuran program tapi mesti ada laporan bulanan untuk semua program kita dan pengumuman yang telah kita buat. Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Rosli, Pegawai Daerah, Majlis Perbandaran pun ada, Ketua-ketua Jabatan harus diingatkan apabila kita umumkan umpamanya dahulu, tahun lalu baiki tandas di setiap sekolah, kita mahu laporan bulanan berapa sekolah, berapa tahapnya. Kita tidak pilih sekolah, sebaliknya semua sekolah, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Agama, kita selesaikan.
- Kemudian tahun ini kita tengok dari segi baik pulih bangunan-bangunan Kerajaan, perumahan Kerajaan, perumahan penjawat awam, rumah polis, rumah tentera, rumah guru-guru dalam keadaan yang sangat daif. Puluhan tahun tidak di ambil kisah, pengurusan, maintenance, baik pulih itu sangat lemah. Sebab itu tahun lalu sahaja jumlah tandas yang diperbaiki di seluruh negara sebanyak 8,600. Bayangkan Malaysia negara hebat, pendapatannya tinggi, terkenal seantero dunia, 8,600 tandas sekolah anak-anak kita tidak dapat digunakan. Alhamdulillah kerana ketangkasan dan kecekapan pegawai-pegawai JKR, Kementerian Pendidikan, Pejabat Daerah selesai masalah ini.
- Begitu juga dengan usaha menoktahkan kemiskinan, laporan terakhir dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka kita dapat noktahkan kemiskinan tegar. Makna yang paling miskin itu kita selesaikan. Semua kaum dan tentunya kalau di Kuala Lumpur majoritinya Melayu tetapi nisbah penduduk India itu tinggi dan kita tidak ikut racial profiling. Kalau kamu miskin tegar, miskin tegar lah, saya tak kira kaum mana, tinggal di mana, kita selesaikan.
- Sekarang semua Ketua Jabatan kita kehendaki untuk memberikan laporan semasa dan setiap bulan kemaskini status. Tapi kalau kita tunggu enam (6) bulan sekali laporan, saya tidak boleh terima lagi. Kalau kita sudah umumkan, tak ada makna nak jalankan begitu lama.
- Tadi saya tanya Ketua Menteri tentang pengumuman kita berhubung LRT. Tentu dia lebih rumit dan mengambil sedikit masa, tetapi ada perkara yang mendesak. Pulau Pinang ini merupakan salah satu tarikan pelancongan yang sangat berjaya dan Lapangan Terbang Bayan Lepas sudah sesak. Jadi sebab itu Kerajaan setuju untuk memperbesarkan. Ini memerlukan kajian yang panjang. Saya tanya Ketua Menteri kalau ikut dari segi Kerajaan Persekutuan mungkin bermula akhir tahun. Saya tak puas hati. Jadi insyaa-Allah hari Rabu minggu hadapan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya nak tahu boleh tak kita percepatkan, dana diluluskan, kita percepatkan kerana akan mengambil masa 2-3 tahun untuk dia take-off. Jadi kita nak kena percepatkan projek. Kita ada keupayaan untuk melakukan itu.
- Sekarang kalau dalam soal pengenalan tentang soal digital, perniagaan online, aplikasi baru, platform baru, ini semua mesti dengan pendedahan. Semasa saya mewakili Port Dickson, saya tengok nelayan miskin. Katakanlah menjual di pantai Port Dickson, tangkap ikan harga RM4. Sampai Seremban RM7, sampai Kuala Lumpur RM11. Ada orang di sekitar Seremban yang sanggup ke Port Dickson kalau dia tahu harga itu betul-betul murah. Jadi maknanya aplikasi atau platform yang diperkenalkan itu perlu diperhebahkan. Orang akan tahu beli di mana, jam berapa dia perlu datang, akhirnya pendapatan nelayan pun lebih baik dan kos bagi pengguna dan pembeli pun jauh lebih baik.
- Pagi tadi kita buat Jualan MADANI ala Jualan Rahmah di Seberang Jaya. Tengok sayuran RM2 lebih murah. Umumnya RM1-RM2 lebih murah daripada harga pasar. Daging RM2-RM3 lebih murah daripada harga pasar. Ayam begitu juga dan ikan terutamanya, satu RM1-RM2, kerang RM3 lebih murah. Jadi saya tanya bagaimana boleh begitu? Kerana dia bawa langsung dari kawasan nelayan dan kita ada FAMA. Mungkin pengangkutan daripada FAMA lalu di tempat Jualan Rahmah dan orang boleh pergi. Lebih-lebih lagi kalau kita ada kemudahan atas talian yang saya sebutkan dari segi perubahan perniagaan kecil kepada digital, seperti disebut oleh menteri tadi, kemungkinan menaikkan keupayaan dan hasil mereka. Sebab itu karnival ini disebut pengukuhan kesalinghubungan dan pembangunan usahawan.
- Saya harap anak-anak manfaatkan sebaiknya. Nanti kalau tidak, kita umum, kita ada majlis-majlis pelancaran besar, kita minum teh dan makan cekodok sedap-sedap, kemudian balik sama sahaja. Sebab itu saya nak laporan termasuk daripada SKMM. Apa perkembangan program di Pulau Pinang awal Februari, awal Mac kena ditanya. Terlalu awal? Baik, awal April kita minta. Saya sudah minta Ketua Setiausaha Negara memastikan hal ini berlaku. Ini sahaja yang boleh jamin apa yang dikatakan pelaksanaan yang lebih cekap dan pantas.
- Tentunya kita tak ada upaya untuk buat semua. Telco umpamanya, saya ucap terima kasih kerana mereka nampak secara langsung turun ke bawah dan syarikat-syarikat Telco ini mencatat keuntungan yang baik. Jadi bila mereka berikan kerjasama, memudahkan kerana kalau bidang ini mereka kuasai, mereka punyai kemahiran, kecanggihan sophistication teknologi ini mudah bagi mereka, tetapi sukar bagi rakyat kebanyakan. Jadi dengan kearifan mereka dalam bidang ini, disampaikan dan membantu mencelikkan rakyat tentang apa yang disebut digital.
- Saya berharap dalam program MADANI ini kita tunjukkan keprihatinannya, kerana kita bimbang. Kita kadang-kadang senang dengan pelaburan yang sekian banyak, yang perlu sebenarnya, atau pelancongan bertambah. Tapi apa dia manfaat secara langsung bagi penjaja dan peniaga kecil? Apa dia manfaat secara langsung dari lulusan TVET dan lulusan Maahad, apakah mereka mampu bekerja? Apakah harus ada laluan dan ikhtiar baru yang diperkenalkan. Ini bagi saya adalah satu cabaran bagi kita iaitu bagaimana manfaat itu diperolehi oleh rakyat terbanyak secara langsung.
- Saya percaya melalui PEDi, saya Nampak YB Fahmi memberikan tumpuan untuk perluaskan skop dan kegiatan PEDi ini umpamanya yang dikelola oleh SKMM. Di Pulau Pinang 3 PEDi; Sungai Pinang, Barat Daya, Tasik Gelugor. Dalam perancangan ada 186 PEDi dan kalau tanya pendapat saya, saya nak beritahu Tan Sri Salim yang saya nak tengok sejauh mana 100 itu dijalankan sebelum akhir tahun ini.
- Kita nak tambah 41 PEDi di Pulau Pinang dengan penambahan peruntukan sebanyak RM47 juta. Jadi bulan depan YB Fahmi will make sure he receives a report from here. Dah lama dah orang kata dalam kerja-kerja Kerajaan ini, setakat janji-janji itu saya tak mahu pakai. Bagi laporan sebelum 10 Mac bulan depan, saya nak tengok bila dia nak laksanakan di Balik Pulau, Nibong Tebal dan Permatang Pauh. Walaupun begitu, saya ucap terima kasih atas langkah yang diambil. Saya sudah berjumpa dengan PEDi ini sampai ke kawasan pedalaman Sabah, Sarawak, Felda Soeharto pun sudah ada PEDi. Jadi saya ucap terima kasih atas usaha dan khidmat yang sedemikian.
- Dalam pertemuan saya dengan PEDi itu, ia menyeluruh termasuk kawasan yang kita tak jangka seperti di Ulu Tembeling, di Kapit, Sarawak yang belah pedalaman. Datang seorang anak muda yang canggih, dia belajar mungkin di UiTM, bila dia balik, dia mulakan PEDi. Oleh itu saya harap anak-anak Pulau Pinang diberikan pendedahan dan komuniti PEDi itu dapat memanfaatkan masyarakat di sekitarnya. Jadi sekali lagi terima kasih kepada semua rakan-rakan dan kita tunggu laporan awal bulan Mac.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR